Galau Jiwa Linda Rafar

Ombak yang memukul batu-batu pantai lambat-laun akan melekukkan bentuk asalnya. Sedikit demi sedikit ia menoreh permukaan, membentuk lubang-lubang kecil menakung percikan air. Satu proses perlahan, hanya disedari bila ia meruntuh, memusnahkan seluruh kekerasan batuan itu.

0
44

Demikian yang terjadi dalam kehidupan Linda Rafar kini. Dia diuji hebat. Digegar cubaan demi cubaan sehingga tidak terdaya lagi membenteng sabar. Sudah jatuh ditimpa tangga, perumpamaan tepat menggambarkan Linda atau nama sebenarnya Azlinda Abd. Rafar, 37, yang kehilangan anak keduanya lebih setahun lalu dan sekarang terpaksa berdepan episod konflik rumah tangga.

Dua kali dihenyak musibah berumah tangga. Perkahwinan pertamanya bersama Keifli Othman berakhir dengan perceraian pada 2004. Dua tahun kemudian, pada Disember 2006, Linda membina mahligai kedua bersama pelakon, Syed Kamarulzaman Syed Mahmud atau popular dengan nama Syed Aiman, 40.

20150814-IMG_6423.jpg-c
FOTO: PINOGRAPHY (@pinographyofficial)|TEKS: ALIF ABU BAKAR (@alif_ashburn)|GRAFIK: OMAR BENJAMIN FAHMY (@sutramaya)|SOLEKAN: ARY MUZAMER (@arymuzamer)|BUSANA: PINOPANDA (@pinopandamy)
Sayangnya bahtera kebahagiaan kedua itu turut dilambung ombak besar. Mujur ia belum karam, masih bergelut berlayar kembali di permukaan yang tenang.

September lalu, Linda ke Mahkamah Rendah Syariah, Shah Alam, Selangor bagi menyerahkan borang pengesahan lafaz cerai. Tindakan bekas anggota kumpulan Elite itu adalah susulan lafaz cerai yang diungkapkan Syed Aiman pada 8 September lepas di kediaman mereka.

Selepas dua minggu berasingan tempat tinggal, Syed Aiman berjumpa Linda bagi memohon maaf. Sebagai tebusan kemaafan, Linda menarik balik permohonannya dari mahkamah dan sudi memberi ruang dan peluang kepada rumah tangganya.

20150814-IMG_6593.jpg-c

“Abang (Syed Aiman) nafi lafazkan cerai. Dakwanya saya tersalah dengar tambahan pula dalam keadaan saya yang sedang hamil. Ia mungkin dipengaruhi mainan emosi.

“Memang terjadi pergaduhan besar sebelum ini sehingga saya nekad ke mahkamah. Punca keretakan rumah tangga biar saya dan dia yang tahu. Ia terlalu peribadi dan apa yang boleh saya katakan ia telah terjadi agak lama. Saya enggan ia berlarutan.

“Dalam fasa ini saya banyak berfikir dan bermuhasabah. Hendak berputus asa tidak, memberontak pun tidak. Kami kembali tinggal sebumbung dan situasinya agak janggal.

“Perbincangan antara kami juga tidak mencapai kesepakatan muktamad. Terus terang saya katakan belum terasa kebahagiaan selepas berbaik. Sukar untuk memberi jaminan bahawa hubungan kami akan kembali seperti sediakala,” kongsi Linda yang amat trauma dan fobia dengan dugaan melibatkan perihal bersuami isteri.

Usia kandungan Linda yang menjangkau empat bulan menangguhkan kata putus berhubung hala tuju Linda dan Syed Aiman. Hanya selepas bersalin kelak, kedua-duanya akan duduk berbincang lebih mendalam sama ada mahu meneruskan perkahwinan atau sebaliknya.

Linda redha sekiranya perceraian merupakan jalan terbaik untuk dirinya, Syed Aiman dan anak-anak. Namun jika meneruskan kehidupan berumah tangga itu lebih mendatangkan kebaikan, maka Linda memohon jalan kebahagiaan itu dilancarkan.

20150814-IMG_6582.jpg-c

Makan hati berulam jantung! Rajuk Linda kini begitu besar. Menerima kembali Syed Aiman dalam tempoh ini bukan tanda menyerah dan menghapuskan pertimbangan. Ibu kepada tiga anak lelaki itu masih berasa seperti tidak dihargai.

Justeru apabila ada peminat bertanya mengapa tidak memuat naik foto bersama Syed Aiman di laman sosial, Linda jujur mengatakan bahawa dia tidak mahu hipokrit. Konflik tersebut masih panas, belum reda dan jauh sekali meleburkan kekecewaan yang diharap dapat menyejukkan hati.

Apatah lagi apabila kemelut rumah tangganya timbul selepas adiknya, Diana Rafar, 33, bercerai tetapi kembali rujuk semula bersama Zamarul Hisham, 44, awal tahun ini. Masyarakat mudah menuduh dua adik-beradik itu sengaja mencipta kontroversi.

“Siapa yang mahu bercerai-berai? Tiada seorangpun memasang niat untuk meruntuhkan masjid yang dibina sendiri. Cemuhan berbaur provokasi sebegitu tidak menjadi kudis kepada saya. Maka lebih baik menyimpan bahagian paling peribadi daripada menghebohkan untuk penilaian umum.

“Menipu tidak, berterus-terang pun tidak. Cuma saya tidak mahu tergesa-gesa mengunci harapan dan kepercayaan, takut terkena lagi!” tegas Linda.

Memen

Derita merindu anak keduanya, Allahyarham Rezaimen Keiflin yang meninggal dunia Julai tahun lalu akibat ketumbuhan kronik dalam perut juga belum sembuh. Bertubi-tubi dugaan menghimpit Linda. Lantas setiap ujian itu menjadi petanda baginya untuk mendekatkan diri dengan Allah.

Sahamnya ke Akhirat lebih diutamakan. Kekuatan mengharungi segala cabaran dunia turut ditampungi limpahan kasih sayang anak-anak kepadanya. Anak sulung Linda, Rezaril Keiflin, 15, terutamanya menjadi teman setia yang kerap berkongsi semangat.

“Sejak kematian Memen (Rezaimen), abangnya (Rezaril) banyak berubah, jadi lebih pendiam dan selalu sugul. Pernah sekali dia memberitahu mahu pergi ke satu tempat jauh untuk bertemu adiknya. Saya mengingatkan supaya dia redha dengan pemergian Memen.

“Memang memeritkan kerana Memen teman rapatnya sejak kecil. Namun saya tidak mahu dia terus dibuai kesedihan dan terlalu mengingat sehingga melarat. Tipulah jika saya sendiri sudah mampu melupakan Memen. Serapuh mana hati ini, saya tetap kena kuat supaya anak-anak juga dapat merasai ketabahan yang sama,” ujar Linda yang sering menerima undangan berceramah di masjid-masjid berkongsi cerita tentang Memen dan penghijrahannya.

20150814-IMG_6612.jpg-c

Selain masih memenuhi permintaan fotografi, persembahan bersama Elite dan Diana, Linda juga semakin aktif meluaskan perniagaannya. Di bawah LR Flawless, Linda kini telah mengeluarkan produk penjagaan kulit, Glowing Set, pil herba pelangsing, Protrim dan terbaharu jus Uno 1.

Minuman kesihatan, jus Uno 1 itu pada asalnya dihasilkan Linda atas perbincangannya bersama doktor untuk diberikan kepada Memen. Malangnya belum sempat ia disiapkan, Memen meninggal dunia. Bagaimanapun Linda tetap meneruskan projek tersebut bagi berkongsi faedah jus tersebut dalam membantu pesakit kanser.

Mengandungi ekstrak makanan sunah seperti kurma, air zamzam dan Habbatus Sauda, jus Uno 1 disarankan diminum secara harian sebagai amalan untuk gaya hidup lebih sihat.

Selain itu, novel pertama tulisan Linda, Menunggumu di Pintu Syurga yang berkisar tentang Memen juga telah terjual melebihi 100,000 unit. Kini dia sedang dalam proses mengumpul material untuk novel kedua yang akan disampaikan dengan lebih terperinci.

TINGGALKAN RESPONS

Sila masukkan komen!
Masukkan nama anda di sini