Wajah Pepatung

Subjek Ekspresi Ahya, Deanna & Shahrin

By  | 

MELAKAR ekspresi di wajah adalah pekerjaan kepada tiga individu ini. Bukan main berpengaruh bahasa muka mereka setiap kali orang sekeliling memerhati. Sama ada ia dipotretkan dalam bentuk helaian bercetak ataupun dipersembahkan secara langsung di atas pentas peragaan; Ahya Ulumuddin Rosli, Hazdiana Ibrahim dan Muhammad Shahrin Kamaruzzaman tetap berjaya menakluk perhatian selaku pemain ekspresi.

Model04FOTO: SHAKER HANAFI (@shakerhanafi) | TEKS: ALIF ABU BAKAR (@alif_ashburn) | GRAFIK: OMAR BENJAMIN FAHMY (@sutramaya) | SOLEKAN: RAZZI MUSA (@razzimusa) & WIRA KASTRYA (@wirakastrya) | BUSANA: AMIR LUQMAN (@amir_luqman), WANPA (@wanpaofficial) & ALEGORE (@alegoremalaysia) | LOKASI: SLIP STUDIO (@slip_studio)

Apa yang menarik tentang kerjaya peragawan dan peragawati atau gelaran modennya; model? Tiga nama ini muncul dalam industri fesyen tempatan pada sela waktu yang hampir sama. Ahya dan Hazdiana (Deanna) bermula sekitar 2008 manakala Shahrin sejak 2010.

“Abang Mizi (Armizi Mustapha – bekas pengarang majalah Maskulin) menawarkan peluang untuk menjalani sesi fotografi sebagai model dalam Maskulin menerusi laman sosial Myspace.

“Saya bersetuju dan selepas cubaan pertama tersebut, saya mula mempersiapkan fizikal agar lebih menepati piawaian seorang model,” Ahya mengimbas kenangan.

Anak bongsu daripada lima adik-beradik itu dan satu-satunya anak lelaki menceritakan bahawa dia membesar dalam persekitaran yang tidak asing terhadap dunia modelling. Keempat-empat kakaknya terlebih dahulu menyertai industri fesyen selaku model dan Ahya menjadi penyempurna legasi tersebut.

Laluan profesion Ahya, 28, dimulakan dengan penyertaan beberapa pertandingan pencarian model. Ford Model’s Supermodel of the World Malaysia 2009 anjuran Amber Chia merupakan pertandingan sulung yang disertainya sehingga berjaya meraih tempat kedua. Menerusi penglibatan dalam Mr. Asia 2011 di Hong Kong, sebagai wakil Malaysia, Ahya berhasil mengelompokkan diri dalam senarai Top 6.

Rezeki terus memihak kepada Ahya apabila dinobatkan sebagai Model Lelaki Terbaik Tahun 2013 bersempena dengan Mercedes-Benz STYLO Fashion Awards Gala 2013. Penghargaan antarabangsa dalam kariernya hadir selepas menerima Anugerah Model Star Malaysia pada Asia Model Festival Awards 2014 di Korea.

Bakat dan kemahiran ditajamkan menerusi penyertaan kelas-kelas modelling. Pelakon dan penyanyi, Shila Lama antara individu yang berkesempatan mempersiapkan Ahya dengan ilmu-ilmu dunia peragaan. Selebihnya dipelajari sendiri Ahya dengan banyak bertanya kepada senior-senior dalam bidang yang sama.

“Menjadi ringan mulut untuk menceduk pengetahuan daripada model berpengalaman sangat penting. Daripada mereka saya belajar untuk berjalan di atas pentas supaya kelihatan segak dan mampu menyerlahkan pakaian yang kita sarungkan. Video pertunjukan fesyen antarabangsa juga menjadi rujukan dan saya ambil masa dua tahun untuk memahirkan diri,” jelas Ahya.

Model01

Berketinggian 188 sentimeter (cm), berwajah Melayu dan berkulit sawo matang, penangan Ahya menghidupkan harapan industri fesyen yang sentiasa dahagakan muka-muka tempatan. Biarpun dicabar wajah Eropah, keunikan dan nilai ‘eksotik’ yang terdapat pada model Asia seperti Ahya berhasil menenggelamkan kekacakan model-model luar negara.

Pernah mengimpikan untuk meluaskan nama ke peringkat antarabangsa, perancangan tersebut bagaimanapun sering tertangguh sehinggalah sekarang. Namun ia telah memberi ruang buat Ahya meneroka cabang lakonan.

Ahya yang merupakan anak kepada dramatis hebat tanah air, Normah Damanhuri telah pun mengikut jejak ibunya. Membuat kemunculan dalam filem Tanda Putera (2013), peranan kecil sebagai Zaman telah melayakkannya tercalon dalam senarai Pelakon Harapan Lelaki Terbaik pada Festival Filem Malaysia ke-26 (FFM26).

Kelibat Ahya kemudiannya dapat dilihat dalam filem Kapsul (2015) dan tidak lama lagi, penonton berpeluang melihat persembahan sulungnya sebagai teraju utama menerusi filem Harmonika di samping Elizad Sharifuddin.

“Tidak mustahil peralihan karier daripada seorang model kepada pelakon itu terjadi. Bagaimanapun fokus saya tidaklah terhadap bidang seni sahaja. Sekarang pun saya aktif menjalankan perniagaan shisha di Damansara dan dalam perancangan untuk membuka kafe,” kongsi Ahya.

Hampir sedekad membina jenama dalam arena modelling tempatan, pastinya pengetahuan yang diraih amat bermakna untuk dikongsi kepada bakat-bakat baharu. Tidak lokek memberi tunjuk ajar, Ahya mengingatkan pelapis baharu agar sentiasa menghormati orang sekeliling dan mengekalkan disiplin jika ingin bertahan lama.

“Prinsip saya mudah; 100 kali orang baik dengan saya, 1,000 kali saya jadi lebih baik dengan mereka dan begitulah sebaliknya.

“Seperkara lagi, kalau kita terlewat ke sesi fotografi atau temu janji, jangan sesekali menipu. Tidak rugi berlaku jujur kalau anda terlajak tidur kerana ada masanya ia akan terjadi kerana keletihan akibat kerja sehingga lewat malam. Orang pun faham kerjaya model, jadi usah biasakan diri dengan alasan-alasan klise,” pesannya tegas.

Deanna keluar kepompong

Kalau iri hati dan cemburu bermaharajalela di hati, besar manapun bakat tidak akan membawa diri mendaki lebih tinggi. Dua sifat tidak baik itu amat ditegah Deanna daripada menjadi darah daging. Merentasi liku sebagai peragawati banyak menemukannya dengan berbagai karakter manusia.

“Setiap orang ada keunikan tersendiri. Jangan sempitkan mentaliti dengan perasaan tidak baik. Segalanya terletak pada keberanian dan keyakinan diri untuk keluar dari kepompong selesa. Bagi membolehkan orang sedar kewujudan anda, melangkahlah setapak ke hadapan jika mahu berjaya,” bersemangat Deanna memberi ingatan.

Optimis Deanna itulah yang membawa dia melangkau jauh dalam industri fesyen tempatan. Mendapat pendidikan rendah di Singapura sebelum menyambung pengajian menengah dan kolej di Malaysia, Deanna adalah satu nama yang sedang mengukir kehebatan dalam lapangan modelling.

Penglibatan awal dalam bidang komersial (iklan TV) di bangku kolej telah membawanya untuk mencuba bidang modelling. Uji bakat pertamanya adalah pencarian model agensi Elite Model Management Malaysia (Elite). Percubaan itu berhasil dan Deanna bersama seorang lagi model tempatan diterbangkan ke Shanghai, China mewakili Malaysia dalam pertandingan Elite Model Look South East Asia 2006.

Tempoh persediaan selama dua minggu sebelum pertandingan sememangnya pendek untuk Deanna melengkapkan diri dengan asas-asas seorang model. Sepanjang hidup, dia tidak biasa berkasut tumit tinggi apatah lagi berjalan dengan lenggok model (catwalk). Semuanya sangat janggal tetapi penyertaan itu banyak memberi pengalaman berharga kepadanya.

Sekembalinya ke Malaysia, Deanna diserap masuk ke dalam pertandingan yang sama bagi peringkat tanah air. Menyandang tempat ketiga, ganjaran berupa kontrak dua tahun bersama Elite memungkinkan segala-galanya. Dalam tempoh itu, Deanna mengimbangi jadual sebagai pelajar diploma lanjutan jurusan pengiklanan dan model.

Dua tahun juga Deanna dilatih sebagai peragawati secara menyeluruh. Dari aspek tatarias, imej sehinggalah ilmu pengurusan kewangan. Dia juga berhasil mencipta identiti sepanjang waktu tersebut. Tamat kontrak, Deanna memilih untuk mengemudi kerjaya sendirian tanpa diterajui mana-mana agensi.

Model02

“Ketika itu saya tidak mempunyai hala tuju jelas tentang apa yang ingin saya lakukan. Kontrak itu tamat seiring dengan pengajian. Maka bagi mengelakkan sebarang komitmen, saya mengelak daripada menandatangani semua tawaran kontrak.

“Tanpa agensi pun saya tetap dipanggil beberapa agensi tempatan untuk menjayakan pertunjukan fesyen. Andrews Models antara yang banyak membuka ruang. Di luar negara pula, saya bernaung di bawah empat agensi berbeza.

“Bergerak secara freelance di negara sendiri lebih menyenangkan kerana saya masih mampu mengatur jadual dan menyusun temu janji. Agensi-agensi pun terdiri daripada kenalan dan mereka akan menghubungi saya jika terdapat tawaran.

“Ia berbeza dengan luar negara kerana sebagai model asing, kita memerlukan agensi bagi menguruskan kebanyakan tawaran pekerjaan dan mengatur uji bakat,” ujar Deanna.

Bekas peserta rancangan realiti TV, Supermodelme musim ketiga itu juga menyifatkan penglibatan dalam bidang peragaan adalah atas minat dan bukan bertujuan untuk dipandang orang.

Justeru dia tidak gentar mengembara bersendirian semata-mata untuk mengembangkan profesion. Milan, Itali merupakan hentian fesyen antarabangsa pertama Deanna. Selepas mengirim video uji bakat kepada sebuah agensi di sana, Deanna diterbangkan ke kota fesyen itu dan menetap selama tiga bulan bagi menjayakan pelbagai tawaran kerja.

3M4A2562c.jpg-c

Dari situ, Deanna terus ke London selama sebulan bagi mencuba nasib dan diterima oleh sebuah agensi sebelum memutuskan untuk pulang ke Malaysia.

“Penipuan sering terjadi di luar negara terutamanya melibatkan model asing. Pengalaman banyak mengajar saya dan apabila ke luar negara, saya amat berhati-hati dan selektif terhadap tawaran daripada agensi. Ada tawaran yang wajar dijalankan sebagai model freelance,” Deanna berpesan.

Merentasi setiap hari sebagai peragawati dengan penuh kecintaan, Deanna sehingga terlupa betapa jauh langkahnya dalam bidang tersebut. Tanpa perancangan jangka panjang, dia memberitahu bahawa telah ‘terperangkap’ dalam dunia ini dan sukar untuk berhenti. Ia bagaikan satu ketagihan yang mengheretnya untuk kembali bagi memperoleh sesuatu yang lebih baik.

Setiap kerja yang dijayakan diibaratkan sebagai satu karya. Debaran setiap kali menjayakan pertunjukan fesyen juga hal yang mengujakan diri. Apapun pengalaman termasuk kasut terbuka di atas pentas dijadikan himpunan memori paling manis sepanjang karier.

Pengalaman-pengalaman itu juga menjadi pelajaran yang dibahagikan kepada model-model baharu. Deanna antara nama yang disenangi dalam industri fesyen tempatan dan sering disebut sebagai model murah pengetahuan. Dia senang berkongsi ilmu dengan siapapun kerana setiap perkongsian itu akan menguntungkan kedua-dua pihak.

“Membantu pelapis baharu tidak sahaja perlu ditumpukan terhadap aspek luaran. Apa yang penting adalah keupayaan mereka untuk mempamerkan keyakinan dalaman dari luaran. Setiap langkah di atas pentas juga mesti diiringi niat dan memberikan makna, ada nilai artistik, bukan berjalan kosong,” Deanna memperincikan pandangan.

Memasang niat untuk menyambung pengajian dalam bidang seni, ramai tidak tahu bahawa si cantik berkulit sawo matang ini mempunyai bakat melukis. Kini dia turut mengasah kemahiran DIY dan mempelajari cetakan sutera saring (silk screen) serta menjahit.

Sejak tiga tahun lalu juga, Deanna telah menceburkan diri dalam bidang perniagaan. Kedai yang menjual barangan vintaj dan unik, Markas mula beroperasi di Jalan Telawi, Bangsar dan kini berpindah ke Kota Damansara.

“Ia adalah sebahagian daripada persediaan untuk tidak bergantung sepenuhnya kepada pendapatan modelling. Lagipun saya orang yang tidak boleh diam, mesti ada kerja ingin dilakukan,” tambah Deanna.

Shahrin usahawan hartanah

Berbanding Ahya dan Deanna, portfolio Shahrin masih jauh terkebelakang. Bukan tidak mempunyai bakat atau tawaran, tetapi batasan kerjaya utamanya sebagai usahawan hartanah membuatkan Shahrin, 22, selesa mendampingi dunia fesyen secara separuh masa.

Tamat sekolah, dia terus bekerja di dalam syarikat bapanya dan tahun depan bakal menjadi kontraktor berlesen dengan memimpin syarikat sendiri.

Pencapaian mengagumkan Shahrin dalam bidang hartanah pada usia muda menjadikan dia unik untuk diceritakan. Sebagai peragawan, Shahrin pada awalnya dipelawa Ahya untuk mencuba nasib dalam dunia modelling.

Fotografi bagi katalog fesyen majalah-majalah tempatan kini menjadi kebiasaan Shahrin. Wajah tampannya kerap terpampang dalam majalah fesyen tanah air.

Model03

“Memandangkan saya bekerja sendiri, mudah untuk mengatur jadual jika ada tawaran modelling. Minat untuk menyertai bidang ini timbul apabila melihat model-model di dalam majalah dan TV sehingga menerbitkan keinginan untuk mencuba.

“Hendak dianggap sebagai kerja serius itu tidaklah kerana saya lakukannya kerana minat. Keutamaan tetap terhadap perniagaan,” Shahrin mengakui.

Anak keempat daripada lima adik-beradik ini sebenarnya sudah lima tahun berkecimpung secara separuh masa sebagai model. Shahrin masih belajar mengekspresikan wajah untuk setiap fotografi yang dijayakan. Model-model senior menjadi guru utamanya selain menjadikan majalah sebagai rujukan tambahan.

Keyakinan diri juga banyak diasah selepas menjadi model sambilan. Dunia peragaan menuntun Shahrin untuk lebih berketerampilan. Fizikalnya dijaga rapi, begitu juga skil komunikasi apabila bertemu orang baharu.

“Saya tergolong sebagai lelaki kaki bangku. Sampai sekarang saya tidak memahami bola sepak dan ia disifatkan sebagai satu tabu dalam kalangan kaum Adam. Kecenderungan saya lebih kepada kereta. Kereta merupakan obsesi saya dan setiap bulan saya ikuti perlumbaan di trek,” kongsi Shahrin tentang hobinya.

Comments

comments

Memulakan kerjaya penulisan sebagai wartawan di sebuah akhbar berbahasa Melayu tempatan dan berkhidmat selama empat tahun sebelum menyertai Pepatung sepenuh masa. Berpengalaman dalam penulisan rencana terutama berkenaan gaya hidup, profil, minat ramai, isu semasa, fesyen dan hiburan.

Tinggalkan Komen

Your email address will not be published. Required fields are marked *