SENI itu bukan medan persaingan. Tiada perlumbaan beradu kehebatan. Tujuan penggiat seni sejati adalah menawan perasaan, menyentuh inti jantung dan membekas dalam kehidupan manusia. Seni yang disampaikan secara semula jadi akan melahirkan kejujuran dalam karya. Bagaikan ada roh yang ditiup dalam karya tersebut.

Kerana itu kita dapat merasai kehidupan setiap kali mendengar karya-karya Tulus. Pejuang muzik Indonesia berusia 31 tahun itu mempunyai magis yang mampu menyihir ramai orang. Mereka yang pernah mendengar lagu-lagu Tulus mengakui terbuai, terhibur, terguris dan tersenyum dengan melodi ciptaan anak bongsu daripada tiga adik-beradik itu.

“Tujuan saya bermuzik adalah untuk menyuarakan apa yang ingin saya suarakan. Saya berharap muzik saya dapat mewakili perasaan orang lain. Semakin ramai yang merasai karya saya, itu bagaikan kejayaan besar.

“Saya dikurniakan bakat untuk menulis dan menyanyi. Bakat itu tidak hanya bermanfaat untuk saya, malah juga untuk orang lain,” Tulus membuka kata ketika ditemui Pepatung.

Seperti karyanya, demikianlah personaliti Tulus. Berterus-terang, menutur kata sebutir-sebutir. Berhati-hati dalam berucap dan hanya berkongsi jawapan berisi penting. Tidak melewah, ringkas tetapi padat ucapannya.

FOTO: TAUFIQ NADZRI (@taufiqnadzri)

Bagaikan berbicara dengan seorang pemikir belia. Begitulah pengalaman tepat bagi menggambarkan pertemuan bersama Muhammad Tulus Rusydi. Anak kelahiran Bukit Tinggi, Sumatera Barat, Indonesia itu membawakan angin damai ke Malaysia. Menerusi karya daripada ketiga-tiga albumnya, Tulus mengajak pendengar menelusuri hidup ditemani kermerduan suaranya sebagai tukang cerita.

Pamit (2016) misalnya, merobek hati mereka yang sedang berdepan perpisahan. Tidak mustahil ada yang menitiskan air mata saat melayani perasaan ditemani lagu ini. Cahaya (2016) karya bersifat romantik yang memberi ketenangan dan menghidupkan harapan dan kepercayaan dalam perhubungan. Baru (2014) meniupkan semangat kepada yang bangkit daripada kesilapan dan menjadi individu lebih baik.

Biarpun identiti Tulus secara fizikalnya menggambarkan seorang lelaki yang nyaman berpakaian berona senada dan polos. Karyanya begitu kontra. Tulus mempersembahkan spektrum dalam muziknya.

FOTO: TAUFIQ NADRI (@taufiqnadzri)

Beliau membuktikan lagu bertema cinta boleh dipersembahkan dalam kata-kata tidak klise. Tulus juga membuktikan pengkarya muzik jujur sepertinya mampu menempatkan diri dalam pasaran arus perdana. Mencipta fenomena dan mengangkat kualiti muzik Nusantara.

“Idea setiap karya itu datang dari apa yang saya lihat, dengar dan rasai. Apa yang saya lihat bisa sahaja di sekitar kehidupan sendiri atau orang lain. Apa yang saya dengar juga bisa sahaja yang keluar dari mulut sendiri atau cerita orang. Dan yang saya rasai itu semestinya datang dari diri sendiri.

“Lagu yang saya tulis adalah respons terhadap kehidupan. Bukan melingkungi saya semata-mata. Ia terkait teman-teman, keluarga; secara amnya semua yang terjadi di sekeliling.

“Berbeza dengan arrangement. Bahagian itu cenderung terhadap imaginasi yang boleh berlayar ke mana sahaja,” lulusan sarjana kejuruteraan itu memperinci tentang prosesnya berkarya.

Bermula secara serius sebagai pemuzik dan penyanyi sekitar enam tahun lalu, pencapaian Tulus dalam tempoh sesingkat itu boleh dikategorikan luar biasa. Berbekalkan bakat semula jadi, minat yang ditahan sejak usia 8 tahun, tanpa latar belakang ilmu muzik, Tulus mampu meledakkan namanya sebaris nama besar dalam industri muzik Indonesia.

“Saya mahu bermuzik senatural mungkin. Apapun yang saya kerjakan tidak boleh dalam keterpaksaan. Seni itu tidak terhasil dengan paksaan.

FOTO: TAUFIQ NADZRI (@taufiqnadzri)

“Berkarya itu tanggungjawab besar. Andaikan berkarya seperti kita berbicara. Kita bertanggungjawab dengan setiap kata-kita yang diucapkan. Berkarya juga seperti itu,” Tulus menjelaskan prinsipnya.

Memukau lebih 1,400 penonton yang menghadiri konsert perdananya di Malaysia pada 18 September lalu. Seisi Istana Budaya terbuai dengan katalog susunan Tulus. Terasa sekejap tempoh dua jam beliau menyampaikan 15 buah lagu. Tambah istimewa, penyanyi Malaysia yang paling dikagumi Tulus, Datuk Siti Nurhaliza turut hadir sebagai penonton.

“Saya mengucapkan terima kasih kerana apresiasi yang diberikan terhadap karya muzik saya. Semoga lagu-lagu saya dapat menjadi sebahagian daripada hari-hari kalian di Malaysia. Doakan agar saya terus diberi keizinan untuk berkarya,” begitu harapan Tulus menutup perbualan.

TINGGALKAN RESPONS

Sila masukkan komen!
Masukkan nama anda di sini