Baru 24 tahun usianya. Sudah terpancar karisma sebagai seorang pemimpin berjiwa besar. Duduk bersembang dengan Syed Saddiq Abdul Rahman, mengajarkan saya tentang banyak hal; bukan sahaja berkisar politik yang terus terang saya katakan, bukan topik bual yang menarik kepada saya.

saddiq08
TEKS: ALIF ABU BAKAR (@alif_ashburn) | FOTO: TAUFIQ NADZRI (@taufiqnadzri) | GRAFIK: OMAR BENJAMIN FAHMY (@sutramaya) | SOLEKAN & DANDANAN: ARY MUZAMER (@arymuzamer) | PAKAIAN: COS (@cosstores)

Bagaimanapun, mungkin disebakan faktor usia yang tidak banyak berbeza, perbincangan tentang topik serius itu menjadi seronok untuk dibualkan. Daripada kisah kelemahan pendidikan negara, relevansi keistimewaan bangsa Melayu, kuasa belia mencorak masa depan Malaysia sehinggalah tentang Selena Gomez, kami bicarakan dengan penuh santai.

Temu janji kami ditetapkan pada pukul 10 pagi di KL Sentral. Syed Saddiq sampai tepat pada waktunya. Kami bersarapan di Starbucks kerana di situ tempatnya agak tersembunyi. Mudah untuk kami berbual sambil jurusolek, Ary Muzamer menyolek wajah Syed Saddiq.

Beberapa bulan lalu, Syed Saddiq menamatkan pengajian dalam ijazah sarjana muda undang-udang di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM). Meskipun tidak berkesempatan menghadiri istiadat konvokesyen, baktinya kepada UIAM tetap manis untuk dikenang.

Ketua Armada, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) ini sedang merangka visi, menggerak misi dan menggempur bersenjatakan ilmu kata-kata. Berdirinya sebahagian belia Malaysia di belakang Syed Saddiq adalah atas dasar dambaan perubahan Malaysia yang lebih sejahtera dan makmur.

Bagaimanapun tidak semua menggemari nasionalis muda ini. Segelintir mencemuh, menolak hujah, mempertikai usia dan mempersoal kementahan pengalaman politik Syed Saddiq. Tidakkah dia melatah? Anak muda yang jiwanya sedang berapi-api pasti mudah melenting apabila kesabarannya dijentik bukan?

“Kita boleh setuju untuk tidak bersetuju. Biarpun anda merupakan keluarga atau sahabat saya, dan anda tidak bersetuju dengan pendapat saya, tidak mengapa. Itu adalah pilihan anda.

“Saya manusia biasa yang melakukan kesilapan. Daripada kesilapan itu saya perbaiki diri. Tiada individu yang betul sepenuhnya dan tidak sepatutnya wujud manusia seperti itu.

“Perubahan yang saya alami pun didorong kritikan orang sekeliling. Saya tidak perlu menjadi defensif ataupun berasa takut,” Syed Saddiq tegas menyatakan pendirian.

saddiq01

Menyambung bicara, Syed Saddiq mendedahkan bahawa perjuangannya tidak mudah. Ketika menjadi tenaga pengajar separuh masa di UIAM, Syed Saddiq juga aktif melatih pasukan debat universiti tersebut. Apabila ahli pasukan debat di bawah kendaliannya, diugut untuk digugurkan daripada mewakili universiti sekiranya dia terus bersuara, ketika itu semangatnya benar-benar terbakar.

Sejak itu, Syed Saddiq berazam untuk tidak berputus asa sehingga hembusan nafasnya yang terakhir.

“Saya tahu ia kedengaran dramatik, tetapi ia adalah nilai yang saya pelajari ketika di sekolah dulu. Kami diterapkan dengan semangat nasionalis yang tinggi. Saya sangat cintakan negara dan kecintaan itu yang mendorong saya untuk pergi lebih jauh.

“Oleh itu, saya sedia menghadapi segala cabaran. Meskipun minat terbesar saya digugat dan diugut dalam pelbagai bentuk, saya enggan berhenti di tengah jalan. Ia seolah-olah mengkhianati negara, dan dalam masa yang sama menghampakan sokongan yang diberi orang.

“Itu bukan satu sikap yang baik untuk diteladani. Sejujurnya, kita memerlukan lebih ramai rakyat Malaysia yang berani untuk bersuara. Bersama-sama, kita dapat memecahkan tembok kebisuan masyarakat. Sebaliknya jika semua memilih untuk terus membisu, tembok itu akan selama-lamanya berdiri teguh,” berkobar-kobar Syed Saddiq membutir kata.

Kini menetap di Kuala Lumpur, Syed Saddiq masih berulang-alik ke kediaman keluarganya di Johor Bahru (JB) atas dasar kerja. Selain aktif berpolitik, dia turut meminjamkan kemahirannya dalam bidang polisi awam.

Anak bongsu daripada empat adik-beradik ini turut menceritakan tentangan keluarganya pada permulaan kelantangannya menyuarakan pandangan. Ibunya paling kuat menegah dan berpesan supaya tidak masuk campur permasalahan orang atasan.

“Memandangkan ketika itu, saya mempunyai masa depan yang terjamin dengan pekerjaan yang stabil, saya memahami teguran ibu. Namun, saya mengingatkan bahawa dialah yang mengajar saya untuk tidak berdiam diri apabila sesuatu yang salah terjadi di depan mata. Bertindaklah walaupun jalannya sukar.

“Apabila saya menerima ugutan bunuh yang pertama, ibu saya tidak lagi meminta saya untuk berdiam diri, bahkan menggalakkan perjuangan saya,” imbas Syed Saddiq.

Kuasa belia

Penyertaan Syed Saddiq bersama PPBM juga adalah jawapan terhadap kesediaannya bergiat aktif dalam arena politik. Keterbukaannya menyertai parti tersebut juga adalah disebabkan hala tuju dan misi PPBM yang bersifat progresif.

saddiq02

Ia kenyataan yang ironik daripada individu yang merupakan ahli parti politik tersebut. Bagaimanapun, pendapatnya didukung oleh beberapa penjelasan. PPBM difahamkan terbuka dengan cadangan orang muda seperti Syed Saddiq termasuklah hal-hal yang melibatkan penggubalan dasar perlembagaan parti.

Pada awalnya, tidak dinafikan dia mempunyai kebimbangan bahawa dia hanya akan dijadikan token dan boneka kepada umum dengan gerakan di belakang tabir dikuasai ahli politik yang sudah berumur. Setakat ini, ideanya diterima termasuklah cadangan penetapan ahli parti pemuda yang perlulah terdiri daripada belia berumur 35 tahun ke bawah.

Sekiranya anak muda seperti Syed Saddiq mampu melaksanakan perubahan, mengapa tidak generasi muda Malaysia secara keseluruhannya? Besarkah kuasa belia dalam mencorak masa depan negara?

“Anak muda memang penentu masa depan negara. Terdapat kira-kira 4.8 juta penduduk Malaysia terdiri daripada belia yang layak mengundi di bawah usia 35 tahun. Bagaimanapun hanya 2.2 juta yang mendaftar sebagai pengundi. Ini bermakna lebih 50 peratus kuasa belia hilang gara-gara tidak mendaftar.

Sempat Syed Saddiq menghirup kopi panasnya sebelum menyambung berkata-kata: “Satu kerugian kepada negara kerana kita mampu mengubah banyak perkara menerusi undi. Sayang sekali masih ramai belia yang tidak melaksanakan tanggungjawab penting ini.”

Lima tahun merupakan jangka masa rasional bagi memperbaiki kelemahan Malaysia secara berperingkat. Bukan sahaja kuasa politik yang perlu diperbaharui, malah keterbukaan minda masyarakat, sistem pendidikan, kesatuan rakyat dan sikap toleransi turut memain peranan terhadap merealisasikan pembinaan sebuah negara bangsa.

“Dalam masa lima tahun, saya menjangkakan masyarakat Malaysia akan bersikap lebih terbuka dan bertoleransi. Kestabilan politik untuk kedua-dua pihak kerajaan dan pembangkang juga dapat dicapai,” tambah Syed Saddiq.

Berkenaan kelantangan suara generasi muda yang ketara melontarkan pendapat, kekecewaan dan kegusaran terhadap masa depan negara, Syed Saddiq melihat ia sebagai satu situasi yang sihat. Belia yang lantang bersuara bukanlah mahu memberontak kosong. Namun, mereka ialah generasi yang peka terhadap situasi semasa.

Generasi muda mengambil berat dan sedar dengan keadaan yang berlaku di dalam dan luar negara. Sikap sebegitu sangat diperlukan dalam diri orang muda kerana ia membantu ke arah pembangunan minda sekali gus kemajuan sesebuah negara.

Berbekalkan sikap orang muda itu juga yang membulatkan hati Syed Saddiq untuk aktif berpolitik. Politik baginya adalah ibu kepada segala perubahan. Maka dengan menyertai politik, dia berpeluang untuk membantu mengubah sistem-sistem sedia ada yang dikuatkuasakan di Malaysia.

“Hampir semua perkara bermula dengan politik. Keselamatan, kos sara hidup termasuklah kita yang sedang makan dan minum di Starbucks ini, semuanya ada hubung kait dengan politik. Ia amat menakutkan kerana keadaan sebegitu tidak sepatunya berlaku.

“Sewajarnya, perkara pertama yang perlu dilaksanakan apabila seseorang pemimpin diberi kuasa mentadbir adalah mengurangkan kuasa yang dimiliki. Bagi saya, sesiapa sahaja yang diberi kuasa berpotensi untuk menyalahguna kuasa.

saddiq06

“Pengurangan kuasa yang saya maksudkan adalah melibatkan perubahan undang-undang negara. Akta Hasutan, Akta Universiti dan Kolej Universiti wajar dimansuhkan manakala Akta Komunikasi dan Multimedia perlu dipinda.

“Maka apabila kenyataan bersifat menyinggung dikeluarkan yang mungkin tidak dipersetujui pihak-pihak tertentu, mudah sahaja tindakan diambil ke atas mereka. Akta-akta tersebut membuatkan rakyat hidup dalam ketakutan.

“Situasi ini turut terjadi dalam persekitaran syarikat-syarikat berkaitan kerajaan dan universiti-universiti yang menyaksikan ramai ahli politik dilantik sebagai ahli lembaga pengarah.

“Pemansuhan dan pindaan beberapa akta perlu dilakukan sejajar dengan peredaran zaman. Bertindak dengan cara menakut-nakutkan rakyat bukanlah penyelesaian terbaik, kerana kita mahu melahirkan generasi berjiwa berani,” Syed Saddiq menghurai tenang.

Dia juga berharap agar kebebasan media dapat dikembalikan. Biarpun kelak seandainya pihak pembangkang mengambil alih pentadbiran pusat, media perlu melaporkan dengan adil dan telus, tanpa memihak kepada mana-mana parti politik.

Parti politik mesti memberikan kebebasan kepada media untuk kembali menjadi medium informasi rakyat yang boleh dipercayai. Bagaimanapun, setiap parti politik juga berhak untuk membentuk saluran media tersendiri. Namun, media arus perdana mesti dibebaskan daripada kuasa politik tertentu agar keseimbangan penyampaian dapat diberikan kepada masyarakat.

Idea pengurangan kuasa Syed Saddiq turut melibatkan pemilikan kuasa negeri-negeri di Malaysia. Pada pandangannya, kerajaan pusat perlu memberi lebih banyak kuasa kepada kerajaan negeri, termasuklah hal-hal melibatkan hasil bumi masing-masing.

“Mungkin banyak negeri takut untuk bersuara kerana bimbang bantuan dan bajet tertentu untuk pembangunan negeri daripada kerajaan pusat akan dinafikan. Sarawak misalnya, mereka sangat berharap diberikan pembangunan yang setimpal dengan sumbangan hasil petroleum mereka.

“Banyak pembaharuan ini mungkin melemahkan kerajaan tetapi ia adalah langkah yang proaktif. Kerajaan yang berkuasa ditunjangi individu yang berkuasa. Kuasa mampu mengubah ideologi atau identiti seseorang. Justeru, kita memerlukan kerajaan yang hak kuasanya dikurangkan bagi melaksanakan perubahan,” Syed Saddiq tekad berpendapat.

Pendidikan

Mendapat pendidikan awal di JB, Syed Saddiq kemudiannya menyambung pelajaran di Maktab Tentera Diraja (MTD), Kuala Lumpur ketika berumur 16 tahun. Penyertaannya dalam debat juga bermula di MTD ketika di tingkatan lima. Bermula dari situ, dia mula meneroka persekitaran dengan lebih mendalam.

saddiq03

Perspektifnya diluaskan. Syed Saddiq belajar bergaul dengan individu berbeza latar belakang, bangsa dan agama. Dia membuang sikap rasis, seksis, ekstremis dan segala yang negatif. Jika dahulu dia beranggapan bahawa lelaki perlu lebih dihormati berbanding perempuan, kini dia menyokong kesamarataan jantina dan hak wanita.

Bukan pengisian pendidikan sahaja yang perlu diberi tumpuan, tetapi dia menyedari bahawa persekitaran tempat menuntut ilmu itu juga mestilah seimbang dari segi pecahan penuntutnya.

Melihat kepada penyusunan sistem pendidikan di negara ini, Syed Saddiq berpendapat ia memerlukan rombakan yang terancang. Sekolah kebangsaan sedia ada belum berupaya menyelesaikan akar masalah penduduk di negara ini iaitu kesatuan bangsa.

Berdasarkan pemerhatiannya, pendidikan di Malaysia telah menyumbang terhadap pemecahan bangsa dan melahirkan masyarakat yang judgmental.

Pergaulan di sekolah bakal membentuk perkembangan pemikiran seseorang apabila menginjak dewasa. Sebuah sekolah yang mempunyai keseimbangan bangsa dan kepelbagaian kepercayaan dapat meminimumkan kecondongan individu untuk menjadi rasis, judgmental dan berfikiran tertutup.

Bukan itu sahaja, insititusi pendidikan yang menerima kemasukan sesebuah bangsa juga hanya menciptakan persekitaran yang terkongkong.

“Sekolah jenis kebangsaan sedia ada tidak perlu ditutup. Cuma setiap sekolah perlu mematuhi piawaian tertentu untuk beroperasi. Mulakan dengan penetapan kuota dan ia perlu melibatkan semua jenis sekolah, termasuklah sekolah agama ataupun sekolah berasrama penuh yang selama ini menolak kemasukan bangsa-bangsa atau agama-agama tertentu.

“Setiap sekolah mesti mempunyai 30 peratus minimum pelajar bukan bumiputera, begitu juga sebaliknya untuk sekolah majoriti bukan bumiputera. Sekolah agama juga perlu dibuka untuk pelajar bukan Islam. Standard ini perlu dilaksanakan dan kemudian susuli dengan fasa perubahan lain,” demikian cadangan Syed Saddiq.

Menyentuh aspek bahasa pula, Syed Saddiq sangat menjunjung tinggi bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Malah dia lebih gemar menggelar ia sebagai bahasa Malaysia, sebuah bahasa penyatuan antara kaum di negara ini. Ia merupakan bahasa milik rakyat Malaysia, dan bukan bahasa penindasan mahupun hak tunggal sesebuah bangsa.

“Alangkah baiknya jika pelajar di sekolah diberi peluang untuk mempelajari bahasa ketiga sebagai subjek pilihan. Kita seharusnya meningkatkan penguasaan bahasa masyarakat di negara ini dengan menyenaraikan bahasa Mandarin atau bahasa Tamil dalam pilihan mata pelajaran tambahan.

“Pilihan itu perlu ada. Jika tidak, kita sebenarnya menindas orang lain,” tambahnya ringkas.

Sebagai pendebat terbaik Asia, ilmu debat yang dimiliki Syed Saddiq banyak dikongsi kepada para pendebat muda. Maka bukanlah sesuatu yang mengejutkan apabila dia mencadangkan agar debat dan kemahiran berfikir secara kritis dijadikan sebahagian daripada mata pelajaran di sekolah.

Rasionalnya adalah kedua-dua subjek tersebut mampu menjadikan seseorang untuk lebih bertoleransi, menganjak pemikiran rasional dan meluaskan perspektif terhadap sesuatu perkara. Ia mendorong seseorang untuk berfikir tentang ketepatan maklumat, diikuti proses menganalisa kemudiannya penyelesaian terhadap permasalahan dan kelemahan.

Ketuanan Melayu

Apabila diajak bercakap tentang hak istimewa orang Melayu, Syed Saddiq sedar bahawa ia sesuatu yang sensitif untuk diperkatakan tetapi tidak ragu-ragu untuk melontar pendapat.

saddiq05

Apakah sudah tiba masanya untuk bangsa Melayu di Malaysia membuang rasa selesa dan melenyapkan mentaliti ‘bangsa istimewa’? Konsep Ketuanan Melayu yang menjadi retorik sebelum kemerdekaan negara ini, antara punca yang dirasakan menjadi duri dalam daging terhadap perpecahan bangsa yang semakin hari semakin berbahaya.

Di media sosial, masing-masing mahu memuliakan bangsa masing-masing. Pemikiran etnosentrik dalam masyarakat Malaysia juga kian menebal. Pembangkitan hak keistimewaan orang Melayu kembali disuarakan bukan bumiputera yang menuntut kesaksamaan. Sekiranya tiada solusi bijak, permasalahan ini akan terus membarah dalam masyarakat, menjurus kepada kehancuran perpaduan.

“Tidak salah untuk mengekalkan identiti bangsa masing-masing, tetapi identiti Malaysia harus diutamakan,” Syed Saddiq berpesan.

Tambahnya, menghapuskan sepenuhnya hak keistimewaan orang Melayu itu bukanlah satu penyelesaian, tetapi pendefinisian semula melibatkan perkara tersebut perlu dilakukan memandangkan terlalu banyak penyalahgunaan yang berlaku.

Berdasarkan penyelidikan yang dijalankan Universiti Malaya (UM) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), graduan Melayu didapati mempunyai peratusan lebih tinggi untuk didiskriminasi dalam sektor swasta.

Kajian tersebut menyaksikan perbandingan di antara calon berbangsa Melayu dan Cina yang berjaya dipanggil untuk temu duga berdasarkan 3,000 resume palsu yang kemudiannya dihantar ke pelbagai syarikat di seluruh Malaysia. Meskipun calon Melayu mempunyai tahap pendidikan, penguasaan bahasa dan kelayakan setara dengan calon Cina, ramai yang gagal dipanggil untuk temu duga.

Bahkan, terdapat majikan yang cenderung memilih calon Cina dengan kelayakan lebih rendah berbanding calon Melayu.

“Polisi bangsa tidak seharusnya dijadikan penentu dalam sektor pekerjaan. Ia bukanlah satu bentuk rasialisme, tetapi lebih kepada masalah diskriminasi persepsi.

“Sejak dulu, orang Melayu ini dicerminkan sebagai bangsa yang malas dalam melakukan pekerjaan. Stigma ini bukan hanya ditanam majikan bukan bumiputera, malah ia turut terjadi dalam kalangan syarikat yang didominasi Melayu. Mereka juga mendiskriminasi calon pekerja Melayu.

“Masalah persepsi ini mesti diselesaikan segera kerana impaknya sangat dirasai golongan Melayu kelas pertengahan dan bawahan.

“Maka saya melihat masalah ini sebagai satu isu berkaitan polisi awam. Justeru, saya tidak menganggap ia satu hak tetapi lebih kepada keistimewaan,” lancar Syed Saddiq menutur kata.

Beberapa insititusi pendidikan juga pada pandangannya, memerlukan transformasi dari segi keterbukaan penerimaan pelajar. Universiti Teknologi MARA (UiTM) yang khusus untuk bumiputera antaranya, disarankan untuk membuka kuota sekurang-kurangnya 30 peratus terhadap kemasukan kepada pelajar bukan bumiputera.

“Bukan sahaja UiTM, semua institusi pendidikan tinggi awam dan swasta yang dimonopoli satu bangsa perlu mematuhi kuota yang ditetapkan. Konsepnya sama seperti yang saya cadangkan untuk sekolah kebangsaan, sekolah jenis kebangsaan termasuklah sekolah berasrama penuh,” Syed Saddiq menambah.

Personaliti

Mencungkil peribadi Syed Saddiq yang masih muda, percakapan matangnya masih disulami topik-topik santai berkenaan cita rasa muziknya yang dirasakan pelik pada penilaian orang lain. Tentang kecintaannya terhadap dunia debat yang tidak berbelah bahagi serta kenakalan zaman remajanya.

saddiq04

Pada usia 24 tahun, pencapaian Syed Saddiq dalam arena politik tanah air boleh dianggap membanggakan. Dunia yang dipilihnya menuntut banyak pengorbanan, termasuklah nikmat dan keseronokan orang muda. Namun, dia percaya sesibuk manapun dia dengan kerja, keseimbangan dalam hidup itu juga penting.

Apabila terbang ke luar negara atas jemputan mengajar, Syed Saddiq akan memanjangkan waktu di negara tersebut bagi melawat ke tempat-tempat menarik. Aktiviti outdoor termasuklah island hopping, antara kegemarannya ketika bercuti.

“Sekarang, kalau ada masa lapang, saya akan menonton wayang di tengah malam. Kadang-kadang, bagi meredakan tekanan, saya akan tonton video-video Selena Gomez dan yang memaparkan gelagat kucing,” kongsinya jujur.

Selena Gomez? Siapa sangka Syed Saddiq seorang Selenator (nama rasmi peminat Selena Gomez). Konsert penyanyi itu, Revival Tour yang berlangsung Julai lalu di Stadium Malawati, Shah Alam, Selangor juga menjadi konsert pertama yang pernah dihadiri Syed Saddiq seumur hidupnya.

Minatnya terhadap Selena tidak hanya berkisar tentang muzik, malah Syed Saddiq peka tentang perihal peribadi yang melingkari bintang pop antarabangsa itu. Ditanya adakah dia turut meminati Justin Bieber? Jawapannya mudah: “Tidak! Sebab dia (Bieber) patahkan hati Selena.”

Syed Saddiq penuh kejutan. Dia membuktikan bahawa seorang anak muda yang kaya pengetahuan semasa dan aktif memperjuangkan pembaharuan dasar-dasar negara juga masih berhak meminati muzik pop dan apa sahaja yang menggembirakan jiwa mudanya.

“Minat muzik saya mungkin berbeza dengan orang lain. Saya tidak mengehadkan cita rasa terhadap genre tertentu. Dalam pop itu sendiri, bukan semua artis saya minat. Selain Selena Gomez, saya juga sangat meminati Iron Maiden dan Maher Zain. Cita rasa saya universal.

“Begitu juga sukan, ia bergantung kepada keadaan semasa. Jika dulu saya aktif bermaraton. Kini, saya lebih kerap bermain badminton bersama kawan-kawan,” cerita Syed Saddiq yang pernah memelihara tujuh ekor kucing yang dinamakan dengan nama-nama karakter Pokemon.

Sebelum mengakhiri perbualan, saya bertanya apakah pesanannya kepada belia di luar sana? Ini responsnya:

“Semasa saya bersekolah agama di Johor, seorang ustazah menjangkakan, ketika itu, saya akan menjadi penagih dadah dalam masa lima tahun. Saya tidak berkecil hati kerana pada waktu itu, saya memang nakal dan sering ponteng sekolah.

“Saya banyak menghabiskan masa di kafe siber. Menjelang hujung minggu, kafe siber di kawasan perumahan akan buat promosi – RM10 untuk 10 jam. Jadi saya akan membohongi ibu memberitahu saya bermalam di rumah jiran. Jiran saya pula memberitahu ibunya yang dia tidur di rumah saya.

“Sedangkan kami sama-sama menghabiskan waktu semalaman di kafe siber. Begitupun, minat saya terhadap membaca masih kuat. Saya masih ingat, minat saya membaca buku tentang ketenteraan telah mendorong keinginan untuk memasuki MTD. Kelayakan akademik, kesihatan dan kecergasan amat saya perlukan ketika itu bagi merealisasikan cita-cita tersebut.

“Alhamdulillah saya berjaya. Di MTD juga saya mula aktif dalam debat. Jadi pesanan saya mudah; Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan. Ia kedengaran ringkas tetapi kalau didalami, isinya dapat mengubah banyak perkara,” Syed Saddiq mengingatkan.

TINGGALKAN RESPONS

Sila masukkan komen!
Masukkan nama anda di sini