SEJAK kebelakangan ini, banyak organisasi dilihat begitu tegas dalam memperjuangkan kempen pengharaman straw plastik yang dikatakan mampu mencemarkan alam sekitar, termasuk mencedera dan membunuh hidupan laut.

Bagaimanapun, surprise surprise, jumlah straw plastik yang mencemar alam sekitar tidaklah terlalu banyak, iaitu sekitar 0.02 peratus sahaja daripada sampah yang didapati di lautan.

Menurut laporan yang dikeluarkan oleh NBC baru-baru ini, sampah utama yang paling banyak mencemari lautan adalah puntung rokok. Mengikut laporan sama, sekitar 60 juta puntung rokok telah dikutip daripada laut sejak 1986.

Mengikut fakta, lapisan dalam puntung rokok mengambil masa lebih 10 tahun untuk dilupuskan secara alami. Hal ini kerana, puntung rokok diperbuat daripada plastik cellulose acetate.

Dalam sebuah kajian makmal pula, puntung rokok yang terendam (selama 24 jam) dalam air mampu membebaskan toksin dan mampu membunuh 50 peratus ikan air masin dan tawar jika terdedah kepada bahan berbahaya tersebut selama 96 jam.

Justeru, menurut portal IFL Science, sebuah kempen yang diberi nama Cigarette Butt Pollution Project kini sedang giat digerakkan di Amerika Syarikat (AS) bagi membasmi lebih banyak puntung rokok di kawasan-kawasan awam seperti pantai dan taman rekreasi.

Biarpun pengharaman straw plastik merupakan berita yang baik, kerana ia menunjukkan bahawa kita mampu untuk mengubah rutin harian selama ini. Namun, masih banyak item berbahaya lain yang sepatutnya diberi perhatian.

Jika kita sudah bersedia untuk menjalani hidup tanpa straw plastik, mengapa tidak rokok konvensional?

TINGGALKAN RESPONS

Sila masukkan komen!
Masukkan nama anda di sini