Negaraku berkumandang momen bersejarah Jun Hoong

0
19
Diving – 17th FINA World Aquatics Championships – 10m Platform Women awarding ceremony – Budapest, Hungary – July 19, 2017 – Jun Hoong Cheong (gold) of Malaysia poses with the medal. REUTERS/David Balogh TPX IMAGES OF THE DAY

MALAYSIA semalam (24 Julai 2017) menerima kepulangan atlet-atlet yang melakar kejayaan pada kejohanan dunia yang berlangsung di Budapest, Hungary dan London, United Kingdom.

Bertempat di aras 5, balai ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), majlis sambutan kepulangan wira-wira negara itu turut dihadiri Menteri Belia dan Sukan, YB Khairy Jamaluddin.

Seramai 200 pelajar dari Universiti Putra Malaysia (UPM), Sekolah Sukan Seksyen 11, Shah Alam dan Sekolah Sukan Bukit Jalil turut memeriahkan acara pada petang itu.

Skuad terjun negara menjadi kumpulan pertama yang tiba di KLIA. Pada Kejohanan Akuatik Dunia (FINA) di Budapest, Cheong Jun Hoong mencipta sejarah apabila meraih pingat emas dalam acara terjun 10 meter (m) platform individu wanita.

 

Jun Hoong bersama pasangan terjunnya, Pandelela Rinong turut memenangi pingat gangsa bagi acara 10m platform seirama.

Saya amat gembira dan masih tidak percaya saya berjaya menyumbangkan pingat emas untuk Malaysia. Pelbagai cabaran terpaksa saya hadapi untuk berada di tahap ini. Namun saya puas kerana penat lelah selama ini membuahkan hasil.

Saat lagu Negaraku berkumandang di Budapest, ketika itu saya berasa amat bangga dan terharu,” kongsi Jun Hoong, 27, yang berasal dari Perak dan memungut 397.50 mata menewaskan penerjun China.

Skuad Paralimpik yang beraksi pada Kejohanan Dunia Olahraga Para di London turut diraikan semalam. Ziyad Zolkefli memecahkan rekod dunia acara lontar peluru bagi memenangi pingat emas. Abdul Latif Romly juga unggul meraih emas untuk acara lompat jauh lelaki T20.

Tambah manis, rekod dunia yang diperbaharui Ziyad adalah miliknya sendiri. Ziyad melakukan lontaran 17.29m meleburkan rekod lontaran 16.48m yang dicatatkannya pada Sukan Paralimpik Rio, tahun lepas.

Sebenarnya untuk setiap pertandingan, saya cuba meletakkan satu sasaran. Kejohanan lalu merupakan satu lagi platform dan Alhamdulillah saya berjaya memecah rekod dunia. Saya berterima kasih kepada semua yang sering memberi sokongan.

InsyaAllah saya akan lakukan yang terbaik pada Sukan SEA akan datang. Namun saya tidak mahu menjanjikan apa-apa buat masa ini. Prinsip saya ketika perlawanan adalah untuk melakukan yang terbaik dengan harapan ia akan membuahkan kejayaan.

Ketika bertanding, saya akan bertemu ramai atlet hebat dengan saingan yang sengit. Namun dengan latihan dan tunjuk ajar jurulatih, saya akan cuba lakukan sehabis baik demi Malaysia,” ujar Ziyad ketika ditemui Pepatung.

Sementara itu, seorang lagi jaguh paralimpik, Ridzuan Puzi turut cemerlang apabila memenangi pingat perak bagi acara 100m T36. Ketiga-tiga wira paralimpik itu layak untuk menerima anugerah Skim Hadiah Kemenangan Sukan.

Menerusi kenyataan yang dipetik daripada Berita Harian, Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara berkata, Ziyad Abdul Latif akan menerima RM 80, 000 manakala Ridzuan Puzi akan menerima RM 40,000.

YB Khairy pula menjelaskan bahawa, sebuah kolam latihan akan dibina berdekatan Bukit Jalil sejurus selesainya perlawanan Sukan Sea.

“Saya telah berjanji kepada skuad terjun negara bahawa pihak kementerian akan membina sebuah kolam khas untuk mereka berlatih.

“Segala fasiliti dan kemudahan untuk para atlet negara akan dipertingkatkan demi mutu sukan negara.

“Saya juga menyeru kepada kerajaan negeri untuk melaksanakan inisiatif sendiri dalam mempertingkatkan kemudahan untuk atlet di negeri masing-masing,” jelas Khairy.

Kerajaan negeri Sarawak telah menjalankan inisiatif dengan membina sebuah pusat Akuatik di Petra Jaya. Ini bertujuan untuk masyarakat setempat beriadah dan pada masa yang sama, turut menawarkan kelas berenang, dengan harapan akan melahirkan pelapis perenang yang mempunyai potensi pada masa hadapan.

TINGGALKAN RESPONS

Sila masukkan komen!
Masukkan nama anda di sini