Ambisi 2021: Qasrina Karim


FOTO: PINOGRAPHY (@PINOGRAPHY) | TEKS: NY | PEMBANTU FOTOGRAFI: GIGY SAMSUDIN (@ITSME_GIGY) | PAKAIAN: COS OFFICIAL (@COSSTORES) | SOLEKAN: ARYMUZAMER (@ARYMUZAMER)

KUASA dunia digital dan budaya visual begitu kuat pada hari ini. Maka tidak hairanlah jika pengaruh dan juga populariti seseorang di laman sosial kini mampu menjadi batu loncatan seterusnya membuka pintu rezeki untuk seseorang itu terjun ke dalam bidang seni pula. Suratan atau kebetulan, itulah jalan yang kini dilalui buat Qasrina Karim.

BERSUA pertama kali dengan bintang baharu ini, dirinya sama sahaja seperti yang dilihat di laman sosial. Orangnya cukup santun, lembut butir bicara dan cukup pandai mengatur kata. Meneliti pula foto-foto Qasrina, sukar untuk tidak melihat persamaan wajahnya dengan air muka penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza. Mengerling ke sisi lain pula, ada juga iras-iras pelakon dan pengacara, Mira Filzah.

Betah dengan jolokan yang diberi, gadis cantik manis berumur 24 tahun yang mesra disapa Qas ini hanya tertawa di saat dipuji sebegitu. Sesekali membetulkan hijabnya yang terletak cantik pada raut muka yang sentiasa mengukir senyum.

“Ramai sangat cakap macam tu! Tapi secara jujurnya saya tak nampak sangat pun. Apapun, saya tentunya terharu dikait dengan dua ikon besar Malaysia. Harapan saya, itu adalah perkara yang positif dan dapatlah saya mengikut jejak langkah mereka berjaya dalam industri,” ucap Qasrina membuka kata.

Sungguhpun begitu, gadis kelahiran Subang Jaya ini sebolehnya ingin berdiri di atas kebolehan diri sendiri dan cuba lari dari persamaan itu. Jujur jawab Qasrina, dia mahu bakatnya diberi prioriti seiring rezeki.

“Untuk breakthrough di dalam bidang seni ini, ya mungkin saya tidak kisah. Tetapi untuk jangka masa panjang, pastinya saya juga mahu dikenali sebagai diri dan kebolehan saya sendiri tanpa dibayangi oleh mana-mana figura. Saya juga ingin buktikan yang bukan paras rupa sahaja boleh dipertaruhkan tetapi ada bakat untuk berjaya dalam bidang ini” ujar Qasrina optimis.

Menceritakan kembali bagaimana dirinya bermula, Qasrina melangkah ke bidang peragaan hijab pada lewat tahun 2016. Bermula sebagai hobi kemudian bertukar menjadi minat serius, Qasrina bertuah kerana terus dipilih sebagai wajah rasmi jenama hijab terkenal Alhumaira.

“Saya memulakan langkah pada tahun 2016, ketika itu saya dipanggil untuk sesi ujibakat tertutup kempen raya Alhumaira. Ya Allah, ketika sesi tersebut saya sangatlah kekok dan malu beraksi di depan kamera sebab itu kali pertama saya. Serba tak kena dibuatnya!” kongsi Qasrina sambil tertawa.

“Tetapi syukur Alhamdulillah, selepas beberapa bulan saya mula mendapat rentak. Keyakinan saya pun bertambah disamping keluarga dan orang sekeliling yang memberi sokongan. Tidak lama pula selepas itu, saya terpilih dan ditawarkan menjadi wajah rasmi Alhumaira dan kemudiannya membuka ruang baharu dengan tawaran berlakon pula.”

Tambah kata empunya Ijazah Sarjana Muda Sastera & Lingustik Bahasa Inggeris itu, dia tidak sabar menantikan buah tangan sulungnya di layar lebar tidak lama lagi.

“Insya-Allah, filem pertama lakonan saya berjudul Kongsi Raya akan ditayangkan pada Aidilfitri nanti dan saya mendukung peranan utama dalam filem tersebut. Lebih manis saya dapat bekerjasama dengan pelakon-pelakon hebat tanah air termasuk primadona Erra Fazira dan Harith Iskandar,” tambahnya.

Landskap seni kian berubah saban hari. Netizen semakin nakal dan lancang, berbicara tanpa ada sempadan. Qasrina akur akan hal itu dan meladani cara profesional orang lama mengendalikan kontroversi.

“Sama seperti artis, personaliti media sosial juga tak terlepas daripada kritikan kalau ada buat silap. Tetapi sekiranya ada saya melakukan hal sama, saya akan mengambil kritikan sebagai satu peluang untuk memperbaiki diri sendiri.”

“Pada masa sama belajar untuk menerima komen negatif secara peribadi,” ujar Qasrina yang punyai sasaran untuk menghasilkan jenamanya sendiri suatu hari nanti.

Previous Imbangan Seni Syafiq Kyle: Kuasa Kualiti & Populariti
This is the most recent story.

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *