Langgar perintah ibadat hari Sabat, nelayan Israel diazab menjadi kera

0
60

KISAH ini berkait dengan sebuah komuniti nelayan di pesisiran pantai Eilat yang penduduknya merupakan keturunan bani Israel.

Ketika itu, rata-rata mereka sering mengingkari perintah Allah. Antara perintah yang sering diingkari adalah untuk beribadat kepada Allah pada hari Sabat (Sabbath) iaitu hari Sabtu.

Menurut syariat Nabi Musa a.s., mereka diwajibkan untuk meninggalkan segala bentuk pekerjaan dan aktiviti jual beli pada hari tersebut termasuklah mengharamkan menyalakan api.

Bagi penduduk Eilat, mereka yang bekerja sebagai nelayan juga tidak dibenarkan turun ke laut untuk menangkap ikan pada hari Sabtu.

FOTO / BUILDING ON THE WORLD

Barangkali perintah untuk tidak bekerja pada hari Sabtu mudah untuk dipatuhi. Namun, dengan kuasa Allah, sepanjang enam hari berturut-turut nelayan di daerah itu turun ke laut, hasil tangkapan mereka tidak memuaskan dan ada antara mereka pulang dengan tangan kosong.

Hairannya, pelbagai jenis ikan muncul dan dilihat berenang-renang di permukaan air pada hari Sabtu. Berbeza dengan hari lain, seolah-olah isi lautan kering tanpa seekor pun ikan.

Fenomena tersebut sebenarnya adalah ujian Allah kepada mereka. Sama ada mereka tergolong dalam golongan orang yang beriman, taat serta sabar atau sebaliknya.

Rentetan peristiwa itu kerap berulang. Kebanyakan nelayan yang tamak dan tidak bersabar, melanggar perintah beribadat pada hari Sabat.

FOTO / DAVID JACQUES FISHING

Mereka akan memasang jala dan pukat pada hari jumaat. Apabila ikan-ikan memenuhi lautan pada hari Sabtu, ia akan tersangkut pada jala dan pukat para nelayan. Menjelang hari Ahad, mereka akan memungut hasil tangkapan yang lumayan.

Secara teknikal, mereka tidak turun ke laut pada hari Sabtu. Bagaimanapun, hasil tangkapan yang diperoleh hasil pemasangan jala dan pukat itu sebenarnya didasari oleh sifat tamak dan licik.

“Dan tanyakanlah (ya Muhammad) kepada bani Israel tentang negeri yang terletak di pesisiran pantai ketika mereka melanggar perintah pada hari Sabtu, di waktu datang kepada mereka ikan-ikan (yang berada di sekitar) mereka terapung-apung di permukaan air, dan di hari-hari yang bukan Sabtu, ikan-ikan itu tidak datang kepada mereka. Demikianlah Kami menguji mereka disebabkan mereka berlaku fasik.” – Al-Araf ayat 163.

FOTO / REASONABLE THEOLOGY

Namun, penduduk kampung yang tidak ikut serta dengan perbuatan mungkar tersebut terbahagi kepada dua. Golongan yang pertama adalah mereka yang sering menasihati golongan yang melanggar perintah hari Sabat manakala golongan yang kedua adalah mereka yang membiarkan sahaja kelompok fasik itu terus berlaku khianat terhadap perjanjian Allah.

Ada antara mereka yang berkata: “Mengapa kamu semua terus menasihati kaum-kaum fasik itu? bukankah mereka semua akan diazab oleh Allah?”

FOTO / CROSSROADS INITIATIVE

“Dan (ingatlah) ketika satu umat di antara mereka berkata: “Mengapa kamu menasihati kaum yang Allah akan membinasakan mereka atau mengazab mereka dengan azab yang amat keras?” Mereka menjawab: “Agar kami mempunyai alasan (pelepas tanggung jawab) kepada Tuhanmu, dan supaya mereka bertakwa.” – Al-Araf ayat 164.

Minggu berganti minggu, mereka masih berterusan melanggar perintah Allah. Walaupun golongan pertama tidak pernah jemu menasihati mereka, namun peringatan tersebut langsung tidak dipedulikan.

FOTO / SOME BULLET FOR YOUR HEAD

Akhirnya, azab yang telah dijanjikan oleh Allah menimpa mereka. Dengan kuasa Allah, golongan fasik tersebut ditukarkan jasadnya menjadi kera.

“Maka tatkala mereka bersikap sombong terhadap apa yang dilarang mereka mengerjakannya, Kami katakan kepadanya: “Jadilah kamu kera yang hina.” – Al-Araf ayat 166.

Terdapat pendapat ulamak yang mengatakan bahawa, kaum bani Israel yang telah disumpah menjadi kera itu tidak mempunyai keturunan, malah hidup untuk beberapa hari sahaja.

FOTO / DEPOSIT PHOTOS

Peristiwa pelanggaran hari Sabat itu juga berkait rapat dengan perintah ibadat solat Jumaat.

“Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diserukan azan untuk mengerjakan solat pada hari Jumaat, maka segeralah kamu pergi ke masjid untuk mengingati Allah (dengan mengerjakan solat Jumaat) dan tinggalkanlah berjual beli (pada saat itu), yang demikian adalah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui (hakikat yang sebenarnya)”Al-Jumu’ah ayat 9

Menerusi petikan firman Allah tersebut, jelas disebut agar ditinggalkan segala urusan jual beli dan sewaktu dengannya. Jika dilihat di Malaysia, ketika khatib sedang berkhutbah, ramai antara jemaah lelaki yang masih sibuk menikmati cendol, rojak, nasi campur dan sebagainya.

Malah ada antara mereka yang masih sibuk berjual beli di pekarangan masjid.

Sedangkan untuk duduk di dalam masjid dan mendengar khutbah adalah kewajipan. Kerana malaikat akan mencatit nama-nama mereka yang berjaya hadir sebelum khutbah dibacakan.

Disebabkan itu, solat Jumaat hanya ditunaikan sebanyak dua rakaat kerana dua rakaat lagi telah digantikan dengan dua khutbah Jumaat.

Jika dilihat, fenomena ini tidak jauh beza dengan golongan fasik bani Israel yang telah diazab oleh Allah menjadi kera.

 

SUMBER : HADITH OF THE DAY

TINGGALKAN RESPONS

Sila masukkan komen!
Masukkan nama anda di sini