Survival dan cabaran penyesuaian hidup wanita Malaysia selepas perceraian

0
49

PERCERAIAN atau talak ialah pembubaran ikatan perkahwinan dengan lafaz talak atau seumpamanya berdasarkan al-Quran, sunnah dan ijmak ulamak. Perceraian merupakan jalan penyelesaian terakhir sekiranya suami dan isteri tidak dapat hidup bersama dan tidak mendapat kata sepakat untuk hidup berumahtangga.

Dalam konteks Islam, perceraian merupakan satu perkara yang dibenci Allah SWT tetapi dibenarkan. Namun, perceraian kini bagaikan satu trend dalam kalangan pasangan Islam untuk menamatkan seterusnya menyelesaikan masalah yang dihadapi mereka.

Kadar perceraian meningkat saban tahun di beberapa buah negara Barat seperti Australia, Amerika Syarikat dan United Kingdom. Negara-negara Islam juga tidak terkecuali dalam peningkatan kadar perceraian.

saudi-arabia-divorce-1-jpg-c

Arab Saudi, Kuwait, Emiriyah Arab Bersatu (UAE), Qatar, Bahrain dan Oman anta negara Islam yang mempunyai kadar perceraian yang semakin meningkat setiap tahun. Ia dijangka akan terus meningkat untuk tahun-tahun akan datang.

Malaysia juga tidak terkecuali kerana kadar perceraian turut berada di paras yang membimbangkan. Berdasarkan laporan daripada Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (2015), bermula dari Januari 2004 sehingga Disember 2014, terdapat lebih 10,000 kes perceraian berlaku di setiap negeri.

Berdasarkan Laporan Jabatan Perangkaan Malaysia (2012) pula menunjukkan peningkatan dari tahun 2007 hingga 2011. Empat negeri mencatatkan rekod perceraian tertinggi di Malaysia iaitu Selangor, Johor, Kedah dan Kelantan.

Berdasarkan kenyataan akhbar Berita Harian dan Utusan Malaysia, rekod daripada statistik Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (2009) mendapati berlaku satu perceraian di setiap 15 minit dalam kalangan umat Islam di negara ini.

Faktor perceraian

Terdapat pelbagai faktor yang menyebabkan perceraian berlaku. Menurut Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, antara faktor perceraian adalah disebabkan perkahwinan di usia muda. Kajian yang dijalankan di Barat turut menyatakan perkahwinan di usia muda merupakan antara faktor kukuh terjadinya perceraia.

Ia disebabkan pasangan yang berkahwin di usia muda masih tidak matang sepenuhnya dan tidak memahami tanggungjawab dalam perkahwinan.

kahwin-mudafuhdotmy-jpg-cPERKAHWINAN DI USIA MUDA ANTARA FAKTOR UTAMA MENYUMBANG KEPADA PENINGKATAN KES PERCERAIAN/GAMBAR HIASAN: FUH.MY

Selain itu, campur tangan mentua juga salah satu faktor yang menyumbang kepada perceraian. Apabila mentua mencampuri urusan rumah tangga, pelbagai masalah akan tercetus dalam kalangan pasangan. Bahkan, tambah parah apabila pasangan tersebut tinggal bersama mentua di bawah satu bumbung.

Kelemahan komunikasi juga antara punca perceraian. Komunikasi adalah satu kemestian dalam perkahwinan. Kelemahan komunikasi bakal menimbulkan salah faham terhadap sesuatu isu sehingga menyebabkan pertengkaran. Konflik salah faham yang panjang tanpa penyelesaian seterusnya menjurus terhadap perpisahan.

Masalah seksual juga didapati antara sebab perceraian pada hari ini. Menurut Jabatan Agama Islam Selangor (2011), masalah seksual merupakan punca perceraian yang paling tinggi di Selangor. Hal ini turut disokong oleh Lembaga Pembangunan, Penduduk, Perancangan dan Keluarga Negara.

Turut tersenarai adalah masalah ketagihan dadah, curang dengan pasangan dan kengganan bermadu juga mendorong terhadap perceraian.

Impak pasca perceraian

Perceraian merupakan peristiwa yang paling meninggalkan kesan negatif kepada seseorang dari segi psikologi, sosial, emosi dan ekonomi. Pasangan yang bercerai didapati mengalami tahap kemurungan yang tinggi, tahap kepuasan hidup yang rendah dan mengalami masalah kesihatan berbanding individu berkahwin.

Justeru, penyesuaian diri selepas bercerai sangat penting terhadap kesejahteraan dan kepuasan hidup seseorang. Penyesuaian dari segi psikologi bermaksud satu proses tingkah laku oleh seseorang untuk mengekalkan keseimbangan dengan pelbagai keperluan pada masa tertentu.

Penyesuaian pasca perceraian juga merujuk kepada penyesuaian diri dalam menghadapi kehidupan selepas bercerai dari segi emosi, perasaan, kehidupan sosial, kedudukan ekonomi dan tanggungjawab.

2016-06-23-1466696305-6575361-divorce-jpg-c

Bagi wanita yang bercerai, penyesuaian pasca perceraian merupakan perkara penting yang perlu dihadapi dan diambil berat. Kehidupan selepas bercerai adalah berbeza kerana kajian mendapati bahawa wanita bercerai berhadapan dengan masalah dari segi ekonomi dan menggalas tanggungjawab yang besar sebagai ibu dan bapa dalam satu-satu masa.

Terdapat tiga faktor yang mempengaruhi penyesuaian pasca perceraian iaitu faktor peribadi individu, faktor sokongan hubungan dan faktor budaya.

Faktor peribadi terdiri daripada umur, ciri-ciri psikologi, pekerjaan dan status sosioekonomi. Manakala faktor sokongan hubungan adalah hubungan dengan anak dan keluarga. Faktor budaya pula melibatkan penerimaan atau penolakan di dalam pergaulan (stigma) dan konteks undang-undang.

Bagi faktor peribadi, keadaan psikologi seperti emosi dan keyakinan diri dalam menangani masalah memberi pengaruh kepada proses penyesuaian. Selain itu, pengaruh umur turut memberi kesan kepada penyesuaian kerana kajian mendapati, wanita berusia sukar untuk menyesuaikan diri kerana masalah pekerjaan dan berkahwin semula.

Bagaimanapun terdapat kajian menyatakan wanita berusia mudah untuk menyesuaikan diri selepas bercerai kerana mereka hanya membimbangi hal berkisar membesarkan anak-anak.

Bagi wanita bercerai, mereka lebih pesimis (mudah putus asa) kerana cenderung mempunyai harapan hidup yang tinggi dan kurang pengalaman dalam hidup dalam untuk meneruskan kehidupan.

Oleh itu, dalam menyesuaikan diri selepas bercerai, sikap dan kepercayaan dari segi psikologi sangat dituntut kerana persepsi mempengaruhi sikap dan kepercayaan seseorang individu. Sikap dan kepercayaan memainkan peranan penting bagi seseorang yang bercerai dalam mengubah persepsi sepanjang proses penyesuaian tersebut.

taxes

Keadaan ekonomi turut dilihat sebagai masalah dalam proses penyesuaian diri selepas bercerai. Kedudukan ekonomi seseorang wanita berubah selepas bercerai kerana tiada lagi bekas suami yang sebelum ini mengurus dan menjadi penyumbang utama kepada kewangan isi rumah.

Secara automatik ia memaksa golongan wanita untuk keluar bekerja bagi menampung keadaan ekonomi dalam menyara kos sara hidup dan kos keperluan lain bagi anak-anak yang ditanggung.

Terdapat perkaitan antara tahap pendidikan tinggi, pekerjaan dan status sosioekonomi dengan penyesuaian diri selepas bercerai. Apabila tahap pendidikan seseorang wanita tinggi dan mempunyai pekerjaan stabil, maka secara tidak langsung status ekonomi mereka berada dalam keadaan yang baik dan tidak berdepan masalah dalam menyesuaikan diri.

Banyak kajian menyatakan wanita yang bercerai akan menghadapi kesulitan dalam ekonomi keluarga. Oleh itu, dalam mengubah dan membaiki keadaan ekonomi, kebanyakan wanita akan mula bekerja dengan lebih keras serta menuntut nafkah anak-anak terutamanya daripada bekas suami.

Faktor sokongan hubungan juga memberi kesan terhadap penyesuaian. Faktor ini melihat sejauh mana sokongan sosial yang diterima daripada kedua-dua belah keluarga dan juga daripada kawan-kawan. Selain itu, faktor sokongan hubungan juga melihat kualiti hubungan ibu bapa dengan anak-anak, di mana ia berkait rapat dengan kesejahteraan hidup seseorang yang bercerai.

single-mother-4ceee57996709_hires-jpg-c

Ia akan menonjolkan keupayaan pasangan yang bercerai untuk bersedia memainkan peranan sebagai ibu bapa dalam satu-satu masa. Hubungan negatif juga boleh terbentuk dalam kalangan keluarga akibat daripada perceraian sehingga tercetus pengasingan sosial atau pemulauan.

Bukan sahaja pemulauan, bahkan kekacauan rangkaian sosial turut terjadi sehingga menjejaskan kehidupan mangsa cerai. Stigma masyarakat terhadap perceraian boleh diatasi dengan mengawal perasaan dan emosi. Kemahiran mengatasi perasaan dan emosi secara tidak langsung membantu seseorang menyesuaikan diri dalam kehidupan selepas bercerai.

Selain itu, kerjasama dengan bekas suami turut memberi kesan positif kepada individu dalam menangani dan penyesuaian. Wanita yang bercerai juga perlu meningkatkan tahap keyakinan diri dan kemahiran sosial. Hal ini dapat membantu memberi kesan positif kepada mereka.

Kemahiran komunikasi turut membantu golongan wanita untuk mencari pekerjaan dalam meningkatkan ekonomi mereka. Anak-anak juga merupakan sumber sokongan yang penting. apabila ibu dan anak meluangkan masa bersama, secara tidak langsung ia dapat mengurangkan tekanan dan mempercepatkan proses penyesuaian.

Faktor penyesuaian pasca perceraian yang terakhir ialah faktor budaya. Stigma masyarakat merupakan antara faktor budaya yang memberi pengaruh kuat kepada wanita bercerai. Stigma adalah perasaan malu, hina dan penolakan kehadiran iaitu ketidakterimaan sosial.

Dalam kehidupan bermasyarakat, kajian oleh Martin dan Parashar (2006) menyatakan, golongan wanita mempunyai pandangan pesimis terhadap wanita yang bercerai. Hal ini dapat dilihat berdasarkan kepada sikap yang ditunjukkan oleh masyarakat terhadap golongan wanita bercerai.

Bagaimanapun, golongan wanita yang berpendidikan tinggi dan berpendapatan tinggi mempunyai sikap yang lebih positif terhadap golongan wanita bercerai. Secara tradisional, sikap terhadap perceraian tidak tertumpu kepada persepsi sahaja, malah ia memberi kesan kepada penilaian yang dibuat kepada diri seseorang wanita bercerai sehingga mempengaruhi tingkah laku.

Sikap dan kepercayaan berbeza antara masyarakat bandar dan luar bandar. Masyarakat bandar lebih positif berbanding masyarakat di luar bandar. Oleh itu, pegangan sikap negatif perlu dielak kerana ia akan menyebabkan wanita bercerai berdepan masalah lebih besar dan akan mendorong kepada pengunduran diri daripada hubungan sosial.

 

NOTA: Artikel ini disediakan oleh Siti Firdaus Binti Ab. Halim daripada Jabatan Pembangunan Manusia dan Pengajian Keluarga, Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM) di bawah tajuk ‘Cabaran Dan Proses Penyesuaian Paca Perceraian Dalam Kalangan Wanita Di Malaysia.’

TINGGALKAN RESPONS

Sila masukkan komen!
Masukkan nama anda di sini