Nasha Penyelamat DBLK

0
45

ISTANA Budaya kembali menjadi pemerhatian minggu ini apabila mementaskan novel klasik tulisan Hamka iaitu Di Bawah Lindungan Kaabah (DBLK) yang digalas nama besar dan baharu antaranya Nasha Aziz sebagai Zainab, Adi Putra (Hamid) dan Fizo Omar (Salleh). Pembaca novel dan penonton teater marhain, Hafiz Ahmad, yang mendapat tiket ihsan, memberi pandangan kepada teater arahan Rosminah Mohd.Tahir itu.

Persoalan paling utama, sejauh manakah teater itu dapat mementaskan karya serius dan Islamik dalam medium yang lebih besar malah dimuzikalkan? Bakalkah ia ‘mengkhianati’ keaslian cerita seperti yang dilakukan Hanny R Saputra dalam adaptasi filem tahun 2011?

ADI dan Fizo ketika ditemui pada
sesi latihan teater DBLK.

Tanpa memberi sebarang harapan dan espektasi yang tinggi, boleh dikategorikan teater muzikal itu berjaya. Berjaya pada hematnya, kerana telah mengikut acuan sebenar sama seperti yang terdapat dalam novel.

Boleh dikatakan, tiada satu bahagian dalam novel tidak diteaterkan. Dari Bait-bait dialog sehingga penonjolan watak tak penting juga diwujudkan. Mungkin juga pihak produksi akur dengan permintaan waris Hamka yang mahukan pementasan itu tidak lari dari jalan cerita asal. Maka, apa istimewanya teater ini? Adakah cukup sekadar menurut alur cerita yang asli sahaja?

Tepukan perlu diberikan kepada lagu-lagu muzikal di bawah pimpinan komposer hebat, Pak Ngah. Begitu juga koreografi oleh A Aris Kadir. Prop pentas dan busana pelakon tambahan (sahaja) perlu dipuji kerana melambangkan latar masa era 30-an. Sayang bagi persalinan watak utama wanita yang terlalu berlebihan hingga lari ciri-ciri Islamik Melayu lama.

Memikirkan ia dipentaskan secara komersial dan hadirin yang mahu melihat rekaan indah dan cantik semata-mata, maka ditutup sahaja mata walau tertanya juga relevannya memakai tudung berbatu-batu dan berlilitan, sedangkan Hamka menggambarkan perwatakan mereka sederhana, desa persis gadis Melayu Minang.

Terasa juga dalam beberapa bahagian yang dilebih-lebihkan sehingga mungkin mencacatkan keindahan cerita secara keseluruhan. Mengambil contoh, kelibat sekumpulan Syeikh diketuai Zahid yang jika menurut buku, tidaklah perlu menjadi sebadut itu. Walhal kalau ditiadakan bahagian itu, langsung tidak hilang warna teater tersebut. Syukur juga kehadiran Zahid, si tukang cerita, tidak disia-siakan kerana turut menyanyikan lagu-lagu secara langsung, bukan miming seperti dilakukan sebilangan watak utama.

Kedua-dua watak Zainab dan Hamid ketika remaja yang secara lahiriahnya terlalu ‘garik’ tidak melambangkan kesantunan watak Zainab sebagai gadis Minang dan kesopanan peribadi Islamik bagi watak Hamid. Dalam novel tersebut, Zainab sendiri menggambarkan Hamid sebagai seorang terpuji dan tinggi peribadinya, tidak pernah menunjukkan sifat keterujaannya secara langsung kepada Zainab atau orang sekelilingnya. Tambah keralatan pada babak penting ketika Zainab meluahkan perasaannya pada Rosna.

AFIFI HAMKA (anak Hamka) dan barisan
pelakon teater DBLK.

Terasa kurang (mungkin juga tersalah intepretasi) pada lakonan Yasmin Hani yang bukankah sepatutnya dia berada pada larutan emosi yang sama dengan Nasha Aziz? Mungkin saya yang salah. Mungkin.

Sebenarnya, teater ini banyak diselamatkan oleh kemantapan lakonan Nasha yang menepati kehendak emosi Zainab. Kepiluan, kesedihan dan kemelaratan yang dihadapi Zainab, cemerlang disampaikan Nasha. Airmata yang dicurah terasa asli dan neutral bukan dibuat-buat seperti yang dilihat pada Adi Putra.

Maaf. Ironinya, kedua-dua versi mengambil pendekatan yang hampir sama bagi babak kemuncak Hamid di bawah Kaabah. Emosi melampau, meraung kesedihan sehingga Hamid menghembuskan nafas terakhir.

Sedangkan, Hamka menulis, Hamid membaca doa dihadapan kaabah dan meninggal dunia dengan senyuman hingga terpancar kejernihan wajahnya.

Secara peribadi, teater ini masih berada pada tahap memuaskan. Sekali lagi terima kasih dan tahniah pada Nasha Aziz. Pada mereka yang hanya merujuk filem adaptasi tahun 2011, maaf ya, babak berpegangan antara dinding, kiriman salam sabut kepala dan berkaitan tidak cukup konti untuk dipentaskan.

Kredit gambar: CTRA Production

TINGGALKAN RESPONS

Sila masukkan komen!
Masukkan nama anda di sini