PERSEKITARAN fotografi amat asing kepada Thanabalan Nadarajah (N. Thanabalan). Bermula dengan solekan, yang sesekali disulami pertanyaan fungsi alat-alat solek yang dioles pada wajahnya.

FOTO: PINOGRAPHY | TEKS: ALIF ABU BAKAR | GRAFIK: OMAR BENJAMIN FAHMY | SOLEKAN: ARY MUZAMER | PENATA GAYA: KARL SHAFEK IBRAHIM | PAKAIAN: PUMA / UNIQLO / NEONATE CLOTHING

Itu kali pertama sepanjang 22 tahun hayatnya, bibir disapu pelembap dan wajah ditekap-tekap span bedak. Bahkan dia membenarkan jambang identitinya dinipiskan jurusolek Ary Muzamer.

Datang ke studio Pinography yang terletak di Batu Tiga, Shah Alam, Selangor bertemankan seorang sahabat. Ringkas berjersi dan berseluar jean, penampilan Thanabalan tiada istimewanya.

Ditanya di mana lokasi kebiasaan membeli-belah? Jawapannya selamba: “Seumur hidup saya tak pernah shopping! Beli baju ke apa ke memang tak pernah. Semuanya mak saya yang beli. Pakaian saya pun tak ada yang mencecah RM50.”

Prinsip kesederhanaan Thanabalan melingkungi hampir seluruh keputusan dalam hidupnya. Kerjayanya sebagai pemain bola sepak juga dirancang berdasarkan logik, memudah dan memanfaatkan diri serta keluarga.

Misi atlet seusianya yang memburu slot dalam kelab-kelab bola sepak gergasi bukan impiannya. Thanabalan tidak memasang harapan menyarung jersi kelab-kelab ternama.

Memadai sebuah kelab bola sepak yang memberinya peluang beraksi selama 90 minit di atas padang bagi mengasah kemahiran dan menimba pengalaman.

“Tiada gunanya menyertai kelab gergasi jika saya sekadar duduk di bangku simpanan.” – N. Thanabalan

Tandukan emas Thanabalan yang mengecewakan Indonesia pada perlawanan separuh akhir bola sepak Sukan SEA ke-29 di Stadium Shah Alam yang lalu menjadi pelancar populariti anak Negeri Sembilan ini.

Karier bola sepaknya bermula pada usia 10 tahun ketika bersekolah di Sekolah Kebangsaan Seremban Jaya. Kecemerlangan aksi Thanabalan di atas padang telah menyenaraikannya dalam skuad kebangsaan bawah 12 tahun.

“Bapa saya memang galakkan saya bermain bola sepak sejak kecil. Dia juga yang membelikan kasut but pertama berjenama Mizuno ketika saya di sekolah rendah.

“Kasut but itu saya pakai selama tiga tahun termasuklah ketika beraksi di Jepun. Daripada elok sehinggalah koyak, dijahit dan dipakai semula. Begitu besar jasa kasut but itu kepada saya,” imbas Thanabalan yang merupakan peminat kelab Manchester United.

Dia terus bermain untuk pasukan negara sepanjang menuntut di Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (dahulu dikenali sebagai Sekolah Sukan Bandar Penawar), Kota Tinggi, Johor.

Tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Thanabalan memutuskan untuk tinggal di rumah bagi menjaga bapanya yang lumpuh akibat kemalangan jalan raya.

Perancangan untuk menyambung pengajian dimalapkan. Selaku anak sulung daripada tiga adik-beradik, tanggungjawab keluarga terletak di bahu Thanabalan.

Mujur dia ditawarkan kontrak menyertai kelab bola sepak Negeri Sembilan pada 2013. Sejak itu, bola sepak menjadi sumber pendapatan bagi membiayai perbelanjaan Thanabalan sekeluarga.

Adik lelakinya, N. Kheeteeswaran, 19, juga pernah mengikuti jejak Thanabalan apabila tersenarai untuk skuad kebangsaan bawah 14 tahun. Bagaimanapun, tawaran memasuki sekolah sukan ditolak adiknya yang memilih untuk tinggal bersama ibu bapanya.

“Adik lelaki saya yang banyak berkorban masa menjaga bapa di rumah. Manakala adik perempuan yang bongsu masih bersekolah di tingkatan 1. Dia juga aktif dengan olahraga, cuma sekarang saya minta dia tumpukan perhatian terhadap akademik,” ujar Thanabalan yang turut meminati sukan badminton dan berbasikal.

Sejak dipinjamkan kepada kelab bola sepak Felcra (Felcra FC), Thanabalan akan berulang-alik dari Seremban ke Kuala Lumpur untuk sesi latihan.

Sebuah kereta Proton Iswara lama menjadi pengangkutan setianya setiap hari. Kenderaan yang penting dan bermakna kepadanya. Begitupun ia masih belum mampu untuk membawa bapanya berjalan jauh.

“Kereta saya tak selesa untuk dinaiki bapa saya. Dia memang teringin berjalan-jalan. Kadang-kadang saya pinjam kereta bapa saudara dan adik saya akan bawa bapa menonton perlawanan berhampiran sama ada di Seremban atau Kuala Lumpur,” sambung Thanabalan.

Meletakkan sasaran untuk terus bermain bola sepak selagi berupaya, Thanabalan juga merancang untuk menjadi jurulatih atau menyertai bidang perniagaan kelak.

 

TINGGALKAN RESPONS

Sila masukkan komen!
Masukkan nama anda di sini