Ambisi Dato’ Nadia Marni

0
98

DATO’ Nadia Marni Mat Zin, 31, graduan undang-undang Universiti Teknologi Mara (UiTM) ini punya pakej yang lengkap. Beauty with brains, ya itu ungkapan tepat buat dirinya. Baru-baru ini saya berkesempatan meniti diari kehidupan wanita anggun ini di kota cinta Paris, Perancis.

Nadia02 FOTO: HAIQAL SHUIB | GRAFIK: OMAR BENJAMIN FAHMY | BUSANA: NADIA MARNI (@nadia_marni) DAN MICHAEL KORS | SOLEKAN & DANDANAN: BOSCO RYZARL (@republicofdiva) DAN ROZLAN NASIR | KONSEP & PENATA GAYA: AZZA FARHANA

Hentakan but kulit Christian Louboutin dengan padanan black long fox fur vest sambil menjinjit tas tangan Kelly turut disempurnakan dengan kaca mata silver Dior, Soreal. Mudah bagi fesyenista berjiwa besar ini mencuri perhatian ramai sewaktu kami menuju ke restoran terkemuka Paris, L’Avenue.

Sambil menikmati secangkir coklat panas dan croissant bertemankan angin dingin Paris membelai tubuh, kami rancak bersembang.

Nadia berkongsi latar belakangnya dengan penuh ekspresi. Bapanya, Mat Zin, 62, dahulu berkhidmat sebagai pegawai bank. Pekerjaan bapanya itu menuntutnya sekeluarga untuk berpindah-randah, sekali gus memerlukan anak kelahiran Pasir Pekan, Kota Bharu, Kelantan untuk sering bertukar sekolah.

Wanita ini pernah bersekolah di Johor Bahru dan Terengganu. Namun kini dia telah menetap di Kuala Lumpur selama 12 tahun.

“Alhamdulillah sudah enam tahun saya berkecimpung dalam bidang perundangan. Karier guaman saya bermula di syarikat terkemuka, Zahid Ibrahim & Co. Ia merupakan firma guaman terbesar di Malaysia dan saya menghabiskan masa selama dua tahun menjalani chambering di situ.

“Kemudian saya menyertai Lee Hishamuddin Allen & Gledhill selama tiga tahun. Kini saya di firma guaman milik teman waktu saya belajar dulu, Shah Tready & Associates.

“Jika bercerita mengenai fesyen pula, sejujurnya mama saya, Karimah, 58, merupakan pengaruh terbesar. Mama seorang yang sangat terperinci dan sukakan kesempurnaan. Sejak zaman sekolah, jika ingin menghadiri sebarang acara, saya akan menggunakan khidmat made-to-measure dan jurusolek akan datang rumah untuk menyolek kami.

“Begitulah penangan mama terhadap saya. Mama saya memang glamor! Jadi ketika di universiti dulu, walaupun saya pelajar undang-undang, tetapi saya sentiasa berfesyen. I like seven inches heels, no joke!

“Saya memang tidak reti bersepatu flats, malah rasa sakit apabila berjalan jika tidak berkasut tumit tinggi. Baru-baru ini saja saya berjinak-jinak dengan flats Chanel. Well to me its okay, and very comfy,” panjang lebar Nadia memulakan kata.

Nadia03

Rasa senang singgah di hati apabila duduk bersembang dengan jelitawan ini. Sesekali pandangan terganggu dek kilauan barangan kemas Chopard di jari dan telinganya. Difahamkan, sebelum empayar Nadia Marni wujud, dia sememangnya sudah terbabit dalam perniagaan fesyen.

Nadia pernah menjadi pelabur kepada seorang pereka fesyen tempatan, tetapi tidak lama kemudian menghadapi beberapa komplikasi. Bagaimanapun ia tidak menjadi penghalang kerana jiwanya begitu sebati dengan fesyen dan kecintaan itu tidak pudar meskipun dijentik kecewa.

Nadia bangkit membentuk pasukan baharu, khusus demi menjelmakan koleksi unggulnya. Jiwanya tidak putus-putus dibasahi ilham-ilham fesyen. Jeritan nalurinya diakurkan lalu dilakarkannya dengan pena di atas sehelai kertas. Maka termeterailah empayar Nadia Marni.

“Syukur kepada Ilahi kerana buat kedua kalinya saya mempertaruhkan diri dalam bidang fesyen. Cuma kali ini saya lebih terperinci dan mengambil kira setiap aspek perniagaan ini. Pertamanya, semua pekerja saya merupakan lulusan dalam ijazah fesyen.

“Saya mahu semua pekerja tidak hanya tahu melakar, memotong kain, menjahit dan sebagainya, namun mereka juga perlu arif dalam konsep perniagaan ini. Kami akan duduk bersama bagi sesi pembentangan idea mengenai strategi meningkatkan jualan perniagaan.

“Saya pula jenis individu yang mendapat ilham tanpa mengira waktu dan tempat. Kadang-kadang ia akan hadir ketika berada dalam penerbangan jauh dan serta-merta saya melakarkannya di dalam buku kecil. Lakaran itu kemudiannya saya tunjukkan kepada pereka berserta penjelasan keinginan saya untuk rekaan tersebut.

“Alhamdulillah pereka saya, Atfi Zulkaifli memahami setiap apa yang saya mahukan. Segan juga untuk memberitahu tetapi sebenarnya saya seorang yang suka berangan! Sebelum tidur saya mesti berangan.

“Pernah suatu hari saya angankan dres siluet berpotongan duyung bertatahkan perincian mewah. Alih-alih, pada Grammy Award ke-56, Beyonce menyarungkan dres rekaan Michael Costello yang seakan- akan rekaan busana fantasi saya. But yeah I come up with that design first!” Gelak Nadia dengan jenaka nakalnya.

Helaian Nadia Marni kini meniti di bibir ramai dek kerana cetusan cita rasa yang classy dan anggun. Bertunjangkan rekaan moden yang menjadi kekuatan Nadia Marni, dia amat bijak dalam mengemudi hidupnya dan tidak pernah silap dalam karier pilihannya.

London, Paris & Cannes

Pujian harus diberikan kepada Nadia kerana sanggup menerbangkan kesemua 11 pekerjanya ke London. Tujuannya adalah untuk menyuntik semangat mereka agar berkerja lebih keras dalam menghasilkan rekaan di bawah label Nadia Marni.

Mendengar ceriteranya tentang London, barangkali boleh dirumuskan bahawa London ibarat rumah keduanya. Mana tidaknya, dalam setahun dia pasti ke kota raya itu sebanyak tiga atau empat kali. Setiap kali kunjungannya juga pasti menjangkau tempoh selama sebulan.

“London feels like home. Sejujurnya, saya memang kaki travel. Alang-alang berada di London, saya akan melawat negara-negara Eropah yang lain. Cuma kalau di London what else can you do instead of shopping! Orangnya bertutur Bahasa Inggeris berbanding Negara Eropah lain. Jadi tiada masalah komunikasi.

“Di sana makanan halal dan makanan kita juga mudah ditemui. Saya individu yang mesti makan nasi dan menu lauk kampung menjadi kegilaan. Jadi biarpun berapa lama di London, ia bukan satu masalah bagi mencari makanan mengikut selera saya. Tidaklah apabila pulang ke tanah air, saya kempunan mahu makan sambal belacan!

“Saya juga memang merancang untuk membawa semua pekerja saya ke London kali ini. Saya mahu mereka mendapatkan idea yang segar dan di samping itu, menikmati percutiaan ini. Jadi sekembalinya ke tanah air mereka akan lebih produktif.

Nadia04

“Saya bukan seorang bos yang bossy kerana saya sangat tidak gemar memberi tekanan kepada orang lain. Saya mahu bekerja sebagai sebuah keluarga dalam keadaan gembira. Prinsip saya mudah, jika mahu orang hormati kita, tidak perlu tunjukkan sifat garang.

“Akhirnya mereka tidak akan takut pun bahkan menanam rasa benci terhadap anda. Sebagai ketua, sifat tegas sahaja sudah memadai. Saya sering meletakkan diri di dalam situasi mereka dan menggambarkan bagaimana layanan yang ingin saya terima.

“Sempena penggambaran Wajah Pepatung ini di Paris, mengapa tidak saya bawa mereka terbang bersama. Sebelum sesi fotografi ini dijalankan, kesemua mereka bertungkus lumus selama sebulan menyiapkan koleksi Nadia Marni. Saya amat gembira melihat mereka menikmati setiap momen istimewa ini di London dan Paris,” kongsi Nadia penuh kepuasan.

Kelunakan vokal Carla Bruni dengan dendangan Je’taime menghidupkan roh Paris di apartment kami. Mata pula disajikan dengan pemandangan Menara Eiffel, membuatkan jiwa kami meronta-ronta tidak sabar untuk memulakan penggambaran. Meja solek mewah ditemani table chandelier dan lilin beraroma mewah Dyptique bertebaran di segenap pojok.

Gelak tawa Nadia jelas kedengaran bergurau senda bersama Bosco Ryzal yang begitu asyik merias wajahnya. Nadia menerbangkan Bosco dan penulis khas untuk sesi fotografi eksklusif ini di Paris. Konsep matte black smokey eyes nyata memberi impak fesyen anggun pada wajahnya. Atfi Zulkaifli pula sibuk menyeterika helaian couture Nadia Marni sebagai persiapan.

Hilang RM100,000

Dalam kegembiraan kami, terselit juga drama kurang menyenangkan sepanjang tempoh kami di sana. Berderau darah apabila mendengar khabar bahawa Nadia kehilangan 25,000 Euro (RM99,749). Ketika itu, sesi fotografi sedang berlangsung pada waktu pagi di lorong 75 Avenue des Champs-Elysees, berhampiran kafe popular, Laduree.

Kami percaya kejadian itu ada kaitannya dengan gelandangan Parisian di situ. Wajah Nadia berubah pucat dan suasana menjadi tegang. Semua buntu memikirkan bagaimana tas tangan boleh terbuka begitu sahaja? Menurut Nadia, ia merupakan kes kecurian pertama dilaluinya sepanjang mengembara ke negara asing.

Momen hitam di Paris itu memaksa sesi fotografi ditangguhkan seketika. Nadia memerlukan waktu untuk bersendirian. Kami semua kembali ke apartment dan melakukan aktiviti bebas. Tidak lama kemudian, Nadia kembali dengan senyuman yang terukir di wajahnya.

Tuturnya: “Benda sudah berlaku, redha sajalah.” Begitu lapang dia menerima dugaan tersebut. Sesi fotografi disambung semula. Sedikitpun tidak terlihat wajahnya dirundum sedih. Hanya senyuman dan pose penuh aksi yang diberikan di depan lensa kamera.

Menjelang malam, kami ke Seine River untuk menaiki Seine River cruise. Pemandangan kota Paris di sebelah malam dengan monumen-monumen indah bermandikan gemerlap cahaya Menara Eiffel mengukir minpi indah kepada kami semua pada malam itu.

Paris menjadi saksi terhadap busana haute couture Nadia Marni yang disuntik nafas feminin. Warna-warna elegan sendu lagi dramatik memberi impak pada helaiannya. Masih berbaki sehari lagi untuk kami selesaikan sesi fotografi.

Nadia06

Lokasi wajib, Menara Eiffel menjadi persinggahan kami seterusnya. Dres off shoulder berperincian sequined pancawarna digayakan Nadia bak sang diva. Dia tidak pernah menanggalkan sepatu tumit tinggi walaupun harus berjalan jauh di serata Paris.

Busana terakhir iaitu jumpsuit rona merah cili disarungkan Nadia di Musee Du Lourve. Ia merupakan penampilan penutup sesi fotografi tersebut. Sebagai balasan kerja keras setiap orang, kami meraikannya di restoran terkenal, Angelina yang terletak tidak jauh dari situ.

Kemudian kami ke Gallerie La Fayette bagi memenuhi nafsu membeli-belah masing-masing. Sempat saya mengerling ke arah Nadia yang selesai berbelanja sakan. Tidak dinafikan, memang agak banyak beg kertas berjenama yang dijinjit Nadia. There goes her guilty pleasure.

Keesokan harinya, awan mula mencerah di langit dan burung bersiul riang. Berpijak di bumi kota cinta, tidak sah jika tidak ke ‘The Love Lock Bridge’ atau jambatan Pont des Arts. Di situ terkunci ratusan ribu ‘mangga cinta’.

Dalam hati saya tertanya-tanya, adakah hati Nadia sudah dimiliki? Jika ya, siapa jejaka bertuah itu? Sambil berjalan menikmati morning stroll, saya beranikan diri untuk bertanya: “Boyfriend you tidak rindu ke you bercuti lama-lama ni?”

“Buat masa ini I am single and available,” jawabnya disambut derai tawa terkawal.

“Saya percaya Tuhan telah aturkan yang terbaik untuk saya. Saya dilahirkan di muka bumi Allah ini juga atas perancanganNya. Jadi jodoh saya juga terletak di tanganNya. Saya baru putus cinta awal tahun lalu. Selama dua bulan saya membawa diri di London mencari sesuatu yang dapat mengisi kebahagiaan di hati ini,” sedikit demi sedikit Nadia membuka kisah peribadinya.

Berbicara mengenai lelaki kriterianya pula: “Saya dambakan seorang yang memahami because I can be difficult at times. Kacak di mata saya dengan kewangan yang kukuh kerana ia sangat penting. Mungkin ramai yang akan mengatakan saya seorang materialistik, tetapi itulah realiti hari ini. When you have a child, you don’t want to waste their lives away.”

Nadia05

Seminggu di Paris nyata menerbitkan seribu kenangan manis buat semua yang terlibat. Namun kembara Nadia tidak terhenti di Paris sahaja. Dia kembali ke London untuk menghantar semua pekerjanya di Lapangan Terbang Heathrow.

Nadia mahu memastikan setiap daripada mereka selamat berlepas ke tanah air. Empunya diri kemudiannya kembali ke Paris untuk persediaan memenuhi jemputan ke majlis berprestij Festival Fesyen Islamik (IFF) di Cannes. Bersama dua jurusolek kesayangannya, Bosco Ryzal dan Rozlan Nasir, Nadia meneruskan kembara ke Cannes.

Empat malam yang penuh glamor di Cannes kemudiannya melabuhkan tirai. Nadia kembali ke London untuk beberapa hari sebelum terbang ke tanah air. London – Paris – London – Paris – Cannes – London! Kembara tanpa henti Nadia sepanjang bulan lalu.

Setibanya di Malaysia, belum sempat merehatkan diri, dia terus memenuhi undangan acara-acara fesyen di bandar raya Kuala Lumpur. Kemudian dia terbang ke Pulau Pinang bagi menyertai perhimpunan hari keluarganya. Destinasi seterusnya ialah Semarang, Indonesia bagi menghadiri jemputan khas dari Kraton Glagah Wangi Demak.

“Ya kehidupan saya sangat sibuk. Terisi dengan aktiviti tanpa henti. Sekembalinya dari Indonesia, saya sepatutnya ke Santorini, Greece. Teman-teman saya semuanya sudah di sana menantikan saya. Namun sayangnya, saya terlewat menempah tiket penerbangan ke sana.

“Tiada lagi tiket yang boleh diperoleh. Tidak mengapalah mungkin tidak ada rezeki. Mengimbangi dua profesion dalam dunia guaman dan fesyen secara sepenuh masa memang sukar. Bagaimanapun saya seorang yang sukakan cabaran dalam hidup.

“Moto hidup saya adalah ‘Usaha, Redha dan Tawakkal’. Mama juga berpesan agar tidak menanamkan sebarang perasaan hasad dengki dan kedekut di dalam hati. Kita perlu sentiasa ikhlas dalam melaksanakan sesuatu perkara.

“Setinggi manapun kedudukan kita, jangan sesekali mendongak di bumi Allah. Kata-kata mama itu akan simpan kemas di ingatan,” Nadia mengakhiri perbualan yang berlanjutan dari Paris hingga ke Kuala Lumpur.

TINGGALKAN RESPONS

Sila masukkan komen!
Masukkan nama anda di sini