Psikologi

Penderaan lisan dorong kanak-kanak bersikap agresif

By  | 

PENDERAAN lisan atau penyalahgunaan kata-kata (verbal abuse) merupakan sebarang tingkah laku agresif yang berlaku menerusi komunikasi manusia.

verbal-abuse-1000x480-jpg-cFOTO: SOUNDRECOVERYSOLUTIONS

Ia satu-satunya jenis penderaan yang boleh memberi kesan kepada setiap orang dengan sebarang keupayaan komunikasi atau pemahaman. Anda mungkin mengalaminya di tempat kerja, rumah, sekolah atau di jalan raya. Kebiasaannya sukar untuk anda mengelak daripada ‘serangan’ tersebut.

Ramai yang tidak menyedari penderaan lisan adalah satu penderaan yang memberi kesan yang sangat mendalam kepada mangsa (orang yang menerima kata-kata itu).

Benarlah kata pepatah ‘lidah itu lebih tajam dari mata pedang‘. Jenis penderaan ini nyata memberi kesan jangka masa panjang terutamanya terhadap kanak-kanak.

Kerosakan psikologi daripada penderaan emosi/lisan berkemungkinan untuk kekal sepanjang hayat. Kajian telah menunjukkan hubungan antara penderaan lisan dan penderaan emosi terhadap tingkah laku antisosial dalam kebanyakan kanak-kanak.

Malah agak malang bagi segelintir kanak-kanak, kesan akibat penderaan jenis ini terlalu besar sehingga mereka bertindak mencederakan diri semata-mata mahu melupakan parut emosi dan kesakitan lampau.

Mereka yang terdedah kepada penderaan ini berkemungkinan menjadi mangsa penderaan ketika dewasa kelak atau bertukar menjadi pendera. Anak-anak ini juga berkemungkinan mengalami tekanan dan merosakkan diri sendiri di kemudian hari.

Menurut kajian Reinert & Edwards pada tahun 2009, antara kesan penyalahgunaan lisan pada kanak-kanak berusia 18 tahun ke bawah termasuklah penyalahgunaan dadah (lebih lazim pada lelaki), tingkah laku agresif, kenakalan, kemurungan dan masalah sosial.

Ibu bapa

istock_000033664764_large-2e16d0ba-fill-735x490-jpg-cFOTO: PHILLYVOICE

Ibu bapa yang memberitahu anak-anak mereka bahawa mereka bodoh dan jahat, akan membentuk anak-anak yang benar-benar percaya bahawa mereka adalah bodoh dan jahat. Sebagai contoh, jika anak itu gagal dalam peperiksaan, dia akan berfikir puncanya adalah kerana dia benar-benar bodoh sepertimana yang selalu diungkapkan ibu bapanya.

Jika setiap hari ibu bapa melontarkan cacian dan kata-kata berunsur ‘sumpahan’ kepada anak-anak, mereka kemudiannya akan terbawa-bawa memori itu sehingga dewasa.

Justeru, tidak keterlaluan untuk mengatakan bahawa penderaan lisan lebih kejam daripada penderaan fizikal kerana lukanya hanya diketahui mangsa. Hanya dengan kata-kata dapat meninggalkan kesan mendalam kepada minda seorang kanak-kanak sehingga mereka dewasa.

Guru

Begitu juga senarionya di sekolah. Kajian yang dilakukan terhadap penderaan lisan dalam kalangan guru mendapati ia boleh memberi kesan negatif ke atas perlakuan, emosi, estim diri dan akademik pelajar. Terdapat pelajar yang cenderung melakukan aktiviti devian disebabkan marah dengan kata-kata yang dihamburkan oleh guru.

Ada juga pelajar yang merasa rendah diri apabila guru menghina dan melabel (name-calling) murid-murid dengan gelaran tertentu. Maka jelaslah bahawa ia satu kecederaan emosi yang serius walaupun ramai tidak menyedari potensi guru dalam menyumbang terhadap penderaan lisan, sama ada disengajakan atau tidak kepada para pelajar.

slide_350307_3758877_free-jpg-cFOTO: HUFFINGTONPOST

Menurut Conle (1986), pada setiap peringkat darjah, pelajar-pelajar pernah mengalami tekanan atau gangguan emosi akibat tingkah laku guru dalam persekitaran sesebuah kelas.

Kajian ke atas sekumpulan pelajar pula mendapati sekurang-kurangnya 50 hingga 60 peratus menyatakan pernah mengalami masalah psikologi dan trauma (Hyman & Snook, 1999) serta serangan emosi disebabkan oleh diskriminasi, interaksi lisan dan bukan lisan, gred pemarkahan latihan dan layanan berat sebelah daripada guru.

Satu kajian oleh McEachern, Aluede dan Kenny pada tahun 2008 bertajuk Penderaan Emosi Dalam Bilik Darjah: Implikasi Dan Intervensi Untuk Kaunselor (Emotional Abuse In Classroom: Implication And Intervention For Counselor) mendedahan hubung kait penderaan emosi kanak-kanak akibat tingkah laku guru dalam sesebuah kelas yang jarang dibincangkan secara terbuka.

Antara contoh kes yang dikemukakan dalam atikel tersebut ialah pengalaman Sarah, seorang kanak-kanak sindrom Down yang berada dalam aliran perdana penuh. Kes ini dikendalikan oleh seorang kaunselor bernama Jason.

Disebabkan Sarah seorang kanak-kanak istimewa, dia dilayan secara kasar oleh gurunya apabila terlewat menyiapkan tugasan yang diberikan. Nada suara yang digunakan gurunya juga dikatakan jelas menunjukkan rasa kurang senang.

Sarah dipaksa gurunya supaya menyiapkan tugasan yang diberikan dan jika gagal, dia dinafikan waktu untuk berehat. Situasi tersebut memberi tekanan kepada Sarah yang akhirnya nekad untuk meluahkan kepada guru kaunselor sekolahnya.

china-high-school-classroom-teacherFOTO: CHINASMACK

Situasi Sarah membuktikan bahawa sememangnya wujud pencabulan emosi terhadap para pelajar oleh guru di sekolah. Cuma ia tidak dikaji dengan teliti demi menjaga kredibiliti guru sebagai pendidik. Bagaimanapun, tidak semua guru terlibat dalam penderaan emosi para pelajar.

Antara tingkah laku guru yang boleh menimbulkan masalah emosi kepada para pelajar adalah seperti tidak memahami, diskriminasi, prejudis, intimidasi (menggertak), tidak meyakini pelajar, emosi yang tidak membina dan mengungkit perkara yang lalu.

Selain itu, menghina, melabel pelajar, menengking juga merupakan kaedah yang tidak sesuai untuk mengawal persekitaran kelas. Membiarkan pelajar lain untuk ‘membuli’ emosi pelajar lain (perbuatan tidak mengendahkan) juga adalah satu kesalahan.

Kesan penderaan lisan terhadap pelajar dapat dilihat pada prestasi akademik yang merosot. Ia didorong oleh penurunan motivasi dan minat pelajar untuk cemerlang dalam sesebuah mata pelajaran. Selain itu, kesannya mungkin akan berlarutan sehingga menggugat pergaulan dengan masyarakat.

Solusi

Pelbagai kesan negatif boleh berlaku apabila kanak-kanak menjadi mangsa penderaan emosi. Kesan negatif tersebut akan muncul untuk suatu jangka masa pendek atau jangka masa panjang. Kesan yang timbul, sama ada dalam bentuk perubahan tingkah laku, salah laku atau gangguan emosi, kebiasaannya sukar untuk dikenal pasti.

Menurut teori yang dihuraikan oleh Erikson dan Maslow, setiap orang melalui perkembangan psikososial yang berbentuk krisis perkembangan. Kebiasaannya, bersama sokongan dan bimbingan yang baik daripada ibu bapa, penjaga atau guru, setiap kanak-kanak akan melalui tahap atau peringkat perkembangan dengan lebih sihat tanpa gangguan kesan negatif.

Kanak-kanak yang didera emosi mereka secara langsung pula tidak mendapat sokongan dan bimbingan yang diharapkan daripada ibu bapa atau penjaga. Ini akan menghalang dan memperlahankan kanak-kanak tersebut untuk melangkah ke tahap seterusnya dalam perkembangan psikososial mengikut peredaran umur mereka kerana masih berusaha untuk mengatasi krisis perkembangan lampau. Kanak-kanak ini seterusnya akan menghadapi gangguan atau bermasalah dalam perkembangan psikososial.

verbal_abuse_by_wiggle777-d36tkyf-jpg-c

Menurut Profesor Natalie Sachs-Ericsson, mereka yang pernah mengalami penderaan lisan mempunyai 1.6 kali ganda simptom kemurungan dan keresahan berbanding mereka yang tidak didera secara lisan dan dua kali ganda berkemungkinan mengalami kecelaruan keresahan (anxiety disorder) atau kecelaruan mood (mood disorder).

Tambah Sachs-Ericsson, ibu bapa mungkin mempelajari panduan keibubapaan daripada ibu bapa mereka atau mungkin mereka tidak mengetahui kaedah yang positif untuk memotivasi atau mendisiplinkan anak-anak. Mereka juga mungkin mempunyai masalah personaliti atau psikiatri seperti sifat panas baran yang menganggu keupayaan keibubapaan mereka.

Para ibu bapa perlu mendidik anak-anak dengan adab-adab mulia terutamanya adab berbicara. Ia penting dalam membentuk keperibadian anak yang baik dan sopan dalam mengeluarkan tutur kata, seterusnya membentuk sahsiah diri yang terpuji.

Belajar berkomunikasi dengan anak-anak menggunakan perkataan-perkataan yang baik dan disenangi sejak mereka masih kecil. Ibu bapa adalah model unggul anak-anak dalam mengamalkan adab yang baik. Pastikan anda sentiasa bercakap dengan menggunakan kata-kata yang lembut, tidak menyakitkan hati dan tidak menengking. Perbuatan ini kelak akan dicontohi anak-anak.

 

*Artikel ini disediakan oleh Anis Elina Binti Zulkipli, pembantu penyelidik dari Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia yang bertajuk Penderaan Lisan: Luka Tanpa Darah, Parut Tanpa Bekas.

Comments

comments

Sekiranya anda berminat untuk menyumbang artikel berkisar topik gaya hidup (percutian, food review, keusahawanan, etc), hiburan, fesyen atau perkembangan semasa, hantarkan menerusi e-mel kepada [email protected]

Tinggalkan Komen

Your email address will not be published. Required fields are marked *