BUKAN kerana populariti atau cara percakapannya yang dicemuh masyarakat, tetapi keperibadiannya yang langsung tidak mencerminkan personaliti yang kita tonton menerusi video-video di laman instagram miliknya.

FOTO: PINOGRAPHY (@pinography) | SOLEKAN & DANDANAN: ADIKZWAN (@adikzwan) | PAKAIAN: #ZARAMY, ADRIANNA YARIQA X FAZURA (@adriannayariqa) & PINOPANDA (@pinopanda)

Pertemuan diaturkan di Ben’s Pavilion, Kuala Lumpur. Wanita berusia 20 tahun itu datang berseorangan. Dia memperkenalkan diri dan melabuhkan punggung. Teh pic ais dipesan, lantas kami memulakan perbualan.

Dari luaran, Coco tampak seperti wanita yang tinggi tahap keyakinan. Realitinya, dia seorang yang agak pemalu dan masih berhati-hati dalam menutur kata. Segalanya yang kita saksikan di media sosial tidak menghuraikan karakter Coco secara keseluruhan.

Saya sendiri tidak mengerti mengapa Coco perlu bercakap dengan slanga seperti orang putih mahu bercakap bahasa Melayu. Sedangkan dia dilahir dan dibesarkan dalam persekitaran rakyat yang bertutur dalam bahasa Melayu. Bahkan penguasaan bahasa Inggeris Coco juga kurang meyakinkan.

Sepanjang perbualan, saya cuba menghadam dan memahami cara percakapan Coco. Ternyata, ia tidaklah seteruk seperti di dalam video yang pernah tular dahulu. Dia boleh bertutur dengan lancar tanpa kedengaran menjengkelkan. Slanga itu juga ada, cuma tidak keterlaluan.

Ia wujud kerana kebiasaan. Coco mengakui cara percakapannya tidak dibuat-buat. Sejak kecil dia bercakap seperti itu. Jadi apabila cara dia bercakap dijadikan isu dan diperdebatkan netizen, dia hairan. Lantas setiap kandungan sama ada foto atau video yang dimuatnaik Coco menjadi penting untuk dibincangkan.

Coco saya sifatkan umpama Kim Kardashian Malaysia. Dia popular kerana kisah peribadi dan tingkah laku yang mengundang kontroversi. Apatah lagi apabila dia bernikah dengan suami orang, sekali gus bergelar isteri kedua kepada Azrin Anaz Abdul Shukor (Capt Azrin), 35, ketika namanya sedang hangat diperkatakan.

Masyarakat, netizen khususnya, melihat Coco sebagai jenaka dan hiburan. Bahkan terdapat beberapa akaun instagram didedikasikan khusus untuk haters Coco. Begitu hebat penangan Coco sehinggakan orang sanggup meluangkan waktu untuk menyebarkan kebencian dan meninggalkan komen-komen berbaur penghinaan.

Bertemu mata dengan Coco membolehkan saya mengenali anak jati Kuala Lumpur itu dengan lebih dekat. Penampilan Coco yang muda, juga menepati usianya. Namun, dia ramah dan tidak lokek dengan senyuman.

Ketika kami berjalan keluar dari Ben’s, Coco ditegur seorang wanita bersama seorang anak perempuan yang masih kecil. Dia meminta untuk bergambar dengan Coco dan pelawaan itu disambut baik. Kanak-kanak itu juga tampak ceria dapat bersua muka dan berfoto berdua dengan bintang media sosial tersebut.

Pada saya, Coco masih muda. Dia bernikah pada usia 19 tahun dan baru menginjak 20 tahun pada Februari lalu. Masih banyak yang perlu diterokai Coco tentang kehidupan. Takdir juga menentukan aturan hidupnya sebegitu. Saya percaya hidup Coco akan baik-baik sahaja, meskipun kelak minat masyarakat terhadapnya memudar.

Hidup akan memberi pengajaran kepada Coco. Terutama apabila dia bergelar ibu nanti. Ya, Coco mengesahkan kepada Pepatung bahawa dia kini hamil. Kandungan yang memasuki usia sebulan itu merupakan satu kurniaan tidak dijangka. Adakah Coco boleh menjadi ibu yang baik? Bolehkan dia berubah menjadi lebih matang selepas mempunyai anak?

Persoalan dan keraguan yang akan difikirkan masyarakat. Biarkan Coco menyusun hidupnya, sepertimana kita merancang hari-hari kita. Doakan yang terbaik untuk Coco dan semoga kita juga menjadi insan yang lebih baik.

Pepatung: Ruangan komen di instagram anda telah ditutup. Mengapa?
Coco: Sejak video viral lagi saya telah menutup ruangan komen. Bukan kerana saya tidak tahan dengan kritikan atau komen-komen negatif. Saya suka baca komen-komen di instagram dan saya tidak kisah. Cuma, suami yang menasihatkan supaya ruangan komen di instagram ditutup. Sekurang-kurangnya individu yang gemar meninggalkan komen negatif tidak lagi membuat dosa kering.

Pepatung: Pernah terlintas di fikiran yang anda akan menjadi popular seperti sekarang gara-gara sebuah video?
Coco: Langsung tidak terfikir. Sebelum video itu viral pun saya memang rajin muat naik video di instagram. Saya rajin berkongsi video tentang senaman dan motivasi berkaitan kecergasan, tetapi tidak pula mendapat perhatian sebegitu.

Pepatung: Adakah video yang viral itu boleh dikategorikan sebagai satu gurauan?
Coco: Saya tidak bergurau. Apa yang saya sampaikan di dalam video itu adalah diri saya yang sebenar. Selepas ia dikongsi secara meluas di media sosial, saya terkejut dan berasa agak terkilan dengan komen-komen yang agak menyinggung perasaan.

Pepatung: Kehidupan anda berubah selepas video tersebut menjadi viral. Bagaimana rasanya menjadi Coco sekarang?
Coco: Jujur saya katakan, ia tidak menyeronokkan. Saya rindukan keadaan yang membolehkan saya berjalan berseorangan tanpa perhatian sekeliling. Sekarang, perlakuan dan gerak-geri perlu dijaga sebab banyak mata yang memandang.

Pepatung: Adakah orang sekeliling menegur anda ketika berjalan di tempat awam?
Coco: Sangat ramai termasuklah yang meminta mengambil gambar bersama. Suami pun ada membangkitkan isu privasi terutama ketika kami keluar berdua atau bersama keluarga. Kadang-kadang tengah makan, orang datang minta bergambar. Bukan niat untuk bersikap sombong atau enggan melayan, tetapi ada ketika saya akan tolak pelawaan bergambar dengan baik. Saya harap orang dapat memahami dan menghormati waktu ketika saya bersama keluarga.

Pepatung: Bagaimana pula dengan ejekan atau kecaman secara berdepan di tempat awam?
Coco: Setakat ini tidak pernah.

Pepatung: Video viral itu juga telah memberi ruang kepada anda meraih pengikut yang ramai (mencecah lebih 400,000) sekali gus membolehkan ia menjadi sumber pendapatan. Berapa lama anda rasa dapat bertahan melakukan review produk di instagram?
Coco: Saya tidak berharap ia akan berpanjangan. Namun, sementara khidmat saya masih diperlukan dan orang percaya dengan cara saya, ia akan terus berjalan. Cuma saya juga sudah merancang untuk memulakan bisnes di masa akan datang. Review yang saya lakukan di instagram sebenarnya adalah pendapatan sampingan.

Pepatung: Ada perancangan untuk bekerja tetap?
Coco: Setakat ini suami tidak mengizinkan bekerja. Jadi saya bekerja di rumah sahaja ketika ini dan teruskan dengan perancangan bisnes sendiri.

Pepatung: Pernah ditawarkan untuk berlakon?
Coco: Baru-baru ini saya dihubungi seorang pengarah tempatan tetapi semuanya masih dalam perbincangan. Tetapi saya kurang berminat kerana saya kaku dan tidak mempunyai bakat lakonan.

Pepatung: Kenapa dipanggil Coco?
Coco: Saya mempunyai lima adik-beradik dan saya anak keempat. Hanya seorang sahaja lelaki dan adik-beradik perempuan yang lain semua ada nama ‘Masha’ di awal nama. Jadi apabila orang telefon rumah dan meminta bercakap dengan Masha, ia menimbulkan kekeliruan. Maka ayah saya berikan gelaran kepada kami. Disebabkan saya suka makan coklat, ayah gunakan gelaran Coco.

Pepatung: Bagaimana dengan pendidikan? Di mana anda bersekolah dan tidak teringin untuk sambung pengajian?
Coco: Saya membesar di Jalan Ipoh, Kuala Lumpur dan mendapat pendidikan di SMK Convent, Sentul. Tamat SPM, saya sambung pengajian di sebuah politeknik di Perlis. Namun, hanya satu semester di sana kerana tidak tahan berjauhan dengan keluarga. Memang teringin untuk sambung pengajian tetapi belum ada perancangan yang jelas.

Pepatung: Bagaimana anda mengenali suami? Adakah sebelum atau selepas anda popular dalam kalangan netizen?
Coco: Sebelum menjadi popular. Setengah tahun juga kami berkenalan sebelum kahwin. Kami berkenalan pun melalui kawan. Pertama kali berjumpa, dia tidak berselindung tentang statusnya sebagai suami dan bapa kepada dua anak. Saya tidak kisah memandangkan kami hanya berkawan. Selepas itu kami mula rapat dan beberapa kali saya menolak hasratnya untuk menjadi lebih serius. Tetapi saya tetap bersyukur, sudah jodoh saya dengan dia.

Pepatung: Reaksi keluarga anda dengan keputusan untuk berkahwin?
Coco: Sebenarnya dua minggu sebelum bernikah, saya tanamkan dalam diri sekiranya perancangan tersebut dilancarkan, saya bersyukur. Namun, jika ia tidak menjadi sekalipun, saya tidak terkilan. Alhamdulillah, pernikahan kami mendapat restu kedua-dua belah keluarga. Resepsi persandingan juga akan diteruskan seperti yang dirancang. Hujung bulan ini kami akan bersanding.

Pepatung: Bagaimana pula hubungan anda dengan madu (isteri pertama)?
Coco: Alhamdulillah, hubungan kami semakin baik. Kami pernah bertemu beberapa kali dan sehingga kini masih berhubung. Dia pun sibuk menguruskan anak-anak. Suami pula tidak mengabaikan tanggungjawab sebagai ketua keluarga. Malah anak-anak tiri sangat rapat dengan saya. Mereka panggil saya mummy princess.

Pepatung: Terdapat dakwaan yang mengatakan anda menyerang seorang wanita yang dikatakan bekas kekasih suami menerusi direct message (DM) di instagram. Sejauh mana kebenaran isu tersebut?
Coco: Saya memang ada dihubungi sebuah akhbar berkenaan isu ini tetapi saya dan suami memilih untuk tidak mengeluarkan sebarang kenyataan. Gambar-gambar yang disebarkan juga ketara telah disunting. Kami diamkan sahaja sebab tiada apa yang perlu dijelaskan. Gosip sebegitu akan reda sendiri. Sekiranya ia benar, bukan saya sahaja akan bersuara, isteri pertama suami pun mungkin akan buka mulut.

Pepatung: Pada usia yang masih muda, anda bakal menjadi ibu. Adakah anda telah bersedia?
Coco: Sebenarnya kalau tidak mengandung, saya memang bercadang untuk mengambil anak angkat. Saya sukakan budak-budak. Sekurang-kurangnya saya tidak berasa sunyi apabila suami tiada di rumah. Sehingga kini saya masih terbayang-bayang bagaimana kesakitan yang akan dialami ketika melahirkan anak nanti. Perasaan itu meleret sehingga terbawa-bawa ke dalam mimpi.

Saya lakukan tiga pemeriksaan bagi memastikan saya betul-betul mengandung termasuk pemeriksaan di klinik. Mengikut perancangan asal, saya hanya akan bersedia untuk mengandung selepas dua tahun berkahwin. Barangkali saya kurang bersedia tetapi InsyaAllah, rezeki yang telah diberikan ini mungkin adalah yang terbaik untuk saya dan suami.

Pepatung: Adakah anda mengidamkan keluarga yang besar?
Coco: Segalanya bergantung kepada rezeki tetapi dua cahaya mata memadai untuk kami. Saya juga merancang untuk melahirkan anak di luar negara. Keputusan itu dibuat kerana kami mahu mencipta kenangan untuk anak-anak apabila mereka dewasa kelak.

Pepatung: Kehidupan berumah tangga menuntut seorang isteri untuk menguruskan suami. Adakah anda pandai memasak atau sedang belajar memasak?
Coco: (ketawa) Cuba memasak memang ada, tapi tidaklah hebat. Ibu saya yang banyak mengajar memandangkan suami sukakan masakan tempatan. Mungkin menu yang paling sukar pernah saya sediakan ialah kari ayam. Namun, saya masih ingat yang ia kurang menjadi, tetapi suami makan juga. Suami pun tidak kisah sebenarnya kerana dia sendiri jarang makan di rumah.

Pepatung: Suami anda di mata anda dan bagaimana dia berjaya memenangi hati anda?
Coco: Dia seorang suami yang memahami, bapa yang baik, sangat menyayangi anak-anak dan bertanggungjawab. Ketika berkenalan dulu, dia menunjukkan kesungguhan untuk berkahwin. Saya juga melihat bagaimana dia mampu mengimbangi kasih sayang kepada isteri pertama dan anak-anak, tidak seperti yang diperkatakan orang bahawa lelaki yang beristeri lebih daripada satu akan mengutamakan isteri muda. Suami saya tidak begitu. Dia berlaku adil.

Pepatung: Kelebihan bermadu kepada anda?
Coco: Isteri yang bermadu ada hari cuti! Bermakna saya boleh berehat daripada tanggungjawab sebagai isteri apabila suami tidak pulang ke rumah. Bagaimanapun bukanlah bermaksud saya boleh bertindak sesuka hati. Saya masih perlu mendapatkan keizinan suami jika ingin ke mana-mana.

Pepatung: Kita melihat anda begitu ceria di media sosial. Bilakah waktunya anda menangis?
Coco: Saya menangis jika berasa terlalu marah. Ketika itu, mungkin ada kemarahan yang tidak dapat saya lepaskan, jadi saya menangis. Bagaimanapun, saya seorang yang ego dan tidak mahu menunjukkan kesedihan. Setakat ini tidak ada lagi perkara yang membuatkan saya berasa benar-benar kecewa sehingga perlu menangis.

1 KOMENTAR

TINGGALKAN RESPONS

Sila masukkan komen!
Masukkan nama anda di sini