Teater

Pentas komersial Khalid Salleh

By  | 

APABILA Khalid Salleh mahu mementaskan naskahnya di gelanggang komersial, Istana Budaya berputar dalam minda apakah ia bakal menurut kehendaknya atau mengikut kemahuan kebiasaan?

Maklum penontonan hari ini mengklasifikasikan Istana Budaya sebagai ruang longgokan prop dan tirai silih berganti dan sesetengahnya mematikan terus makna isi dan rentak asas pementasan teater.

Lihat sahaja, saban bulan hingga ke tahun, produk komersial mengisi jadual Istana Budaya demi meneruskan kelangsungan serambi budaya dan seni negara itu.

Cuba lari daripada tatapan biasa, maka dipentaskan teater Kena Main yang membariskan nama-nama prolifik seni berat tanah air.

KenaMain02

Antaranya, Eman Manan, Ebby Saiful dan Sani Sudin yang cemerlang menggalas peranan pemuzik jalanan buta dengan penuh berkesan.

Pengucapannya yang ringkas tetapi setiap ungkapan tersirat erti realiti kehidupan sebenar. Seperti membayangkan setiap daripada kita menjadi penggerak dan punya peranan dalam masyarakat.

“Bayangkan jika pemungut sampah tidak mengutip tinggalan yang dibuang penghuni kota pada hari tersebut, siapakah yang akan mengutipnya?” kata Eman mengenai perwatakan sebagai Pie.

KenaMain

Teater ini secara kiasan mengupas mengenai industri seni tempatan yang dilambakkan dengan wajah-wajah kosong dan buta mengenai tuntutan kerja mereka.

“Sekarang ini, bakat bukan lagi paling utama. Letaknya jauh kebelakang di tangga ke-10,” seloroh Jusuh (Ebby)

Begitu juga soal perkaitan ibadah dan dunia seni yang disentuh halus oleh Pie yang mengatakan kerja ini juga satu ibadah memandangkan setiap pelakunya mencari rezeki halal untuk meneruskan hidup.

“Kalau kau bekerja untuk mencari rezeki kenapa tidak ia sebagai satu ibadah?” sangkal Pie.

Biarpun karya-karya sebegini tidak mampu mengenyangkan akal-akal komersial dan penggemarnya dianggap pretentious, sewajarnya perlu ada protein baik untuk tubuh selepas seharian disuapkan kimia-kimia perosak hati. – HAFIZ AHMAD

Kredit gambar: Astro Awani

Comments

comments

Tinggalkan Komen

Your email address will not be published. Required fields are marked *