Imbangan Seni Syafiq Kyle: Kuasa Kualiti & Populariti


MEMENANGI tempat kedua menerusi pertandingan Hero Remaja pada 2012 tidak memberi tiket mudah buat Syafiq Kyle memahat namanya sekuat hari ini. Jika sewaktu beliau bermula dahulu, kelibat dirinya di skrin hanya muncul menerusi watak sampingan, ada pun yang paling diingati adalah melalui watak Johan di dalam siri popular Tanah Kubur. Dirinya begitu hijau ketika itu, raut wajah dan sosok fizikalnya juga sangat berbeza berbanding sekarang, tetapi satu perkara yang masih sama adalah dedikasinya untuk terus berjaya.

BEBERAPA tahun selepas itu, ternyata usaha keras Syafiq Kyle mula membuahkan hasil. Satu demi satu judul drama dibintanginya dan pada tahun 2018, pukulan hebat drama rantaian Nur di TV3 meledakkan karier lakonannya ke satu tahap yang luar biasa. Sebagai drama blockbuster dengan jumlah tontonan tertinggi pada tahun itu, populariti dirinya juga pantas memecut naik. Banyak faktor yang memungkinkan semua itu berlaku.

Naskhah yang cemerlang, penjiwaan karakter yang berkesan dan mungkin juga atas faktor tuah serta sememangnya rezeki yang sudah tersurat buat dirinya. Wataknya sebagai Ustaz Adam benar-benar menjadi bualan, pesonanya menjadi igauan dan nama Syafiq Kyle kini bukan lagi tempelan.

FOTO: PINOGRAPHY (@PINOGRAPHY) | TEKS: ISKANDAR AL-HAZIQ (@ISKANDARALHAZIQ) ALIF ASHBURN (@ALIF_ASHBURN) | PEMBANTU FOTOGRAFI: GIGY SAMSUDIN (@ITSME_GIGY) | GRAFIK: OMAR BENJAMIN FAHMY (@SUTRAMAYA) | TATAGAYA: ZULHERIZAL STUDIO (@ZULHERIZALSTUDIO) | SOLEKAN: MONIQA ONIQA (@MONIQA.ONIQA) | DANDANAN: HAMIDI JAMILI (@HAMIDIJAMILI)

Hari ini, Syafiq mampu tersenyum dan bersyukur. Bukan sahaja skil dan kualiti lakonannya sahaja yang sudah meningkat, tetapi kegigihan dan kesanggupannya bermula daripada bawah ternyata akhirnya memberikan kemanisan.

Tengahari itu, Syafiq Kyle tiba ke studio dengan teamnya. Bagaikan seorang hero, aura bintang Syafiq Kyle begitu kuat. Sungguhpun begitu, beliau masih lagi bersifat tenang dan menyenangkan. Kebetulan ketika itu, rambut Syafiq masih lagi belum dipotong, lalu penata gaya Zulherizal tekad untuk menampilkan dirinya dalam sisi yang berbeza yang tidak pernah dilakukannya sebelum ini.

Ketika diberitahu mengenai kelainan konsep bagi Pepatung edisi Januari 2021 ini, Syafiq hanya tertawa kecil. “Saya okey sahaja. Saya faham setiap editorial mahukan keunikan dalam konsep mereka. Saya hanya jayakannya, tetapi kalau tak jadi jangan gelakkan ya!” seloroh Syafiq dengan mesra.

YANG TERBAIK ITU PASTI POPULAR

Membina nama sebagai sebuah ‘jenama’ di dalam industri seni memerlukan usaha dan pengorbanan yang tidak lelah, lalu apabila dirinya diangkat sebagai Bintang Filem MeleTOP di AME 2020 baru-baru ini, secara tidak langsung telah membuktikan yang sokongan peminat dan penggemarnya masih lagi utuh dan dirinya masih terus relevan walaupun fenomena Nur sudah dua tahun berlalu. Apabila diajukan mengenai keseimbangan populariti dan kualiti dalam menjadi anak seni, Syafiq mula bercerita.

“Populariti dan kualiti itu adalah satu isu yang sangat subjektif. Sejujurnya menjadi pelakon di Malaysia, populariti itu penting. Penting kerana kita dipertanggungjawabkan untuk ‘menjual’ karya kita. Tapi bagaimana untuk mengecapi populariti itu lebih utama.

Popular atas sebab bakat atau sebab-sebab lain? Maka itu, saya tidak kisah jika saya popular kerana kualiti bakat dan kerja saya. Saya berusaha keras untuk kerjaya saya dan jika saya popular atas faktor bakat, itu pastinya lebih baik.”

FOTO: PINOGRAPHY (@PINOGRAPHY) | TEKS: ISKANDAR AL-HAZIQ (@ISKANDARALHAZIQ) ALIF ASHBURN (@ALIF_ASHBURN) | PEMBANTU FOTOGRAFI: GIGY SAMSUDIN (@ITSME_GIGY) | GRAFIK: OMAR BENJAMIN FAHMY (@SUTRAMAYA) | TATAGAYA: ZULHERIZAL STUDIO (@ZULHERIZALSTUDIO) | SOLEKAN: MONIQA ONIQA (@MONIQA.ONIQA) | DANDANAN: HAMIDI JAMILI (@HAMIDIJAMILI)

Bagi mereka yang pernah bekerja dengan Syafiq pasti tahu bagaimana dirinya begitu tekun dalam menjayakan setiap naskhah yang diberi. Rakan saya yang baru sahaja selesai menjalani penggambaran telefilem dengannya juga turut memuji komitmen dirinya.

Katanya Syafiq merupakan pelakon yang tahu tanggungjawabnya sebagai aktor. Maka isu pemahaman skrip dan penyediaan dirinya di set sangat memudahkan kerja dan Syafiq juga begitu menghormati proses bagaimana sesebuah karya itu dihasilkan.

“Pada saya semuanya perlukan keseimbangan dalam industri ini. Anda tidak boleh menjadi terlalu popular tanpa bakat yang baik kerana itu tak akan berkekalan, dan pada masa yang sama anda tidak boleh hanya bersandar pada bakat semata-mata.

Seperti juga perniagaan, produk yang baik akan terus mendapat tempat di dalam pasaran untuk kualiti yang diberikan. Tetapi, promosi dan publisiti itu penting bagi membantu populariti sesebuah produk tersebut.”

“Artis juga tidak kecuali, tetapi sebagai individu, saya lebih fokus untuk tingkatkan kualiti bakat dan diri dan pihak pengurusan pula akan memikirkan perihal pemasaran dan penjenamaan. Jadi ianya menang-menang dan bergerak secara seimbang. Saya begitu bersyukur untuk segala sokongan yang peminat berikan tetapi itu bukan sebab untuk saya berasa selesa. Pada saya, apabila bakat kita terbaik, InsyaAllah kita pasti akan dikenali.” tambahnya.


BERKAHWIN SATU REZEKI

Menginjak usia 29 tahun pada tahun ini, tidak canggung untuk menanyakan soal jodoh kepada Syafiq Kyle. Di saat rakan-rakan seangkatannya sudah pun mendirikan rumah tangga dan memegang gelaran suami serta bapa, status Syafiq masih lagi solo dan ternyata dirinya tidak tergesa-gesa dalam soal jodoh. Ditanya perihal ini, Syafiq tenang menjawab.

FOTO: PINOGRAPHY (@PINOGRAPHY) | TEKS: ISKANDAR AL-HAZIQ (@ISKANDARALHAZIQ) ALIF ASHBURN (@ALIF_ASHBURN) | PEMBANTU FOTOGRAFI: GIGY SAMSUDIN (@ITSME_GIGY) | GRAFIK: OMAR BENJAMIN FAHMY (@SUTRAMAYA) | TATAGAYA: ZULHERIZAL STUDIO (@ZULHERIZALSTUDIO) | SOLEKAN: MONIQA ONIQA (@MONIQA.ONIQA) | DANDANAN: HAMIDI JAMILI (@HAMIDIJAMILI)

“Siapa sahaja yang tak nak berkahwin? Saya juga pastinya ingin berkahwin dan berkeluarga. Tetapi untuk ke arah itu, ianya memerlukan perancangan dan persediaan yang begitu rapi. Percaya atau tidak, saya sedang berusaha ke arah itu dalam cara saya sendiri. Tetapi saya sangat positif.

Saya terima ketentuan dan rezeki kerana berkahwin itu juga adalah rezeki. Tetapi harus diingat, setiap orang punya rezeki, tanggungjawab dan keutamaan yang berbeza. Fokus saya ketika ini masih untuk membahagiakan dan berbakti kepada keluarga saya dahulu, dan apabila saya sudah bersedia untuk ke peringkat kehidupan yang seterusnya, saya juga pasti akan berkahwin.”

FOTO: PINOGRAPHY (@PINOGRAPHY) | TEKS: ISKANDAR AL-HAZIQ (@ISKANDARALHAZIQ) ALIF ASHBURN (@ALIF_ASHBURN) | PEMBANTU FOTOGRAFI: GIGY SAMSUDIN (@ITSME_GIGY) | GRAFIK: OMAR BENJAMIN FAHMY (@SUTRAMAYA) | TATAGAYA: ZULHERIZAL STUDIO (@ZULHERIZALSTUDIO) | SOLEKAN: MONIQA ONIQA (@MONIQA.ONIQA) | DANDANAN: HAMIDI JAMILI (@HAMIDIJAMILI) | TAS: RAVAKA MALAYSIA (@RAVAKA.MY)

Ujar Syafiq, dirinya bukanlah seorang yang terlalu ghairah merancang dalam kehidupan. Semuanya dilalui dan sentiasa disyukuri. Perancangan jodoh buatnya ada tetapi Syafiq sentiasa mendoakan moga semuanya dipermudahkan agar dirinya mendapat petunjuk dan hikmah.

Dirinya yakin andai tiba waktu yang dirasakan sesuai, penyatuan dua hati itu pasti akan dilaksanakan dengan tertib dan semuanya akan dikongsikan. Saat ditanya apakah dia melihat dirinya akan kekal aktif dalam bidang seni walaupun selepas berkahwin, Syafiq tanpa ragu mengiyakan soalan saya.

“Eh, mesti! Walaupun mungkin di masa hadapan saya akan lebih fokus kepada bidang perniagaan, saya pastinya tidak akan meninggalkan bidang lakonan ini secara mutlak. Susah nak membayangkan kehidupan saya tanpa bidang lakonan, kerana kerjaya ini begitu sebati dan telah menjadi minat terbesar saya dalam kehidupan.

Saya begitu passionate dengan bidang lakonan dan kalau boleh saya ingin terus berlakon walaupun telah berusia satu hari nanti. Andai tidak banyak peranan dan penampilan sekalipun, sedikit pun jadilah. Tetapi untuk berhenti secara total itu, InsyaAllah tidak.” kongsi Syafiq

PASCA PANDEMIK COVID-19

Pelbagai sektor industri terkesan susulan pandemik Covid-19 dan industri hiburan tempatan juga tidak terkecuali. Ketika ditanya apakah cabaran yang dilaluinya kini, Syafiq berkongsi cabaran utamanya adalah apabila beliau turun ke set penggambaran.

Kongsinya banyak projek filem dan drama yang dijayakan tetapi kini atas faktor SOP, semuanya perlu dilaksanakan dalam masa yang singkat dan padat. Suasana penggambaran juga tidak lagi seperti dahulu yang mana seluruh krew dan produksi boleh ‘berkampung’ di set, tetapi di sinilah cabaran untuk mengadaptasi norma baharu dalam melaksanakan kerja dalam kadar yang efektif dan tidak lagi membuang masa.

FOTO: PINOGRAPHY (@PINOGRAPHY) | TEKS: ISKANDAR AL-HAZIQ (@ISKANDARALHAZIQ) ALIF ASHBURN (@ALIF_ASHBURN) | PEMBANTU FOTOGRAFI: GIGY SAMSUDIN (@ITSME_GIGY) | GRAFIK: OMAR BENJAMIN FAHMY (@SUTRAMAYA) | TATAGAYA: ZULHERIZAL STUDIO (@ZULHERIZALSTUDIO) | SOLEKAN: MONIQA ONIQA (@MONIQA.ONIQA) | DANDANAN: HAMIDI JAMILI (@HAMIDIJAMILI)

“Bila masa begitu suntuk, tekanan di set jadi makin hebat. Cara bekerja jadi lain daripada biasa. Tetapi kadangkala tekanan itu sebenarnya bagus kerana akhirnya semuanya komited dalam memberikan yang terbaik. Saya menganggap itu adalah cabaran yang positif, dan Alhamdulillah saya masih rasa seronok bekerja.”

Melalui pandemik ini juga, Syafiq banyak tersedar akan nilai kehidupan dan telah memberikannya ruang untuk dirinya merencanakan masa hadapan. Jika sebelum ini, Syafiq hanya akan menjual pakaian di bawah labelnya Kylez sempena Aidilfitri, kini dirinya sedang mengintai peluang perniagaan yang berbeza untuk tahun 2021.

Ujar Syafiq, minat utamanya kini adalah untuk menceburkan diri dalam perniagaan berasaskan makanan dan kini sedang giat meneliti beberapa perancangan serius untuk ke arah itu.

Sebelum meninggalkan studio, saya terfikir untuk bertanya watak apa lagi yang ingin didukung oleh seorang Syafiq Kyle? Dirinya pantas menjawab “Watak atlet! Saya memang teringin sangat nak menjalani watak ahli sukan. Kalau ada biografi mengenai ahli sukan, saya memang tak teragak-agak untuk terima. Dah lama saya idamkan.” kongsi Syafiq seraya mengakhiri pertemuan pada hari itu.

Previous "Mungkin saya harus berhenti menjadi seorang penyanyi?" - Nora Ariffin
Next Ambisi 2021: Qasrina Karim

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *