SEDARI awal usia kanak-kanak, layang-layang yang tertera aksara muziknya dipasak ke dada langit dan dibiarkan menerawang. Mana tahu sampai ketikanya layang-layang itu menjadi sirat menyambung realiti dan gemintang mimpinya.

Ditanya adakah mungkin menjadi karyawan dalam bidang muzik pernah mengisi kotak mimpinya ketika kecil? Marsha tertawa dan melemparkan pandangan jauh ke luar jendela tempat kami bersimpuh pada petang Rabu awal Disember lalu.

mar03
FOTO: PINOGRAPHY (@PINOGRAPHYOFFICIAL) | TEKS: NIK AMRI NIK HASSAN (@THISISYEOY) | GRAFIK: OMAR BENJAMIN FAHMY (@SUTRAMAYA) | SOLEKAN: AIZAT ABDUL RAZAK (@AIZATABDULRAZAK) | RAMBUT: SYUK QADIR (@SYUKQADIR) | PENATA GAYA: AMERST.KL (@AMERST.KL) | BUSANA: DOKOH (@DOKOHMY / @KINBYNIK), ASHRAFF ZAINAL (@ASHRAFFZAINAL) & AFIQ M (@AFIQMOFFICIAL) | LOKASI: AKUGRAPHY STUDIO (@AKUGRAPHY)
“Muzik menjadi sebahagian daripada diri saya, sejak kecil lagi saya memang didedahkan dengan bidang nyanyian sama ada secara koir mahu pun solo. Memang dapat saya rasakan muzik satu perlambangan diri saya.

“Minat dan potensi saya asah perlahan-lahan dan bermula daripada situ saya menyimpan impian untuk menjadi seorang pemuzik dan tidak pernah terfikir untuk terjun ke bidang komersial. Siapa diri saya sekarang, tidak pernah saya duga.

“Peluang yang saya dapat semenjak menyertai Akademi Fantasia 3 menjadikan siapa saya hari ini dan perlahan-lahan radar muzikaliti saya berkembang,” lenturnya bersulam nyanyian hujan yang semakin membuai basah.

Instrumen muzik piano menjadi teman setia Marsha, 30. Sehingga kini jelas penyanyi yang berasal dari Tamparuli, Sabah itu, sudah 15 lagu berada dalam koleksi peribadinya dan menanti waktu untuk dikongsikan kepada khalayak.

Paling dekat dengan irama muzik balada, Marsha memberitahu dia kini sedang membikin sebuah lagu baharu bersama Tam Spider yang berkemungkinan besar akan diterbitkan pada bulan Januari 2016.

2015, 2016

Melewati fasa penutup takwim 2015, pelantun lagu Untuk Terakhir Kali itu melucutkan tali impiannya untuk terbang lebih tinggi.

mar04

“Tahun 2015 merupakan tahun yang baik bagi saya. Selain berpeluang terbabit dalam produksi Keluarga Pontimau untuk slot Aksi TV3 yang mana telah mendapat rating terbaik tahun ini saya juga diberikan peluang untuk membuat alih suara lagu filem Disney Frozen iaitu Bebaskan.

“Sebenarnya pada tahun 2015 saya menanam impian untuk melahirkan sebuah album kompilasi namun dek kerana terlalu banyak perincian yang perlu diberikan perhatian selain melibatkan sejumlah wang yang bukan sedikit, perancangan itu ditangguhkan terlebih dahulu. Ia tidak mudah memandangkan industri muzik kini juga bukan berada pada paras yang kukuh.

“Bagaimanapun, untuk tahun hadapan saya tidak meletakkan harapan terlampau tinggi kerana risau tidak terdaya menggapainya. Apapun, saya berserah pada Tuhan yang pasti menjanjikan magis terbaik bagi saya nanti,” rangkai katanya.

Jalin katanya, tahun baharu adalah sebuah ikhtisar daripada masa silam, peluang untuk belajar daripada kesilapan lampau dan mengubahnya ke arah sesuatu yang lebih bermanfaat dan bermakna.

Hutang penjelasan

Resolusi 2015 milik Marsha berlalu pincang sebelum tiba hujungnya. Penyebaran spekulasi pelakon filem Jwanita itu telah memeluk agama Islam dan bakal menamatkan zaman bujangnya bersama seorang jejaka Melayu dalam tempoh terdekat benar-benar mengganggu jiwanya.

Senyumnya patah. Susahnya menjadi Marsha yang sedang diburu daripada semua sisi demi mendapatkan sebingkis komen hanya dia yang tahu.

“Saya sebenarnya seorang yang rapuh dan mudah menangis apabila tertekan namun pengalaman dan sokongan keluarga serta individu terdekat menjadikan saya lebih kuat sekarang. Bukan kali pertama saya diduga sedemikian rupa cuma pada tempoh ini saya mengharapkan masyarakat memahami situasi saya.

mar05

“Bukan mahu hipokrit atau berbohong kepada sesiapa tetapi saya memohon maaf tidak dapat berkongsi sepenuhnya kepada umum demi menghormati dan menjaga hati individu sekeliling saya. Apa yang saya harapkan daripada peminat adalah doa,” katanya dalam genang tarian hujan di penghujung alis mata.

Marsha mahu mendakap setiap lipatan memori itu dan menyimpannya sebagai azimat. Soal keluarga, sensitiviti agama dan perkahwinan dibiarkan larut sendiri tanpa penjelasan kukuh. Janjinya, sampai ketika setiap butir perkara akan dikongsikan kepada semua.

“Bukan saya tidak pernah menipu sebelum ini tapi tindakan itu akan memakan diri sendiri juga akhirnya jadi baik saya berdiam diri seketika dan memohon agar diberikan sedikit privasi kepada saya. Benar artis itu milik masyarakat namun soal peribadi saya anggap sebagai hak saya untuk disimpan sendiri.

“Seboleh-bolehnya saya enggan mengulas berkenaan isu sensitif namun apa yang pasti saya ada keluarga yang akan sentiasa bersama dan menyokong saya tidak kira apa jua situasi yang berlaku,” ulas Marsha serba ringkas.

Perkahwinan

Tegas Marsha, transisi hidupnya sebagai anak seni selama 11 tahun mendefinisikan ruang privasi artis itu sebagai satu tanda hormat. Ada sebahagian hal perlu disimpan dan ada segelintirnya boleh dikongsi.

“Saya tidak nafikan saya bersama seseorang sekarang jadi apabila ada peminat menegur saya apabila terserempak di luar, saya tidak akan menafikan perkara tersebut. Cuma saya tidak terlalu terbuka untuk berkongsi siapa individu terbabit,” tambahnya.

Privasi yang dikatup erat retak sebelum sempat ia dibuka cermat untuk dikongsi kepada semua. Cerita perkahwinan Marsha bersama jejaka Melayu itu bocor kepada umum akhirnya. Kad undangan perkahwinan pasangan tersebut tersebar di internet. Biarpun enggan mengulas perincian hari bahagianya kelak, Marsha tetap mengesahkan desas-desus berhubung spekulasi itu.

mar01

“Ya memang benar saya akan berkahwin seperti yang tertera dalam kad perkahwinan itu, Saya mohon doa semua agar majlis yang kami rancang kelak berjalan lancar,” Ringkas Marsha menjelaskan dan turut mengesahkan bahawa resepsi perkahwinan secara tertutup bakal dilangsungkan pada 8 Januari 2016 di Hotel Majestic, Kuala Lumpur.

Penyanyi dan pelakon itu bagaimanapun meminta agar semua pihak tidak memanjangkan sebarang spekulasi dan menanti pengumuman rasmi yang akan dilakukan kelak. Pada masa sama, Marsha meminta doa agar impiannya mendirikan rumah tangga bersama bakal suaminya berjalan dengan lancar dan terlaksana seperti yang dirancang.

Dalam pada itu, kecenderungan Marsha dalam bidang fesyen juga masih ditumpahkan buat perniagaan headband Marsha Milans bersama dua orang rakan kongsinya. Bermula daripada mimpi, bisnes yang semakin mendapat prospek itu sedang dirangka hebat oleh Marsha.

TINGGALKAN RESPONS

Sila masukkan komen!
Masukkan nama anda di sini