Wajah Pepatung

Fasa Solo Tasha Shilla

By  | 

DESAS-DESUS tentang tamatnya hubungan cinta Tasha Shilla dan peninju Muay Thai, Hans Wong menjadi teka-teki sejak lebih sebulan lalu. Baik Tasha mahupun Hans, masing-masing memilih untuk mengunci mulut. Bagaimanapun Tasha akhirnya membuat pengakuan berhubung khabar angin tersebut.

“Kami telah putus sebagai kekasih tetapi masih bersahabat baik. Sekarang saya solo,” ringkas pengakuan Tasha sekali gus menamatkan spekulasi yang melingkari kisah percintaannya.

Bersama Hans, 25, Tasha atau nama sebenarnya Natasha Sheila Abdul Razak, 28, pernah merancang mendirikan rumah tangga selepas menyulam kasih sejak 2013.

Menafikan keretakan hubungannya akibat orang ketiga, Tasha tetap menegaskan bahawa Hans merupakan lelaki pertama yang dibawa bertemu keluarga.

“Mungkin jodoh belum sampai dan sekarang kami selesa bersahabat. Sejujurnya saya kurang berminat berkenalan dengan lelaki yang mahu bercinta, sebaliknya saya lebih gemar membina perhubungan ke arah perkahwinan,” dedah Tasha ketika ditemui Pepatung.

Tasha03 FOTO: PINOGRAPHY (@pinographyofficial) | GRAFIK: OMAR BENJAMIN FAHMY | BUSANA: KHOON HOOI (@khoonhooiofficial / @khoonhooi) | SOLEKAN: ARY MUZAMER (@arymuzamer)

Reda sebentar cerita cintanya, datang pula isu lain menguji kesabaran Tasha. Boleh diibaratkan, kontroversi dan Tasha bagaikan gabungan entiti yang sebati di mata masyarakat. Begitupun Tasha teguh berpaut kepada prinsip untuk menjadi diri sendiri.

Buktinya dapat dilihat menerusi kelantangan Tasha di laman sosial khususnya Instagram. Malah baru-baru ini Tasha bertindak nekad memuat naik foto beberapa pengguna Instagram yang meninggalkan komen tidak beradab pada gambar-gambarnya.

Tindakan tersebut menimbulkan pelbagai reaksi peminatnya, ada yang menyokong, tidak kurang menempelak dan mengelaskan Tasha sebagai artis yang tidak boleh dijentik.

Hakikatnya itulah cara Tasha mempertahankan diri, membuktikan bahawa dia juga orang biasa, boleh terguris dan terhiris dek ketajaman kata-kata manusia.

Ironinya, Tasha juga sebenarnya seorang wanita cekal. Sabarnya masih tebal, radangnya masih terkawal. Teguran sinis pengguna laman sosial hanyalah sebahagian daripada proses dalam mematangkan dirinya.

Tasha02

“Manusia memang gemar mencari silap orang lain. Jika seseorang itu benar-benar menghargai diri, mereka tidak akan memperbesarkan khilaf orang.

“Saya tahu menjaga diri dan tidak memerlukan topeng untuk menjadi orang lain. Memang diakui saya seorang yang tertutup dari segi penonjolan peribadi diri tetapi hanya keluarga dan sahabat rapat yang mengenali diri saya yang sebenar dan itu sudah memadai,” jelas Tasha.

Tasha yang cukup dikenali sebagai seorang yang mengutamakan ibunya memberitahu, hanya nasihat daripada ibu dan sahabat rapatnya akan diguna pakai dan diambil peduli. Bagaimanapun dia tetap mengalu-alukan mana-mana individu yang bersedia untuk menasihatinya secara bersemuka, bukan hanya berani di Instagram.

“Saya masih berpijak di bumi nyata. Sekiranya peminat mahukan saya berubah, doakan sahaja,” pinta Tasha.

Tasha05

Walaupun dipalit bermacam kontroversi, profesionalisme Tasha dalam kerjaya seni masih diimbangi dengan teratur. Bakal kembali ke set penggambaran untuk drama Maid arahan Michael Ang pada minggu ini, sejak dulu Tasha memang akan menyelesaikan sesebuah kerja terlebih dahulu sebelum menerima tawaran kerja lain.

Tidak pernah meletakkan sebarang jangkaan atau harapan dalam kerjaya, Tasha lebih selesa mengemudi hidupnya secara sederhana. Baginya, rezeki pasti menyusul sekiranya seseorang itu menumpahkan keikhlasan serta kejujuran dalam setiap kerja yang diamanahkan.

Pengunduran sebagai pengacara daripada rancangan Galaksi yang bersiaran di TV9 juga diputuskan selepas kontraknya tamat. Sepanjang tempoh lebih setahun mengendalikan program tersebut, banyak ilmu pengacaraan berjaya ditimba.

“Pada awalnya saya kurang yakin dengan kemampuan diri tetapi disebabkan mahu mencabar keupayaan, saya galas tanggungjawab tersebut. Mungkin pengacaraan bukanlah jiwa saya tetapi sekiranya diberi peluang lagi, saya lebih selesa mengacarakan program dengan kandungan tentang dunia kecantikan,” ulasnya.

Selain bakal kembali meneruskan penggambaran seperti biasa, Tasha juga akan melancarkan produk kecantikan sendiri tidak lama lagi.

Comments

comments

Memulakan kerjaya penulisan sebagai wartawan di sebuah akhbar berbahasa Melayu tempatan dan berkhidmat selama empat tahun sebelum menyertai Pepatung sepenuh masa. Berpengalaman dalam penulisan rencana terutama berkenaan gaya hidup, profil, minat ramai, isu semasa, fesyen dan hiburan.

Tinggalkan Komen

Your email address will not be published. Required fields are marked *