Penyanyi asal siri Pokemon rakam semula lagu tema

0
15

DUNIA sedang dilanda fenomena Pokemon Go. Namun apa yang membuatkan generasi kanak-kanak era 1990-an begitu serasi dengan Pokemon adalah siri animasinya. Di kaca TV, mereka mengenali setiap jenis Pokemon (mengenali dengan terperinci dan bukan sekadar melempar pokeball menangkap Pokemon tanpa pengetahuan khusus) dan mengikuti pengembaraan Ash Ketchum dan rakan-rakan.

Tambah mengujakan apabila setiap kali lagu episod baharu bermula (episod 1 sehingga 82), lagu tema (versi bahasa Inggeris) akan berkumandang. Pokemon Theme juga akan ke udara setiap kali babak mendebarkan seperti pertarungan di gim atau perlawanan sengit di antara Ash dan pelatih lain.

Lagu tema tersebut meninggalkan kesan nostalgia mendalam kepada seluruh generasi yang membesar dengan Pokemon (sesuatu yang tidak dirasai generasi hari ini). Lirik dan muziknya memberi impak emosi luar biasa kepada mereka yang mengikuti penuh rantaian animasi Pokemon.

Hanya selepas 18 tahun Pokemon bersiaran di kaca TV, para peminat mengenali penyanyi asal lagu tema itu. Jason Paige, 47, melangkah semula ke dalam studio dan merakamkan aksinya mempersembahkan karya klasik tersebut. Video tersebut dimuatnaik di laman rasmi YouTube miliknya dan setakat ini menerima lebih 2 juta tontonan.

Meskipun segelintir orang mempertikaikan keaslian nyanyian Paige dalam video itu, Paige menafikan tuduhan demikian dengan memuat naik sebuah lagu video. Menerusi sebuah lagi video, Paige dilihat menyanyikan Pokemon Theme secara langsung diiringi piano dalam pelbagai versi termasuk jazz dan rock.

Sebelum bermain Pokemon Go, lebih baik anda dengar lagu tema nyanyian Page ini dahulu. Kami pasti anda akan lebih bersemangat. Gotta catch ’em all!

TINGGALKAN RESPONS

Sila masukkan komen!
Masukkan nama anda di sini