Vogue Portugal dikritik tidak sensitif isu kesihatan mental


Model Simona Kirchnerov dirakamkan bersama ibu dan neneknya untuk edisi Julai / Ogos 2020

VOGUE Portugal baru-baru ini mencetuskan kontroversi dalam edisi terbaharunya. Edisi Julai / Ogos 2020 pasca pandemik itu menerima kritikan negatif apabila Vogue Portugal dianggap tidak sensitif berkaitan isu kesihatan mental.

Menerusi ‘The Madness Issue’, muka depan majalah antarabangsa itu menampilkan seorang model wanita yang kelihatan murung di dalam persekitaran hospital dan sedang dimandikan dua jururawat di dalam tab mandi.

Visual yang dirakamkan jurugambar Branislav Simoncik tersebut mendapat kecaman kerana menampilkan stereotaip lapuk mengenai kemurungan dan kesihatan mental dan kurang empati terhadap mereka yang melaluinya.

Pengamal kesihatan di London, Katerina Alexandraki berpendapat kesihatan mental bukanlah satu isu remeh untuk diperlekehkan apatah lagi untuk difesyenkan. Ujarnya: “Kemurungan adalah ‘mimpi ngeri’ buat mereka yang pernah melaluinya dan saya pasti tiada siapa yang mahu diingatkan mengenai episod duka mereka, apatah lagi melalui muka hadapan sebuah majalah.”

Menerusi BBC.com, Vogue Portugal pada mulanya bersikap defensif dalam menegaskan yang imej berkenaan adalah untuk menzahirkan sesuatu yang jujur dan normal selepas pandemik melanda dunia.

Bagaimanapun, setelah didesak dan dikecam di Instagram secara global, Vogue Portugal kemudiannya menyatakan permohonon maaf secara terbuka dan menarik balik muka hadapan berkenaan daripada dipasarkan.

Susulan itu, Vogue Portugal kemudian menukar muka hadapan edisi berkenaan dengan mengeluarkan tiga lagi muka hadapan yang berbeza.

Pelbagai reaksi dan ketidakselesaan telah timbul dalam kalangan pengamal media sosial khususnya mereka yang aktif memperjuangkan isu kesihatan mental dan feminisme. Golongan aktivis meluahkan kekecewaan apabila melihat wanita ditampilkan sebagai kelompok yang lemah di saat seluruh dunia kini sedang bergelut untuk menjadi lebih kuat dan berani.

Pengarah kempen kesihatan mental Time to Change, Jo Loughran pula berkata, peristiwa itu memberi signifikasi positif yang membuktikan masyarakat global kini lebih peka dalam menyantuni isu kesihatan mental.

Ujarnya: “Apabila kita bergabung dan menentang stigma seperti ini, ia adalah mesej yang kuat kepada dunia yang kesihatan mental bukanlah satu gimik yang boleh dipermainkan. Stigma negatif mengenai isu ini memang tidak akan diterima.”

Previous “Saya bukan penyanyi yang bagus.” - Wany Hasrita
Next Angin Tenang Khalid Jamlus

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *