ANTARA tabah dan kecewa, keduanya membalut hati Nur Fasha Sandha Hassan (Fasha Sandha) yang sedang berjuang berdiri di atas kaki sendiri setelah jatuh ditimpa. Perlu kuat menangkis gemersik hiba, jiwa Fasha kini bagai satu dinding yang pernah runtuh tetapi terbina semula daripada serpihan-serpihan yang belum hancur sepenuhnya.

FASHA01
TEKS: ALIF ABU BAKAR (@alif_ashburn) | FOTO: PINOGRAPHY (@pinographyofficial) | GRAFIK: OMAR BENJAMIN FAHMY (@sutramaya) | SOLEKAN: ALHA ALFA (@alhalfa) | PENATA GAYA: AMERST (@amerst.kl) | BUSANA: KHOON HOOI (@khoonhooiofficial), PINOPANDA (@pinopandamy) & ADRIANNA YARIQA (@adriannayariqa) | KASUT: FRKL21 (@frkl21)
Sakit benar wanita ini diuji kali ini. Pernah seketika label kontroversi melingkari nama, Fasha Sandha kembali semula diangkat sebagai subjek tumpuan. Namun dramatis itu tidak menagih simpati, jauh sekali mengharap orang mengerti ceritera hidupnya kini.

Sah bercerai talak satu dengan Jejai atau nama sebenar, Rizal Ashram Ramli, 40, di Mahkamah Tinggi Syariah, Kuala Lumpur pada 20 Januari 2016 lalu, Fasha diburu banyak pihak untuk secebis perkongsian dan pendedahan berhubung kemusnahan rumah tangga yang dibina hampir empat tahun.

Berkesempatan mengatur sesi fotografi bersama jelitawan ini pada Disember lalu, Pepatung langsung tidak menduga dugaan berat yang secara tiba-tiba menimpa Fasha. Temu bual bersamanya juga telah berlangsung lebih awal, cuma Fasha sempat menambah sedikit perkongsian berhubung kes perceraian yang dialaminya.

“Sebaik-baiknya saya tidak mahu kisah perceraian ini disensasikan dan disebabkan itu saya enggan mengulas secara berlebihan,” tegas Fasha berpendirian.

FASHA05

Mahligai cinta Fasha dan Jejai didirikan pada 27 April 2012 dan hasil perkahwinan mereka dikurniakan dua cahaya mata; Putra Rayfal, 2, dan Putri Raysha Jemyma, 1.

Dalam tempoh ini, Fasha tegas dengan prinsip untuk mendedahkan seminimum mungkin perihal perceraiannya. Sepertimana kenyataan akhbar yang dilayangkan kepada media, Fasha menyifatkan perpisahan tersebut sebagai jalan terbaik untuk kedua-kedua belah keluarga.

“Saya telah berusaha menyelamatkan perkahwinan ini. Saya redha dan akan meneruskan kehidupan bersama kedua-dua anak saya, Rayfal dan Raysha.

“Sebagai ibu, saya mendapat hak penjagaan sepenuhnya ke atas anak-anak saya dan mereka adalah kekuatan saya. Syukur itu yang paling utama kepada saya dan anak-anaklah yang menjadi nadi hidup saya sekarang.

“Alhamdulillah segala perkara baik mahupun buruk yang saya lalui sebelum dan selepas saya berkahwin menjadikan saya wanita yang lebih matang, malah ianya mengajar saya untuk menjadi seorang ibu yang baik,” Fasha, 32, menyimpul kata.

Perpisahan bagaimanapun tidak menghalang Fasha dan Jejai mencapai kesepakatan tentang keutamaan anak-anak. Hanya yang terbaik dimahukan buat putera dan puteri mereka terutama apabila Rayfal yang telah mula bersekolah awal tahun ini.

2015/2016

Sememangnya penutup 2015 dan awalan 2016 menjadi waktu paling kritikal dalam hidup Fasha. Bagaimanapun ia tidak menyekat anak seni itu untuk meneruskan kerjaya sebagai pelakon dan usahawan. Malah tahun ini dia telah mengatur banyak perancangan dari segi karier.

FASHA04

“Banyak perkara berlaku sepanjang tahun lalu. Ada yang baik dan sebaliknya, apapun saya bersyukur di atas pengalaman tersebut kerana ia mengajar saya untuk menjadi wanita yang lebih matang.

“Begitu juga kerjaya yang mula padat sejak penghujung tahun lalu kerana awal tahun ini saya lebih menumpukan kepada mengajar kedua-dua anak saya yang masih kecil,” kongsi Fasha.

Tahun 2016 bakal menyaksikan penglibatan Fasha dalam beberapa drama TV. Bermula awal tahun ini, dia sudah memasuki set penggambaran untuk drama Tentang Hati 2 yang merupakan sekuel kepada drama Tentang Hati tayangan TV2 (RTM).

Terdapat beberapa tawaran drama bersiri juga telah diterima namun Fasha masih dalam proses meneliti skrip-skrip tersebut sebelum memberi persetujuan. Mengaku lebih selektif terhadap tawaran yang hadir, sikap memilih itu adalah atas dasar pilihannya yang mahu memberi fokus utama kepada anak-anak.

Pengalaman lebih 10 tahun Fasha dalam dunia seni sememangnya memaparkan transisi mutu lakonannya yang tampak lebih berstandard dan bersahaja dalam menjayakan setiap watak.

Sangat terkenal dengan karakter Natasha daripada drama dua musim, Natasha di TV3 pada 2005 dan 2006, kritikan dari segi kemampuannya mempersembahkan lakonan suatu ketika dahulu banyak melenturkan kebolehannya masa kini.

Jika boleh dirumuskan dengan satu perkataan tentang perbandingan Fasha 10 tahun dahulu dan sekarang, jawapan Fasha adalah kematangan.

Maka hari ini kita melihat Fasha yang lebih cermat menutur kata, bijak membawa nama apatah lagi dengan status ibu dua cahaya mata. Tanggungjawab terhadap kerjaya juga dijaga rapi dengan harapan untuk terus berkarya dan belajar demi mempertingkatkan prestasi karier seninya dari masa ke masa.

Kemunculan bakat-bakat baharu dalam industri seni juga sangat disenangi Fasha selaku aktres berpengalaman. Ayda Jebat dan Emma Maembong antara pelakon baharu yang disifatkannya memiliki bakat dan aura serta berjaya menunjukkan aksi lakonan yang sangat baik.

Bisnes

Cabang kerjaya kedua Fasha iaitu salun rambut juga tidak kurang hebat perkembangannya. Chinta Hair Salon & Beauty (Chinta) di Wangsa Link, Kuala Lumpur yang diuruskan Fasha telah memasuki tahun kelima beroperasi.

FASHA03

Dalam tempoh tersebut, bisnesnya berhasil membentuk kelompok pelanggan tetap dan memperkenalkan beberapa perkhidmatan popular yang menjadi signatur salun kendaliannya.

Rawatan rambut dan urutan rambut, Creambath di Chinta merupakan rawatan creambath asli Indonesia pertama diperkenalkan di salun tempatan.

Belum menyasarkan untuk menambah cawangan salun baharu, Fasha berpendapat bahawa jawatannya sebagai pemilik salun bukan setakat bertindak selaku ketua sahaja. Sebagai pengusaha yang fokus, Fasha sendiri akan turun padang melakukan kerja-kerja di salun sebanyak tiga kali seminggu.

“Bulan depan pula merupakan ulang tahun pertama bagi produk kecantikan saya, Jemyma manakala peniagaan baju kanak-kanak Jiwa by FS juga masih diteruskan.

“Alhamdulillah permulaan 2016 menunjukkan perkembangan yang baik terhadap urusan perniagaan saya. Berniaga ini berbeza dengan berlakon kerana bagi saya, bidang perniagaan ini bersifat kekal,” Fasha memanjat syukur.

TINGGALKAN RESPONS

Sila masukkan komen!
Masukkan nama anda di sini