“Mungkin saya harus berhenti menjadi seorang penyanyi?” – Nora Ariffin


KALI pertama saya bertemu dengan Nora Ariffin adalah sewaktu menemubualnya di Malaysia Hari Ini pada tahun 2018. Ketika itu, Nora hadir bagi mempromosikan single Ada Dalam Tiada yang dicipta usai pemergian suaminya, Johan Nawawi. Sedang bersiaran langsung, seluruh Studio B di Sri Pentas ketika itu turut merasakan sebak. Mencari kekuatan dalam sebuah kehilangan bukanlah sesuatu yang boleh dibuat-buat.

TAHUN 2020, saya bertemu sekali lagi dengan Nora dan kali ini selepas dirinya melalui sebuah lagi episod kehilangan. Anak kedua yang dikasihi, Muhammad Syakir Alif Johan dijemput Ilahi pada usia 20 tahun. Bukan sekali hati Nora diduga, tetapi dua kali dan berturut-turut. Namun Nora yang saya temui hari ini cukup kuat dan tabah.

Petang itu, Nora hadir bersama pengurusnya serba ringkas. Walaupun tanpa secalit mekap, semua orang di studio penggambaran hari itu mengakui yang Nora mempunyai kulit wajah yang mulus dan bersih. Sambil ditatarias oleh Ary Muzamer, Nora leka membidik portfolio album milik Pinography.

FOTO: PINOGRAPHY (@PINOGRAPHY) | TEKS: ISKANDAR AL-HAZIQ (@ISKANDARALHAZIQ) | PEMBANTU FOTOGRAFI: GIGY SAMSUDIN (@ITSME_GIGY) GRAFIK: OMAR BENJAMIN FAHMY (@SUTRAMAYA) | PAKAIAN: WANPA (@WANPAOFFICIAL) BLANCHEUR (@BLANCHEUR_CO) | AKSESORI: ARTE DE NAMI (@ARTEDENAMI) | SOLEKAN / DANDANAN: ARYMUZAMER (@ARYMUZAMER) | PENATA HIJAB: DIDIYANA EHSAN (@DIDIYANAEHSAN)

Ujar Nora, sudah lama dirinya tidak beraksi di hadapan kamera, bimbang andai dirinya kaku dalam memberikan gaya yang diingini. Kegusarannya dimatikan saat kami meyakinkan yang dirinya masih punya pesona. Pelbagai helaian dan gaya dicuba pada hari itu. Daripada rekaan eksklusif Wanpa dan Blancheur sehinggalah ke topi Arte De Narmi, Nora meletakkan kepercayaan penuh untuk dirinya ditransformasi Pepatung kali ini.

“Saya suka bekerja dengan orang muda. Suasananya kreatif dan menyeronokkan seperti sekarang. Idea orang muda seperti kalian juga sentiasa terkini dan berbeza. Sebagai seorang yang lebih senior, saya harus menyokong bakat anak muda.” Ujarnya.

KEINDAHAN SEBUAH KEREDAAN

Selesai penggambaran, saya mula berbual dengan Nora. Saya telah berjanji yang saya akan menahan sebak, namun saat melihat anak matanya saja hati saya sudah sayu. Saya kira pukulan emosi dalam kehilangan dua insan yang tersayang melahirkan duka yang tidak kepalang.

Yang melaluinya sahaja akan tahu badai lara hati yang tersimpan. Saya bertanya, bagaimana kehidupan Nora pada hari ini? Seperti sudah membaca air muka saya, Nora tenang menjawab.

FOTO: PINOGRAPHY (@PINOGRAPHY) | TEKS: ISKANDAR AL-HAZIQ (@ISKANDARALHAZIQ) | PEMBANTU FOTOGRAFI: GIGY SAMSUDIN (@ITSME_GIGY) GRAFIK: OMAR BENJAMIN FAHMY (@SUTRAMAYA) | PAKAIAN: WANPA (@WANPAOFFICIAL) BLANCHEUR (@BLANCHEUR_CO) | AKSESORI: ARTE DE NAMI (@ARTEDENAMI) | SOLEKAN / DANDANAN: ARYMUZAMER (@ARYMUZAMER) | PENATA HIJAB: DIDIYANA EHSAN (@DIDIYANAEHSAN)

 “Alhamdulillah. Saya bersyukur kepada Allah, saya begitu menghargai kehidupan saya pada hari ini. Pernah saya terfikir ketika kehilangan arwah suami dahulu, mampukah saya meneruskan kehidupan saya tanpanya atau mungkin saya harus berhenti menjadi seorang penyanyi?

Namun saya kira, kekuatan yang dipinjamkan Allah cukup besar. Hari ini, saya kuat kerana anak-anak saya dan insan-insan di sekeliling saya. Merekalah yang terus menerus menyokong dan memberikan kekuatan.” Nora bercerita.

Ketabahan yang dizahirkan Nora begitu memberi inspirasi. Andai dahulu masih ada sisa duka dalam tutur bicaranya tetapi pada hari ini, Nora mampu tersenyum setelah menemui keindahan di dalam sebuah keredaan.

Kongsi Nora, “Kita harus sedar yang kehidupan kita di dunia adalah sementara. Yang dipinjamkan kita adalah semua milikNya, waima orang yang paling kita sayang sekalipun. Selagi kita mampu menikmatinya, bergembiralah. Tapi andai tiba masa Allah menjemputnya, bersyukurlah. Pahit atau manis, sesungguhnya nikmat kehidupan yang sebenar itu apabila kita belajar untuk bersyukur.”

FOTO: PINOGRAPHY (@PINOGRAPHY) | TEKS: ISKANDAR AL-HAZIQ (@ISKANDARALHAZIQ) | PEMBANTU FOTOGRAFI: GIGY SAMSUDIN (@ITSME_GIGY) GRAFIK: OMAR BENJAMIN FAHMY (@SUTRAMAYA) | PAKAIAN: WANPA (@WANPAOFFICIAL) BLANCHEUR (@BLANCHEUR_CO) | AKSESORI: ARTE DE NAMI (@ARTEDENAMI) | SOLEKAN / DANDANAN: ARYMUZAMER (@ARYMUZAMER) | PENATA HIJAB: DIDIYANA EHSAN (@DIDIYANAEHSAN)

Nora berkata, kehilangan yang tidak diduga dua insan yang amat disayanginya itu membuatkan dirinya tidak lagi lalai dan leka dalam melalui kehidupan. Setiap perkara diamati dan disyukuri, termasuklah dalam mengucapkan terima kasih dan menyatakan rasa sayang terhadap orang sekeliling.

Hubungan dengan anak-anak juga kini semakin teguh dan rapat, dan masing-masing bertindak sebagai penyokong nombor satu antara satu sama lain. Ucapan dan ingatan sayang juga tidak lekang di bibir masing-masing apabila berhubung, dan mungkin inilah hikmah keindahan yang dirasakan Nora kini.

ERA PENYANYI AUTO-TUNE

Harus diakui, Nora adalah antara vokalis wanita terhebat di Malaysia. Bagi sesiapa yang membesar di zaman 1990-an, pasti juga membesar dengan lagu-lagu gemilang nyanyian Nora. Vokalnya unik, suaranya gemersik namun masih lagi lantang apabila menyanyikan lagu bernada tinggi. Album-albumnya pula kebanyakannya diwarnai sentuhan arwah Johan Nawawi, maka tidak hairan lagu-lagu yang dinyanyikan Nora sentiasa cocok dengan vokalnya.

Berkongsi kenangan itu, Nora berkata; “Saya dan arwah Abang Johan memang betul-betul passionate dengan kerjaya muzik kami ketika itu. Fokus kami adalah menghasilkan karya yang berkualiti untuk memajukan karier nyanyian saya.

Bayangkanlah, siang dan malam kami terperuk di studio dalam mencari material lagu yang terbaik. Itu adalah pengalaman termanis saya sepanjang menjadi seorang penyanyi kerana suami sentiasa berada di sisi dan menjadi penyokong utama karier saya sehingga akhir hayatnya.”

FOTO: PINOGRAPHY (@PINOGRAPHY) | TEKS: ISKANDAR AL-HAZIQ (@ISKANDARALHAZIQ) | PEMBANTU FOTOGRAFI: GIGY SAMSUDIN (@ITSME_GIGY) GRAFIK: OMAR BENJAMIN FAHMY (@SUTRAMAYA) | PAKAIAN: BLANCHEUR (@BLANCHEUR_CO) | SOLEKAN / DANDANAN: ARYMUZAMER (@ARYMUZAMER) | PENATA HIJAB: DIDIYANA EHSAN (@DIDIYANAEHSAN)

Ujar Nora, penciptaan lagu-lagu baharu kini tidak melalui proses seperti mana yang pernah dilakukan dahulu. Jika dahulu, setiap pengkarya muzik begitu mengambil serius terhadap karya mereka dan menjadi tanggungjawab seorang penyanyi pula menyempurnakan sesebuah karya dengan kualiti nyanyian yang terbaik. Andai kualiti nyanyian tidak sempurna, proses rakaman akan berulang-ulang sehinggalah mencapai hasil yang terbaik.

“Berbeza dengan masa kini, penyanyi lebih selesa menggunakan teknologi seperti auto-tune suara dan sebagainya. Teknologi itu tidak salah, tetapi andai penyanyi kita terlalu bergantung kepada auto-tune, tentunya ini akan menggugat kualiti sesebuah karya, maka itu adalah bahaya untuk industri muzik Malaysia,” tambahnya.

Menurut Nora, menjadi tanggungjawab masyarakat Malaysia untuk dididik dengan aspek muzik yang baik supaya mereka lebih menghargai artis dan penggiat muzik tempatan dan usaha ini seharusnya disokong kuat oleh kerajaan.

“Pada saya, perlu ada garis panduan yang ditetapkan untuk semua stesen penyiaran baik radio mahupun televisyen. Sistem sekarang begitu bercelaru, dan sangat susah untuk meyakini stesen-stesen radio dalam memainkan karya tempatan penyanyi lama seperti saya.

“Kadang-kadang bila berjumpa peminat di luar dan mereka bertanya tentang lagu baharu saya, sedikit ralat untuk menyatakan yang lagunya ada, tetapi tidak dimainkan di radio. Selagi sistemnya tidak berubah, susah untuk industri muzik kita maju dan bergerak ke hadapan,” luah Nora.

Pandangan menerusi pengalaman Nora itu ada benarnya. Jika dilihat pada trend masa kini pula, begitu senang untuk bergelar seorang penyanyi. Hari ini, hanya dengan ratusan ribu tontonan dan pengikut di laman sosial dan aplikasi nyanyian seperti YouTube dan Smule, sesiapa saja kini boleh menggelarkan diri mereka penyanyi.

Perkembangan ini boleh dilihat positif, namun yang mendukacitakan adalah apabila mereka berada di luar medium itu, ada di antara mereka yang langsung tidak boleh menyanyi walhal lagu mereka sentiasa berkumandang di radio hampir setiap jam sehari.

KONSERT SOLO

Bertanya pada Nora jika dirinya punya kekesalan sepanjang bergelar anak seni, Nora mengatakan yang tidak pernah terbit kekesalan sepanjang dirinya berada di dalam industri.

Ujarnya, setiap pengalaman yang dikutip dirinya sejak tiga dekad lalu menjadi ilmu yang berharga dan tidak pernah dirinya berasa megah untuk diiktiraf sebagai seorang yang hebat. Cuma di dalam naluri seorang penghibur bernama Nora, punya satu impian besar untuk mengadakan konsert solonya suatu hari nanti.

FOTO: PINOGRAPHY (@PINOGRAPHY) | TEKS: ISKANDAR AL-HAZIQ (@ISKANDARALHAZIQ) | PEMBANTU FOTOGRAFI: GIGY SAMSUDIN (@ITSME_GIGY) GRAFIK: OMAR BENJAMIN FAHMY (@SUTRAMAYA) | PAKAIAN: WANPA (@WANPAOFFICIAL) | SOLEKAN / DANDANAN: ARYMUZAMER (@ARYMUZAMER) | PENATA HIJAB: DIDIYANA EHSAN (@DIDIYANAEHSAN)

“Jujurnya, setiap penyanyi dan penghibur pasti mengimpikan sebuah konsert sendiri dan saya juga punya cita-cita yang sama. Peminat dan pengikut kerjaya seni saya sudahpun menjangkau tiga generasi, dan pastinya indah jika saya dapat menghimpunkan mereka untuk satu malam dalam meraikan muzik dan karier saya,” demikian impian Nora.

Menurut Nora, jika dizinkan Allah dan dikurniakan rezeki, konsert itu ingin diabadikan sebagai kemuncak karier nyanyiannya. Walaupun dirinya pernah berhasrat untuk berhenti menyanyi selepas berduka dahulu, namun setiap kali berada di pentas dan memegang mikrofon, semangat Nora akan terus kembali membara.

Tiada apa yang diharapkan Nora saat ini selain untuk terus melalui hari-harinya dengan penuh kasih sayang, melaksanakan minat dan kerjayanya sebagai seorang penghibur dan terus mengukuhkan legasi perniagaan yang telah dibina bersama arwah suami.

Petang itu, studio kami ditinggalkan Nora dengan begitu banyak ucapan syukur dan terima kasih. Walaupun Nora tidak pernah diraikan sebagai yang terbaik, tetapi ternyata Nora berdiri di dalam kelas dan liganya yang tersendiri.

Previous Rezeki 7 Tahun Chazynash jadi influencer
This is the most recent story.

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *