Garapan indah Matah Ati

0
7

PERLU diakui, sepanjang pementasan dramatari, Matah Ati, masa terasa panjang dan mata digagahkan tidak terkatub melayan alunan gamelan Jawa.

gallery-jkt3

Mungkin disebabkan tidak memahami bait bahasa Jawa yang menjadi ungkapan sepanjang masa panggung, membuatkan penonton seperti saya menahan-nahan dari terbabas ditelan kedinginan Istana Budaya.

Syukur diselitkan satu bahagian di babak #11 yang menampilkan empat wanita gedempol cuba berinteraksi dalam lenggok kita. Terasalah juga kehadiran penonton yang cuba mencari keselesaan di sebalik ketidakseimbangan kerusi Istana Budaya yang merengsakan.

gallery-jkt13

Kehadiran empat wanita itu tepat pada masanya kerana jika berterusan mendengar kelunakan suara Rambat Yuliningsih yang cemerlang sebagai Rubiah dan ketangkasan tarian Fajar Satriadi (Raden Mas Said), pasti ada yang angkat kaki khususnya dua lelaki sebelah kanan saya lengkap berbaju batik Jawa tetapi mulutnya ibarat bontot ayam, sentiasa mencurah-curah tahinya.

Namun, jika dihitung nilai estetika yang dipegang penulis naskah, Atilah Soeryadjya, terasa rugi kalau tidak menghayati gerak tari, tradisi dan budaya yang cukup kuat menjadi tunjang kepada jalan cerita.

gallery-jkt7

Setiap gerakan punya makna, begitu juga dengan hiasan pada busana yang menurut kesenian Solo. Lantai pentas seperti papan gelongsor gergasi juga adalah mengikut sudut 15 darjah, sama seperti pementasan klasik.

Ketelitian dilakukan produksi Matah Ati adalah bertujuan mengangkat kembali Kota Solo sebagai pusat seni dan budaya yang dilihat berhasil sehingga dipentas ke luar negara, termasuk di Kuala Lumpur bermula 7 hingga 9 Mei lepas.

gallery-jkt21

Entah bila lagi kita punya produksi sehebat ini, yang membawa naskah klasik dan berjiwa Melayu ke pentas besar dunia? Sampai bila mahu meminjam budaya lain dan berulang kali memomokkan penonton dengan kisah cinta yang sama dari si putera-puteri lanjut usia? – HAFIZ AHMAD

TINGGALKAN RESPONS

Sila masukkan komen!
Masukkan nama anda di sini