Wajah Pepatung

Terang Bintang Farah Ann

By  | 

SEKELIP mata namanya bertaut di bibir jutaan rakyat Malaysia. Fenomena Farah Ann Abdul Hadi ibarat satu magis dalam arena sukan gimnastik negara. Marak khabar kejayaan meraih dua pingat emas, satu perak dan tiga gangsa pada temasya Sukan SEA 2015 di Singapura bulan lalu mendidih sama dengan isu pakaian rasmi sukannya.

Farah03FOTO: PINOGRAPHY (@pinographyofficial) | GRAFIK: OMAR BENJAMIN FAHMY | EFEK GRAFIK: AMIRUL ASRAF (@amirulasrafs) | SOLEKAN: ARY MUZAMER (@arymuzamer) | PENATA GAYA: AZZA FARHANA (@princesshanna_b) | BUSANA: NADIA MARNI (@nadia_marni), EMELDA ROSEMILA (@emeldarosemila) & DOKOH (@dokohmy)

Kecaman segelintir pengguna media sosial terhadap Farah Ann turut meraih perhatian dunia apabila agensi-agensi berita antarabangsa menyiarkan kontroversi tidak profesional tersebut.

Pada usia 21 tahun, wanita kacukan Melayu-Kanada ini tabah menelan setiap hamburan tanpa sekelumit kecil hati. Sejak kecil dia menanamkan kepositifan dalam diri.

“Saya tidak berdaya mengubah apa yang terjadi. Kritikan negatif tidak melemahkan semangat saya untuk mencapai sasaran dan impian dalam bidang ini. Bagaimanapun saya bersyukur masih ramai penyokong yang menyalurkan kata-kata perangsang terutama di laman sosial seperti instagram.

“Sememangnya pencapaian di sukan SEA baru-baru ini banyak membuka ruang baharu kepada saya. Lebih ramai orang mula memberi perhatian terhadap sukan gimnastik. Sekarang pun apabila berjalan di luar, ada yang menegur untuk bergambar. Ia amat menyenangkan tetapi perasaaan paling membahagiakan tentunya kejayaan menyumbang sesuatu kepada negara,” tutur Farah Ann penuh hemah.

Anak kedua daripada tiga adik-beradik ini mula menjejak kaki di dalam gelanggang gimnastik pada usia 3 tahun. Ketika itu kakaknya, Katrina Ann Abdul Hadi (atlet renang berirama negara) berumur 5 tahun dan kedua-duanya dihantar ibu bapa mereka ke kelas gimnastik.FarahFe

Sebagai kanak-kanak hiperaktif, penglibatan Farah Ann dalam sukan tersebut banyak membantu perkembangan kelakukan, tindakan, pergerakan, kecergasan dan kecerdasan dirinya. Malah seawal usia 6 tahun, anak jati Subang Jaya, Selangor ini sudah menyertai pertandingan di peringkat negeri Selangor. Menginjak umur 7 tahun, dia mewakili Selangor untuk bersaing di peringkat Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM).

Pendedahan awal tersebut berjaya memekarkan kecintaan Farah Ann terhadap gimnastik. Fasa kanak-kanak dan peralihan dunia remajanya tidak sedikitpun terganggu meskipun perlu menghadiri latihan sebanyak enam kali seminggu. Farah Ann yang juga pernah bertanding di Sukan Komanwel 2014 di Glasgow, Scotland menyifatkan gimnastik sebagai pemangkin utama dalam pembentukan disiplin dan fokusnya.

Justeru biarpun pernah terlantar di hospital hampir dua minggu dan berehat di atas katil selama sebulan gara-gara keretakan lutut, tulang belakang dan jari, cita-cita Farah Ann tidak malap. Ligamennya juga pernah koyak membuktikan betapa besarnya risiko kecederaan yang mungkin dialami jika tidak berjaga-jaga dalam pergerakan sama ada ketika latihan ataupun dalam pertandingan.

“Jujur memang pernah tergerak hati untuk mengundur diri daripada sukan ini. Selain kecederaan, keputusan yang kurang memuaskan dalam pertandingan juga melunturkan semangat. Mujur minat saya mengatasi segalanya dan mampu bertahan sehingga hari ini,” cerita Farah Ann yang amat menggemari buku bergenre fiksyen dan fantasi.

Farah04

Nilai gimnastik

Selama 18 tahun beraksi lincah sebagai seorang gimnas, pastinya sukan itu memiliki keistimewaan yang membuatkan dia untuk terus bergiat aktif.

“Saya kategorikan ia sebagai sukan yang luar biasa. Gimnastik membantu individu menjadi lebih kuat, fleksibel dan membolehkan kita mempelajari banyak perkara baharu.

“Tidak banyak pendedahan tentang sukan ini khususnya gimnastik artistik di Malaysia. Ketiadaan program pembangunan dan kurangnya pertandingan mendorong kepada kekurangan pelapis baharu sekali gus menipiskan peluang untuk melahirkan lebih ramai gimnas bertaraf elit.

“Barangkali ibu bapa masih sangsi terhadap masa depan anak-anak mereka dalam skuad gimnastik. Kelemahan ini dapat diatasi menerusi penganjuran lebih banyak pertandingan dan kem-kem latihan. Tidak mustahil juga untuk ia diperkenalkan di peringkat sekolah.

“Gimnastik bukanlah sekadar belajar melenturkan tubuh. Sebenarnya ia amat efektif dalam mengajar perihal strategi, malah meningkatkan kecerdasan, kecekapan dan fokus kanak-kanak dalam pembelajaran,” Farah Ann yang kini sedang menyambung pengajian di peringkat ijazah sarjana muda sastera global (pengajian antarabangsa) melontar pendapat.

Farah01

Kini Farah Ann menyimpan kemas hasrat untuk beraksi di pentas Sukan Olimpik 2016 di Rio, Brazil. Sebelum itu, dia terlebih dahulu perlu menyinar di Kejohanan Gimnastik Dunia 2015 di Glasgow menjelang Oktober depan.

Sementara itu, kelapangan waktu Farah Ann banyak digunakan untuk berehat di rumah ataupun menonton wayang. Membeli-belah bukanlah kegilaannya sepertimana kebanyakan wanita lain. Selesa berpenampilan ringkas dalam solekan asas (jika perlu), Farah Ann berkongsi tentang minatnya untuk menyertai dunia seni.

“Kelak jika saya tidak lagi aktif sebagai gimnas, selain menjadi jurulatih separuh masa, bidang lakonan antara keinginan terpendam saya. Begitu juga bidang penyiaran, saya mengimpikan kerjaya sebagai pengacara TV ataupun apa sahaja kerja dalam bidang ini,” ujarnya yang akan menyambut Syawal di Rantau, Negeri Sembilan.

Comments

comments

Memulakan kerjaya penulisan sebagai wartawan di sebuah akhbar berbahasa Melayu tempatan dan berkhidmat selama empat tahun sebelum menyertai Pepatung sepenuh masa. Berpengalaman dalam penulisan rencana terutama berkenaan gaya hidup, profil, minat ramai, isu semasa, fesyen dan hiburan.

Tinggalkan Komen

Your email address will not be published. Required fields are marked *