“Pendakwah pun manusia biasa yang melakukan kesilapan.” – Haris Ismail


MEMBINA nama selepas menyertai rancangan dakwah Islamik, Pencetus Ummah (PU) musim keempat pada tahun 2016,  sejak itu dia tidak lagi mahu menoleh kebelakang. Popular sebagai PU Rizz sebelum ini, Haris kini tekad mahu dikenali sebagai dirinya sendiri tanpa lencana ‘PU’ di hadapan. Edisi Aidiladha ini, Pepatung membawakan persona baharu Haris Ismail, menyingkap ijtihad dakwahnya melalui seni.

FOTO: PINOGRAPHY (@PINOGRAPHY) | VIDEO: NABIL HUSSIN (@NABILHUSSIN) | TEKS: ISKANDAR AL-HAZIQ (@ISKANDARALHAZIQ) | PEMBANTU FOTOGRAFI: GIGY SAMSUDIN (@ITSME_GIGY) GRAFIK: OMAR BENJAMIN FAHMY (@SUTRAMAYA) | PAKAIAN: COS (@COSSTORES) | SOLEKAN / DANDANAN: SHAHNAZ BAHAR (@FACEKRAFT) | PENATA GAYA: ISKANDAR AL-HAZIQ (@ISKANDARALHAZIQ) | LOKASI: THE GOOSE (@THEGOOSE.OFFICIAL)

“JOM solat Asar?” ajakan spontan Haris terhadap team Pepatung usai penggambaran tempoh hari disambut dengan hati yang lapang. Petang itu, Haris mengimamkan solat kami. Bacaannya sedap, suaranya yang dalam dan sedikit berlagu membuatkan solat itu begitu tenang ditambah pula dengan suasana The Goose yang ternyata sudah mendamaikan. Selasai solat, doa pun dibaca dan tazkirah turut diserta. Santai, tetapi penuh hikmah. Maka tidak hairanlah jika Haris dipilih oleh keluarga Neelofa untuk bersama mereka sepanjang Ramadhan yang lalu bagi tujuan berkongsi ilmu.

Saya terus bertanya selepas itu andai dirinya selesa dipanggil ustaz, dan ujar Haris: “Ikut keperluan. Misalnya saya berada sebagai jemputan di sebuah majlis ilmu dan agama, tentu saya akan disapa sebagai ustaz. Tetapi kalau hari-hari biasa seperti ini, panggil saya Haris pun saya okey.”, jawab Haris dengan tenang.

USTAZ SEGERA

Lambakan ‘graduan’ daripada pelbagai rancangan realiti dakwah telah melahirkan ramai personaliti Islamik era baharu. Kebanyakan mereka pula aktif menggunakan media sosial peribadi dalam mengekpresikan pendirian masing-masing. Ada yang dirai dan disenangi, ada juga yang dipersoalkan umum sehingga wujudnya gelaran ‘ustaz segera’.

Memberi pandangan mengenai isu ini, Haris berkata: “Menjadi seseorang yang lahir daripada program Islamik, waima dengan panggilan PU atau Da’i sekalipun tidaklah menjadikan kami lebih baik daripada sesiapa pun. Pada saya, sesiapa sahaja boleh berdakwah dan menyampaikan sesuatu yang baik kepada masyarakat. Apa yang penting adalah apa yang disampaikan. Hatta, ada juga artis yang boleh berdakwah, malahan lebih baik daripada kami semua dalam cara mereka sendiri.”

Tegas Haris, asimilasi dunia seni dan dakwah itu sangat efektif atas faktor perhatian massa yang diberikan kepadanya. Andai ada yang bijak menggunakan ruang populariti dan medium seni itu untuk berkongsi sesuatu yang baik, maka usaha itu juga harus dianggap sebagai dakwah. Walaubagaimanapun, Haris akur yang menjadi selebriti di dalam bidang seni untuk menyampaikan dakwah punya cabarannya yang tersendiri.

FOTO: PINOGRAPHY (@PINOGRAPHY) | VIDEO: NABIL HUSSIN (@NABILHUSSIN) | TEKS: ISKANDAR AL-HAZIQ (@ISKANDARALHAZIQ) | PEMBANTU FOTOGRAFI: GIGY SAMSUDIN (@ITSME_GIGY) GRAFIK: OMAR BENJAMIN FAHMY (@SUTRAMAYA) | PAKAIAN: ZARA MALAYSIA (@ZARA) | SOLEKAN / DANDANAN: SHAHNAZ BAHAR (@FACEKRAFT) | PENATA GAYA: ISKANDAR AL-HAZIQ (@ISKANDARALHAZIQ) | LOKASI: THE GOOSE (@THEGOOSE.OFFICIAL)

“Apabila menjadi artis dan pendakwah pada masa yang sama, tanggungjawabnya begitu berat. Masyarakat akan terus memerhati dan mengangkat kita sebagai ikutan, dan kita dianggap tidak boleh melakukan kesalahan. Walhal, pendakwah juga manusia biasa yang melakukan kesilapan dalam kehidupan. Tetapi disebabkan keberadaan kita dalam industri seni adalah dalam kapasiti seorang pendakwah, kadangkala ianya boleh memakan diri sendiri apabila kita tersalah langkah.”

PENUNGGANG AGAMA

Pandangan Haris itu ada benarnya. Apatah lagi kebelakangan ini pula, sering timbul cerita yang kurang enak mengenai pendakwah-pendakwah muda ini. Masyarakat pula ‘cepat panas’ dan sewenangnya menuduh mereka sebagai penunggang agama. Saya bertanya, bagaimana mereka sendiri melalui situasi ini? Masalah kehidupan peribadi yang dicanang, dikaitkan pula dengan imej Islamik yang dibawa, dan kemudian dipersoalkan pula keikhlasan iman dalam diri. Haris mengangguk faham dan menyedari situasi tersebut.

Katanya: “Jujurnya kami semua antara PU memang saling menasihati. Kalau ada apa-apa yang berlaku di antara kami, memang kami sendiri akan menghubungi dan bertanya, seterusnya mencari solusi dan memberi nasihat. Manusia mana yang tidak buat silap? Tetapi setiap kesilapan itu pasti akan hadir dengan sebuah pengajaran. “

Ketika ditanya apakah cabaran terbesar buat pendakwah muda sepertinya, Haris menyatakan yang cabaran terbesar adalah dirinya sendiri. Pernah dikecam dan dihentam orang suatu ketika dulu, ianya ternyata memberi kesan yang bukan kepalang kepadanya. Tapi ujar Haris, itulah yang harus dilalui  apabila dirinya memilih untuk berada di dalam lapangan ini. “Kalau nak tahu, menyertai industri seni itu sendiri sebenarnya adalah satu pengorbanan. Nampak mengujakan sebab berada di arus popular kan? Tetapi percayalah, dugaannya Allah sahaja yang tahu.” ujar Haris jujur.

Walaubagaimanapun, Haris menyifatkan semua cabaran yang dilaluinya terlalu kecil jika dibandingkan dengan cabaran yang Nabi Muhammad S.A.W lalui ketika menyampaikan dakwah Islam. Di saat baginda diuji, ditolak, dan diremehkan, baginda S.A.W tetap sabar dan istiqamah dalam perjuangan dakwahnya. Maka mengenangkan peristiwa itu membikin hatinya kuat dan ingin bangkit kembali.

BERLAKON BUKAN SELAMANYA

Perjalanan dakwah Haris tidak hanya tertumpu kepada majlis ilmu dan ceramah semata, Haris juga turut galak mengasah bakatnya dalam bidang seni lakonan. Beberapa drama dan telemovie sudah pun dibintanginya, dan bulan lalu menyaksikan kemunculan pertama Haris sebagai pelakon filem menerusi filem Ada Apa Dengan Dosa yang turut dibintangi Ashraf Muslim dan Fasha Sandha.

FOTO: PINOGRAPHY (@PINOGRAPHY) | VIDEO: NABIL HUSSIN (@NABILHUSSIN) | TEKS: ISKANDAR AL-HAZIQ (@ISKANDARALHAZIQ) | PEMBANTU FOTOGRAFI: GIGY SAMSUDIN (@ITSME_GIGY) GRAFIK: OMAR BENJAMIN FAHMY (@SUTRAMAYA) | PAKAIAN: UNIQLO MALAYSIA (@UNIQLOMYOFFICIAL) | SOLEKAN / DANDANAN: SHAHNAZ BAHAR (@FACEKRAFT) | PENATA GAYA: ISKANDAR AL-HAZIQ (@ISKANDARALHAZIQ) | LOKASI: THE GOOSE (@THEGOOSE.OFFICIAL)

Lakonannya mendapat pujian dan ulasan yang positif, dan sebagai pendatang baharu, Haris mampu menarik nafas lega. Kongsi Haris, Ashraf Muslim adalah guru lakonannya di set, dan dirinya sendiri banyak bertanya dan belajar sewaktu penggambaran filem itu berlangsung di Scotland. Namun, melihat kepada naskhah-naskhah yang dibintanginya, Haris mengakui yang dia sebenarnya sedikit selektif dalam memastikan setiap projek yang dijayakan punya mesej dan nilai positif yang ingin ditampilkan kepada penonton.

“Saya akui saya harus selektif, kerana di sini letaknya nilai peribadi saya untuk apa yang saya laksanakan dan perjuangkan. Hiburan itu boleh dan medium itu bagus, tetapi saya akan pastikan ianya punya pengisian dan memberi pengajaran kepada yang menonton. Bukannya sekadar hiburan kosong semata.”

Ujar Haris, dunia lakonan sebenarnya menuntut masa yang begitu banyak tetapi adakalanya ia perlu dilakukan untuk terus kekal relevan dan berada dekat di mata dan hati masyarakat. Tetapi padanya akan tiba satu masanya yang dia tidak mahu lagi aktif berlakon, sebaliknya ingin menumpukan perhatian terhadap kegiatan dakwah dan menjadi pengacara program Islamik sepenuh masa jika diberi peluang.

IMPIAN & JODOH

Saat saya ingin mula bertanya mengenai hal peribadi, Haris awal-awal lagi sudah menyatakan pendiriannya untuk tidak berkongsi dan saya harus menghormatinya. Katanya, sejak dulu urusan hatinya adalah milik pengetahuan keluarganya sahaja, dan dirinya tidak suka bercerita secara terbuka mengenainya.

Saya cuba bertanya lagi, andai dirinya ada pernah memikirkan bila waktunya untuk dia ingin membina masjid, Haris beralah dan menjawab; “Setiap orang pasti ingin berkahwin dan membina keluarga sendiri. Saya pun pasti tidak terkecuali. Tetapi dengan siapa, dan bila masanya bukan untuk saya gembar-gemburkan sekarang. Tiba waktunya yang betul-betul pasti, pasti semua akan tahu.”

Haris optimis akan impian ulungnya apabila  dirinya sudah tidak lagi aktif dalam bidang seni. Cita-citanya hanya satu: ingin membuka dan mengusahakan sebuah sekolah Islamik suatu hari nanti dan mencurah bakti sebagai pendidik di situ.

FOTO: PINOGRAPHY (@PINOGRAPHY) | VIDEO: NABIL HUSSIN (@NABILHUSSIN) | TEKS: ISKANDAR AL-HAZIQ (@ISKANDARALHAZIQ) | PEMBANTU FOTOGRAFI: GIGY SAMSUDIN (@ITSME_GIGY) GRAFIK: OMAR BENJAMIN FAHMY (@SUTRAMAYA) | PAKAIAN: UNIQLO MALAYSIA (@UNIQLOMYOFFICIAL) | SOLEKAN / DANDANAN: SHAHNAZ BAHAR (@FACEKRAFT) | PENATA GAYA: ISKANDAR AL-HAZIQ (@ISKANDARALHAZIQ) | LOKASI: THE GOOSE (@THEGOOSE.OFFICIAL)

“Menjadi seorang  pendidik adalah cita-cita peribadi saya. Saya sangat suka mengajar dan berkongsi, dan kalau boleh saya ingin menghabiskan kehidupan saya begitu. Solat awal waktu, punya waktu lapang untuk beribadah, berinteraksi bersama pelajar, dan memastikan mereka mendapat pendidikan yang baik dunia dan akhirat.”

Untuk menuju ke arah itu, beliau masih lagi giat menimba ilmu dan memperkasakan pengetahuan. “Saya ingin berdakwah tetapi dengan penuh hikmah, bukan secara semberono seolah Islam itu tiada toleransi dan empati. Di sini pentingnya ilmu. Berdakwah tanpa ilmu itu ibarat berperang tanpa senjata. Ilmu itu pula adalah senjata yang luar biasa hebatnya. Yang penting ianya harus terus dicari dan diamalkan “, ujar Haris mengakhiri pertemuan petang itu.

Previous Angin Tenang Khalid Jamlus
Next Takhta Ratu Etnik Noraniza Idris

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *