Identiti

Wabak “Aku dulu…” dalam generasi Y / Millennials

By  | 

MEDIA sosial seperti Facebook, Twitter dan Instagram bukan sahaja menjadi sumber maklumat dalam dan luar negara yang pantas, malah berfungsi sebagai medium mempersendakan kesilapan manusia secara terang-terangan.

b1FOTO: SOCIAL NETWORK TRENDS

Kebanjiran page dan ‘media nyamuk’ yang ‘melapor’ dan berkongsi kisah-kisah viral di Facebook terutamanya, telah mencetuskan satu wabak pasif dalam identiti para pengguna media sosial. Sebahagian besar mereka terdiri daripada kelompok Millennials (lahir dalam garis masa 1982 – 2004) iaitu generasi Y.

Kisah tentang gadis belasan tahun yang bersolek dan berpakaian cantik sehingga berjaya mengumpul ribuan pengikut di instagram, kelemahan penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan kanak-kanak dan remaja tempatan menerusi aplikasi WeChat dan terbaru, rasa tidak puas hati segelintir ibu bapa apabila anak-anak mereka didenda duduk di atas jalan tar kerana lewat ke sekolah.

Perkongsian yang berselindung di sebalik tujuan untuk memberi pengajaran kepada orang lain sebegitu pada hakikatnya lebih banyak mengaibkan individu yang terlibat.

“Oh biarlah! Lebih baik mereka ini ditegur. Kalau tidak naik lemak.” Mungkin kenyataan balas sebilangan besar pengguna media sosial yang beramai-ramai menghentam perlakuan atau percakapan yang dirasakan bertentangan dengan kefahaman mereka selama ini.

Generasi Y perlu sedar, zaman berubah!

Berkenaan remaja belasan tahun yang kini obses dengan solekan, OOTD dan berbelanja pakaian berjenama, ia adalah satu minat normal.

Kita pernah remaja dan pernah merasai keinginan seperti mereka. Mungkin tidak semua, tetapi bohonglah kalau anda tidak pernah sekelumit memasang keinginan untuk berpakaian cantik seperti orang dewasa atau makan dan minum di Starbucks hanya kerana mahu kelihatan bergaya.

Sejujurnya setiap remaja merentasi fasa tersebut. Sifat ingin tahu dan ingin mencuba yang menebal dalam diri mereka mendorong kepada tindakan yang kita saksikan hari ini.

Cuma mereka merupakan generasi yang lahir dengan kepesatan media sosial. Medium itu telah dikenali mereka sejak kecil. Ibu bapa masa kini juga lebih senang memberi anak-anak kecil gajet dan telefon pintar bukan? Maka apabila mereka menginjak remaja, aplikasi-aplikasi sosial menjadi satu kepentingan dan keutamaan dalam hidup mereka.

Mereka bertuah kerana akses terhadap alat solek dan pakaian berjenama antarabangsa lebih meluas masa kini. Dahulu pusat beli-belah sangat terhad. Jenama-jenama seperti H&M dan Uniqlo yang menawarkan pakaian yang mengikuti perkembangan fesyen semasa pada harga berpatutan juga berada di serata negara.

Kepelbagaian alat solek yang dijual pada harga murah juga membuatkan remaja perempuan kini dimanjakan dengan banyak pilihan.

Mereka menggunakan sepenuhnya peluang dan kemudahan yang sedia ada. Dan itu bukan satu kesalahan. Kita kurang bernasib baik kerana dahulu pakaian berjenama antarabangsa sangat mahal dan tidak mampu untuk dibeli dengan status kita sebagai remaja yang masih bersekolah.

Dalam dunia mereka juga, media sosial adalah ‘raja’ segalanya. Mereka mungkin bersaing sesama rakan-rakan di sekolah berkenaan bilangan pengikut tertinggi di instagram, bertanding like terbanyak untuk sekeping gambar, tweet paling banyak di-repost dan di-retweet di Twitter serta siapakah yang mempunyai kawan teramai di Facebook.

Sudah menjadi adat dalam naluri setiap remaja untuk muncul sebagai yang terbaik berbanding rakan-rakan, terutama musuh ketat mereka. Keinginan untuk meraih populariti itu adalah naluri semula jadi seorang remaja, khususnya remaja perempuan.

Apa yang mereka dapat dengan bertindak sedemikian? Kepuasan dan sense of belonging! Mereka tidak akan rasa terasing, terpinggir atau ketinggalan. Justeru, ia membuatkan mereka berasa lebih seronok dan tenang dalam menjalani kehidupan seharian.

Kita mungkin malas untuk ambil tahu atau memang tidak memahami persekitaran semasa yang sedang dilalui golongan remaja masa kini. Tanpa media sosial, barangkali mereka akan diejek, direndah-rendahkan sehingga menanamkan sifat rendah diri yang berpotensi menjurus kepada kemurungan.

Kalau dahulu, generasi Y yang tidak reti bermain gasing, tidak menonton episod baharu Dragon Ball di TV2, tidak bermain ‘lawan pemadam’, tiada kasut roda atau basikal BMX, dan pelbagai lagi fenomena 1980-an dan 1990-an pasti diejek rakan-rakan sekolah dan dipanggil ketinggalan. Kitarannya serupa dengan apa yang dilalui remaja sekarang.

Komen seperti ini: “Alah dik, akak dulu takde sibuk nak makeup-makeup ni. Umur 16 tahun tengah sibuk study PMR. Baju pun biasa-biasa.”

Komen-komen sebegitu kemudiannya disokong pengguna media sosial lain yang merasakan generasi baharu manja, mengada-ngada dan kurang matang.

Apa yang kita harapkan daripada pelajar sekolah rendah dan menengah? Berfikiran matang setaraf kita? Itu mustahil. Cuba kenang kembali kebodohan anda zaman remaja. Kecetekan fikiran anda zaman persekolahan. Betapa kita sebenarnya sama dengan remaja masa kini.

Cuma kita beruntung kebodohan kita tidak dikongsi secara meluas untuk dicemuh masyarakat. Tiada media sosial ketika itu untuk menceritakan kenakalan kita ponteng sekolah dan menghabiskan masa di kafe siber bermain Counter-Strike atau kedegilan kita melawan kata-kata guru.

Begitu juga halnya tentang remaja sekarang yang dilihat tidak segan untuk mempamerkan kekasih di laman sosial dengan aksi-aksi yang dipersetujui, menggelikan dan melampaui batas.

Bagaimanapun, apa bezanya mereka dengan kita? Kalau dahulu, surat-surat cinta bertabur bedak dilayangkan kepada mata air, kemudian muncul SMS sehingga belanja tambah nilai mencecah puluhan ringgit dalam seminggu.

Pasangan kekasih remaja dahulu juga berpeleseran di tempat-tempat awam, tidak malu berpegangan tangan di depan khalayak dan berpelukan dalam panggung wayang. Sekali lagi kerendahan moral mereka tidak dinilai masyarakat secara umum. Mereka bebas kerana tiada orang menegur, termasuklah ibu bapa yang sering menyangka anak-anak mereka ‘tahu menjaga diri.’

Justeru, apabila generasi Y ini membesar dan mengambil alih peranan sebagai ibu bapa, mereka rasakan generasi mereka adalah yang terbaik.

Guru yang merotan dan garang di sekolah adalah yang terbaik untuk membentuk akhlak remaja. Sedangkan sejak dahulu telah wujud segelintir ibu bapa yang menentang hukuman rotan dalam kalangan guru. Tetapi tidak diperbesarkan kerana tiadanya media sosial.

Kuasa hujung jari masa kini telah mengubah mindset masyarakat terhadap banyak perkara. Hal kecil kini diperbesarkan ibarat masalah besar yang perlu diberi tumpuan. Semua mahu memainkan peranan sebagai polis moral dan guru disiplin.

Terma ‘dak-dak wicet’ yang merujuk kepada pengguna aplikasi WeChat juga diguna pakai secara meluas sebagai bahan jenaka. Kesilapan kanak-kanak dan remaja menggunakan bahasa Inggeris ditertawakan dan dikongsi majoriti generasi Y sebagai hiburan.

Memang bagus untuk menegur kesilapan. Sekurang-kurangnya mereka belajar dari kesalahan. Mungkin kelak penguasaan bahasa Inggeris mereka lebih hebat berbanding anda. Namun, biarlah ia berpada-pada dan ditegur secara bijak.

Public shaming adalah amalan yang tidak sihat. Ia boleh memberi impak yang sangat besar kepada individu yang diaibkan sehingga menggugat keselamatan. Jangan samakan pengalaman hidup kita dengan orang lain. Jangan samakan zaman dahulu dengan sekarang.

Begitu juga cara didikan ibu bapa. Setiap ibu bapa mempunyai pendekatan dan cara yang berbeza. Bukannya semua ibu bapa zaman dahulu mendidik anak dengan rotan dan ketegasan semata-mata. Ramai juga yang melimpahkan kasih sayang dan mendidik anak-anak seperti rakan sebaya, masih juga anak-anak mereka membesar menjadi manusia.

Namun, denda duduk di atas jalan tar kerana lewat ke sekolah? Tolonglah ibu bapa, itu sangat normal. Pupuk sifat toleransi dan serahkan kepercayaan kepada para guru apabila anak-anak berada di sekolah. Sebenarnya, anda berkongsi tanggungjawab dengan guru dalam mendidik anak-anak. Biarkan guru dengan cara mereka selagi ia tidak keterlaluan.

NOTA: Artikel ini adalah berdasarkan pendapat peribadi penulis. Ia bebas untuk dipersetujui atau tidak dipersetujui pembaca.

Comments

comments

Memulakan kerjaya penulisan sebagai wartawan di sebuah akhbar berbahasa Melayu tempatan dan berkhidmat selama empat tahun sebelum menyertai Pepatung sepenuh masa. Berpengalaman dalam penulisan rencana terutama berkenaan gaya hidup, profil, minat ramai, isu semasa, fesyen dan hiburan.

Tinggalkan Komen

Your email address will not be published. Required fields are marked *