Sampai bila pendidikan seks dan kondom perlu menjadi tabu di Malaysia?

0
62

SEBAGAI kanak-kanak yang membesar di era 1990-an dan awal 2000, pengetahuan saya tentang seks sangat terbatas. Namun, itu tidak menghalang saya untuk membentuk kefahaman sendiri berdasarkan pemerhatian terhadap gerak-geri orang dewasa, drama dan filem yang disiarkan di kaca TV serta perkongsian pengetahuan sesama rakan sekolah.

Sex education in primary school. 8 & 9 year olds reading Let's Talk About Sex book, London Borough of Greenwich UKSILIBUS BERKAITAN SEKS SEBENARNYA TIDAK HANYA TERDAPAT DALAM SUBJEK SAINS MALAH TURUT TERDAPAT DALAM MATA PELAJARAN KEAGAMAAN/FOTO: HUFFINGTONPOST

Bagaimanapun sebagai kanak-kanak ketika itu, tidak pernah terlintas untuk mencuba atau menggali lebih terperinci tentang pengertian seks. Semua itu berubah selepas memasuki usia remaja. Fasa di antara kanak-kanak dengan dewasa ini merupakan tempoh terpenting bagi memahami segalanya tentang seks.

Semua pelajar tingkatan tiga pasti teruja apabila didedahkan kepada topik seks dalam mata pelajaran Sains. Pengalaman saya juga hampir sama dengan orang lain, berasa bangga kerana sudah layak untuk berbicara tentang hubungan kelamin.

Mujur guru saya (meskipun wanita) tidak menunjukkan rasa malu untuk menjelaskan tentang subjek tersebut dan menjalankan tugasnya sebagai guru dengan profesional.

Bagaimanapun, adakah dengan pendedahan tersebut cukup untuk membuatkan remaja memahami tentang seks? Sepanjang meniti alam dewasa, tidak pernah sekali topik seks dibualkan dalam ahli keluarga. Tiada juga penjelasan mahupun perkongsian bermanfaat dikongsikan dalam lingkungan saudara-mara yang lebih dewasa.

Hal tersebut sangat berbeza dengan keluarga di negara-negara Barat yang mengambil berat tentang pengetahuan seks. Barangkali prinsip masyarakat Malaysia (khususnya berbangsa Melayu dan beragama Islam), ilmu tentang seks tidak sopan untuk dibicarakan selagi anda belum mencapai kematangan ataupun sudah mendirikan rumah tangga.

Sebagai orang Islam, saya memahami batas pergaulan di antara lelaki dan perempuan bukan muhrim. Malah persetubuhan tanpa ikatan perkahwinan juga hukumnya haram. Perkara ini sangat jelas kerana ia telah diajar kepada murid-murid dalam subjek Pendidikan Islam di peringkat sekolah.

Namun, adakah dengan mengelak daripada mengulas lanjut tentang subjek seks kepada remaja benar-benar mencegah mereka untuk mencuba? Adakah ibu bapa mengetahui kegiatan anak-anak di luar waktu sekolah atau ketika mereka berkumpul bersama rakan-rakan?

Pandangan saya sebagai orang yang melihat kepentingan penyampaian tentang hubungan seks dalam institusi kekeluargaan, ibu bapa sebenarnya cenderung membuat andaian bahawa anak-anak mereka pandai membawa diri.

Bagaimanapun mengapa masih banyak kes-kes pelajar di bawah umur ditangkap khalwat, hamil anak luar nikah dan berdua-duaan melakukan seks oral? Tanpa memikirkan punca, mudah ibu bapa dan masyarakat ‘merejam’ anak-anak tidak matang ini dengan penghinaan dan menjatuhkan hukuman tanpa mahu menyelidik punca mereka terlanjur.

Nafsu manusia boleh dikawal. Bagi mengawal nafsu, manusia perlukan bimbingan dan kekuatan. Bimbingan perlu disampaikan orang paling dekat – keluarga. Gara-gara kecetekan ilmu tentang seks, mereka mengambil jalan singkat untuk bereksperimen. Lebih parah apabila ia dilakukan tanpa penggunaan perlindungan.

Kondom

Baru-baru ini heboh diperkatakan tentang soalan berkaitan kondom bagi mata pelajar Sains dalam peperiksaan percubaan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3). Menerusi soalan tersebut, pelajar dikehendaki memberi pendapat sama ada penjualan kondom secara terbuka akan menyumbang kepada masalah sosial atau tidak?

kondom-kbatISU SOALAN UJIAN PERCUBAAN MATA PELAJARAN SAINS PT3 INI MENJADI PERDEBATAN DALAM KALANGAN NETIZEN DI MEDIA SOSIAL/FOTO: MYNEWSHUB

Seorang pelajar memberikan jawapan tidak bersetuju dengan menjelaskan bahawa kondom diperlukan bagi mencegah kehamilan. Namun, pemeriksa kertas soalan tersebut menandakan jawapan tersebut sebagai salah. Ia kemudiannya dikongsikan di media sosial sehingga meraih perhatian masyarakat.

Memetik kenyataan Timbalan Menteri Pendidikan Chong Sin Woon berkata kepada The Star: “Mari kita siasat dan lihat apa masalah sebenar. Sesuatu tidak kena kerana kondom digunakan untuk mencegah kehamilan.

“Soalan itu merupakan satu bentuk kemahiran berfikir aras tinggi (KBAT) dan adalah sebahagian daripada Pelan Pembangunan Pendidikan malaysia 2013-2025.

“KBAT memerlukan pelajar mempertahankan pendapat mereka ketika menjawab soalan-soalan tersebut. Kita perlu menghormati maklum balas mereka.”

Penyediaan soalan itu bagaimanapun dianggap sebagai tidak sesuai dan tidak mematuhi syariah oleh Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN).

Presiden PIBGN, Prof Madya Datuk Dr Mohamad Ali Hassan memberitahu kepada Free Malaysia Today: “Soalan sebegitu tidak sesuai untuk pelajar PT3. Ini macam beri galakan kepada pelajar untuk melayari (internet) dan mencari maklumat mengenai kondom. Soalan begitu sudah tentu tidak patuh syariah dan perlu dielakkan malah dijauhi sebaik mungkin.”

kondomPIBGN MENYIFATKAN SOALAN BERKAITAN PENJUALAN KONDOM TIDAK SETARA DENGAN PEMIKIRAN PELAJAR BERUSIA 15 TAHUN/FOTO: FREEMALAYSIATODAY

Secara rasionalnya, penggunaan soalan berbentuk pendapat untuk mata pelajaran Sains seharusnya dinilai berdasarkan hubung kait jawapan yang diberikan dari sudut Sains itu sendiri. Dalam kes soalan kondom tersebut, jawapan yang diberikan pelajar sangat tepat jika ditafsir dalam logik Sains.

Berkenaan kenyataan Presiden PIBGN pula, adakah relevan untuk soalan Sains mematuhi syariah? Sampai bila orang Melayu di negara ini mahu sedar bahawa negara ini dikongsi oleh pelbagai bangsa, agama dan kepercayaan. Hanya kerana satu soalan berbentuk kritis, ia perlu dimansuhkan di masa depan demi memelihara pemikiran tertutup kita tentang pendidikan seks.

Seks dan Sains itu saling melengkapi. Bagaimana kita hendak membina sebuah masyarakat berdaya maju jika isu penjualan kondom secara terbuka masih dianggap tabu?

Disebabkan persepsi masyarakat, ada dalam kalangan rakan-rakan saya yang telah berkahwin masih segan untuk membeli kondom di pasar raya atau kedai runcit. Situasi menjadi janggal apabila dia hendak membayar di kaunter. Juruwang dan pelanggan yang beratur di belakang memandangnya ibarat seorang pesalah ataupun sedang membeli dadah.

Penggunaan kondom di Malaysia terendah di dunia

Sikap masyarakat yang suka menghukum tanpa mendalami sesuatu hal telah mendorong kebanyakan orang untuk tidak membeli kondom sebagai perlindungan. Berdasarkan kaji selidik global Durex Sexual Wellbeing pada 2011-2012, penggunaan kondom dalam pasaran Malaysia hanya mencatatkan 5.3 peratus, antara kadar yang terendah di dunia.

213-jpg-c-jpg-cPERSEPSI NEGATIF MASYARAKAT MEMBUATKAN RAMAI ORANG MALU UNTUK MEMBELI KONDOM SECARA TERBUKA/FOTO: LIPSTIQ

“Masih ramai orang Malaysia menggunakan teknik kontraseptif (pencegah kehamilan) tradisional seperti mengelak daripada melakukan seks ketika perempuan datang haid, lelaki mengeluarkan air mani di luar alat kelamin perempuan ataupun langsung tidak menggunakan sebarang perlindungan.

“Berdasarkan data yang diperoleh daripada kajian Seksual dan Kesihatan Pembiakan Belia Malaysia 2015, kekurangan pengetahuan dan kepercayaan terhadap mitos-mitos tentang seks adalah punca yang mendorong kepada masalah ini.

“Malah antara punca utama juga adalah persepsi bahawa penggunaan kondom akan mengurangkan sensitiviti ketika bersetubuh. Akibatnya, ia menjurus kepada risiko dijangkiti STIs (sexual transmitted infections) gara-gara melakukan seks tanpa perlindungan,” jelas Pengarah Pemasaran Reckitt Benckiser (RB) Malaysia & Singapura, Matias Caride.

durex-invisible-key-visual_2-jpg-cPENGGUNAAN KONDOM DALAM KALANGAN ORANG DEWASA DI MALAYSIA JUGA RENDAH KERANA BERANGGAPAN IA AKAN MENGURANGKAN SENSITIVITI.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang giat menjalankan kempen pencegahan dan pengawalan penyebaran STI di seluruh dunia mendedahkan, majoriti STI tidak menunjukkan sebarang simptom atau hanya tanda-tanda kecil.

Dalam konteks Malaysia, kebimbangan mendapat malu membentuk 10 peratus daripada maklum balas dalam kalangan belia tempatan yang mengatakan mereka lebih rela untuk tidak mendapatkan rawatan perubatan walaupun telah terdedah kepada STI. Kesannya, individu tersebut berpotensi tinggi menjangkiti orang lain yang seterusnya membentuk satu efek domino.

Justeru, pencegahan adalah lebih baik berbanding perawatan. Maka penggunaan kondom sebagai perlindungan ketika melakukan seks dapat mengelakkan daripada mendapat STI serta mengurangkan risiko dijangkiti HIV, klamidia, gonorea, herpes dan sifilis.

Sebagai konklusi, boleh disimpulkan betapa rasionalnya penjualan kondom dalam menangani masalah seks bebas, jangkitan penyakit berbahaya akibat seks rambang, kehamilan dalam kalangan remaja dan sekali gus mengelakkan kes-kes pembuangan bayi.

ke_01-3-jpg-cPERCINTAAN DALAM KALANGAN REMAJA BOLEH MENJURUS KEPADA GEJALA SEKS BEBAS TANPA PERLINDUNGAN SEKIRANYA MAKLUMAT BERKAITAN PENDIDIKAN SEKS TIDAK DIPERJELASKAN DENGAN BIJAKSANA/GAMBAR HIASAN: ILANI88

Jangan kita menjadi masyarakat egois dan mengutamakan kepentingan bangsa serta agama masing-masing. Kita hidup dalam masyarakat berbilang, ada budaya sosial tersendiri. Belajar menghormati prinsip orang lain dan berfikiran terbuka.

Usah salah faham, tidak bermakna anda memilih untuk berfikiran terbuka, anda berubah menjadi orang sekular. Dunia ini luas. Setiap ilmu sama ada tentang kerohanian mahupun duniawi perlu diimbangi mengikut kebijaksanaan kita. Rugi rasanya dikurniakan kecerdasan akal tetapi masih dipengaruhi kejumudan.

Ibu bapa di Malaysia juga perlu lebih terbuka dalam membicarakan tentang pendidikan seks bersama anak-anak. Beri penjelasan kepada mereka mengikut kesesuaian usia. Percayalah, anak-anak akan lebih selesa jika maklumat itu dikongsi oleh orang-orang terdekat.

Hentikan tanggapan kolot bahawa berkongsi pengetahuan tentang seks akan menggalakkan mereka melakukan seks. Tanpa panduan daripada anda sekalipun, keinginan mereka untuk mencuba tetap ada dalam diri. Barangkali kita tidak sedar bahawa kuasa membentuk anak-anak itu terletak di tangan kita dan bermula dari rumah.

 

NOTA: Selain fakta dan data yang diselitkan, artikel ini adalah berdasarkan pemerhatian dan pandangan peribadi penulis. Ia tidak mewakili pendapat sebenar masyarakat dan berkemungkinan tidak dipersetujui orang ramai.

TINGGALKAN RESPONS

Sila masukkan komen!
Masukkan nama anda di sini