BERBUAL dengan Wan Maimunah Abdul Aziz ibarat bercerita dengan ibu sendiri. Sebagaimana selesanya beliau menggelar diri sebagai ibu, demikianlah keselesaan yang tercipta antara kami, warga kerja Pepatung ketika menjalankan sesi fotografi dan temu bual bersamanya di The Settlement Hotel, Melaka.

FOTO: PINOGRAPHY (@pinography) | TEKS: ALIF ABU BAKAR (@alif_ashburn) | SOLEKAN: SOFIA YANTIE (@makeupbysofiayantie) | GRAFIK: OMAR BENJAMIN FAHMY (@sutamaya) | PAKAIAN: OWL BY ND (@owlbynd), ILAILA.CO (@ilaila.co), ELFIRA LOY (@el.elfiraloy) & ADRIANNA YARIQA (@adriannayariqa) | TUDUNG: SAI RTW (@sai.rtw) & SHAWL BY V SNOW (@shawlbyvsnow) | LOKASI: THE SETTLEMENT HOTEL (@the_settlement_hotel)

Pada usia 64 tahun, kudrat dramatis itu masih kuat. Profesionalismenya menjayakan fotografi dengan berganti beberapa pasang pakaian juga lebih baik jika dibandingkan dengan artis-artis muda.

Aura orang lama. Tidak sukar membidik foto Wan Maimunah kerana beliau bijak beraksi di depan kamera. Ekspresi dan gaya dijelmakan dengan bersahaja. Disuruh baring tepi kolam di bawah terik matahari, beliau turuti tanpa bantahan.

Begitu tinggi disiplin dan komitmen yang ditampilkan pelakon berpengalaman lebih 50 tahun itu. Tidak mencebik, mengeluh, jauh sekali mengarah-arahkan kami, anak-anak muda ini untuk mengikut kehendaknya.

Sepanjang berurusan dengan selebriti, Wan Maimunah ialah subjek paling berdedikasi dan memberi kerjasama paling baik. Sedangkan beliau sudah layak digelar legenda industri seni negara. Tidak terhakis seinci pun kerendahan hati dan kemesraannya melayani orang sekeliling.

Di kaca TV, kita mengenali Wan Maimunah sebagai ratu air mata. Mainan emosinya luar biasa. Persembahan karakternya sentiasa bernyawa. Vokalnya sebagai Mak Kundur dalam filem animasi Putih (2001) sahaja mampu menanamkan kebencian penonton kepadanya.

Diperhebatkan lagi dengan kecemerlangannya dalam telefilem Quran Buruk yang bersiaran pada 2004. Watak lucunya juga menggeletek hati penonton. Mencipta nama menerusi genre komedi Pi Mai Pi Mai Tang Tu sebagai Mak Usu (1985 – 1997), Wan Maimunah pernah menjulang trofi Pelakon Komedi Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular (ABPBH) untuk lima tahun berturut-turut (1992, 1993, 1994, 1995 & 1996/97).

FOTO/PINOGRAPHY

Penonton melihat Wan Maimunah sebagai pelakon serba boleh. Generasi yang membesar dengan lakonan Wan Maimunah mengakui betapa berkesannya lakonan anak kelahiran Johor itu. Beliau memenangi hati penonton dengan bakat, anugerah kurniaan Allah yang disyukurinya sehingga kini.

“Ibu bukan pelakon yang cerdik. Belajar pun setakat darjah 6 sahaja. Bukan keluarga tak mampu, tapi ibu sendiri minta kepada ibu bapa untuk tidak bersekolah di peringkat menengah.

“Bagaimanapun, ibu masih mengikuti kelas-kelas kesenian seperti jahitan dan kebudayaan. Ibu sangat aktif dalam teater dan tarian. Darah seni ibu memang mengalir sejak kecil.

“Bermula sebagai wakil negeri pertandingan drama, seterusnya ibu mencuba nasib di Kuala Lumpur sekitar awal 1970-an. Ketika itu, keluarga Fauziah Nawi menjadi keluarga angkat ibu. Mereka yang membawa ibu ke Angkasapuri.

“Ketika itu ibu diberi peluang menjadi pelakon ekstra dengan bayaran RM30 sehari. Lama-kelamaan, ibu diberi kepercayaan untuk berdialog. Sehinggalah tuah menggantikan pelakon lain untuk sebuah teater arahan Khalid Salleh, keberadaan ibu dalam industri mula dipandang serius,” imbas Wan Maimunah.

Tak hafal skrip

Formula di sebalik penghayatan hebat Wan Maimunah dalam lakonannya adalah kefahaman. Setiap pergerakan baginya memerlukan roh. Hubung kait pakaian, prop dan solekan juga memainkan peranan penting dalam mengindahkan karakter, babak dan sesebuah karya.

FOTO/PINOGRAPHY

Untuk menangis misalnya, Wan Maimunah memilih untuk memahami skrip secara keseluruhan. Bermakna, bukan babak melibatkan dirinya sahaja dibaca, bahkan kesemua dialog pelakon lain turut diteliti bagi mendapatkan gambaran penuh drama atau filem tersebut.

“Ibu sentiasa berdoa agar dijauhkan sifat riak. Ibu berkongsi cara ibu ini bukan untuk membuktikan bahawa ibu bagus, atau cara orang lain salah. Ibu selesa memahami skrip berbanding menghafal.

“Kadang-kadang orang tanya, menangis betul-betul ke masa berlakon? Ada juga yang ingat ibu sapu minyak cap kapak bawah mata. Ibu pernah cuba bubuh Eye Mo, tapi tak menjadi. Ibu langsung tak boleh buka mulut, tumpuan ibu hilang.

“Untuk menangis atau menghidupkan ekspresi dan emosi menuntut kefahaman watak. Pembinaan watak pun akan lebih mudah jika kita benar-benar memahami karakter yang kita mainkan,” jelas Wan Maimunah yang mengelaskan Quran Buruk sebagai karya paling mencabar pernah dijayakan.

Ketika baru berjinak-jinak dalam lakonan, Wan Maimunah banyak berlatih di luar set, di rumah khususnya. Skripnya juga penuh contengan, sehingga terbit rasa malu untuk meminjamkan skrip kepada pelakon lain. Sebagai pelakon, Wan Maimunah berasa bertanggungjawab untuk mengupas karakter sehingga ke akar umbi.

Justeru, apabila ditawarkan karakter sebagai doktor atau peguam, Wan Maimunah menolak dengan baik. Bayaran bukan keutamaan dalam kariernya sebagai pelakon. Baginya, biarlah karakter yang diamanahkan bersesuaian dengan kemampuan dan tahap pengetahuannya.

FOTO/PINOGRAPHY

“Lakonan ibu adalah ibadat dan dakwah kepada orang ramai. Berdakwah tidak semestinya di surau dan masjid. Setiap patah dialog memberi erti kepada penonton dan ibu sendiri. Disebabkan itu, kadang-kadang, dengan izin Allah, sepotong dialog mampu memberikan impak yang besar,” sambung Wan Maimunah yang tidak pernah menetapkan bayaran untuk setiap kerjanya.

Mengulas isu kekurangan muncul di kaca TV, Wan Maimunah berterus-terang bahawa undangan lakonan semakin berkurangan. Begitupun, beliau tidak merajuk atau berkecil hati dengan layanan industri kepada pelakon veteran sepertinya.

Nasib yang menimpa dirinya adalah kitaran normal penggiat seni di Malaysia. Ia telah terjadi sejak dulu, dan mungkin akan dirasai pelakon-pelakon baharu kelak.

Biarpun kurang tawaran berlakon, Wan Maimunah tidak putus semangat. Beliau percaya rezekinya masih terbuka luas. Sebagai manusia, kita hanya mampu merancang, sebaik-baik perancangan itu datangnya daripada Allah.

Untuk menetapkan jangka masa aktif dalam dunia seni juga, Wan Maimunah tiada jawapannya. Pernah terbit rasa kecewa dengan industri, tetapi mengenangkan permintaan orang ramai yang rindu untuk melihatnya di kaca TV, beliau memilih untuk terus berlakon.

“Selagi diizinkan Allah, InsyaAllah ibu akan terus berlakon,” demikian harapan yang dipasang Wan Maimunah sebelum menutup perbualan.

Bagi mereka yang merindui lakonan Wan Maimunah, jangan lupa menonton telefilem istimewa sempena Aidiladha, Air Zam Zam Untuk Mak yang akan bersiaran hari ini (1 September 2017) di TV3 pada pukul 9 malam.

TINGGALKAN RESPONS

Sila masukkan komen!
Masukkan nama anda di sini