Wajah Pepatung

Gugurnya Bunga Cinta Rita Rudaini

By  | 

PERTEMPURAN tiga tahun Rita Rudaini Mokhtar dan bekas suaminya Aidil Zafuan Radzak bagaikan tidak berkesudahan. Sama sifatnya dengan sebuah peperangan, ada pihak yang menyerang dan ada pihak yang menahan. Sekuat mana kukuhnya kubu tergantung pada seutuh mana tekad dalam diri.

Rita03 FOTO: PINOGRAPHY (@pinographyofficial) | GRAFIK: OMAR BENJAMIN FAHMY | BUSANA: KHOON HOOI (@khoonhooiofficial / @khoonhooi) & AFIQ M (@afiqmofficial) | SOLEKAN: ADIK ZWAN (@adikzwan) | PENATA GAYA: JAY AERIAL (@jayaerial)

Berlanjutan tanpa ada petanda perbalahan itu akan berakhir, pelakon wanita itu dicerminkan masyarakat sebagai seorang artis yang gemar membogelkan perihal rumah tangga kepada khalayak, egoistik tidak mahu mengalah dan kini sudah semakin lantang bersuara.

Naik turun mahkamah berhubung pelbagai tuntutan, sama ada daripada Rita sendiri mahupun bekas suaminya yang kini sudah pun menjalani kehidupan baru bersama suri hati baharu, penilaian umum tetap meletakkan bekas peserta Dewi Remaja 1998 itu selaku pesalah.

Rita tidak banyak berdalih, melawan bukan ertinya mahu membuka aib sebaliknya tindakannya itu merupakan perjuangan mempertahankan hak dan maruah bersama dua anaknya yang masih kecil.

“Saya sudah penat tiga tahun turun naik mahkamah, memang dalam hati saya kalau boleh disegerakan, biarlah prosiding ini lekas selesai. Saya mahu menjalani kehidupan normal dan tenang bersama Rayyan dan Arjuna di rumah.

“Setiap tuntutan saya di mahkamah bukan disebabkan duit tetapi demi maruah saya dan anak-anak, saya menggunakan hak yang ada sebagai wanita untuk mendapatkan keadilan kepada diri kami anak beranak.

“Sampai sekarang sebenarnya saya masih tercari-cari lagi apakah sebabnya Aidil meninggalkan saya!” lentur bicara wanita yang usai menjalani prosiding tuntutan mutaah RM300,000 terhadap bekas suaminya awal minggu ini.

Kemaafan

Dalam aliran pembuluh darahnya, berlegar persoalan mengenai kemaafan. Bagaimanakah nilai sebuah kemaafan yang dimahukan dan letaknya pada bekas suaminya, Aidil?

“Saya belum memaafkan dia! Apa yang dia lakukan terhadap saya dan anak-anak satu penganiayaan yang sangat besar. Anak-anak saya tidak bersalah dan masih kecil namun kenapa sanggup lupuskan kasih sayang seorang ayah di kala mereka sedang memerlukan, dan dimanakah pula silap saya sebagai seorang isteri selama bersama lebih empat tahun?” getus Rita.

Berputar soal kekesalan, tidak pernah timbul sedetik pun perasaan untuk mengulang kembali kehidupan lampau. Tegas Rita, dia menerima seadanya kehidupan bersama dua kesatria dalam hidupnya iaitu Airit Rayyan Rizqin dan Airit Rafqa Arjuna yang kini masing-masing sudah memasuki usia enam dan empat tahun.

Rita02

Menyaksikan landskap kehidupan berumah tangga dan musim duka yang dialaminya bertahun-tahun sudah, hati Rita sudah remuk-redam. Tiada lagi cebisan cinta mahupun syair setia yang tinggal buat mana-mana jejaka selepas ini.

“Keadaan sekarang saya bersama anak-anak sudah cukup selesa dan saya tidak mahu mengubahnya, sudah cukup rasanya bahagia itu kami kongsikan bertiga dan tidak pernah terlintas untuk saya bercinta semula atau mencari kekasih hati.

“Saya tidak perlu menumpang kasih kerana sudah terlalu banyak kasih sayang yang sedang membunga antara saya, Rayyan dan Arjuna namun, kalau sudah jodoh saya terima ketentuan Ilahi. Cumanya, andai ditanya tentang perkongsian hati dengan lelaki, rasanya saya rela bersendirian sampai tua.

“Bukan kerana dua kali gagal dalam berumah tangga tetapi saya letih dengan lelaki dan kepercayaan saya terhadap lelaki sudah hilang,” jelas Rita.

Kekuatan

Bersendirian melalui fasa getir dalam hidup banyak mematangkan bintang filem Mami Jarum Junior itu. Adakalanya Rita melihat impiannya hampir melebur dengan segala kepayahan yang diharungi bersendirian, namun dikumpulkan semula setiap jiwanya yang patah menjadi semangat baharu untuk mengharungi kehidupan.

“Kekuatan itu datang dari diri sendiri, melihat setiap perkara yang telah berlaku dalam hidup kami sekali gus menukarkan saya sebagai seorang Rita yang lantang bersuara. Memang pada mulanya saya malu tetapi saya meletakkan diri saya sebagai pedoman untuk kaum wanita dan perlu mempertahankan maruah wanita.

“Menjadi ibu dan bapa pada masa sama juga bukan tugas yang mudah, untuk membahagikan emosi dan kasih sayang agar seimbang antara kedua-dua permata hati saya pada mulanya sangat sukar. Jadi, saya manjakan mereka bertempat dan marah mereka bersebab.

“Pada fasa awal perceraian hati saya rapuh dan biasanya kesedihan itu datang kerana letih bersendirian mengharungi liku-liku hidup. Andai tidak tertanggung, maka tumpahlah air mata saya di depan anak-anak. Tetapi sekarang saya belajar banyak perkara dan saya simpan tangisan itu di belakang Rayyan dan Arjuna,” singkapnya.

Kesatria Rita

Melalui gelora sama sejak usia muda setelah ibunya juga pernah ditinggalkan bapanya sendirian membesarkan anak-anak, Rita banyak belajar daripada penilaian. Dia tidak pernah menyimpan dendam mahupun membenarkan kesedihan merajai hati sebaliknya peristiwa itu membuatkan anak kelahiran Kangar, Perlis itu lebih kuat dalam segala aspek.

Termasuklah perihal mendidik anak-anak, kata Rita dia enggan membebankan anak-anaknya dengan kemelut yang melanda kehidupan mereka sebaliknya membiarkan Rayyan mahu pun Arjuna memahami dengan sendirinya pada satu hari nanti.

Rita04

Kini, tanpa bantuan pembantu rumah Rita menggunakan seluruh upaya dan tulang empat keratnya membesarkan anak-anaknya. Status ibu tunggal tidak pernah menjadi penghalang untuk dramatis itu memperkasakan langkah.

“Rayyan dan Arjuna masing-masing semakin membesar, perasaan bangga sebagai seorang ibu tambah mengharukan apabila Rayyan menanamkan minat ke arah pendidikan agama Islam dan mengaji Al-Quran. Maka, saya mengambil pendekatan mengupah seorang ustaz datang mengajar kami tajwid dan cara bacaan betul di rumah sekurang-kurangnya tiga kali seminggu. InsyaAllah tahun depan saya merancang untuk mendaftakan Rayyan ke sekolah tahfiz al-Quran.

“Amat besar nilainya perasaan bergelar seorang ibu dan barulah sekarang saya memahami erti pengorbanan dan kasih sayang sebenar ibu saya.

“Paling bermakna apabila saya menerima sekeping kad ucapan hari ibu pertama pada tahun ini daripada Rayyan dan Arjuna. Tulis mereka ‘terima kasih kerana menjaga kami’ dan tanpa terduga air mata saya menitis lagi pada malam itu. Saya rangkul dan cium mereka sebanyak-banyaknya,” simpul Rita menguntum senyum.

Dalam perkembangan lain, Rita masih memberikan ruang untuk meneruskan kerjayanya dalam bidang lakonan menerusi pembabitan dalam beberapa buah telefilem. Selain menantikan filem Pengapit yang belum ditayangkan di pawagam, Rita juga giat menjalankan perniagaan produk penjagaan kulit, minuman kopi dan kanta lekap jenamanya sendiri.

Comments

comments

Selepas lima tahun bersama akhbar berbahasa Melayu tempatan, penulis memanjangkan langkah dalam bidang rekaan fesyen bersama label peribadi. Kecintaan terhadap dunia penulisan dilanjutkan bersama Pepatung berbekalkan pengalaman skop hiburan, pelancongan dan biografi.

9 Comments

  1. Nurul Mahdzar

    15 May 2015 at 1:03 PM

    I love her so much and everything about her. Priceless.

  2. Noriza Rahman

    15 May 2015 at 3:52 PM

    Saya sangat kagum dengan ketabahan RR ni..bukan mudah nak mengharungi liku hidup sebagai ibu tunggal

  3. Rafidah

    15 May 2015 at 5:45 PM

    respect on you Rita.. mengalir air mata lah..

  4. Pingback: Rita Rudaini Tidak Maafkan Aidil Zafuan

  5. Pingback: Rita Rudaini Belum Maafkan Aidil Zafuan | Berita Malaysia

  6. Pingback: Saya Belum Maafkan Dia! – Rita Rudaini | Berita Kanteen

  7. Yatt Anuar

    18 May 2015 at 2:51 PM

    She’s so perfect! May Allah SWT grant her the highest place of Jannah aminnnn:) And I am very sure she is on her way to cover up herself by wearing Hijab. By Allah’s will InshaAllah.

  8. JMR

    19 May 2015 at 11:49 PM

    apa-apa pun, Rita makin cantik haha

  9. faiznur

    22 May 2015 at 9:30 PM

    Thats the spirit kak rita, u r so pretty…

Tinggalkan Komen

Your email address will not be published. Required fields are marked *