GELARAN Puteri Reformasi dikalungkan kepada wanita ini pada usianya 18 tahun. Kobar semangatnya memperjuangkan keadilan ke atas bapanya, Datuk Seri Anwar Ibrahim (DSAI) ketika itu menjadi antara fokus bual politik yang hangat.

Selepas 19 tahun bergerak aktif dalam politik, Nurul Izzah Anwar, 37, merentasi transformasi kematangan kepimpinan yang luar biasa.

Meraih kepercayaan rakyat sebagai Ahli Parlimen Lembah Pantai untuk dua penggal berturut-turut, ibu kepada dua cahaya mata ini menjadi inspirasi kepada ramai wanita Malaysia.

Sejak dua tahun lalu juga, Nurul Izzah memangku status ibu tunggal. Tidak banyak yang dikongsi kepada ramai tentang cerita perpisahannya dengan bekas suami, Raja Ahmad Shahrir Iskandar Raja Salim.

Membuka mulutnya kepada Pepatung, Nurul Izzah melahirkan rasa syukurnya terhadap dokongan keluarga kepadanya dalam menumpukan tanggungjawab terhadap dua cahaya matanya, Raja Nur Safiyah, 10, dan Raja Ahmad Harith, 8.

“Safiyah dan Harith adalah jantung hati saya. Mereka penguat semangat saya. InsyaAllah, selagi hayat dikandung badan, akan saya usahakan agar mereka menerima peluang pendidikan, didikan agama dan akhlak yang terbaik.

“Sebagai seorang ibu, kita harus kadangkala menjadi teman baik, pemimpin, pendengar setia mereka dan juga teman permainan, misalnya bermain bola sepak bersama Harith bila ada waktu terluang.

“Pada saya, sehebat mana kita sekalipun, anak-anak adalah permata yang harus kita jaga, tetapi mengimbangi perlindungan dengan kesediaan untuk mandiri mendepani cabaran hidup yang pelbagai kelak,” ujarnya membuka bicara.

Nurul Izzah mengakui bahawa lebih ramai wanita di luar sana yang berdepan cabaran lebih perit berbanding dirinya, terutama ibu-ibu tunggal yang membesarkan anak-anak tanpa figura suami dalam institusi kekeluargaan.

Kepetahan berkata-kata Nurul Izzah saling tak tumpah seperti bapanya. Manis berbaju kurung dan bertudung bawal, Nurul Izzah selesa dengan imej kemelayuan sederhana sebegitu.

FOTO: @pinography | TEKS: @alif_ashburn | VIDEO: @azreenzeen | GRAFIK: @sutramaya | SOLEKAN: @facekraft | PAKAIAN: @sethandluna_studio / @mode.miroljonit / @shawlpublika / @blancheur_co | TUDUNG: @bawalexclusive / @naelofar | KASUT: @pedroshoes_official

Sebagai anak sulung DSAI, yang dipanggil papa, sejak kecil Nurul Izzah diasuh dengan pengutamaan terhadap identiti bertunjangkan budaya. Kemajuan baginya, tidak seharusnya menjadi pemecah keunikan dan jati diri bagi memperkukuhkan identiti.

“Kenapa tudung bawal? Kerana ia memudahkan pergerakan saya sebagai seorang aktivis politik,” ringkas rasional Nurul Izzah terhadap kecenderungan pemakaian hariannya.

Sambil berbual-bual tentang hal-hal santai, Nurul Izzah beberapa kali menghentikan jurusolek, meminta kepastian solekan bagaimana yang dioles pada wajahnya.

Jika selama ini, beliau hanya mengoles krim pelindung matahari, pemerah pipi dan maskara untuk penampilan harian, sempena sesi fotografi kali ini, beliau membenarkan jurusolek ‘melukis’ dan ‘mewarna’ wajahnya.

Biarpun dalam solekan yang sedikit berbeza daripada kebiasaan, kelembutan wajahnya masih menyerlah. Ketegasan karakternya juga tetap terpancar dari setiap butir kata.

Diusik pertanyaan tentang lelaki dan jodoh, Nurul Izzah tenang menyimpulkan bahawa tenaga dan keringatnya kini ditumpukan sepenuhnya terhadap perjuangan keadilan rakyat, pembebasan ayahandanya selaku tahanan politik serta memperkukuh organisasi parti. Waktu lapangnya pula diperuntukkan untuk anak-anaknya.

“InsyaAllah biarlah papa menjadi pemutus hasrat nanti sepulangnya beliau ke pangkuan keluarga pada Jun 2018,” demikian harapan yang diidamkan Nurul Izzah.

Peralihan ambisi

Bermulanya langkah politik Nurul Izzah pada 1998, tahun ketika tercetusnya gerakan reformasi. Momen itu juga menjadi pelancar semangat beliau untuk tidak hanya memperjuangkan keadilan ke atas bapanya, malah tekad untuk mencabar kepimpinan sedia ada yang bergelumang dengan rasuah dan salah guna kuasa.

Krisis kewangan yang melanda negara pada waktu itu turut membentuk pemikiran Nurul Izzah terhadap melaksanakan reformasi agar institusi dalam negara ini mampu untuk mempunyai timbang tara dalam melindungi kebajikan dan hak rakyat.

“Apa yang diperlakukan terhadap papa ketika saya berumur 18 tahun telah mengubah haluan masa depan saya. Perancangan asal untuk menjadi jurutera berubah kepada aktivis politik sepenuh masa.

“Begitupun, saya berharap apapun landasan tugasan yang saya pilih mampu memberi peluang untuk saya berbakti terhadap negara yang dicintai,” luah Nurul izzah yang memiliki Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik daripada Universiti Tenaga Nasional dan Ijazah Sarjana Hubungan Antarabangsa daripada Universiti Johns Hopkins.

Kronologi perjuangan Nurul Izzah tidak kurang hebatnya. Hampir dua dekad menuntut keadilan dan menjadi suara kepada rakyat yang mahukan pembaharuan pemerintahan negara, Nurul Izzah mendaki tangga demi tangga kejayaan. Sedikit memakan masa, namun kemuncaknya diharapkan membungakan bahagia.

Namanya sendiri pernah disebut-sebut sebagai calon Perdana Menteri Malaysia wanita yang pertama. Bagaimanapun, bukan itu yang menjadi sasaran kariernya.

Selaku insan yang mampu berbakti, fokusnya adalah untuk menyaksikan kebangkitan Malaysia yang lebih baik, dengan ruang demokrasi yang memberi pilihan kepada rakyat untuk mengetengahkan harapan, aspirasi dan iltizam mereka.

Baginya, siapapun yang diamanahkan mengisi posisi Perdana Menteri, biarlah Malaysia diterajui pemimpin yang adil, saksama, prihatin dan amanah.

Tambah Nurul Izzah, polarisasi di Malaysia sudah melarat. Pendekatan politik yang diguna pakai sejak sekian lama kian menghakis kesepakatan masyarakat berbilang kaum di Malaysia. Realitinya, untuk menyatukan hati penduduk di negara ini amat mudah.

Beliau memahami terdapat tentangan dari segi ideologi bersifat liberal, moden serta perjuangan terhadap mempertahankan nilai konvensional. Justeru, agenda yang diketengahkan lebih kepada memujuk, dengan meletakkan usaha mencantumkan keharmonian rakyat di senarai teratas.

“Kita perlu merujuk kembali kepada Piagam Madinah. Islam itu sendiri tidak pernah memberikan justifikasi terhadap perjuangan berlandaskan kaum. Kita perlu melahirkan masyarakat yang saling bertoleransi. Penduduk beragama Islam juga mesti menghormati perlembagaan persekutuan.

“Demikian juga mereka yang beragama selain Islam, sewajarnya diberi perlindungan dan keistimewaan setara. Kelemahan perjuangan terdahulu adalah apabila kita terlalu menumpukan terhadap memenangi jiwa sesebuah bangsa, dengan mengabaikan segelintir bangsa.

“Kesannya amat terasa pada masa kini. Belum terlewat untuk kita memperbaiki pemikiran dan perpecahan ideologi yang meruncing ini,” lancar Nurul Izzah menyusun kata.

Reformasi

Untuk menggerakkan perubahan, kepercayaan majoriti rakyat terlebih dahulu perlu diraih. Bersediakah rakyat Malaysia dengan perubahan? Sanggupkah rakyat Malaysia melepaskan pemerintahan kepimpinan yang telah menerajui negara lebih separuh abad?

Masyarakat sudah terbiasa dengan tampuk pemerintahan yang memonopoli sejak kemerdekaan negara dikecapi. Bagaimanapun, kebelakangan ini, masyarakat khususnya generasi muda dilihat lebih lantang mengkritik tindak-tanduk dan kenyataan-kenyataan jemaah menteri.

Kepekaan generasi muda membanding beza tahap sosiekonomi semasa negara dengan negara serantau turut menerbitkan rantaian desakan penjelasan tentang kestabilan negara secara menyeluruh.

Kegusaran yang tercetus kini pernah menjadi fokus dalam Agenda Ekonomi Malaysia (AEM) yang diperkenalkan PKR sekitar 2007. Menurut Nurul Izzah, bapanya pernah menyatakan betapa hebatnya Malaysia suatu ketika dahulu sehinggakan kedudukan kita setaraf dengan Korea Selatan dan Taiwan.

Malaysia tidak seharusnya dibandingkan dengan Vietnam, Myanmar atau Laos, misalnya. Ekonomi dan kebijakan rakyat negara ini adalah lebih berdaya maju berbanding negara-negara jiran.

Namun apabila negara gagal menangani pelbagai cabaran, negara-negara yang dahulunya kerdil di mata kita, mula memberi saingan dari segi kepakaran tenaga kerja, pelaburan asing dan nilai matawang.

“Kita kehilangan peluang untuk melaksanakan AEM pada 2007. Kegagalan pelaksanaan itu berkait rapat dengan salah faham masyarakat terhadap erti reformasi.

“Reformasi tidak sekadar mengguna pakai model sosioekonomi dan pendidikan luar negara. Ia bertujuan untuk pengukuhan ekonomi, mengembangkan bakat, sekali gus membolehkan kita terus mengorak langkah jauh ke depan.

“Sistem pendidikan misalnya, pernah menjadi kebanggaan kita. Namun, kekerapan perubahan sistem yang disesuaikan mengikut cita rasa menteri, membuatkan kita semakin ketinggalan dengan negara serantau,” demikian pendapat Nurul Izzah.

TINGGALKAN RESPONS

Sila masukkan komen!
Masukkan nama anda di sini