Rezeki 7 Tahun Chazynash jadi influencer

chazynash, influencer malaysia

PLATFORM media sosial kini dibanjiri dengan kelompok bintang media sosial atau popular dengan gelaran influencer. Sesiapa sahaja boleh menjadi popular di Instagram, Facebook, Twitter dan TikTok masa kini, berbekalkan kreativiti dan tarikan kandungan (content) yang dipaparkan.

Bagaimanapun sebelum lahirnya kumpulan influencer terkenal sekarang, Chazynash antara yang terawal meletuskan fenomena di media sosial. Layak dikategorikan sebagai influencer berpengalaman, Chazynash (Chazy), 32, mula mencuri tumpuan dengan video yang dimuatnaik di Vine.

Video pendek yang dihasilkan Chazy bersama isteri, Fatin Morat berdurasi kurang 10 saat itu menjadi pelancar kariernya sebagai pencipta kandungan (content creator) media sosial.

“Selepas sambutan di luar jangkaan, saya mula hasilkan lebih banyak video dengan isteri. Konsep video memang difokuskan terhadap ragam suami isteri dalam rumah tangga. Kemudian saya mula aktif di Instagram disebabkan durasi video lebih panjang.

“Sehingga sekarang video yang saya hasilkan memaparkan kisah-kisah yang dihadapi suami isteri,” kongsi Chazy atau nama sebenarnya Syed Fernarsh Syed Badlishah.

Hampir sedekad menghasilkan video-video bergenre komedi, Chazy memberitahu, pada awalnya tidak terfikir untuk menjana pendapatan menerusi media sosial. Selepas dihubungi seorang usahawan produk tempatan bagi mempromosikan produk di dalam video, Chazy mula serius sebagai influencer.

Bagi memastikan kualiti dan hasil terbaik untuk setiap tawaran review yang diterima, Chazy akan menyediakan jalan cerita (storyline) yang bersesuaian dengan produk yang dipaparkan. Penyampaiannya juga menarik kerana mengekalkan elemen jenaka serta tidak keterlaluan dalam mempromosikan produk.

FOTO: @pinography | TEKS: @alif_ashburn

“Kalau ada client yang minta untuk buat review secara direct iaitu hard sell, saya akan tolak kerana saya sangat menjaga content yang dihasilkan.

“Pernah saya dapat seorang client yang sudah buat pembayaran penuh dan bersetuju dengan storyline yang diberikan. Selepas video siap dia minta untuk ubah beberapa bahagian. Saya refund semua bayaran walaupun pelakon tambahan dan juruvideo telah menerima bayaran masing-masing,” Chazy mengimbas pengalamannya.

Bersaing dengan barisan influencer baru yang tumbuh bak cendawan selepas hujan memang mencabar. Bagi Chazy influencer masa kini bertuah kerana mempunyai pelbagai medium media sosial bagi menonjolkan kebolehan peribadi.

Antara platform media sosial trending masa kini adalah TikTok. Begitupun Chazy tidak berminat untuk mencuba platform tersebut dan merasakan ia kurang sesuai dengan kandungan-kandungan yang dihasilkan.

Chazy selesa untuk terus menjana pendapatan dengan sketsa bersama isteri dan rakan-rakannya. Perancangannya adalah untuk menaikkan nama Chazy ke peringkat arus perdana.

“Chazy berharap bakat Chazy dapat menarik perhatian pengarah dan produser filem di luar sana. Chazy memang minat dalam bidang lakonan.

“Dulu Chazy pernah keluar dengan sitkom 13 episod Sayang Oh Sayang yang disiarkan di NTV7 dan TV3. Jadi kalau diberi peluang berlakon lagi dalam drama TV atau filem memang Chazy akan buat,” ujar graduan Universiti Sunway dalam bidang grafik dan multimedia itu.

Pernah gagal dalam bisnes gim dan kafe, terdahulu Chazy juga mengusahakan bisnes jersi dan peralatan senaman. Sebelum popular sebagai influencer, Chazy bersama pasukan senaman jalanan Bar-Risan turut menarik perhatian ramai dengan teknik senaman unik yang hanya menggunakan palang-palang di taman tanpa peralatan gim konvensional.

Selepas mendirikan rumah tangga, rezeki Chazy sebagai influencer dipermudahkan. Maka terhasillah ratusan video sketsa menghiburkan yang ditonton ramai rakyat Malaysia.

Previous Takhta Ratu Etnik Noraniza Idris
This is the most recent story.

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *