Wajah Pepatung

Kompas cinta Lana, David

By  | 

TANGGAL 15 Mei depan bakal menyaksikan pelakon Lana Nodin riang menelusuri momen bahagia bergelar raja sehari. Detik itu juga, jiwa wanita Lana pasti ranum dibenihkan dengan bibit-bibit cinta bersama seorang lelaki yang bakal menzahirkan predikat tunggal sebagai suaminya yang sah. Bakal disatukan dengan atlet bola tampar dari Amerika Syarikat (AS), David McKienzie, Lana atau nama lengkapnya Mazlina Hasan Nodin nyata teruja menantikan hari bersejarahnya itu.

Lana01
FOTO: PINOGRAPHY | GRAFIK: OMAR BENJAMIN FAHMY | BUSANA: KHOON HOOI (@khoonhooi) & PINOGRAPHY | SOLEKAN: RAZZI MUSA (@razzimusa)

Saya dan David kini sedang sibuk menyelesaikan beberapa perkara berkaitan perkahwinan kami. Dalam masa yang sama, kami juga sedang menguruskan perihal penginapan keluarga sebelah ibu saya yang akan datang dari Sarawak serta keluarga dan teman-teman David dari AS.

“Urusan resepsi pula diuruskan sepenuhnya oleh perancang majlis. Walaupun agak sibuk, saya dan David tetap teruja menantikan hari bahagia kami,” tuturnya membuka bicara.

Bercerita tentang majlis resepsinya yang akan berlangsung di Hotel Palace of Golden Horses, Kuala Lumpur, Lana hanya menitikberatkan tentang perkara-perkara yang wajib. Ujar pelakon drama bersiri Ajaibnya Cinta itu, hasrat hatinya memang mengidamkan dua majlis serba lengkap dan sempurna. Namun disebabkan kecemburuan masa, majlis yang sederhana sudah memadai baginya.

Kalau boleh, saya mengimpikan dua majlis resepsi iaitu tradisional dan moden. Maklumlah, David tidak pernah merasai resepsi tradisional Melayu sebelum ini.

Begitupun disebabkan masa yang tidak mengizinkan, saya harus menggerakkan sebuah acara sederhana tetapi lengkap setiap aturannya,” tambah Lana yang bakal menggayakan busana rekaan Atilia Amani pada resepsinya kelak.

Mengimbau kembali detik perkenalan antara Lana dan bakal suaminya, pasangan bahagia itu bertemu buat kali pertama di sebuah majlis sukan yang diadakan di Singapura pada 25 Oktober tahun lalu. Tidak sampai setahun berkenalan, David atau nama Islamnya Daud McKienzie melahirkan hasrat murninya untuk memperisterikan Lana.

Momen bahagia itu berlaku dengan begitu pantas iaitu pada 3 Januari lalu sewaktu Lana dan David berpergian ke New York, AS. Persetujuan diberikan lantas kedua-duanya memilih untuk melangsungkan perkahwinan dalam masa terdekat memandangkan David bakal terlibat dalam jelajah bola tampar pada Jun sehingga September depan. Usai majlis perkahwinan kelak, Lana bakal mengikut David terbang ke AS dan menghabiskan masa di sana menemani buah hatinya itu.

Lana-02

Saya akan berada di sana sehingga David tamat jelajah bola tamparnya. Kemungkinan besar saya akan berpuasa dan seterusnya menyambut Syawal di AS,” kongsi Lana.

Lana dan David akan kembali ke tanah air selepas David menamatkan jelajah tersebut. Tambah Lana: “Tamat sahaja jelajah itu, David akan kembali ke Singapura dan seterusnya ke Malaysia. Dia merancang untuk membuka akademi bola tampar di sini. Jadi, mungkin saya akan berulang-alik ke Singapura dengan kadar yang kerap,” ujarnya lagi.

Melanjutkan bicara mengenai bakal suaminya itu, Lana melahirkan rasa bersyukur kerana kebanyakan orang boleh menerima kehadiran David dalam hidupnya.

Alhamdulillah, David diterima dengan baik oleh keluarga, rakan-rakan dan peminat saya. Mungkin kerana dia tidak sombong dan tidak pernah dikaitkan dengan kontroversi. Jadi, ramai yang senang dengan kehadirannya,” tutur Lana dalam nada bahagia.

Lana03

Melihat pada kekerapannya berulang-alik dari Singapura, AS dan Malaysia, pastinya kotak fikiran lekas menerka bahawa Lana bakal memperlahankan kariernya sebagai seorang pelakon. Bahkan, sudah ada yang berpendapat, perkahwinan Lana bakal menjadi tanda pengakhiran buat pelakon itu yang mula mengukir nama sejak 11 tahun lalu.

Namun, getus pelakon yang mula dikenali menerusi telefilem Tidurlah Permaisuri itu, perkahwinan bukan halangan utama untuknya terus memekarkan nama sebagai seorang pemain watak. Malah, dia bercita-cita mahu mengembangkan sayapnya sehingga ke luar negara jika diberikan peluang.

Berkahwin bukan bermaksud karier lakonan akan berakhir. Lakonan adalah jiwa saya dan saya masih tetap akan berlakon. Cuma tidaklah sekerap dulu. Mungkin jika diberi watak yang sesuai dan tidak berhadapan dengan masalah kekangan masa, saya akan berlakon.

Lagipun, apabila saya sudah berada di AS, mungkin karier saya akan bertambah perlahan. Namun, itu tidak bererti saya meninggalkan terus dunia lakonan. Jika saya bosan, mungkin saya akan menyertai kelas lakonan yang banyak ditawarkan di sana. Mana tahu, saya boleh membina nama di sana,” ujar Lana berseloroh.

Lana05

Menginjak perihal perancangan untuk membina keluarga, Lana memberitahu, dia tidak menolak jika ditakdirkan menimang anak dalam masa yang terdekat.

Saya tidak kisah. Terpulang pada rezeki. Jika boleh saya mahu empat orang cahaya mata. Namun, David hanya mahu dua!” katanya sambil tertawa.

Comments

comments

Memulakan karier sebagai pembantu editorial untuk sebuah majalah bertemakan perkahwinan sekitar empat tahun yang lalu, langkah jejaka ini dalam bidang penulisan semakin berkembang tatkala idea untuk membina empayar kandungan digital Pepatung tercetus olehnya.

Tinggalkan Komen

Your email address will not be published. Required fields are marked *