Wajah Pepatung

Hati Emas Cristina Suzanne

By  | 

ADA hati yang pernah tumpas dalam medan percintaan dan kasih sayang. Dalam mengemudi angkatan jiwanya untuk berjuang mempertahankan nilai kesefahaman dan kemurnian sebuah perhubungan, barangkali ada benteng yang kurang ampuh sekali gus meranapkan kota impian yang sedang dibina.

Perjuangan kisah cinta Cristina Suzanne Stockstill, 30, bersama seorang jejaka yang merupakan kenalan sekolahnya dahulu hingga melewati fasa pertunangan bagaimanapun berakhir dua tahun lalu. Jawapan tentang kenapa dan bagaimana dua hati itu berderai dibiarkan larut bersama kisah silam.

Cris02
FOTO: PINOGRAPHY (@pinographyofficial) | GRAFIK: OMAR BENJAMIN FAHMY | SOLEKAN: ARY MUZAMER (@arymuzamer) | BUSANA: ADRIANNA YARIQA (@adriyannayariqa), KHOON HOOI (@khoonhooiofficial), H&M (@hm) dan PINO PANDA (@pinopandamy) | LOKASI: ORKED AND MAYSAA (@orkedandmaysaa) | PENATA GAYA: TUAN NOOR AZLINA TUAN HAMZAH (@tna_tuanhamzah), AMIRRUL (@ms_amirrul) dan NEOPRENE

Sekarang masa untuk diri sendiri sebenarnya, atas dasar komitmen kerja dan segala hal berkaitan keluarga saya ketepikan seketika perihal mencari teman hidup. Rasanya sudah dua tahun saya menjalani kehidupan kembali solo dan harus saya akui pada mulanya memang rasa sunyi namun lama-kelamaan ia tenggelam dengan sendirinya.

Saya tidak pernah menjadikan peristiwa lalu satu trauma untuk saya berkenalan dengan lelaki. Saya tidak merancang apatah lagi rasa tertekan dengan status saya sekarang, sebaliknya saya selesa menjadi diri sendiri dan menjalani kehidupan sehari-harian tanpa perlu terlalu memikirkan soal berkahwin atau memiliki teman hidup,” lentur butir katanya serius.

Penangan kisah lampau mungkinkah pencetus kemarau di hati Cristina untuk tidak membuka ruang kepada jejaka yang ingin mendekatinya?

Malangnya tiada orang yang berani mendekati saya secara serius. Saya bukan seorang individu yang suka membuka klu satu-persatu, kalau seseorang lelaki itu suka akan saya nyatakan terus hasrat itu dan tak perlu berselindung,” tambahnya.

Cristina tidak pernah prejudis terhadap lelaki dan sekiranya diberikan pilihan, anak kedua daripada tiga beradik itu menginginkan seorang jejaka yang lebih matang, memiliki tahap keprihatinan dan nilai-nilai murni yang tinggi.

Umur bukan ukuran tahap kematangan seseorang lelaki, mungkin ada sesetengah pendapat beranggapan bahawa lelaki berusia akan berfikir lebih matang namun bagi saya cara kehidupan, kesukaran yang pernah dilalui seseorang akan menjadikan dia lebih merendah diri secara semula jadinya.

Saya tidak perlukan lelaki yang tidak boleh berfikir dengan logik akal dan suka menghukum orang berdasarkan perbezaan agama atau kaum,” tegasnya perlahan.

Terlanjur berbicara tentang lelaki dan ciri-ciri idaman, Cristina membuka kisah perkahwinan idamannya. Kata peserta program realiti Pilih Kasih musim kedua itu, biarlah perkahwinannya bersederhana dan mengikut kemampuan.

Sepertimana ramai yang mengenali saya sebagai seorang wanita yang tidak gemar bersolek begitu juga impian majlis perkahwinan saya nanti. Saya berpegang pada pesan ibu saya kalau mahu berkahwin carilah lelaki bujang dan berbelanja mengikut kemampuan,” jelas Cristina lagi.

Graf karier
Memasuki tahun kelima usianya dalam industri seni, Cristina mengakui graf popularitinya tidak seperti kebanyakan pelakon yang meledak segera dengan pelbagai kontroversi. Kemuncak kariernya adalah pada dua tahun lepas ketika diumumkan sebagai Pelakon Wanita Terbaik Filem (Anugerah Skrin 2013) dan Pelakon Harapan Wanita Terbaik (Festival Filem Malaysia 26) menerusi wataknya dalam filem KIL.

Cristina tidak meletakkan sebarang matlamat tertentu dalam kerjayanya selepas kejayaan besar filem yang menggandingkannya bersama pelakon berbakat besar Redza Minhat itu.

Perkembangan karier lakonan saya bukan dirancang itu dan ini kesitu dan kesini sebaliknya saya biarkan ia mengalir dengan sendirinya. Kalau diperhatikan selepas filem KIL saya tidak keluar dengan sebarang filem lain kerana saya lebih memberatkan berlakon drama.

Mungkin juga Cristina seorang pelakon yang demanding soal saya? Jawabnya; “Demand is a big word! Saya tidak begitu pasti akan nilai yang diletakkan pelakon lain untuk diambil berlakon namun bagi saya harga itu perlu setanding dengan usia seseorang pelakon dalam industri dan kekuatan karakter yang pernah dijayakannya sebelum ini.”

Sama juga nilai eksklusif, tegas Cristina tidak pernah dia meletakkan dirinya berada di singgahsana untuk orang menyanjungnya atau terlebih selektif dalam soal bekerja.

Kerja saya berlakon dan ia berbeza dengan bekerja di pejabat kerana kehidupan saya adalah figura umum jadi saya tidak boleh terlalu meletakkan diri eksklusif. Sebaliknya, saya menjadikan diri saya eksklusif di set penggambaran. Caranya adalah bersiap sedia sentiasa, menghafal skrip dan sampai awal.

Saya masih Cristina yang sama walaupun pernah diberikan penghargaan beberapa tahun lalu dan kehidupan masih seperti sediakala,” ujarnya.

Jwanita
Dalam perkembangan lain, Cristina bakal muncul menerusi sebuah filem psiko thriller arahan Osman Ali berjudul Jwanita bergandingan bersama Bront Palarae, Maya Karin dan Marsha Milan Londoh. Menerusi Jwanita, Cristina diberikan cabaran untuk mendukung peranan Julaika, seorang ibu kepada dua cahaya mata.

Ada orang cakap melakonkan watak yang lebih berusia akan menjatuhkan saham seseorang pelakon tetapi saya percaya karakter Julaika digarap cemerlang oleh Abang Man (Osman Ali) dalam filem ini. Dalam masa sama saya juga teruja untuk menyaksikan lakonan sulung saya sebagai seorang ibu,” tambahnya.

Bagi mengasah skil lakonannya beraksi di pentas teater, Cristina kini sedang rancak menjalani latihan untuk teater Playing God di bawah produksi Revolution Stage yang akan dipentaskan pada 14 hingga 21 September ini.

Bagi mendapatkan karakter yang sesuai untuk pementasan kali ini, saya banyak membuat rujukan dengan menonton rancangan bual bicara seperti The Oprah Winfrey Show dan The Ellen DeGeneres Show,” katanya yang pernah terbabit dalam pementasan teater Ramlee Festasi pada tahun 2012.

Comments

comments

Selepas lima tahun bersama akhbar berbahasa Melayu tempatan, penulis memanjangkan langkah dalam bidang rekaan fesyen bersama label peribadi. Kecintaan terhadap dunia penulisan dilanjutkan bersama Pepatung berbekalkan pengalaman skop hiburan, pelancongan dan biografi.

Tinggalkan Komen

Your email address will not be published. Required fields are marked *