Dosa cipta akaun instagram samaran, hina beramai-ramai, raih keuntungan

0
6

ZAMAN ini, media sosial bukan sahaja menjadi medan berkongsi maklumat dan membentuk rangkaian kenalan. Ramai yang menjadikan platform maya seperti Facebook dan instagram sebagai medium penyebaran fitnah, kebencian dan permusuhan.

Jika di instagram, akaun-akaun palsu yang berselindung di sebalik nama samaran dicipta dengan pelbagai tujuan; sama ada bertindak sebagai akaun pemantau untuk kepentingan peribadi ataupun mahu mengumpul pengikut dengan mengecam seseorang individu / figura awam.

FOTO/DOA DAN KAJIAN ISLAM

Mereka yang mewujudkan akaun samaran dengan misi menyebarkan aib individu lain sebenarnya telah melanggar luhur pekerti yang dituntut dalam Islam.

Juara program Imam Muda musim pertama, Muhammad Asyraf Mohd Ridzuan, atau mesra dengan gelaran Imam Muda (IM) Asyraf menjelaskan, biarpun niat asal adalah untuk menegur khilaf seseorang, pendekatan sebegitu adalah tidak praktikal, apatah lagi apabila majoriti pengikut meninggalkan komen-komen dengan bahasa tidak sopan.

“Rasulullah SAW pernah bersabda: ‘Orang yang kaum Muslimin selamat dari lisannya dan tangannya.’ Ia bermaksud, orang Islam yang paling baik adalah mereka yang menjaga lidah dan tangannya daripada menyakiti orang lain.

“Dalam konteks media sosial, menaip komen dengan niat menegur menggunakan bahasa kasar sehingga mengaibkan seseorang juga tergolong dalam perbuatan menyakiti menggunakan tangan.

“Barangkali niat asal adalah untuk menegur cara individu itu berpakaian atau sebagainya. Namun kita perlu kenal pasti kesalahan atau dosa individu itu terlebih dahulu.

“Terdapat dua kategori dosa; peribadi dan awam. Dosa peribadi itu adalah urusan di antara kita dan Tuhan, yang tidak memberi impak secara menyeluruh kepada orang lain. Misalnya, berpakaian tidak menutup aurat. Ia tergolong sebagai dosa peribadi, tetapi sebagai muslimin prihatin, kita boleh menegur tetapi secara tertutup.

“Daripada meninggalkan komen yang boleh menjatuhkan air muka seseorang, bukankah lebih berpekerti untuk mengirim peringatan menerusi Direct Message (DM) jika di instagram,” demikian pesanan IM Asyraf.

Imam Muda Asyraf mengingatkan agar menimbang perasaan seseorang terlebih dahulu sebelum memberi teguran terbuka di media sosial. | FOTO/@imammudaasyraf

Dosa awam pula merujuk kepada kesalahan bersifat kemasyarakatan, seperti mencuri, rasuah atau pecah amanah. Teguran secara terbuka boleh diberikan tetapi masih perlu disulami adab.

Tambah IM Asyraf, Rasulullah SAW juga pernah menyebut tentang zuhuurul qalam. Keterangannya adalah tentang gambaran keadaan di antara selepas zaman nabi dan hari kiamat. Keadaan itu menyifatkan dunia yang akan dipenuhi dengan penyebaran pelbagai penulisan.

Sepertimana berleluasanya perkongsian maklumat yang hanya dipetik daripada media sosial atau kenyataan seseorang yang ditulis di ruangan kapsyen gambar di-screenshot untuk disebarkan. Ada maklumat yang sahih, tetapi banyak juga yang bertulangkan fitnah. Segalanya dapat disaksikan masa kini.

Demikianlah sikap masyarakat hari ini yang terlalu sibuk membogelkan manusia lain, tanpa sedar, diri sendiri yang telanjang.

Ditambah juga dengan individu yang menjadikan akaun instagram samaran bagi menjana pendapatan. Tambah menyedihkan apabila akaun samaran dengan puluhan ribu pengikut, beramai-ramai menghina individu tertentu, mengambil kesempatan dengan mengaut keuntungan.

Kebencian dijaja, pendapat orang dilaga-laga. Itulah urus niaga yang bakal mengheret mereka ke neraka.

TINGGALKAN RESPONS

Sila masukkan komen!
Masukkan nama anda di sini