Metamorfosis Seni Lisa Surihani

2
104

Foto: Pinography Photography
Grafik: Izwan Mohd. Isa
Busana: Khoon Hooi
Solekan: Leen Zakaria
Dandanan rambut: Wira Kastrya

 

BAGAIKAN kitaran sang serangga mempesona, begitulah transisi jaya buah hati persada seni negara ini. Sekecil-kecil kepompong yang melindunginya, akhirnya pecah, menguak kepak berwarna-warni memukau setiap mata. Demikianlah transformasi Lisa Surihani Mohamed, sang rama-rama kesayangan Malaysia.

Lapan tahun menganyam cita-cita, barangkali setiap impi Lisa, 28, telah dikecapi. Sepanjang 2014 sahaja, berjejer kisah kejayaan Lisa disebut-sebut ramai. Penglibatannya dalam Teater Muzikal P. Ramlee, antara pencapaian peribadi termanis buatnya.

Lama dia memasang hasrat untuk berkolaborasi bersama Datin Seri Tiara Jacquelina. Keinginan itu tertunai selepas Lisa diberi kepercayaan menggalas watak Junaidah pada pementasan yang berlangsung Oktober lalu di Panggung Sari, Istana Budaya, Kuala Lumpur.

Selang beberapa minggu kemudian, nama Lisa terus menggelegak apabila filem lakonannya, Dendam Orang Mati memasuki panggung. Itulah kali pertama Lisa muncul dalam filem bergenre seram. Walaupun tidak menggemari genre tersebut, karakter Lena selaku wanita psiko dihidupkan Lisa dengan begitu cemerlang. Filem ini berjaya mengheret Lisa untuk keluar dari zon selesanya sebagai aktres serba boleh.

Belum surut cerita kehebatan Lisa dalam Dendam Orang Mati, suri hidup kepada Yusry Abdul Halim ini sekali lagi mencipta kejutan apabila dinobatkan sebagai Pelakon Wanita Terbaik pada Festival Filem Malaysia ke-26 (FFM26).

Kemenangan luar dugaan itu hadir menerusi aksi bersahajanya dalam Istanbul Aku Datang, sekali gus menjadikan ia trofi kedua Lisa dalam kategori serupa selepas kali pertama mendakapnya pada FFM23.

“Sejujurnya saya tidak jangka untuk menang. Saya banyak dipengaruhi oleh suami (Yusry) kerana dia sering berpesan supaya jangan bekerja demi mengejar anugerah. Mungkin disebabkan industri kita terlalu kecil, jadi apabila anda menang, ada orang akan mempersoalkan. Kalau kalah pun, ada mulut mengata.

“Yusry juga mengingatkan saya, kalau diberikan rezeki, kita mesti terima sebab ia kurniaan Allah. Saya bersyukur dengan limpahan rezeki yang diberikan sepanjang tahun ini tetapi itu tidak bermakna saya jadikan setiap kejayaan itu sebagai satu misi untuk meraih lebih banyak pengiktirafan.

“Kejayaan masa lalu itu memang menyenangkan tetapi kita harus meneruskan hidup dan jalaninya dengan penuh jujur, bertanggungjawab dan komited. Dalam bekerja, saya cuba amalkan semua nilai ini termasuklah membentuk hubungan baik dengan individu sekeliling. Percayalah, ia tidak semudah yang disangka,” tutur Lisa membuka perbualan ketika ditemui Pepatung di kediamannya dan suami.

Tahun 2014 disifatkan Lisa sebagai tempoh 12 bulan yang melapangkan. Segala pencapaiannya datang dalam bentuk yang berbeza-beza.

Pemikir
Menceburkan diri dalam dunia lakonan seawal usia 11 tahun, Lisa kemudiannya aktif dalam iklan komersial. Bermula sebagai wajah ekstra sehinggalah kini, memegang pendukung utama pelbagai naskhah hebat. Pengalaman sememangnya mematangkan Lisa. Malah, sejak awal pembabitannya, Lisa cukup dikenali sebagai selebriti yang tidak mudah melatah.

Lisa04

Selepas membulatkan hati melangkah masuk ke industri seni secara serius, Lisa rasional bahawa dia perlu bijak menjaga dan membawa diri. Bukan namanya sahaja perlu dijaga, Lisa tahu dia juga membawa nama keluarga dan selepas bergelar isteri, maruah suami dan keluarga mertua turut diambil kira.

“Saya mengambil keputusan untuk tidak buat hal. Jadi kalau hendak dikatakan bahawa saya memiliki tahap kesabaran yang tinggi, bolehlah disimpulkan ia sebenarnya berpunca daripada sikap observasi yang saya miliki. Saya suka menilai dan mengimbangi setiap tindakan sebelum membuat sebarang keputusan.

“Lagipun saya sedar bahawa setiap manusia mempunyai pendapat dan persepsi berbeza. Saya belajar untuk menghormati pendapat orang lain dan perbezaan inilah yang mewarnai dunia kita sebenarnya. Jangan membenarkan kata-kata negatif orang mempengaruhi hidup kita kerana mereka tidak bersama-sama mengharungi perjalanan hidup kita,” tegas Lisa.

Bimbingan keluarga diakui banyak membentuk dirinya yang hari ini. Berkongsi hidup bersama lelaki yang mengamalkan prinsip setara juga mengutuhkan lagi keperibadian Lisa sebagai seorang wanita menyenangkan. Namun, dalam tenangnya, Lisa turut dikocak sifatnya sebagai pemikir berlebih-lebih.

Menjadi individu over-thinker memaksa Lisa untuk memikirkan lapisan demi lapisan perkara-perkara yang menjentik perasaannya. Personaliti semula jadinya ini adakala dijadikan kekuatan kerana ia membenarkan rasional dirinya mengimbangi semula penguasaan emosi. Ada waktu, ia dianggap satu kelemahan sehingga menyebabkan dia tidak tidur semalaman dek terlalu memikirkan sesuatu hal secara mendalam.

Teguran peminat di laman sosial misalnya, boleh mendorong Lisa untuk berfikir tentang pelbagai kemungkinan. Komen-komen di Instagram terutamanya, memang diperhitungkan Lisa bagi memperbaiki diri sendiri atau sekadar mahu melihat respons pengikut akaunnya. Teguran positif yang membina diterima Lisa dengan hati terbuka, tetapi mana-mana komen yang seakan-akan menghina dirinya akan cuba diabaikan.

“Jatuh air muka saya apabila terbaca komen-komen negatif,” jujur pengakuan Lisa.

Jadi hantu
Kecemerlangan Lisa memikul watak Lena menerusi Dendam Orang Mati telah menyalakan harapan ramai peminatnya untuk sekali lagi menyaksikan Lisa muncul dalam layar filem seram. Jika datang tawaran filem hantu selepas ini, Lisa mungkin menolak. Bagaimanapun, sekiranya skrip tersebut lebih mencabar daripada Dendam Orang Mati, tawaran itu akan dipertimbangkan.

Lisa05

Sangat tidak menggemari filem seram, pengetahuan Lisa terhadap genre tersebut sememangnya longgar. Malah, dua filem seram yang pernah ditontonnya adalah Pyscho (1960) dan The Exorcism of Emily Rose (2005), itupun ditonton dengan cara menutup mata setiap kali babak seram.

“Yusry nak tengok cerita seram tapi tak dapat sebab saya takut. Kesian juga tengok dia. Kadang-kadang saya terfikir bagaimana kalau satu hari nanti, saya kena beranikan diri tonton filem seram? Namun buat masa sekarang saya belum bersedia,” dedah Lisa.

Sekiranya kelak dia ditawarkan melakonkan watak hantu dan berkeputusan untuk menerima cabaran itu, Lisa mahu dia diberikan bengkel lakonan. Sepertimana dia dilatih Fauziah Nawi di dalam bengkel lakonan sebagai persediaan bagi menjelmakan watak Lena, begitu juga yang diharapkan Lisa untuk apa jua filem melibatkan dirinya.

Dengan adanya bengkel lakonan, Lisa dapat memantapkan persembahannya dan mengekalkan mutu lakonannya agar tidak tersasar. Barangkali ada sesetengah filem yang diterima Lisa tidak didatangkan bersama bengkel lakonan tetapi dia lebih gemar jika ia disediakan kepada para pelakon.

Biarpun sesebuah watak itu dipandang ringan orang lain, namun Lisa mahu ia dihidupkan dengan berkesan. Justeru, bengkel lakonan penting bagi membimbing dirinya. Begitu juga watak-watak yang memerlukan kajian dan pembelajaran selama berbulan-bulan, cabaran ini amat dinanti-nantikan Lisa.

2015
Lembaran baharu 2015 bakal menyaksikan kelibat Lisa dalam tiga buah filem. Januari ini, wajah Lisa akan ke panggung menerusi filem Suamiku Encik Perfect 10 yang menyaksikan gandingan romantis pertamanya bersama Aaron Aziz. Terdahulu, dalam Ombak Rindu (2011), padanan Lisa dan Aaron bersifat tidak sefahaman. Sebagai Mila Amylia, cintanya terhadap Hariz (Aaron) hanya bertepuk sebelah tangan.

Bagaimanapun dalam naskhah baharu itu, penonton akan melihat aksi romantik sulung Lisa dan Aaron. Karya adaptasi novel tulisan Syamnuriezmil itu pada asalnya dirakamkan untuk telemovie. Selepas melihat potensi filem arahan Feroz Kadir itu, Astro Shaw dan Global Station kemudiannya mengubah skalanya untuk standard layar perak.

Melakonkan watak Aleeya Azmeen, cabaran terbesar Lisa dalam Suamiku Encik Perfect 10 adalah mendukung peranan seorang wanita hamil. Sepanjang cerita, Lisa perlu menonjolkan sisi wanita yang dipengaruhi perubahan hormon, moody dan ekstra sensitif.

Menjelang Mac pula, Lisa akan muncul dalam sekuel ketiga Cicakman yang menerima jalan cerita baharu. Karya usahasama KRU Studios, Grand Brilliance dan Tayangan Unggul ini meletakkan kepercayaan kepada Lisa untuk memegang peranan sebagai Linda, isteri kepada teraju utama, Man (Zizan Razak).

Filem ketiga melibatkan Lisa tahun pada tahun 2015 adalah Sinaran, arahan Osman Ali. Belum diumumkan tarikh tayangannya, Sinaran menggandingkan Lisa dan aktor kacak Indonesia, Evan Sanders. Naskhah berbentuk muzikal ini akan memuatkan lagu-lagu dendangan Ratu Jazz negara, Datuk Sheila Majid dan ia menjadi filem muzikal pertama buat Lisa.

“Namun semua nyanyian melibatkan saya dalam filem ini dirakamkan oleh orang lain kerana pada awalnya saya hanya ditawarkan untuk berlakon, bukan menyanyi. Jadi saya hanya menggerakkan bibir (miming) pada babak-babak menyanyi,” kongsi Lisa.

Jika dinilai sekali imbas, 2015 akan menjadi satu lagi tahun produktif untuk Lisa. Sedang menikmati hari-hari cutinya dan bebas daripada sebarang penggambaran, Lisa berhasrat untuk lebih aktif di kaca televisyen menjelang tahun depan. Biarpun sayang untuk ‘mengurangkan’ kemunculannya dalam filem, Lisa akui dia perlu bersifat lebih selektif.

Sejak dulu, Lisa selektif memilih watak yang ditawarkan. Biarpun pernah suatu ketika wajahnya muncul terlalu kerap di pawagam, langkah itu sengaja diambil Lisa bagi mengutip seberapa banyak pengalaman sebelum memutuskan untuk memperlahankan penerimaan tawaran lakonan.

“Mungkin ada orang fikir saya tidak selektif tetapi sebenarnya dari awal penyertaan dalam dunia lakonan, saya amat berhati-hati untuk menyatakan persetujuan dalam sesebuah projek.

“Cuma sekarang saya berharap untuk diberi peluang sekali lagi merakamkan suara bagi filem animasi. Sebelum ini saya pernah menjayakan alih bahasa untuk filem Smurf, Smurf 2, Madagascar dan Despicable Me 2.

“Berlakon menggunakan suara memang mencabar kerana kita hanya bergantung kepada suara untuk menghidupkan watak,” ceritanya teruja dan berpuas hati kerana dapat menyumbangkan sesuatu bagi menggembirakan kanak-kanak.

Selain pengisian waktu untuk kerjaya dan keluarga, Lisa juga berharap untuk lebih konsisten dengan waktu senamannya. Sesi senaman selama satu jam bersama jurulatih kecergasan yang dijalankan di rumahnya akan dijadikan sebagai satu komitmen dalam rutin mingguan. Senaman pilates juga sedang dalam perancangannya kerana ia satu-satunya riadah bersesuaian untuk dilakukan bersama-sama ibunya.

2 KOMENTAR

TINGGALKAN RESPONS

Sila masukkan komen!
Masukkan nama anda di sini