Wajah Pepatung

EKSKLUSIF: Deklarasi Cinta Shukri Yahaya & Tya Adnan

By  | 

BERTENTANG mata lima tahun dahulu, persahabatan tercipta memula cerita. Keakraban berkawan membungakan percintaan. Tanggal 20 November 2015, bakal tercantum ikrar kasih Mohd. Shukri Yahaya dan Siti Nurfatihah Ahmad Adnan. Dua hati memekar, memateri janji berkasih, menjadi deklarasi peribadi merpati dua sejoli.

Shukri05TEKS: ALIF ABU BAKAR (@alif_ashburn) | FOTO:PINOGRAPHY (@pinographyofficial) | GRAFIK: OMAR BENJAMIN FAHMY | SOLEKAN: ARY MUZAMER (@arymuzamer) | BUSANA: PINOPANDAMY (@pinopandamy) | LOKASI: AIMAN MANAN STUDIOS (@aiman_manan)

Kurang sebulan lebih sahaja lagi, Shukri dan Siti Nurfatihah (Tya) bakal disatukan sebagai suami isteri. Shukri, 27, dan Tya, 23, akan meninggalkan dunia bujang selepas mengikat pertunangan hampir dua tahun. Pernikahan akan dilangsungkan di Putrajaya manakala resepsi persandingan menyusul pada 21 November 2015 di Cyberjaya.

Berbunga-bunga jiwa Tya menanti detik sah sebagai suri hati Shukri. “Saya memang teruja untuk berkahwin. Keterujaan itu bukannya disebabkan majlis tetapi kerana mengetahui lelaki yang akan saya kahwini ialah Shukri. Saya sayangkan dia dan mahu hidup bersamanya,” bicaranya diusik emosi lalu gugurlah air mata sebak.

Air mata Tya diseka. Serentak Shukri mengusik: “Dia (Tya) memang emosional, mudah tersentuh. Mula-mula susah juga nak kawal situasi bila dia sedih atau sebagainya. Lama-kelamaan saya belajar dan itu antara sebab mengapa dia menerima saya.”

Tya tidak menafikan Shukri satu-satunya individu yang mampu mengubah emosinya dengan singkat. Kesedihan boleh bertukar ceria sekelip mata.

Rasmi sebagai pasangan bercinta pada 10 Februari 2010, perkenalan di set penggambaran filem Ular adalah permulaan kepada perhubungan mereka. Tamat penggambaran barulah Shukri memberanikan diri memikat Tya. Pada awalnya tidak sedikitpun hati Tya terpaut. Lama-kelamaan barulah Tya membuka hati untuk Shukri sebagai teman istimewa.

“Shukri seorang yang manja. Romantik itu tidak tetapi ia subjektif, bergantung kepada penilaian masing-masing. Tidak kira apapun hadiah Shukri berikan ia tidak mampu menandingi kasih sayang dan perhatian yang diberikan kepada saya,” sarat bahagia cerita Tya yang merupakan anak bongsu daripada empat adik-beradik.

Shukri, bekas pekerja sebuah bank di ibu kota memulakan langkah sebagai pelakon selepas muncul dalam filem Jiwa Taiko. Peluang yang diberikan pengarah, Osman Ali membenihkan pohon rezeki buatnya untuk mendaki lebih tinggi dalam industri.

Dibesarkan dalam keluarga sederhana, anak kelima daripada enam adik-beradik itu bersyukur kerana rentetan tersebutlah yang mempertemukannya dengan Tya. Ketika masih mentah dalam lakonan, tanpa kenderaan sendiri dan kestabilan seperti lelaki lain, Tya ada di sisi Shukri, setia menemani susah dan senang.

“Selalunya perempuan akan memilih lelaki yang stabil dari segi kewangan dan kehidupan. Namun Tya sanggup mengharungi kesusahan bersama saya. Bukan sahaja dia mengambil berat tentang saya, malah amat menghormati dan mesra dengan keluarga saya.

“Kesanggupan dia bersama saya sehingga sekarang memadai untuk saya memilihnya sebagai isteri. Apatah lagi wanita yang tahu mengambil hati orang tua,” kongsi Shukri yang turut disenangi keluarga Tya.

Cemburu

Mengahwini lelaki yang digilai ramai wanita barangkali sukar untuk sesetengah perempuan. Lebih-lebih lagi ketika Shukri kini sedang meniti populariti luar biasa susulan watak-watak romantiknya dalam beberapa drama TV tempatan. Asam Pedas Untuk Dia dan Dia Isteri Luar Biasa antara dua drama yang meninggalkan impak dalam karier Shukri.

Shukri01

Sudah tentu peminat wanitanya bertambah dari hari ke hari. Begitu juga keserasiannya bersama heroin-heroin dalam setiap drama yang dijayakan sehingga menyalakan desas-desus liar.

Bagaimanapun situasi itu tidak secuit menggugat kepercayaan Tya terhadap Shukri. Cemburu itu normal untuk setiap wanita tetapi kebanyakan masanya Tya kekal positif.

“Satu sikap Shukri yang saya puji adalah dia tidak berahsia. Segala yang berlaku di tempat kerja akan diceritakan kepada saya. Shukri jujur dan saya juga lebih selesa mendengar apa-apa cerita terus daripada dia, bukan yang disampaikan pihak ketiga,” ujar Tya yang pernah muncul dalam filem Ular, Karak dan Sunti.

Bagi Shukri pula, membatasi perhubungan dengan wanita sama ada peminat mahupun pelakon telah dilakukan sejak awal karier. Jika di dalam lakonan, lumrahnya ia menuntut penghayatan bagi mencipta keserasian terutama kisah percintaan agar berupaya meyakinkan penonton. Fokus itu hanya dihadkan ketika di set penggambaran sahaja dan tidak terbawa-bawa di luar tempoh bekerja.

“Tiada istilah cinta di lokasi. Malah ketika saya mula berkenalan dengan Tya secara serius pun selepas kami tamat penggambaran filem tersebut,” tambah Shukri yang kini sedang menjalani penggambaran drama episod Cik Cinderella dan Encik Tengku untuk slot Lestary TV3.

Pernah mengatur rancangan untuk berumah tangga sekitar usia 26 atau 27 tahun, Shukri sememangnya bersedia untuk bergelar suami dan kemungkinan kelak, seorang bapa selepas mengikat tali pertunangan. Berkahwin ketika nama sedang meledak selaku aktor pujaan ramai juga tidak membimbangkan Shukri.

“Penonton kini lebih bijak. Mereka tidak hanya meminati pelakon berdasarkan paras rupa mahupun status semata-mata. Mereka lebih tertarik kepada karisma, komitmen, bakat, perilaku dan keupayaan seseorang pelakon.

“Kalau hendak mengandaikan peminat akan berkurang ataupun berhenti meminati selepas status berubah, semua orang tahu saya telah bertunang tetapi ia tidak mengubah apapun. Berkahwin juga bukan penghalang untuk peminat mencipta hubungan yang rapat bersama pelakon kegemaran mereka. Aaron Aziz ketika menyertai industri inipun telah berumah tangga tetapi masih lagi diminati ramai.

“Bagi saya populariti bagaikan virus. Ia boleh hinggap kepada sesiapapun dan andai kata saya tidak berkahwin sekalipun, tidak semestinya ia akan melekat kepada saya. Populariti tidak akan melekat selama-lamanya. Bukan itu yang ingin saya raih. Lihat individu seperti Dato Siti Nurhaliza, peminat tetap bersamanya biarpun berganti status,” jelas Shukri.

Resepsi

Dalam kesibukan penggambaran, Shukri tetap sempat melapangkan masa menguruskan persiapan perkahwinan. Bagaimanapun Tya lebih banyak memainkan peranan dalam persediaan. Kadang-kadang perbincangan hanya dilakukan menerusi aplikasi WhatsApp.

Shukri03

Resepsi berkonsep taman di Cyberjaya menjadi pilihan Shukri dan Tya. Warna putih pula dijadikan teras dominan pernikahan dan persandingan. Busana Lumiere Concept bakal membaluti tubuh dua mempelai itu untuk kedua-dua majlis. Tujuh dulang hantaran daripada Shukri dibalas dengan sembilan dulang oleh Tya.

Kesederhanaan menjadi keutamaan Shukri dan Tya, sepertimana persamaan sifat mereka yang sukakan keringkasan. Lokasi bulan madu masih belum ditentukan, malah Shukri hanya bercuti lima hari selepas berkahwin sebelum kembali ke set penggambaran.

Shukri dan Tya kini juga menjalankan perniagaan dalam talian menjual teh detoks, Limitoxless.

Comments

comments

Memulakan kerjaya penulisan sebagai wartawan di sebuah akhbar berbahasa Melayu tempatan dan berkhidmat selama empat tahun sebelum menyertai Pepatung sepenuh masa. Berpengalaman dalam penulisan rencana terutama berkenaan gaya hidup, profil, minat ramai, isu semasa, fesyen dan hiburan.

Tinggalkan Komen

Your email address will not be published. Required fields are marked *