“Saya bukan penyanyi yang bagus.” – Wany Hasrita

wany hasrita pepatung

Menjadi penyanyi profesional sejak 2016, tahun ini menjadi tahun keempat Wany Hasrita menempa nama sebagai anak seni. Edisi kali ini, Pepatung berhajat untuk melayari retrospektif karier Wany Hasrita. Mengenang saatnya menguntum, lantas mekar mewangi seharum namanya di persada seni negara.

FOTO: PINOGRAPHY (@PINOGRAPHY) | VIDEO: NABIL HUSSIN (@NABILHUSSIN) | TEKS: ISKANDAR AL-HAZIQ (@ISKANDARALHAZIQ) | PEMBANTU FOTOGRAFI: GIGY SAMSUDIN (@ITSME_GIGY) GRAFIK: OMAR BENJAMIN FAHMY (@SUTRAMAYA) | PAKAIAN: WANPA (@WANPAOFFICIAL) | HIJAB: EMPAT BUNGA (@EMPATBUNGA) | SOLEKAN: YNA SAKINAH (@YNASAKINAH) | PENATA GAYA: FARAH DINANA (@FARAHDINANA)

PETANG itu, Wany Hasrita hadir ke studio Pinography bersama beg jinjing yang sedikit terbuka. Saya sempat mengerling. Tertarik dengan sepaket makanan kucing yang terisi di dalam beg jinjing Wany.

Pantas saya bertanya Wany memang bawa makanan kucing ke mana-manakah? Wany mengakui dia amat menyukai kucing dan sering membawa makanan kucing bersama sebagai persediaan kalau terserempak kucing jalanan yang kelaparan.

Bertemu Wany buat kali pertama mengiyakan semua yang saya bayangkan tentangnya. Tutur yang sopan, lembut dan jujur. Barangkali keperibadian sebegitu yang membuatkan para peminat begitu menyayangi Wany.

“Saya bukan penyanyi yang bagus. Semasa syarikat rakaman menawarkan kontrak sebagai artis rakaman, saya sendiri sangsi dengan kemampuan diri. Menyanyi depan orang pun menggeletar, macam mana nak jadi penyanyi sepenuh masa?” Wany membuka cerita.

Keraguan itu bagaimanapun dimatikan. Wany berfikir masak-masak dan nekad menerima tawaran tersebut.

“Pada tahun tersebut, ibu saya diberhentikan kerja disebabkan pelaksanaan retrenchment dalam industri petroleum. Saya sedar sebagai anak tunggal, saya perlu membantu keluarga. Ternyata kesempitan itu membuka jalan dan pintu rezeki saya untuk berada dalam industri ini, ” sambung Wany.

Tiga Cabaran

Ketika ditanya mengenai ketakutan apabila mengorak langkah dalam bidang seni, Wany memberitahu: “Oh, banyak! Saya masuk dalam industri dengan zero knowledge.

“Tanpa kenalan dan tidak tahu bagaimana industri ini bekerja. Keluarga juga bukan orang seni, tentu banyak yang dibimbangkan. Tapi saya sentiasa ingin belajar dan pengalaman itu ternyata mematangkan.”

FOTO: PINOGRAPHY (@PINOGRAPHY) | VIDEO: NABIL HUSSIN (@NABILHUSSIN) | TEKS: ISKANDAR AL-HAZIQ (@ISKANDARALHAZIQ) | PEMBANTU FOTOGRAFI: GIGY SAMSUDIN (@ITSME_GIGY) GRAFIK: OMAR BENJAMIN FAHMY (@SUTRAMAYA) | PAKAIAN: WANPA (@WANPAOFFICIAL) | HIJAB: EMPAT BUNGA (@EMPATBUNGA) | SOLEKAN: YNA SAKINAH (@YNASAKINAH) | PENATA GAYA: FARAH DINANA (@FARAHDINANA)

Dia mengakui empat tahun yang dihadapi tidak sentiasa indah namun mengajarnya erti kehidupan. Dunia hiburan begitu banyak dugaan. Paling utama adalah untuk menjaga diri dan peribadi. Andai terleka sejenak, mudah untuk tersasar dan tersilap langkah.

“Cabaran utama adalah menjadi wanita dalam industri. Cabaran kedua adalah menjadi wanita berhijab dalam bidang seni dan cabaran ketiga adalah untuk berkata tidak kepada sesuatu yang tidak menyelesakan diri,” tiga cabaran ini benar-benar menguji Wany.

Tidak mudah melalui semua itu terutama perihal pakaian pada tahun sulungnya bergelar penyanyi. Realiti dunia hiburan pula sentiasa mendambakan elemen sensasi, andai tersalah bicara, gusar dianggap besar kepala.

Begitupun Wany bersyukur kerana dipertemukan dengan insan-insan yang mampu melancarkan karier seninya serta menghormati prinsip diri yang dipegang.

Pengalaman dikritik netizen disifatkan sebagai momen pembuka mata terhadap ‘kekejaman’ dunia hiburan.

“Selepas AJL, saya dikritik teruk kerana dikatakan tidak mampu menyanyi live dengan baik. Walaupun pahit, saya telan dan terima sebagai ruang pembelajaran.

“Sejak memilih nyanyian sebagai kerjaya, saya sentiasa berusaha keras memperbaiki mutu nyanyian. Tetapi dek peristiwa itu, mereka terus mengatakan yang saya memang tidak boleh menyanyi, dan itu adalah sedikit menyakitkan, jujur Wany berkongsi rasa.

Eksplorasi Canggung

Kritikan yang dilemparkan kepada Wany tidak memalapkan pesona bintangnya. Hampir semua lagu yang dilancarkan meraih populariti. Video YouTube lagu-lagunya sahaja menjangkau puluhan jutaan tontonan.

Portfolio hijaunya juga terisi dengan dua buah lagu ciptaan arwah Pak Ngah dan duet bersama legenda Datuk Jamal Abdillah. Pencapaian bukan calang-calang dan tuah yang tidak singgah kepada semua anak seni.

Membina nama dengan Menahan Rindu, impak lagu tersebut memang luar biasa. Jika ada yang pernah mengandaikan Wany hanya mampu menyanyikan genre ‘pop leleh’ sebegitu, telahan anda telah disanggah.

FOTO: PINOGRAPHY (@PINOGRAPHY) | VIDEO: NABIL HUSSIN (@NABILHUSSIN) | TEKS: ISKANDAR AL-HAZIQ (@ISKANDARALHAZIQ) | PEMBANTU FOTOGRAFI: GIGY SAMSUDIN (@ITSME_GIGY) GRAFIK: OMAR BENJAMIN FAHMY (@SUTRAMAYA) | PAKAIAN: WANPA (@WANPAOFFICIAL) | HIJAB: EMPAT BUNGA (@EMPATBUNGA) | SOLEKAN: YNA SAKINAH (@YNASAKINAH) | PENATA GAYA: FARAH DINANA (@FARAHDINANA)

Wany semakin berani bereksplorasi. Buktinya, single Canggung karya duo dinamik, Hael Husaini dan Ezra Kong menyerlahkan sisi bakat Wany yang berbeza. Irama etnik kreatif dalam nuansa moden itu memberi suntikan segar yang lama didahagakan industri.

“Penyanyi yang baik perlu menjadi versatil dan sentiasa mahu belajar sesuatu baharu. Saya ingin menjadi penyanyi yang baik. Jadi saya cabar diri untuk bereksperimentasi.

“Ketika baru bergelar penyanyi, saya terus masuk ke kelas vokal. Ilmu setiap genre itu pula berbeza dan saya tidak mahu membataskan kemampuan terhadap genre tertentu sahaja.”

“Jangan terkejut pula kalau suatu hari nanti, saya akan muncul dengan lagu seperti yang sering dibawa Zizi Kirana! Seni itu luas dan saya harus berani,” ujar Wany optimis.

Kahwin

Menginjak usia bujang ke-28, tahun lalu disifatkan Wany sebagai tahun cemerlang dan bahagia buatnya. Sebahagian besar impian peribadinya telah tercapai.

Menunaikan haji pada usia muda, membeli hartanah hasil usaha kerasnya selama ini dan membawa sekeluarga menunaikan ibadah umrah. Segalanya cukup menyenangkan hati Wany.

Saya mengusik apa lagi yang didambakan Wany? “Kahwinlah, apa lagi!” seloroh penata gaya, Nana sambil menyiapkan gaya hijab Wany menggunakan hijab empatbunga. Wany hanya tertawa.

Saya sambung seloroh Nana dalam bentuk soalan. Kualiti apa yang dicari Wany dalam diri seorang lelaki?: “Beriman dan berakhlak! Kita mesti berpegang kepada agama. Tentu sekali saya mengimpikan seseorang yang boleh memimpin saya ke syurga.

“Ada yang beriman, tetapi tipis akhlaknya. Sama juga dengan yang berakhlak, tetapi tidak pula beriman. Memang tiada siapa yang sempurna, tapi kita harus mencari keseimbangan antara dua itu.”

Mendalami hal jodoh, Wany menyambung: “Kahwin bukanlah satu-satunya matlamat saya dalam kehidupan. Tetapi kalau jodoh itu datang dan orangnya betul, saya tidak menolak.”

Fokus Wany kini adalah untuk terus mencapai kemajuan buat diri sendiri. Pelbagai perancangan sedang difikirkan termasuk meneroka bidang pengacaraan dan perniagaan dengan lebih serius serta melebarkan sayap seni ke Indonesia.

Wany juga akan muncul dengan lagu baharu karya Amylea Azizan dan Farouk Roman. Balada moden itu pastinya menampilkan sesuatu yang berbeza.

Pernah menjulang gelaran Bintang Paling Popular pada ABPBH 31, saya tertarik dengan ucapan kemenangannya pada malam itu: “Layak itu jauh sekali, tapi siapalah kita untuk menidakkan rezeki Allah.”

Betul, siapalah kita juga untuk menidakkan rezeki Wany Hasrita? Niatnya tulus, nekad mahu mencari wang dan membantu ibu pada asalnya telah memberikannya ruang rezeki yang tidak pernah putus. Mungkin itulah magis sebuah nawaitu.

Previous Sensasi Sugu Pavithra
Next Vogue Portugal dikritik tidak sensitif isu kesihatan mental

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *