Tujuh kejadian padah ber’selfie’

1
33

SELFIE (mengambil gambar sendiri) menular menjadi budaya menagihkan dalam kalangan generasi muda. Malah sejak kebelakangan ini, berita berkenaan padah ber’selfie‘ kerap dilaporkan. Berikut merupakan antara tujuh yang menjadi perbualan hangat.

1) Pelajar UiTM digantung pengajian

2-selfie Foto: DebatMalaysia

Kejadian terbaharu dan sedang diperdebatkan pengguna media sosial. Tindakan seorang pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM), Muhammad Hasrul Haris Mohd Radzi yang merakam selfie ketika menerima skrol diplomanya pada istiadat konvokesyen baru-baru ini telah memakan diri.

Graduan jurusan fotografi UiTM Lendu, Melaka itu digantung pengajian untuk tempoh antara setahun hingga dua tahun. Hukuman yang disahkan oleh Naib Canselor UiTM, Tan Sri Prof Dr Sahol Hamid Abu Bakar itu diputuskan selepas mengambil kira kesalahan Muhammad Hasrul Haris yang melanggar etika konvokesyen.

Menerusi selfie kontroversi itu, pelajar berusia 21 tahun itu dilihat merakamkan foto bersama Pro Canselor UiTM, Tan Sri Dr Arshad Ayub yang bertanggungjawab menyampaikan skrol kepada para graduan pada sesi tersebut. Bagaimanapun rata-rata pengguna media sosial mengecam UiTM di atas hukuman penggantungan Muhammad Hasrul Haris dan menyifatkan selfie sebagai amalan yang tidak melanggar etika berat sesebuah istiadat konvokesyen.

2) Diserang tupai

3-selfie Foto: 3news

Pada Mei tahun lalu, seorang remaja lelaki, Brian Genest, 18, tidak menyangka tindakannya merakam selfie bersama seekor tupai telah mengundang kemarahan haiwan kecil itu. Kejadian melucukan itu terjadi ketika kunjungan Genist dan ibunya ke John Chestnut Park, Tampa, Florida, Amerika Syarikat.

Lampu flash dan bunyi yang dihasilkan kamera Genest telah menakutkan tupai itu yang kemudiannya bertindak memanjat badan Genest. Ketika sedang berusaha melepaskan diri daripada serangan tupai tersebut, ibu Genest bertindak bijak merakamkan foto aksi anaknya itu dengan kapsyen melucukan.

3) Jatuh dari jambatan kereta api

4-selfie Foto: kaskus

Seorang remaja perempuan, Xenia Ignatyeva, 17, maut selepas terjatuh ketika cuba ber’selfie‘ di atas jambatan kereta api di Saint Petersburg, Rusia. Tragedi yang berlaku pada April 2014 itu meragut nyawa Ignatyeva yang hilang keseimbangan sebelum terjatuh setinggi 30 kaki.

Tambah parah apabila mangsa cuba berpaut pada kabel elektrik aktif 1,500 voltan sebelum terjatuh di atas jalan raya. Rakan Ignatyeva yang menunggu di bawah pula terkena renjatan kecil selepas cuba membantu mangsa.

4) Unta gigit kepala

5-selfie Foto: Huffingtonpost

Mujur wanita bernama Justine ini tidak mengalami sebarang kecederaan selepas seekor unta bertindak agresif ‘memakan’ kepala Justine ketika ber’selfie‘ bersama haiwan tersebut. Kejadian lucu (namun berbahaya) itu berlaku ketika Justine dan teman lelakinya bercuti ke Perth, Australia pada Mac 2013.

5) Selfie sebelum terjun bangunan

6-selfie Foto: topviralpost

Sebelum membunuh diri dengan cara terjun dari sebuah bangunan, Lee Jia Yao, 18, sempat merakam selfie untuk dikongsikan di laman Instagram. Tindakan nekad gadis dari Shanghai, China itu dikhabarkan berpunca daripada perpisahan dengan teman lelakinya.

Malah kapsyen pada beberapa keping gambar terakhir Jia Yao juga seakan-akan memberi amaran kepada bekas teman lelakinya dalam nada yang amat menyeramkan. Antara kapsyen itu adalah: ‘Selepas saya meninggal dunia, saya akan bersama awak siang dan malam. Saya tidak akan meninggalkan awak.’

6) Maut terbakar atas bumbung kereta api

7-selfie Foto: HarianAceh

Satu lagi kejadian membabitkan kabel elektrik kereta api. Beberapa hari lalu, seorang remaja perempuan, Anna Ursu melecur teruk di seluruh badan selepas kakinya terkena kabel elektrik aktif 27,000 voltan. Ketika kejadian, mangsa dikatakan berbaring di bumbung sebuah gerabak kereta api bagi merakamkan selfie untuk dimuat naik ke laman Facebook.

Ursu meninggal dunia di hospital akibat kelecuran teruk manakala dua rakannya yang terpelanting akibat impak letupan pula dilaporkan stabil.

7) Selfie kubur Farish Aziz

8-selfie Foto: ohmsiasensasi

Aidilfitri tahun lalu digemparkan dengan insiden selfie tidak sopan pelakon dan pengacara tempatan, Farish Aziz ketika menziarahi sebuah tanah perkuburan di kampung halamannya. Biarpun berniat untuk berkongsi tradisi berhari raya bersama pengikutnya di Instagram, foto tersebut menerima kecaman hebat majoriti pengguna media sosial.

Ramai menyifatkan Farish tidak sensitif kerana memijak salah satu kubur semata-mata ingin mengambil selfie. Malah ekspresi wajah ceria dan tindakan ber’selfie‘ di tempat persemadian orang yang telah meninggal dunia juga dianggap sebagai ‘tidak kena tempat’.

Ekoran peristiwa itu, Farish mengeluarkan kenyataan maaf dan memadamkan foto kontroversi tersebut.

Sumber: Mynewshub, Pressherlad, The Mirror, Caliser, dramafever, Astro Awani dan Berita Harian

1 KOMENTAR

TINGGALKAN RESPONS

Sila masukkan komen!
Masukkan nama anda di sini