Langkah Komersial Idris Khan & Malek Mccrone

0
137

DUA jejaka tampan pada usia 20-an sedang meniti peralihan fasa dalam hidup dan karier. Seorang bermula sebagai pelumba basikal bertukar kepada model pentas peragaan. Seorang lagi menapak selangkah ke hadapan daripada gelaran model kepada pelakon. Kedua-duanya gigih mencipta nama. Tidak sekadar bersandar pada rupa, percaturan Malek Mccrone dan Idris Khan untuk membina tapak dalam industri seni dan fesyen tanah air turut disertai bakat dan kerja keras.

MalekIdris02FOTO: PINOGRAPHY (@pinographyofficial) | GRAFIK: OMAR BENJAMIN FAHMY | SOLEKAN: ARY MUZAMER (@arymuzamer) | PAKAIAN: PINOPANDA (@pinopandamy), H&M (@hm) & ZARA (@zara) | LOKASI: ORKED AND MAYSAA (@orkedandmaysaa) | PENATA GAYA: DENSDROBE (@densdrobe)

Malek, kacukan Melayu-Kanada manakala Idris berdarah campuran Melayu-Pakistan (datuknya orang Pakistan) digabungkan istimewa sebagai Wajah Pepatung edisi Ogos. Malah mereka bakal memeriahkan pentas Minggu Fesyen Kuala Lumpur (KLFW) 2015 yang akan berlangsung pada 12 hingga 16 Ogos depan.

Wajah komersial Malek dan Idris dihidangkan dalam lapangan seni tempatan sebagai pelapis yang wajar diberi perhatian. Bergerak di bawah pengurusan Top Star Management, Malek, 21, dan Idris, 27, merupakan bakat segar yang amat ditagih industri seni.

Siapa menduga, pelumba basikal elit suatu ketika dahulu kini mengubah haluan treknya ke pentas peragaan. Sejak di bangku sekolah, Malek Marcus Mccrone aktif bersukan. Bermula sebagai atlet renang mewakili Selangor pada usia 13 tahun, anak jati Shah Alam itu kemudiannya mengubah cabang kecergasannya terhadap sukan lain selepas ibu bapanya mendapati gred pelajarannya merosot.

Triatlon, sukan yang menggabungkan renang, berbasikal dan larian jarak jauh menjadi acara ‘baharu’ Malek. Dari situ, dia mendapati bahawa berbasikal merupakan sukan paling sesuai untuknya. Tidak menunggu masa yang lama, Malek memohon untuk menyertai pasukan berbasikal Selangor dan aktif selama setahun.

Ketika menyertai satu perlumbaan di Kuala Lumpur, Malek mengalami kemalangan sehingga dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU). Tragedi itu memaksanya untuk berundur daripada sukan berbasikal. Sepanjang bergelar pelajar tingkatan 4, tanpa penglibatan dalam mana-mana sukan, mudah bagi berat badan Malek naik mendadak mencecah 110 kilogram.

Justeru apabila menaiki tingkatan 5, Malek kembali menyertai pasukan berbasikal dan berjaya meraih pingat emas pada temasya Sukan Malaysia (Sukma) 2011 dalam acara pecut berpasukan diikuti dengan pingat emas dalam acara 1 kilometer pada Sukma 2012.

Kecemerlangan Malek pada Kejohanan Trek Dunia Remaja di New Zealand yang berlangsung pada Ogos 2012 telah memancing Majlis Sukan Negara (MSN) untuk mengelompokkannya dalam skuad elit kebangsaan. Justeru, dia dihantar ke Melbourne, Australia bagi menjalani latihan selama lapan bulan untuk persediaan ke Siri Piala Dunia Trek 2012-13 di Cali, Colombia.

Pendedahan demi pendedahan antarabangsa dilalui Malek sehinggalah dia sekali lagi mengalami kemalangan dalam satu perlumbaan di Australia, tiga minggu sebelum ke perlumbaan besar. Selama sebulan setengah dia tidak boleh berjalan dan keadaan itu telah membunuh motivasi dan menggugat emosi Malek. Kekecewaan itu membawa Malek pulang ke tanah air.

Malek01

“Dahulu fokus saya hanya terhadap sukan berbasikal dan apabila ia tidak lagi menjadi keutamaan, saya buntu untuk melalui kehidupan mendatang. Selepas duduk di rumah hampir tiga bulan, bapa saya mencadangkan agar saya berhijrah ke Kanada dan memulakan hidup baharu,” kongsi Malek yang bakal memulakan pengajian dalam bidang pengurusan perniagaan di Kolej Universiti KDU pada September depan.

Berbekalkan AS$3,000, Malek terbang ke Kanada tanpa sebarang hala tuju yang jelas. Tanpa seorang pun kenalan, dia duduk di hostel selama dua minggu dan mula mencari pekerjaan dan tempat tinggal. Akhirnya, Malek berhasil mendapat kerja sebagai buruh binaan dan ditugaskan melakukan kerja-kerja pemecahan (demolition).

Pada usia 19 tahun, Malek belajar erti survival di tanah asing tanpa dikelilingi keluarga mahupun sahabat. Hasil wang pekerjaannya digunakan bagi membiayai kehidupan di sana termasuk membeli trak sendiri, model Chevrolet 1997.

“Apabila hidup tanpa bergantung kepada ibu bapa, hanya kerja menjadi keutamaan saya. Maka setiap kali ada projek, tidak kiralah pada hari cuti umum ataupun perlu bekerja selama 12 hingga 14 jam sehari, saya akan terima.

“Kepulangan saya pada Disember tahun lalu pun disebabkan kecederaan (tulang belakang patah) termasuk mengalami sindrom yang membuatkan tangan menggigil pada waktu pagi. Sebenarnya saya merancang untuk pulang ke Malaysia sementara sahaja tetapi selepas tawaran dalam bidang peragaan kian rancak, niat itu terus dibatalkan,” ujar anak sulung daripada tiga adik-beradik itu.

Kerjaya modelling Malek bermula selepas dia ditawarkan untuk muncul dalam halaman fesyen majalah lelaki tempatan. Ia disusuli dengan penyertaan sulungnya pada pertunjukan fesyen Zalora di bawah slot pereka fesyen tanah air, Zery Zamry.

“Sukan dan peragaan merupakan dua bidang yang amat berbeza. Saya sifatkan ia sebagai perubahan 360 darjah dalam kehidupan saya. Dahulu saya hanya fokus untuk menjadi lebih kuat dan hebat di trek perlumbaan dan langsung tidak peduli soal penjagaan peribadi.

“Sekarang segalanya tentang grooming dan penampilan berpakaian mula saya beri perhatian. Kalau dahulu asalkan baju tidak renyuk atau kedut dan dipadankan dengan seluar pendek, sudah mencukupi,” kongsi Malek yang berhasrat untuk mengacarakan program kembara ekstrem seperti Man vs Wild yang dikemudi idolanya, Bear Grylls.

Backpacking

Masih berbasikal tiga kali seminggu, namun hasrat untuk kembali sebagai pelumba profesional lebih banyak dipatahkan beberapa sebab. Selain mahu menumpukan perhatian terhadap pelajaran, Malek juga sedang asyik dengan minat baharunya iaitu kembara berbeg galas (backpacking).

Pengembaraan solo bertemankan beg galas menjadi kepuasan nombor 1 terkini buat Malek. Peluang menjalin kenalan dengan orang asing, mengasah keberanian dalam bertanya soalan, mempelajari budaya dan kehidupan orang lain, kesemuanya amat mempesonakan deria Malek.

“Lebih mencabar pengembaraan itu, lebih baik,” simpulnya ringkas.

Hatyai, Thailand merupakan destinasi backpacking pertama Malek. Dari situ, dia ke Koh Phangan selama dua minggu diikuti Bangkok untuk seminggu sebelum kembali ke Malaysia. Jelajah keduanya pula melibatkan laluan yang bermula di Bangkok – Koh Phangan – Chiang Mai – Bangkok – Kuala Lumpur.

Malek02

Baru-baru ini, Malek ke Koh Tao selama seminggu bagi mengikuti aktiviti menyelam. Kemudian dia menaiki bas ke Bangkok dan terus ke Kemboja bagi menjelajah negara itu untuk tempoh sebulan.

“Ketika di Kemboja, saya pergi berdua bersama rakan. Kami telah ditipu ketika membeli tiket bas ke Bangkok. Akibatnya wang baki untuk membeli tiket bas baharu tidak mencukupi. Demi tidak terlepas penerbangan pulang ke Kuala Lumpur, kami terpaksa merayu mendapatkan dua tiket bas baharu menggunakan baki wang yang ada.

“Mujur penjual tiket itu bermurah hati. Kami tergesa-gesa menaiki tuk-tuk menuju ke stesen bas. Nasib kami baik kerana berjaya menaiki bas dua minit sebelum ia bertolak,” imbas Malek yang tidak menggemari backpacking terancang.

Menetapkan sebulan sebagai tempoh backpacking paling minimum, itinerari liburan spontan Malek amat santai. Sekiranya tiada tempat penginapan, dia akan bermalam di pantai ataupun stesen bas. Pernah dua hingga tiga hari dia tidur beralaskan pasir pantai beratapkan langit malam.

“Dalam tempoh pengajian saya akan hentikan seketika aktiviti backpacking. Saya memasang hasrat untuk menakluk puncak Gunung Everest dan berharap ia dapat dikotakan sebelum umur 27 atau 28 tahun,” demikian Malek mendedahkan cita-cita besarnya.

Tuah Abang Sado Kau Ado

Jika tuah Malek bermula daripada trek berbasikal, Muhammad Idris Abdul Ghaffar Iskandar Khan atau dikenali sebagai Idris Khan pula terlebih dahulu mengharum namanya di pentas peragaan tempatan. Hampir 10 tahun wajah komersialnya mengisi majalah-majalah fesyen lokal dan pertunjukan fesyen. Kini kariernya bercambah ke peringkat baharu selepas muncul dalam drama televisyen.

Lahir di Libya, perjalanan hidup Idris diwarnai pahit manis pengalaman berpindah-randah. Bapanya yang bertugas sebagai pegawai diplomatik memaksa Idris untuk turut mengikuti ke mana sahaja bapanya ditempatkan. Dia pernah bersekolah di Paris (Perancis), Belgium, Oman, Taiwan dan Pakistan.

Idris002

“Meskipun sering berpindah negara, saya tidaklah menguasai kesemua bahasa setiap negara kerana saya bersekolah di sekolah antarabangsa yang menggunakan bahasa Inggeris.

“Saya dihantar pulang ke Malaysia pada umur 16 tahun dan dimasukkan ke sekolah berasrama. Tiga bulan pertama memang mencabar kerana saya tidak fasih berbahasa Melayu. Mujur saya individu yang cepat belajar dan menyesuaikan diri dengan persekitaran baharu,” ujar Idris yang memiliki ijazah sarjana muda perniagaan antarabangsa daripada HELP University.

Zaman kolejnya menyaksikan permulaan Idris sebagai model separuh masa. KLFW 2008 menjadi medan sulung Idris mempertaruhkan bakat peragaannya. Kebolehan semula jadi Idris telah membawanya muncul di pentas-pentas antarabangsa seperti di Indonesia, Singapura dan Hong Kong. Malah tahun ini dia berhasrat untuk terbang ke Milan, Itali, kota tumpuan fesyen seantero dunia.

Bagaimanapun hasrat itu terpaksa ditangguhkan ekoran tawaran lakonan yang semakin banyak. Selepas muncul dalam drama berepisod, Puteri Gunung Ledang di HyppTV, rezeki lakonan Idris mencurah-curah. Apatah lagi selepas menggalas watak utama dalam drama khas Aidilfitri lalu, Abang Sado Kau Ado yang bersiaran di TV3, nama Idris melonjak naik.

Idris01

Baru sahaja menamatkan penggambaran drama 24 episod, Abang Sado Jemur Kain, Idris tidak menunggu lama untuk kembali ke set penggambaran. Kini dia sedang menjalani penggambaran untuk drama 80 episod, Uda dan Dara yang bakal bersiaran di Astro Mustika. Menerusi Uda dan Dara, Idris diberi kepercayaan memegang watak pembantu pelakon utama di samping Zul Ariffin dan Siti Saleha.

“Saya tidak pernah berminat untuk berlakon. Memang dahulu pernah beberapa kali menerima tawaran tetapi apabila memikirkan saya perlu menunggu ketika berada di set penggambaran, saya terus menolak semua tawaran. Hanya selepas menyertai bidang ini, saya dapati ia tidaklah seperti yang saya bayangkan,” tambah anak kelima daripada enam adik-beradik lelaki itu.

Selain sibuk dengan kerjaya lakonan dan peragaan, Idris juga sudah berjinak-jinak dalam dunia perniagaan. Bersama-sama rakannya, Idris membuka sebuah restoran, Eat With Mune yang baru sahaja berpindah dari Solaris Mont Kiara ke Publika.

Restoran yang telah beroperasi sejak Januari itu mengetengahkan konsep makanan sihat. Ia tidak hanya menyediakan salad mahupun sayur-sayuran tetapi pelbagai menu berat seperti nasi lemak dan nasi ulam yang dihasilkan dalam versi sihat (seimbang).

TINGGALKAN RESPONS

Sila masukkan komen!
Masukkan nama anda di sini