Angin Tenang Khalid Jamlus


NAMA Khalid Jamlus meledak pantas susulan lelongan barangan-barangan peribadi termasuk kasut emas yang dimenangi pada Liga Perdana 2002. Simpati diluahkan masyarakat kepada legenda bola sepak kebangsaan ini.

Sejurus pertemuan bersama Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Wan Ahmad Fayshal Wan Ahmad Kamal, Khalid dihujani pelbagai soalan daripada media. Mencuri perhatian apabila jawapan selamba dilontarkan Khalid kepada wakil media disensasikan.

Simpati masyarakat terbelah. Segelintir menyelar respons Khalid yang dianggap kurang sopan. Ada pula beranggapan ia sekadar gurauan dan tidak wajar diperbesarkan. Maka penilaian mana yang tepat buat Muhamad Khalid Jamlus?

TEKS: @alif_ashburn | FOTO: @pinography | VIDEO: @nabilhussin | SOLEKAN: @arymuzamer | GRAFIK: @sutramaya | PEMBANTU VIDEO: @itsme_gigy

Apa yang terjadi apabila seorang kaki bangku dipertemukan dan perlu menemubual bekas penyerang berbisa skuad bola sepak Malaysia? Topik bola sepak amat asing untuk saya bualkan. Terasa canggung untuk bertanya kepada Khalid yang saya panggil dengan pangkat abang.

Biarpun tidak begitu mengikuti perkembangan sukan bola sepak, namun nama Khalid Jamlus itu besar buat saya. Sejak kecil saya mendengar namanya disebut-sebut rakan-rakan yang mengidolakan KJ25 ini. Namanya juga sering meniti di bibir pembaca berita dan di ruangan sukan akhbar-akhbar tempatan.

Bersemuka dengan Khalid, 43, sejujurnya saya agak gugup. Bimbang personaliti ‘dingin’ yang dicanang media akan merencatkan kelancaran temu bual. Impresi pertama sememangnya saya rasakan Khalid ini garang dan serius.

Bagaimanapun selepas dia membuka mulut menjawab soalan demi soalan, keselesaan itu terbit dengan sendirinya. Khalid bukanlah seperti yang digembar-gemburkan. Dia spontan dan suka berjenaka.

“Saya sebenarnya pendiam. Orang yang rapat memang kenal diri saya yang sebenar. Saya tak pandai berlakon. Apa yang orang tengok, itulah saya,” Khalid menghuraikan karakter semula jadinya yang disalah erti ramai.

Sambil bercerita, sesekali Khalid tertukar panggilan ganti diri daripada ‘saya’ kepada ‘aku’. Jadi saya memahami mengapa segelintir orang menyifatkan Khalid kasar, sedangkan pembawaan dirinya memang begitu. Bukan tidak menghormati tetapi terbiasa dan selesa menjadi diri sendiri.

Impian Jerman

Bermain bola sepak secara serius sejak di bangku sekolah rendah, tetapi di manakah Khalid sekarang jika dulu dia tidak ligat di atas padang?

“Balai polis! Cita-cita saya dulu nak jadi polis,” tangkas Khalid menjawab.

TEKS: @alif_ashburn | FOTO: @pinography | VIDEO: @nabilhussin | SOLEKAN: @arymuzamer | GRAFIK: @sutramaya | PEMBANTU VIDEO: @itsme_gigy

Selepas terpilih menyertai Piala Coca-Cola pada 1993, karier bola sepak Khalid terus menyinar. Bakat mudanya menyerlah pada 1996 apabila terpilih sebagai kesebelasan utama pasukan Perak.

Pada 2002 pula, dia pernah diterbangkan ke Jerman untuk ujian pemilihan sebuah kelab di sana. Mengimbau kenangan ketika di Jerman, sehingga kini Khalid masih samar dengan situasi sebenar yang berlaku.

Pada awalnya, dia perlu menjalani ujian pemilihan dengan sebuah kelab tetapi malang dia tercedera beberapa hari sebelum ujian berlangsung. Khalid dibawa ke sebuah tempat yang dikategorikan agak terpencil di Jerman.

Di tempat itu, selama dua minggu Khalid merawat kecederaan dan berlatih bersendirian. Dia terpaksa berdikari di tempat asing. Akhirnya dia berpeluang menampilkan bakat ketika beraksi dengan sebuah kelab dari Dubai di sana.

“Tamat permainan, jurulatih pasukan Dubai itu terus menghampiri saya. Memang waktu itu saya dah gembira sebab walaupun tak terpilih untuk kelab di Jerman, tetapi tawaran dari Dubai pula terbuka.

“Sayangnya tawaran tersebut tidak disambut baik pihak yang membawa saya ke Jerman ketika itu. Jadi saya pulang ke Malaysia begitu sahaja,” luah Khalid.

Situasi yang dihadapi Khalid bukanlah baru dalam arena bola sepak tempatan. Sehingga kini tidak ramai pemain bola sepak negara yang benar-benar berpeluang bermain untuk kelab bola sepak luar negara. Jika ada sekalipun, ia masih tidak mencukupi dan pasti tidak bertahan lama ekoran masalah-masalah berkaitan pengurusan dan disiplin.

Kelab Luar

Di manakah kesilapannya sehingga isu tersebut berpanjangan? Khalid sendiri pernah melalui fasa tersebut dan barisan pelapis kini juga ketandusan tawaran untuk menimba pengalaman di luar negara.

Pentingkah untuk pemain bola sepak Malaysia bermain untuk kelab luar negara?

TEKS: @alif_ashburn | FOTO: @pinography | VIDEO: @nabilhussin | SOLEKAN: @arymuzamer | GRAFIK: @sutramaya | PEMBANTU VIDEO: @itsme_gigy

“Memang penting! Kalau ditawarkan pergi dan jangan toleh ke belakang. Timba ilmu di luar kerana pengalaman tersebut sangat bernilai. Bermain di sini dengan di luar negara berbeza,” tegas Khalid.

Menurut pendapat Khalid, Kekurangan pemain Malaysia bermain di luar negara adalah disebabkan ketiadaan individu lantikan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang berkelayakan menguruskan urusan perpindahan pemain.

“Agen yang menjaga pemain memang ramai tetapi bukan semua berpengalaman mengendalikan hal-hal berkaitan pengurusan import eksport pemain.

“Berdasarkan pemerhatian saya, FAM tidak memiliki individu yang pakar dalam hal ini. Jika individu itu ada, pasti masalah berulang ini dapat dikawal.

“Lantik individu yang pakar dalam menguruskan pemain dari segenap aspek; kasut sehingga rambut. Kebajikan pemain yang bermain di luar negara perlu diuruskan sebaiknya.

“Lantikan mestilah individu yang berpengalaman dalam bidang ini. Individu yang mahir selok-belok dan prosedur pengurusan seperti di Eropah.

“Saya yakin jika ada individu sebegini, kita dapat melihat lebih ramai pemain tempatan beraksi di kelab luar negara,” demikian cadangan Khalid.

Selain masalah itu, Khalid turut berpendapat segelintir agen di Malaysia lebih berminat membawa masuk pemain asing ke dalam negara berbanding membawa pemain tempatan ke luar negara. Mata wang Malaysia yang agak rendah jika dibandingkan dengan negara-negara Eropah menjadi antara faktor agen kurang berminat.

Komisyen yang diterima apabila membawa masuk pemain import dari luar negara lebih lumayan sekali gus menguntungkan mereka.

TEKS: @alif_ashburn | FOTO: @pinography | VIDEO: @nabilhussin | SOLEKAN: @arymuzamer | GRAFIK: @sutramaya | PEMBANTU VIDEO: @itsme_gigy

Menyentuh kebergantungan arena sukan di Malaysia dengan politik, Khalid merasakan ia satu keperluan. Sejak dulu, bidang sukan dipayungi figura-figura politik terutama bola sepak. Ia merupakan ikatan normal di Malaysia yang kelab-kelabnya berada di bawah pengurusan kerajaan negeri.

Semestinya masalah sering terjadi apabila tampuk pemerintahan bertukar tangan. Polisi dan program-program yang sedang dibangunkan bila-bila masa boleh dihentikan dan diganti program baru setiap kali berganti ahli politik.

“Malaysia bukan seperti Eropah yang kelab-kelabnya diswastakan. Di sana bola sepak merupakan sebuah industri perniagaan yang besar. Mereka menjana keuntungan menerusi tiket dan pas bermusim, cenderamata, lawatan stadium dan pelbagai lagi yang menyumbangkan pendapatan.

“Kelab-kelab di Eropah tidak perlu bergantung dana daripada kerajaan. Situasi tersebut tidak sama di Malaysia. Kita masih memerlukan kerajaan negeri. Jadi berdasarkan situasi semasa, politik dan sukan itu masih memerlukan,” ujar Khalid yang baka mengadakan majlis bertemu peminat pada 25 Julai ini.

Previous Vogue Portugal dikritik tidak sensitif isu kesihatan mental
Next “Pendakwah pun manusia biasa yang melakukan kesilapan." - Haris Ismail

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *