Spektrum Sanubari Sharifah Sakinah

0
71

KONTROVERSI yang mengiringi setiap langkah Sharifah Sakinah bagaikan tiada penghujungnya. Bahkan masyarakat lebih peka tentang isunya berpakaian seksi atau berperangai ‘gila-gila’ di laman sosial. Dek keperibadian itu, pelakon yang membahasakan diri sebagai Sakinah itu sering dikecam, dimaki hamun dan dikritik pedas orang ramai.

SakinahFOTO: PINOGRAPHY | GRAFIK: IZWAN MOHD. ISA | BUSANA: KHOON HOOI (@khoonhooi) | SOLEKAN: EZAD IBRAHIM (@ezadibrahim)

Bagaimanapun, tidak sedikit pun Sakinah, 26, mengambil hati. Sakinah atau nama penuhnya, Sharifah Nurul Sakinah Syed Abu Bakar tidak hadir dalam industri seni ini demi membikin kontroversi. Bukan niatnya mengimejkan diri sebagai artis bermulut lancang. Semua itu tercetus hanya kerana dia memilih untuk menjadi diri sendiri.

“Saya menghormati persepsi orang lain dan meskipun pendapat mereka berbeza, saya tidak berkecil hati. Bagi saya, jika ada rasa tidak puas hati lebih baik bersemuka.

“Apabila menerima komen-komen negatif di laman sosial, saya memang tidak akan memadamkan komen-komen tersebut. Saya mahu orang lain menilai sendiri keperibadian masyarakat kita yang suka menegur khilaf orang lain menggunakan bahasa tidak sopan,” tegas Sakinah.

Sakinah03

Biarpun karakter semula jadi Sakinah itu kurang disenangi segelintir orang, ia bagaimanapun berjaya menambat hati seorang jejaka. Tunangnya, Aliff Adha Jamil, 27, disifatkan Sakinah sebagai pelengkap dirinya. Perbezaan karakter mereka menciptakan keserasian dan nilai tersebut yang mendorong Sakinah dan Aliff selesa meneruskan hubungan sebagai suami isteri tidak lama lagi.

Perkenalan setahun antara mereka berdua tidak mengubah sedikit pun keperibadian Sakinah. Dia masih bebas menjadi individu periang dan berfikiran positif. Sifatnya itu disalurkan kepada Aliff yang suka berfikir tentang masa depan. Sakinah penghibur hari Aliff manakala Aliff menjadi pengingat sikap leka Sakinah.

“Apabila berdua, kami gembira dan rasa selamat,” Sakinah membutir ringkas dan menyatakan bahawa amat menyenangi sifat tenang dan sederhana dalam diri Aliff.

Sakinah dan Aliff bakal disatukan pada 28 Mac depan di Hotel Shangri-La Kuala Lumpur. Pernikahan akan dilangsungkan pada sebelah pagi manakala majlis makan malam akan dijalankan pada sebelah malam di lokasi yang sama. Busana rekaan Nurita Harith bakal membaluti tubuh Sakinah pada kedua-dua majlis pada hari tersebut.

Keputusan untuk berkahwin ditetapkan selepas masing-masing mengambil kira kesediaan untuk memikul tanggungjawab lebih besar. Sebelum keputusan dibuat, Sakinah dan Aliff telah berbincang panjang kerana mereka tahu, perkahwinan adalah satu fasa besar dalam kehidupan. Akhirnya mereka sepakat selepas memahami objektif mahligai yang ingin dibina kelak.

“Bagi saya membazir untuk bercinta tanpa ikatan sah. Jadi melalui perkahwinan, kami dapat menghalalkan hubungan. Maksudnya jika sebelum ini Aliff tidak berhak untuk menegur saya, selepas ini dia boleh menegur kerana itu hak dan tanggungjawabnya sebagai seorang suami,” begitu pendapat Sakinah.

Mengakui dirinya belum mahir memasak, Sakinah tidak melihat asas-asas klise itu sebagai satu penghalangnya untuk berumah tangga. Baginya biarlah tugas-tugas sebagai isteri termasuk memasak dipelajari dalam tempoh perkahwinan. Perubahan itu tetap akan terjadi dan dia mahu ia berlaku secara semula jadi, tanpa paksaan atau tekanan dari mana-mana pihak.

Kakak-kakaknya sendiri tidak berpesan apa-apa melainkan menyokong keputusannya. Sakinah berasakan bahawa sebarang pesanan akan menjadikannya paranoid. Justeru, lebih baik dia belajar dan merasai sendiri asam garam berumah tangga. Dia tidak akan membenarkan kata-kata orang menjadi penentu cara dia mengemudi hidupnya.

“Tentang tugas memasak itu saya rasa tidak menjadi masalah. Lagipun Aliff menggemari makanan bersup seperti bihun sup, jadi ia tidaklah begitu sukar untuk disediakan,” kongsinya.

Untuk tempoh dua tahun pertama, Sakinah dan Aliff mahu menikmati kemanisan bercinta seperti pasangan kekasih yang lain. Hanya selepas jangka masa itu mereka akan merancang untuk membesarkan keluarga dengan kehadiran cahaya mata.

Menyentuh soal kerjaya pula, bagi Sakinah, perkahwinan bukanlah penamat kepada satu peringkat hidup. Tidak bererti dia perlu menghentikan aktiviti seninya. Malah, Sakinah akan terus berlakon seperti biasa.

Barangkali  wujud persepektif industri tempatan yang kurang berminat mengambil wanita berkahwin untuk berlakon. Namun Sakinah menyifatkan dirinya beruntung kerana masih ada pengarah yang berterusan memberinya tawaran berlakon tanpa mengambil kira status peribadinya. Michael Ang misalnya, antara pengarah yang kerap bekerjasama dengan Sakinah sehingga kini.

Sakinah06

Sementara itu, dari segi pemberian karakter pula, Sakinah memberitahu bahawa dia telah menjayakan watak perempuan kampung, psiko, ceria, hantu, wanita kecoh dan komedi. Apa sahaja watak yang diberikan akan digalas dan dilaksanakan sehabis baik. Semestinya dia ingin mempelbagaikan profil wataknya kerana keseimbangan itu penting.

“Mungkin apabila masyarakat condong melihat saya ke arah genre komedi, jadi ia mempengaruhi perspektif mereka terhadap kebolehan saya. Didie Alias misalnya, selain mampu menghidupkan watak komedi, dia juga boleh melakonkan watak serius dengan cemerlang kerana dia seorang pelakon yang hebat.

“Sasaran saya dalam industri ini adalah untuk menjadi legenda (ketawa besar). Sebenarnya saya hanya mahu menginspirasikan orang,” jelas Sakinah.

Bakal muncul dalam filem Pekak, peranan Sakinah sebagai Melur dalam filem berkisar tentang masalah sosial itu akan memperlihatkan kematangan lakonan Sakinah secara serius. Program kecergasannya di bawah gerakan Fitness Sakinah pula bakal kembali aktif dengan aktiviti menarik selepas urusan perkahwinannya selesai.

TINGGALKAN RESPONS

Sila masukkan komen!
Masukkan nama anda di sini