Jiwa Melankolik Sudirmania

0
26

JUJUR ketika diberitahu bakal diadakan satu lagi persembahan seni mengangkat karya-karya Sudirman, merembes sel spontan dalam otak penulis marhaen, Hafiz Ahmad hingga terungkap kata; seriously again, b*tch?

Mungkin tindakan pra-sedar itu terdorong berikutan terlalu banyak konsert mahupun teater yang hanya berlingkar dalam hidup dua seniman agung negara. Tidak Sudirman, pasti Tan Sri P. Ramlee.

Terdetik juga, adakah kita yang hidup ini sudah kehabisan daya mencari nama-nama besar lain atau sekadar mengambil jalan mudah kerana keduanya punya peminat tegar abadi. Maka, difikirkan positif sahaja, mungkin kerana kita terlalu terkesan dengan kehilangan dua tokoh muzik itu hingga perlu diceritakan sehingga sedekad atau seabad lagi.

Namun, apabila diumumkan senarai produksi Teater Sudirmania yang dipentaskan di Lambang Sari, Istana Budaya bermula 28 Mei hingga 1 Jun, timbul kemahuan untuk menonton, lantas digigihkan mencari tiket ihsan.

Sebenarnya kemahuan itu berpaksi kepada nama-nama pemain utama yakni anak seni teater sebenar, yang tidak kisah nama tidak tercalon dalam anugerah popular atau tidak sesekali mahu kesucian nama mereka terpalit dalam tulisan pojok Kak Pora juga Kak Diva, for now.

Kirin Muhamaad, Mustaqim Mohamed, Anissa Azis, Intan Nor Sainata dan Surni Fizul, hidup berpegang pada prinsip, bertunjang pada akar seni yang sahih dan benar, klise.

PENTAS yang kecil tidak menjadi penghalang buat para pelakon
teater muzikal Sudirmania beraksi dengan cemerlang.

Walau sejauh mana tipikal pandangan itu, tidak dinafikan bakat dan lagak mereka jauh lebih baik jika dibandingkan dengan pementasan teater muzikal sebelumnya. Dalam ruang yang terhad hanya sebuah pentas kecil warna putih, mereka menari, bermain emosi tetapi bezanya melantun suara sendiri tanpa menggunakan sebarang alat rakaman, seperti dilakukan produksi teater muzikal yang berpaksi pada keuntungan lain.

Ya, sedikit teruja kerana sebelum ini dibesarkan dan difahamkan bahawa teater di Malaysia hanya mampu lip-sync seperti peserta Rupaul Drag Race semata. Rupanya kita juga ada kelompok Broadway dalam kelas tersendiri, biar pada tahap amatur.

LAKONAN Kirin dan Surni
berjaya memikat
hati penonton yang hadir

Kemeremangan segala bulu sangat terasa dengan lantunan emosi bersuara pelakon utama, Kirin Muhamad yang memegang watak bapa yang kemelaratan ditinggalkan isteri. Tidak menolak jika dikatakan, auranya sentiasa ditunggu dalam setiap babak.

Terasa setiap pergerakan dan ucapannya yang hingga tanpa sedar hati sebak jatuh menitik ketika menyanyikan lagu all time favourite, Merisik Khabar.

Keikhlasan jejaka berusia 26 tahun itu sama hebat ketika pertama kali melihat kelibatnya dalam teater Jam Dinding Yang Berdetak, Januari lepas. Moga bakat Kirin itu dapat dilihat dan dikongsi kepada khalayak mainstream dalam landasan medium yang betul.

Biarlah Aaron Aziz turun naik menerima anugerah dan kereta, asal negara masih ada Bintang Sirius yang tak malap sinarnya dek masa.

Kudos juga pada pengarah muzik, Ayop Azril yang magis sungguh sentuhannya dalam setiap lagu-lagu Sudirman dan penyanyi 80-an lain. Walau ada beberapa killer song yang tidak terlalu membunuh, tetapi masih juga melankolik alunannya.

Mengambil kisah disebalik penganjuran konsert besar Sudirman di Chaw Kit Road, pengarah, Khairunazwan Rodzy membawa fiksyen jalan cerita sekelompok masyarakat yang teruja dalam agenda kehidupan tersendiri.

Seperti gabungan filem Cinta (Khabir Bhatia, 2006) dan My Name is Khan (Karan Johar, 2010), konflik terangkum pada kehendak untuk dicinta dan kecelaruan kerna menurut hati. Usah dibandingkan dengan produksi pementasan teater tema Sudirman sebelum ini, kerana semestinya Sudirmania berpijak pada standard tersendiri.

TINGGALKAN RESPONS

Sila masukkan komen!
Masukkan nama anda di sini