Kesediaan Hijrah Erra Fazira

1
51

ARTIS wanita berhijrah dan muncul dengan imej bertudung diibaratkan seperti satu gelombang positif masa kini. Seorang demi seorang digerakkan hati untuk kembali menjejaki landasan murni sebagai wanita muslimah. Setiap kali berita baik itu didedahkan, ia menjadi sensasi.

Begitu juga yang terjadi kepada Erra Fazira. Keputusan berhijab pada usia 41 tahun menjadi topik perbualan utama dunia hiburan tanah air. Begitu besarkah kisah artis bertudung? Wujudkah impak kepada diri mereka kesan perkongsian tersebut?

Erra04 FOTO: PINOGRAPHY (@pinographyofficial) | GRAFIK: OMAR BENJAMIN FAHMY | BUSANA: KHOON HOOI (@khoonhooiofficial / @khoonhooi), LUMIERE CONCEPT (@lumiereconcept) & SCOTTSDALE MALAYSIA (@scottsdalemalaysia) | TUDUNG: A.V.E.E.N.A HIJAB (@aveenahijab), SHAWLBYVSNOW (@shawlbyvsnow) & NOUF AMJAD (@noufamjad) | SOLEKAN: ARY MUZAMER (@arymuzamer) | PENATA GAYA: JAY AERIAL (@jayaerial), @aconitum1127, ARY MUZAMER & FIRDAUS FAIZAL (@firdaus_faizal84)

“Terdapat impak positif dan negatif. Memandangkan artis merupakan kelompok yang sering diperhatikan masyarakat, penghijrahan mereka berkemungkinan mampu untuk mengajak orang lain untuk sama-sama berubah ke arah kebaikan.

“Selama inipun, masyarakat dipaparkan dengan kisah-kisah peribadi kurang manis yang menimpa seseorang artis. Jadi mengapa tidak perubahan baik seperti penghijrahan mereka juga dikongsikan kepada umum? Ia membuktikan bahawa artis juga manusia biasa yang ada baik buruknya.

“Dari sudut negatifnya, timbul kebimbangan perkongsian menggembirakan itu akan dianggap satu bentuk riak. Sedangkan tidak terdetik sedikitpun untuk menunjuk-nunjuk,” Erra berkongsi pandangan sebagai pendahulu kata.

Lama dipendam keinginan untuk berhijab. Malah suatu ketika dahulu Erra atau nama sebenarnya, Fazira Wan Chek mengakui pernah tergerak hati untuk bertudung. Namun perasaan itu diabaikan. Apabila ia bertandang lagi, Erra berasa tidak perlu mencipta alasan lagi.

Malam sebelum dia membulatkan keputusan, jiwanya bergelora. Semangat dan sokongan penuh pemberian puteri kesayangan, Engku Aleesya Engku Emran, 6, dan ibu, Azizah Zaik juga tidak memadamkan keresahan itu. Solat sunat didirikan, runtunan doa dipanjatkan kepada Allah.

“Mungkin kedengaran macam drama TV tetapi memang benar, saya menangis ketika berdoa. Gelora yang saya rasai ketika itu benar-benar mengusik perasaan,” tambah Erra.

Malam itu tidurnya ditemani debaran kencang. Mujur segalanya tenang menjelang pagi. Pagi itu, bermulalah fasa baharu dalam kehidupan Erra. Meskipun sebelum ini mengenakan tudung bukan satu rutin buat Erra, tetapi ia juga bukanlah tuntutan yang mengejutkan.

Menghadiri beberapa urusan dan acara yang memerlukan pemakaian tudung sedikit sebanyak membantu. Koleksi tudungnya juga banyak, tidak perlu tergesa-gesa membeli yang baharu. Sejak setahun lalu, Erra kerap bertudung bila keluar rumah terutamanya ke kelas agama. Ia dijadikan proses melatih diri sebelum bertudung penuh.

Bagi Erra, penerimaan masyarakat hari ini terhadap wanita bertudung juga berbeza. Seperti yang pernah didengarnya sebelum ini, pada era 1980-an, wanita yang bertudung di dalam sesebuah pejabat pasti dipandang pelik. Namun persekitaran itu sudah berubah.

Erra02FOTO/PINOGRAPHY

“Tawaran kerja dalam kalangan artis wanita yang bertudung juga kian positif. Keterbukaan stesen-stesen TV tempatan menerima artis berhijab untuk berlakon atau menjadi pengacara juga menggalakkan lebih ramai artis untuk berhijrah.

“Mungkin ramai artis wanita di luar sana yang berhasrat untuk berhijab tetapi bimbang keputusan tersebut bakal menyekat atau mengurangkan tawaran pekerjaan.

“Saya memahami perasaan mereka kerana saya antara artis yang bergantung penuh dalam bidang seni. Industri hiburan merupakan periuk nasi saya dan itu mendorong saya untuk menjadi realistik. Memang benar, rezeki itu pemberian Allah tetapi  hampir 100 peratus rezeki saya terhasil daripada berlakon, mengacara dan menyanyi.

“Ekonomi keluarga perlu ditampungi dan saya mempunyai perkiraan peribadi yang tidak diketahui orang. Alhamdulillah perhitungan itu dipermudahkan Allah,” ujar Erra.

Perubahan berperingkat

Pemegang dua trofi Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia (FFM) itu turut berharap agar masyarakat tidak menjangakakan perubahan drastik daripadanya. Erra sedar betapa menyeluruhnya konsep menutup aurat yang dituntut ke atas wanita. Bertudung sahaja belum memadai. Perlu diikuti dengan syarat berpakaian berpandukan syarak.

Mujur sejak dulu Erra tidak menggemari pakaian seksi. Maka kebanyakan pakaiannya longgar, sesuai dengan keperibadian wanita bertudung. Bagaimanapun seluar dan jean masih dikenakan, tanda jiwa ranggi tidak berkurang sedikitpun.

Menjadikan jubah atau helaian muslimah lain sebagai pakaian harian memerlukan penyesuaian berperingkat. Lagipun penghijrahan fizikal sebegitu baginya mampu dilakukan semua orang. Sedangkan perubahan dalaman itu lebih penting. Ia aspek paling digusari Erra kerana perubahan bermula dari hati memerlukan pengertian jelas antara diri sendiri dengan Sang Pencipta.

“Namun jangan sesekali menilai pilihan orang untuk berhijrah. Ada wanita bertudung kerana trend atau secara paksaan. Siapa tahu apabila ia dijadikan rutin, lama-kelamaan mereka akan berubah menjadi lebih baik. Ada orang bermula dari pangkal, ada pula bermula secara terbalik.

“Bila dan bagaimana perubahan itu berlaku merupakan ketentuan dan ketetapan Allah. Siapa kita sekarang tidak penting, tetapi siapa kita di pengakhir hidup itu yang diambil kira. Tiada siapa tahu kesudahan hidup masing-masing,” jelas Erra yang lewat kebelakangan ini kerapa mengikuti aktiviti-aktiviti keagamaan seperti usrah, kelas tafsir al-Quran dan fiqah.

Erra03FOTO/PINOGRAPHY

Selain memperbanyakkan aktiviti-aktiviti Islamik, awal tahun ini juga Erra bergiat dalam sukan baharu. Memanah menjadi kegemaran semasanya. Memandangkan ia satu riadah sunah, Erra memilih untuk bertudung setiap kali menjalani aktiviti tersebut, waima keputusan bertudung sepenuhnya belum dibuat ketika itu.

Lebih 20 tahun dalam industri seni, nama dan jenama Erra sudah ampuh. Penghijrahan terkini juga menambah cerlang pesona bintangnya. Apa lagi sasaran mahu dijelmakan Erra dalam kehidupan?

“Ada tiga perkara menjadi sasaran kehidupan saya. Pertama adalah untuk terus mengukuhkan ekonomi keluarga, keduanya untuk membentuk sebuah keluarga bersama pasangan dan anak-anak serta yang ketiga adalah bagi menjadi insan yang lebih baik untuk agama dan keluarga.

“Secara fitrahnya, manusia mendambakan kehidupan bahagia berkeluarga, ingin berteman. Sekiranya ditakdirkan hidup solo sepanjang hidup, saya terima. Cuma jika itu takdirnya, saya perlu bekerja lebih keras bagi mempersiapkan perancangan sebaiknya untuk jaminan masa depan,” luah Erra.

Ramadan yang bakal menjelang Khamis ini turut mencipta keterujaan luar biasa buat Erra. Selari dengan penghijrahannya, Erra berharap agar ibadat yang dikerjakan akan lebih sempurna berbanding tahun-tahun sebelumnya. Setiap kali ada kelapangan, dia juga akan bertarawih secara berjemaah di masjid.

KONGSI
Artikel sebelumnyaMafaz suri hati Humood
Artikel seterusnyaProgram senaman bulan puasa

Memulakan kerjaya penulisan sebagai wartawan di sebuah akhbar berbahasa Melayu tempatan dan berkhidmat selama empat tahun sebelum menyertai Pepatung sepenuh masa. Berpengalaman dalam penulisan rencana terutama berkenaan gaya hidup, profil, minat ramai, isu semasa, fesyen dan hiburan.

1 KOMENTAR

TINGGALKAN RESPONS

Sila masukkan komen!
Masukkan nama anda di sini