BEGITU intim mereka di hati masyarakat Malaysia. Harum pesona merentasi bangsa dan usia. Sekecil-kecil kanak-kanak sehinggalah warga tua, majoriti mengenali tiga figura ini.

Bukan artis mahupun ahli politik, namun kekerapan muncul di kaca televisyen (TV) dan mencipta gimik luar biasa telah mengkatifkan radar glamor mereka.

Sebahagian masyarakat pernah mencemuh, membenci dan meluat dengan taktik pemasaran ‘kekampungan’ yang diketengahkan trio usahawan ini di media arus perdana.

Namun bermodalkan promosi dan slogan menjengkelkan itulah yang memutarkan minat masyarakat kepada mereka. Pengikut dan peminat ketiga-tiganya bertambah dari hari ke hari. Rakyat Malaysia mula menyenangi pendekatan kreatif mereka yang sentiasa berjaya mencetuskan fenomena.

Menggabungkan tiga individu ini bagai bulan jatuh ke riba. Maka apabila permohonan Pepatung dipersetujui, persiapan fotografi dan temu bual dilaksana rapi bagi memastikan segalanya berjalan lancar.

3M4A7217c.jpg-c
TEKS: ALIF ABU BAKAR () | FOTO: SHAKER HANAFI () |PEMBANTU JURUGAMBAR: ANIS AMINANA R () | PENATAAN CAHAYA: SLIP STUDIO () | GRAFIK: OMAR BENJAMIN FAHMY () | SOLEKAN DAN DANDANAN: ARY MUZAMER () & CHIKA () | PAKAIAN DATUK SERI VIDA: DOKOH () & PINOPANDA () | PAKAIAN DATUK ALIFF SYUKRI: ALEGORE BY AMALDEA (), NEONATE CLOTHING (g) & KOLEKSI PERIBADI ALIFF SYUKRI | PAKAIAN RITA DATUK SOSILAWATI: DOKOH () & POLKA REPUBLIC () | LOKASI: WOLO BUKIT BINTANG ()

Pertemuan ditetapkan di Wolo, Bukit Bintang, sebuah hotel butik mempesona terletak di segi tiga emas Kuala Lumpur. Rita Datuk Sosilawati (Rita) menjadi jemputan pertama tiba diikuti Datuk Seri Vida (Datuk Vida) dan Datuk Aliff Syukri (Aliff Syukri). Ketiga-tiganya dibawa naik ke penthouse di aras teratas hotel tersebut.

Pada hari yang sama, Datuk Vida mempunyai program lain di sebelah petang, maka sesi fotografi dan temu bual perlu diselesaikan dalam tempoh singkat. Begitu juga Aliff Syukri yang sedang sibuk membuat persiapan untuk terbang ke Mekah bagi menunaikan umrah pada hari berikutnya.

Taikun01

Saya pernah menemubual Rita ketika bekerja bersama sebuah akhbar tempatan. Sikap merendah diri dan personaliti menyenangkan masih kekal dipamerkan wanita berjiwa waja ini. Tidak terkurang sedikitpun senyuman dan tawa mesra yang sering disulami dalam perbualan.

Pengalaman bertemu mata dengan Datuk Vida pula berbeza. Beliau hadir dengan wajah serius sehingga menerbitkan gugup kepada diri. Namun selepas berborak rancak, barulah karakter bersahajanya keluar sedikit demi sedikit. Dekah tawanya semakin galak menggeletek semua di situ. Sebagaimana penonton melihatnya di kaca TV, begitulah beliau di luar, selesa menjadi diri sebenar.

Aliff Syukri saya kategorikan sebagai istimewa kerana sejujurnya, beliau merupakan idola peribadi dalam dunia keusahawanan. Perjumpaan pertama tersebut benar-benar mencemaskan perasaan. Bagaimanapun segala gementar terhapus begitu sahaja selepas melayan telatah lucu beliau yang usianya hanya setahun menjangkaui umur saya.

Menghimpunkan tiga profil mega ini saya anggap sebagai pencapaian terbaik Pepatung selaku portal kecil yang masih membina tapak dalam bidang media online tempatan. Memilih kandungan temu bual lebih menjurus terhadap kepimpinan dalam perniagaan berbanding kisah peribadi, Pepatung berharap agar semua pembaca dapat menjadikan ia sebagai rujukan inspirasi dalam apa jua perkara yang anda kerjakan.

Kami persembahkan kepada anda, Wajah Pepatung edisi Februari; Datuk Seri Vida, Datuk Aliff Syukri dan Rita Datuk Sosilawati. Kisah mereka kami pecahkan bagi memudahkan pembacaan anda. Selamat membaca dan semoga ia memberikan manfaat kepada semua pembaca Pepatung.

DOMINASI HATRIK DATUK SERI VIDA

KALAU ada undian orang paling popular di Malaysia pada masa kini, barangkali Datuk Seri Vida akan menang mudah. Sana sini wajahnya terpampang; TV, surat khabar mahupun internet. Kekerapan menaja program-program hiburan tempatan berskala besar telah melonjakkan wanita berusia 44 tahun ini seperti seorang selebriti.

Taikun04

Sering berpenampilan glamor dalam busana mengerlip lengkap bermahkota di atas kepala, Datuk Vida atau nama sebenarnya Datuk Seri Dr. Hasmiza Othman merupakan ketua pegawai eksekutif Vida Beauty Sdn. Bhd. dan pengasas kepada beberapa produk kosmetik dan kesihatan popular seperti Qu Puteh dan Pamoga.

Mula meraih perhatian masyarakat selepas melaburkan RM3 juta sebagai penaja utama Anugerah Juara Lagu ke-29 (AJL29) tahun lalu, penangan Hasmiza kemudiannya bertiup kencang apabila muncul untuk kali kedua selaku penaja program Gegar Vaganza musim kedua (GV2) juga pada tahun 2015.

Dalam tempoh setahun, imej Hasmiza yang tidak digemari masyarakat pada awal kemunculannya sekitar 2014 berubah drastik. GV2 berjaya menyerlahkan personaliti sebenar Hasmiza yang disenangi ramai sehinggakan berjaya menghimpun kelompok peminat tersendiri.

Bersandarkan slogan Qu Puteh Qu Puteh Barulah Putih, Hasmiza sudah menang besar apabila gelombang Qu Puteh benar-benar melanda negara. Produknya disebut-sebut, malah pelaburan besar yang dibuat sebagai penaja ternyata memberikan pulangan memberangsangkan terhadap jualan dan penjenamaan produk-produk di bawah syarikatnya.

Sikap selamba dan aksi spontan yang ditonjolkan Hasmiza di kaca TV sebenarnya banyak membantu peningkatan namanya. Penonton melihat Hasmiza sebagai usahawan pintar yang tidak berpura-pura menjadi orang lain. Label orang tua gedik yang hinggap kepadanya langsung tidak dipeduli, malah Hasmiza semakin ligat meluaskan pengaruh Qu Puteh.

“Saya menjadi diri sendiri. Memang betul saya suka melaram berbaju bling bling, berangan menjadi puteri, suka tonton cerita kartun terutama filem Frozen.

“Bukan mahu jadi gedik tetapi saya ingin tunjukkan walaupun pada usia 40-an, saya masih energetik hanya dengan menggunakan produk Qu Puteh Million Cell. Persepsi bahawa individu berusia tidak boleh aktif seperti orang muda mesti dikikis kerana ia tidak benar.

“Apa salahnya laburkan sedikit wang untuk kepuasan diri terutama yang mampu menjana kesihatan, kecergasan dan meningkatkan paras aktif kita. Apabila kita kelihatan berketerampilan pada usia 40 ke atas, orang akan mengagumi kita sekali gus membuktikan betapa transformasi itu boleh direalisasikan,” ujar Hasmiza yang menetapkan segmen produk-produknya mengikut peringkat usia pengguna.

3M4A6660c.jpg-c

Produk Pamoga merupakan pencapaian sulung terbesar Hasmiza yang telah memungkinkan kejayaan produk lain untuk menyusul. Dahulu, Hasmiza mengibaratkan diri seperti seorang penjual ubat. Biarpun ketika itu namanya tidak popular, namun jualan yang diraih sangat lumayan.

Radio menjadi medium pengiklanan terawal dicuba beliau dan percubaan tersebut membuahkan hasil positif. Ekoran keberkesanan iklan radio, secara tidak langsung usahawan kosmetik lain menurut jejak langkahnya sehinggakan ruang untuknya menjaja produk menerusi medium tersebut tidak lagi dirasakan relevan. Maka Hasmiza beralih pula ke pengiklanan TV.

“Siapa kata pelaburan pertama di TV terus meletup? Berjuta duit saya habis untuk mempromosi produk di kaca TV tetapi semuanya gagal. Bayangkan pelaburan besar itu langsung tidak memberi sebarang pulangan dari segi jualan, kosong!

“Kerugian yang dialami membuatkan saya menangis dan berkeputusan untuk tumpukan kepada program berbentuk hiburan. Audiens hiburan lebih pelbagai dan kerana tidak mahu pisang berbuah dua kali, saya tetapkan syarat mengikut cara saya.

“Tajaan pertama untuk GV musim pertama kurang memberangsangkan kerana setiap episodnya dirakam dan hanya konsert akhir dipancarkan secara siaran langsung. Selepas kejayaan AJL29, saya terima impak luar biasa untuk GV2. Peluang untuk bercakap terus kepada penonton membuatkan komunikasi menjadi lebih interaktif dan mesra,” kongsi Hasmiza yang bakal muncul dengan produk IQ pada tahun ini.

Ketakutan terbesar

Memasuki tahun 2016 dengan taktik pemasaran berbeza selepas perjanjian di antara syarikatnya dan Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) termeterai sebagai penaja utama pasukan Kelantan untuk musim baharu, Hasmiza sekali lagi mencipta kontroversi berikutan senarai permintaannya yang dianggap pelik.

Mengecat Stadium Sultan Muhammad IV kepada warna merah jambu, mengubah nama pasukan menjadi Pamoga Qu Puteh The Red Warriors dan perancangan membina sebuah hotel bersebelahan stadium tersebut, percaturan pantas Hasmiza benar-benar mengejutkan ramai.

Selepas mendominasi segmen pemasaran hiburan, Hasmiza kini dalam perjalanannya untuk mengusai promosi dalam arena sukan. AJL29, GV2 dan terkini bersama pasukan bola sepak Kelantan, Hasmiza telah mencipta hatrik dari segi penjenamaan yang bakal memberi impak luar biasa terhadap jualan produk-produknya.

“Jika diizinkan Allah, memang kita boleh berada di puncak. Namun kita tak tahu berapa lama Dia tetapkan untuk kita terus berdiri di atas? Itulah ketakutan terbesar saya. Persediaan apabila kita jatuh dan bagaimana hendak bangun semula?

“Setiap malam saya berdoa kepada Allah agar terus mengurniakan idea kepada saya. Sampai bila saya mahu terkejar-kejar dan mempromosikan produk dengan saya sendiri melangkah ke depan? Tiga tahun mungkin saya mampu tetapi selepas itu orang pun akan bosan.

“Saya berharap agar diberikan idea untuk saya tidak perlu lagi sibuk seperti sekarang tetapi dalam masa yang sama dapat menggandakan jualan.

3M4A7172-1.jpg-c

“Bagaimanapun apa yang saya lakukan sekarang inipun sebahagian daripada proses untuk mengukuhkan jenama produk dalam jangka panjang. Saya percaya kelak produk akan bercakap sendiri tanpa memerlukan promosi besar-besaran seperti sekarang,” Hasmiza bercerita penuh harapan.

Kebimbangan terhadap jangka hayat produk lokal juga meresahkan Hasmiza. Kebiasaannya produk kosmetik tempatan hanya bertahan selama tiga hingga lima tahun. Kitaran tersebut membimbangkannya memandangkan beliau mempunyai perancangan bagi membawa syarikatnya ke peringkat lebih tinggi dan menjadi sebuah legasi yang boleh diwarisi anak-anaknya kelak.

Persaingan

Selain kosmetik, Hasmiza juga telah membuka sebuah kedai barang kemas di Terengganu – Dato’ Seri Vida Gemstones & Jewelries dan berkemungkinan akan dilancarkan pada penghujung bulan ini.

Menjadikan Tun Dr. Mahathir Mohamed sebagai idola, ibu kepada dua cahaya mata ini menyifatkan perniagaan sebagai sebuah medan untuk saling menginspirasi. Persaingan akan menjadikan sesebuah perniagaan itu lebih aktif dan meriah. Ia turut mengalirkan idea kepada setiap peniaga bagi merangka strategi baharu.

“Cuba bandingkan di satu tempat terdapat seorang sahaja peniaga menjual barang A dan sebuah lagi tempat yang mempunyai ramai peniaga menjual barangan yang sama, tempat yang mana orang akan pergi? Sudah tentu orang akan ke tempat ramai peniaga kerana terdapat banyak pilihan.

“Begitulah konsep perniagaan. Persaingan sihat itu sangat penting dalam melancarkan perkembangan positif sesebuah jenama.

“Kepada para usahawan baharu pula, ingin saya berpesan apabila kita hasilkan sesuatu, jangan anggap kejayaan akan datang sekelip mata. Mungkin terdapat segelintir usahawan yang bertuah dapat bergelar jutawan pada usia muda tetapi apapun dugaan yang datang, kuatkan semangat dan jangan putus asa,” Hasmiza menyuntik kata perangsang.

EMPAYAR KILAT DATUK ALIFF SYUKRI

TUJUH tahun membina empayar. Bermula dari pasar tani sehingga kini berjaya membina wisma sendiri. Datuk Aliff Syukri Kamarzaman, 29, amat sinonim dengan slogan Terlak Laris. Malah masyarakat mesra memanggilnya Abang Terlajak Laris (ATL).

3M4A6921c.jpg-c

Terkenal dengan iklan-iklan TV yang kreatif dan mencuit hati, tahun 2016 bakal membuka lembaran baharu kepada perusahaan Aliff Syukri. Pengasas dan Pengarah Urusan D’Herbs Holdings (M) Sdn. Bhd. (D’Herbs) itu telah menyusun strategi pemasaran yang ampuh bagi meluaskan penguasaan jenamanya.

Indonesia bakal menjadi pasaran terbaharu D’Herbs tahun ini selepas berjaya memasuki Singapura, Brunei dan Thailand. Sebagai sebuah negara berpopulasi tinggi, Indonesia diramalkan bakal menjadi pasaran produktif kepada D’Herbs berikutan kuasa pembelinya yang tinggi, mengatasi Malaysia.

Selain perancangan untuk menjelajah dari felda ke felda di seluruh Malaysia, Aliff Syukri juga akan memberi lebih penekanan terhadap medium pemasaran dalam talian. Kebergantungan masyarakat masa kini terhadap internet telah mencetuskan persekitaran perniagaan moden yang perlu diikuti setiap usahawan dalam memastikan relevansi. D’herbs tidak terkecuali!

Kritikan

Menampilkan karakter menjengkelkan dengan kegedikan suara dalam setiap iklan melibatkan produknya, Aliff Syukri pernah menjadi bahan jenaka masyarakat. Namun dari segi pemikiran seorang usahawan, pendekatan pilihannya itu hanyalah satu gimik dan beliau sebenarnya amat berterima kasih kepada mereka yang gemar merendah-rendahkan dirinya kerana tanpa mereka, D’Herbs mungkin tidak berdiri teguh seperti hari ini.

Cemuhan orang dianggap seperti makanan harian kepadanya. Sudah lali dengan kritikan, Aliff Syukri mengambil setiap tohmahan itu sebagai satu maklum balas positif. Kata-kata cacian yang dilemparkan membantu mematangkan diri. Prinsipnya juga mudah, selagi masyarakat bercakap tentang dirinya sama ada baik ataupun buruk, secara tidak langsung produknya akan mendapat perhatian.

Biarpun mengakui tidak tahan dengan kejian masyarakat yang turut mengheret keluarganya sehingga beliau pernah menangis di penjuru katil suatu ketika dahulu, beliau berpesan kepada diri agar untuk terus kuat. Alhamdulillah selepas tiga tahun bertahan, masyarakat mula menerima imej yang dibawa Aliff Syukri.

“Meyakinkan pengguna untuk membeli produk Malaysia berbanding produk antarabangsa menuntut pendekatan berbeza. Sebagai orang biasa dan bukannya golongan artis, keputusan saya dan rakan pesaing lain untuk turun padang mempromosikan produk sendiri memerlukan pengorbanan yang besar.

“Walaupun kelihatan mudah dan lucu tetapi kadang-kadang ia seolah-olah mencalarkan maruah saya. Namun itulah harga yang perlu dibayar untuk mengecap kejayaan yang anda lihat sekarang. Memang ada pihak menganggap cara ini menjengkelkan tetapi kejengkelan itulah yang menyumbang kepada peningkatan penjenamaan.

“Saya membelanjakan RM1.8 juta sebulan untuk kos pengiklanan sahaja. Misi saya adalah untuk membawa produk-produk D’Herbs setaraf dengan produk berkelas antarabangsa. Jika Indonesia ada Mustika Ratu, maka tidak mustahil untuk D’Herbs terus maju dan menjadi jenama kebanggaan negara,” hurai Aliff Syukri.

Tidak gembira

Bergelumang dalam bidang keusahawanan sejak muda, ketika pemuda-pemudi di usianya masih mahu berseronok mengenal kehidupan, timbulkah kekesalan dalam dirinya kerana memilih untuk matang sebelum usia? Pertanyaan yang belum pernah diajukan kepadanya dan beliau memilih untuk berlaku jujur dalam merungkai jawapan.

3M4A6901c copy.jpg-c

“Saya akui tidak gembira dengan perjalanan kehidupan sekarang kerana saya tidak boleh lakukan perkara yang disukai.

“Kadang-kadang saya teringin menjadi seperti pemuda lain dan bukannya Aliff Syukri yang sibuk di pasar tani pada umur 23 tahun ataupun Aliff Syukri yang mula menjelajah ke seluruh Malaysia ketika berusia 25 tahun. Pencapaian tersebut telah membunuh nikmat gembira saya sebagai orang muda.

“Melepak waktu malam pun tidak pernah, apatah lagi berhibur di hujung minggu, semua itu tidak saya rasai. Namun mungkin inilah aturan kehidupan saya. Apa yang telah saya mulakan mesti diteruskan.

“Bohong jika saya tidak pernah mengimpikan untuk menikmati kehidupan normal orang muda, tetapi sebagai usahawan profesional, keinginan itu perlu diketepikan demi menggapai kejayaan,” cermat Aliff Syukri menutur kata.

Sebelum sibuk menguruskan empayar perusahaannya yang kian maju, Aliff Syukri masih mempunyai masa untuk bertemu neneknya dua kali sebulan, meluangkan masa bersama ibu dan kakak, malah bebas merancang percutian sesuka hati. Hal tersebut tidak dapat lagi dikecapi sekarang dan ia amat dirinduinya.

Hampir dua tahun beliau tidak bercuti. Sebagai pemilik kepada tiga spa, 45 kedai kosmetik seluruh Malaysia, lebih 200 hartanah dan pengasas jenama pakaian lelaki ATL termasuklah menjadi jurucakap bagi kesemua produknya, masa adalah aset yang paling kritikal buat Aliff Syukri.

“Saya juga rindu untuk bertemu orang yang benar-benar ikhlas dengan saya dan boleh menjadi sahabat setia. Begitu juga kerinduan terhadap kebebasan berjalan-jalan tanpa disapa orang awam yang meminta anda untuk menjerit slogan Terlajak Laris di khalayak ramai.

“Dahulu ia memang menyeronokkan, apabila orang mengenali anda dan minta bergambar. Namun kini saya mula letih dengan semua itu. Bukan tidak menghargai atau tidak suka, cuma saya perlu lebih selektif apabila melibatkan ruang peribadi.

“Kini bukan kekayaan yang saya kejar sebaliknya saya mahu mencapai kebahagiaan. Saya lebih mendambakan kasih sayang dan orang yang memahami saya seadanya,” luahnya jujur.

Digoda

Bergelar jutawan pada usia muda menjadikannya sasaran ramai pihak untuk menumpang kesenangan yang diraih. Mujur Aliff Syukri bijak membawa diri. Beliau tidak membenarkan sesiapa untuk cuba memperguna atau menjatuhkan kredibilitinya selaku usahawan disegani.

“Hampir lima tahun saya tidak membuat kawan baharu. Rakan-rakan sekarang semua yang dikenali sejak dulu. Kalau adapun hanyalah kenalan atas urusan bisnes. Hampir setiap hari saya terima panggilan dan mesej untuk berkenalan dan ada yang bertindak berani mengajak kahwin.

“Buat apa hendak melayan orang sebegitu yang hanya mendekati anda kerana harta? Saya anggap ia sebagai ujian,” Aliff Syukri berterus-terang.

3M4A7139c2.jpg-c

Masa yang terhad bersama keluarga diisi sehabis baik terutama keutamaan pendidikan tiga cahaya matanya. Kelas bahasa Mandarin, Inggeris, Arab, berkuda dan renang antara pengisian yang perlu diikuti anak-anak Aliff Syukri. Di sebelah malam pula, jika berkelapangan, beliau sendiri akan membimbing kelas mengaji seisi keluarga.

Menyasarkan untuk tidak lagi muncul ke hadapan bagi mempromosikan produk sebelum mencecah 40 tahun, Aliff Syukri telah merancang teliti haluan perusahaannya di masa akan datang. Anak-anak bakal menyambung legasinya dan meneruskan kegemilangan D’Herbs selaku antara pemimpin pasaran kosmetik tempatan.

Menyedari bahawa minat masyarakat pasti berkurang dari masa ke masa, perlahan-lahan beliau mengurangkan penampilan di kaca TV dan mengubah stail agar bersesuaian dengan kehendak semasa. Baju berkilat sudah diganti dengan sut segak. Jika dulu beliau sering terjerit-jerit bingit dalam iklan, kini pendekatannya diubah lebih profesional.

Respek pesaing

Meletakkan respek sebagai teras utama apabila melibatkan persaingan, Aliff Syukri tidak menyangkal bahawa Datuk Seri Vida dan Rita Datuk Sosilawati sebagai saingan niaganya. Namun antara mereka telah terbina satu ikatan persaudaraan dalam perniagaan untuk saling menghormati dan bersaing secara kompetitif dalam suasana menyenangkan.

Tidak timbul perasaan iri hati atau cemburu kerana masing-masing tampil dengan keaslian tersendiri. Meskipun terdapat produk hampir sama, tetapi pendekatan promosi dan pemasaran sangat berbeza bagi membolehkan identiti jenama mereka terpelihara.

“Terdapat kira-kira 31 juta rakyat Malaysia dan bukan semua orang akan membeli produk kita. Jadi berkongsi rezeki itu lebih menguntungkan. Tuhan maha adil dan kalau sudah tertulis rezeki kepunyaan kita, tidak akan ke mana.

Taikun02

“Untuk berjaya kita memerlukan komuniti pesaing yang positif. Saya bersyukur kerana dipertemukan dengan Datuk Vida yang saya anggap seperti kakak manakala Rita sendiri saya kenali sejak zaman sekolah lagi.

“Perasaan untuk bersaing itu memang wujud semula jadi dalam diri setiap usahawan. Cuma ia bukanlah hasrat untuk menandingi kekayaan ataupun kejayaan. Sebaliknya menggilap diri menjadi lebih baik berbanding semalam,” tegas Aliff Syukri.

Sebelum menutup perbualan, beliau berpesan: “Apapun cabang perniagaan yang kita ceburi, pastikan ia didasari minat. Di mana ada minat, di situ ada kejayaan. Pepatah pernah menyebut, hina besi kerana karat, hina manusia kerana hidup melarat.

“Maka sama-samalah kita mengubah diri mencipta kejayaan dan meraih rezeki yang halal. Saya percaya hanya dengan rezeki halal, hidup akan diberkati dan menjanjikan kebahagiaan berkekalan.”

MOMEN RITA DATUK SOSILAWATI

TRAGEDI yang menimpa Allahyarhamah Datuk Sosilawati Lawiya hampir enam tahun lalu telah merombak hala tuju syarikat peninggalannya, Nouvelle Beauty Centre Sdn. Bhd. secara total. Insiden meruntun jiwa itu memaksa anak sulung arwah, Erni Dekritawati Yuliana Buhari mengambil alih serta-merta.

3M4A6757c.jpg-c

Erni Dekritawati Yuliana atau mesra dengan nama Rita Sosilawati (Rita), pada usia 25 tahun ketika itu terpaksa melenyapkan segala angan-angan peribadi yang pernah dipasang. Menyambung legasi peninggalan ibunya menjadi amanah baharu, sama ada rela atau tidak, itu tanggungjawab yang perlu dilunaskan.

Lima tahun bergulir. Kini pada umur 30 tahun, Rita sudah mula mempamerkan taringnya. Memegang posisi sebagai Pengarah Urusan Nouvelles Visages (NV), perusahaan berusia 21 tahun yang diasaskan ibunya kembali menjadi perhatian masyarakat.

“Tidak terlintas langsung untuk mengambil alih perniagaan ibu saya. Ketika itu saya masih ingin bergembira, melepak dengan kawan-kawan, tonton wayang dan bila tiada duit minta pada ibu, segala perlakuan standard orang muda.

“Namun apabila sekelip mata dugaan menimpa, ia memaksa saya untuk mematangkan diri. Berubah secara drastik itu mustahil. Hanya berbekalkan pengalaman kita dapat mengasah kematangan. Sepanjang tempoh itu saya belajar dan sehingga kini masih belajar.

“Pengalaman merupakan guru utama yang tidak boleh dipelajari dalam buku. Saya perlu bijak membawa diri, kenal pasti baik dan buruk serta tegas dalam berkeputusan.

“Mungkin tidak ramai merasai apa yang saya lalui sekarang dan ini adalah takdir yang tertulis untuk saya. Hikmah itu ada di sebalik setiap ujian dan saya terima ini sebagai hikmah buat saya,” ibu kepada tiga cahaya mata ini membongkar kisah.

Membangunkan jenama baharu sememangnya tidak mudah. Bagaimanapun mengekalkan konsistensi jenama yang telah bertahan lama dalam pasaran jauh lebih sukar.

Demikianlah cabaran terbesar dialami Rita apabila masyarakat beranggapan bahawa produk NV sudah tidak lagi dipasarkan. Justeru mengembalikan prospek produk NV memerlukan perancangan yang perlu diperhalusi teliti tanpa ada sebarang kesilapan.

Maka selama lima tahun memegang tampuk kepimpinan NV, pada awalnya Rita memilih untuk memperlahankan promosi bagi memberi ruang untuk perangkaan penjenamaan semula dijalankan. Bermula dengan pengenalan penjenamaan semula pek produk diikuti logo dan nama sehinggalah promosi besar-besaran di kaca TV, percaturan Rita disukat tepat pada masanya.

“Lima tahun saya melakukan persediaan bagi memastikan penjenamaan semula NV berjaya. Proses ini memakan masa kerana saya tidak mahu tarikannya hanya bersifat sementara dan kemudiannya tenggelam. Saya mahu NV menjadi siulan untuk tempoh yang panjang,” jelas Rita yang merupakan anak pertama daripada enam adik-beradik.

Mengharapkan kegemilangan untuk 20 tahun berikutnya, Rita menyasarkan untuk NV kekal relevan dalam kalangan pengguna tempatan sekali gus membolehkan jenama tersebut mencapai usia 50 tahun di masa akan datang.

“Mempertahankan syarikat tidak mudah terutama melibatkan perniagaan berkaitan cita rasa pengguna. Sebagai pengusaha kosmetik, kita tidak boleh hasilkan produk merapu kerana pengguna sekarang semakin bijak, berbeza dengan pengguna 20 tahun dahulu. Pengguna kini boleh mengetahui faedah kandungan produk dengan melakukan carian di internet, jadi usahawan juga kena sama bijak,” tambah Rita.

Lari dari bayangan

Tidak dinafikan, nama Sosilawati sangat berpengaruh dalam industri kosmetik negara. Kredibilitinya disegani ramai usahawan tempatan meskipun berlainan bidang. Menggantikan posisi individu prolifik seumpama Sosilawati adalah cabaran besar terutama kepada anaknya.

3M4A6813c.jpg-c

Rita mengakui orang masih melihat NV sebagai jenama kepunyaan ibunya dan ia satu fakta yang tidak boleh diubah memandangkan ibunya merupakan pengasas bagi perusahaan tersebut.

Cuma apa yang dilakukan Rita sekarang adalah untuk memberitahu orang bahawa NV kini diterajui olehnya mengikut caranya yang tersendiri.

Membina kayakinan orang terhadap pemimpin muda sepertinya ketika itu sememangnya mencabar. Ramai mempertikaikan kemampuannya untuk menguruskan sebuah legasi yang telah terbina hampir dua dekad. Adakah dia bakal menjadi punca kepada keruntuhan NV atau membawa syarikat ke perkembangan lebih tinggi?

Persediaan rapi telah dilengkapkan ibunya sejak Rita di bangku sekolah rendah. Dia didedahkan kepada dunia perniagaan pada usia masih mentah. Membuka gerai jualan, mengira stok, menjadi operator, pengurus sehinggalah akhirnya dengan tiba-tiba dilantik sebagai pengarah urusan.

Pada dasarnya Rita telah bersedia, cuma pelantikan itu datang mengejut dalam suasana emosi yang kurang baik. Namun mengenangkan amanah dan tanggungjawab, dia membuang segala keraguan dan fokus untuk meneruskan perusahaan peninggalan ibunya.

“Sudah tentu ia memakan masa. Namun kini saya rasa saya dapat menyangkal kata-kata orang sebelum ini. Selama ini saya katakan kepada diri bahawa saya mampu dan boleh. Lima tahun cukup untuk saya bersedia sepenuhnya dari segi fizikal dan mental. Ini adalah momen saya,” bersemangat Rita melentur bicara.

Penjenamaan semula yang dilaksanakan adalah bertujuan untuk membentuk kelompok audiens muda baharu yang berusia lingkungan 20-an. Pengguna setia semasa NV adalah di sekitar umur 30 hingga 40 tahun. Misi Rita adalah merekrut pengguna setia baharu dalam kalangan orang muda agar mereka kekal untuk 20 tahun yang seterusnya.

“Sebab itu pendekatan NV kini lebih segar dan moden. Apabila saya memilih untuk menggunakan lagu (jingle) sebagai daya tarik, ia mula memberi impak positif terutama melibatkan audiens muda. Ia adalah cara yang tidak digunakan ibu kerana beliau tidak suka menyanyi.

“Pembaharuan kedua adalah dari segi medium promosi. Dahulu ibu saya lebih gemar mengiklankan produk dalam media cetak tetapi sekarang media online dan TV mempunyai pengaruh lebih besar.

“Saya juga terbuka untuk menerima pendapat dan idea daripada semua orang terutama staf-staf di pejabat. Pasaran sekarang lebih besar berbanding dahulu dan untuk berjaya anda kena menonjol. Jadi saya akan dengar apa sahaja cadangan sebelum saya membuat keputusan akhir,” tutur Rita.

Tahun ini NV bakal mengukuhkan pelan pemasarannya ke arah pasaran online termasuklah medium promosi. Lebih 60 peratus strategi pemasaran NV tahun ini tertumpu kepada online dengan terdapat perancangan untuk menaja sebuah lagi program TV yang belum didedahkan.

Taikun03

Indonesia dan Filipina pula bakal menjadi pasaran antarabangsa terbaharu NV bermula tahun ini. Ia merupakan satu langkah positif buat NV memandangkan kedua-dua buah negara tersebut dikategorikan sebagai pasaran besar yang sukar untuk ditembusi jenama kosmetik tempatan.

Sementara itu, ditanya apakah nilai ibunya yang dikekalkan dalam NV? Rita menderai tawa terlebih dahulu sebelum menyatakan persamaannya dengan ibu dalam bekerja adalah cara marah. Baik ibunya dahulu mahupun Rita, ketegasan masih diterapkan termasuklah pengurusan masa.

Sepertimana ibunya yang mengutamakan keluarga terlebih dahulu sebelum kerjaya, begitulah Rita. Setiap hari dia menguruskan suami dan anak-anaknya sebelum ke pejabat.

“Tugas utama saya masih sebagai seorang isteri dan ibu. Keluarga yang terurus akan memberikan ketenangan kita di pejabat,” tambah Rita yang menginginkan enam orang cahaya mata.

Saingan

Menyentuh perihal persaingan, Rita menganggap persaingan yang tinggi memberi makna bahawa sesebuah jenama itu berada dalam persaingan yang sihat. Ia merupakan elemen positif dalam perniagaan yang membolehkan setiap usahawan belajar antara satu sama lain.

Hubungan baik sesama rakan pesaing yang mahir dalam selok-belok industri yang diceburi sangat penting. Kebetulan lapangan keusahawanan yang disertai Rita terdiri daripada para usahawan yang suka berkongsi pengalaman. Tanpa dendam mahupun cemburu, mereka saling bertukar pengetahuan dan membakar semangat masing-masing untuk menghasilkan produk yang lebih baik.

Saingan produk luar negara terutama dari Korea bagaimanapun tidak menjejaskan tarikan terhadap produk tempatan. Kos pembuatan produk tempatan yang rendah tanpa melibatkan kos import/eksport membolehkan produk tempatan dijual pada harga lebih murah berbanding produk Korea.

“Pengguna dengan pendapatan isi rumah kira-kira RM3,000 mungkin akan lebih berhati-hati dalam berbelanja. Maka mereka selesa memilih produk tempatan yang harganya lebih murah tetapi mempunyai keberkesanan, faedah dan fungsi yang sama seperti produk antarabangsa,” begitu pendapat Rita.

KONGSI
Artikel sebelumnyaBenarkah jus detoks kuruskan badan? Anda silap!
Artikel seterusnyaPulau Mantanani khazanah terpencil Sabah
Memulakan kerjaya penulisan sebagai wartawan di sebuah akhbar berbahasa Melayu tempatan dan berkhidmat selama empat tahun sebelum menyertai Pepatung sepenuh masa. Berpengalaman dalam penulisan rencana terutama berkenaan gaya hidup, profil, minat ramai, isu semasa, fesyen dan hiburan.

1 KOMENTAR

TINGGALKAN RESPONS