PADA tahun 2016, Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) melaporkan seramai 200,000 graduan menganggur di Malaysia. Jumlah tersebut tidak termasuk pelajar yang baru menamatkan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), diploma dan program-program kemahiran bersijil.

Justeru, Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia dan Jobstreet menjalankan kaji selidik terhadap graduan baharu dan pola pekerjaan mereka tahun lalu. Keputusannya mendapati satu daripada empat graduan di Malaysia berterusan menganggur selama enam bulan selepas tamat pengajian.

Enam graduan yang menganggur pula berumur bawah 24 tahun dengan majoriti penganggur (51 peratus) merupakan graduan universiti awam.

Sebanyak 68 peratus majikan pula mendedahkan graduan baharu mempunyai jangkaan tidak realistik melibatkan gaji dan faedah pekerjaan.

Di sebalik kekecewaan para graduan yang meluahkan rasa tidak puas hati terhadap ciri-ciri yang ditetapkan majikan, masalah sebenarnya berpunca daripada sikap graduan masa kini.

Berikut merupakan antara sebab mengapa generasi graduan kini sukar mendapat kerja.

1) Kelemahan penguasaan bahasa Inggeris

Tidak dinafikan, masalah ini sering dialami graduan berbangsa Melayu. Apabila permohonan dilayangkan ke syarikat-syarikat besar, bahasa Inggeris menjadi keutamaan.

Secara amnya, majikan tidaklah mengharapkan calon dengan penguasaan bahasa Inggeris yang hebat. Namun, memadai dengan pemahaman dan kemahiran asas untuk menulis dan berkomunikasi. Selebihnya boleh diperbaiki sepanjang tempoh pekerjaan.

GIF/ONEHALLYU

Begitupun, isu bahasa Inggeris ini juga sebenarnya perlu diperhalusi pihak majikan. Kadang-kadang syarikat yang beroperasi tanpa memerlukan kefasihan bahasa Inggeris turut meletakkan syarat sebegini. Sedangkan ia tidak begitu dipraktikkan dalam pekerjaan.

Akhirnya, bahasa Melayu sekadar menjadi bahasa ‘anak tiri’ dalam sistem pekerjaan di Malaysia.

2) Kelemahan skil komunikasi

Majoriti pekerjaan menitikberatkan aspek komunikasi. Nilai ini berkait rapat dengan kesefahaman dan kesepakatan dalam melaksanakan tugas dengan baik. Kebanyakan graduan kini tidak tahu membezakan tahap komunikasi mengikut posisi seseorang.

GIF/EVENTBRITE

Misalnya, ketika ditemuduga, mereka menjawab soalan-soalan yang diajukan barisan penemuduga seperti berbual dengan rakan sebaya. Tanpa rasa hormat atau rendah diri, penyalahgunaan kata ganti diri dan pertuturan ‘pasar’ yang sangat tidak profesional.

Mungkinkah ia berpunca daripada kebergantungan mereka terhadap gajet dan teknologi? Mereka lebih gemar berkomunikasi secara maya, tetapi tidak secara lisan. Bahkan, apabila bertemu rakan-rakan pun, masing-masing lebih memberi perhatian terhadap telefon pintar.

3) Resume tidak lengkap

Menghairankan apabila graduan masa kini tidak bijak mengemaskini resume. Sedangkan penguasaan digital mereka mampu menemukan contoh-contoh resume terbaik dan bersesuaian dengan jawatan yang dipohon.

GIF.SPARK ADOBE

Sebahagian mereka malas untuk merujuk resume sedia ada dalam talian atau meminta pertolongan mereka yang berpengalaman. Mereka berasa lebih cerdik dan tidak mempedulikan signifikan kandungan yang dimasukkan dalam resume.

Banyak resume yang ditolak kerana maklumat yang tidak relevan dengan skop pekerjaan. Begitu juga dengan teknik penulisan e-mel ketika resume dihantar kepada bakal majikan. Semuanya ibarat melepaskan batuk di tangga.

4) Jangkaan gaji tidak sepadan

Menerusi kenyataan pengurus negara Jobstreet, Chook Yuh Yng yang diterbitkan Free Malaysia Today (FMT) pada 9 Februari lalu, berdasarkan kaji selidik pada 2016:

60 peratus graduan menjangkakan gaji permulaan sebanyak RM3,500. Seramai 30 peratus pula meletakkan RM6,500 dalam ruangan gaji yang dipohon.

Tangga gaji yang diminta itu langsung tidak berpadanan dengan status mereka. Tanpa pengalaman kerja dan kemahiran mentah yang belum digilap sepenuhnya, majikan enggan mengambil risiko menggaji graduan materialistik yang belum diketahui potensi sebenarnya.

Berbanding pekerja berpengalaman yang memohon tangga gaji yang sama, sudah tentu majikan memilih calon pekerja berpengalaman yang mampu untuk mengendalikan kerja tanpa bimbingan dan latihan yang lama.

Gaya hidup graduan masa kini yang tertarik terhadap kehidupan serba mewah telah meracun pemikiran mereka untuk hidup senang dengan singkat. Mereka enggan berusaha tetapi mendambakan kehidupan senang-lenang.

5) Tidak berdisiplin

Kebanyakan graduan masa kini gagal mendapat pekerjaan kerana disiplin. Apabila dipanggil untuk sesi temu duga, mereka bertindak sesuka hati melanjutkan waktu kedatangan untuk temu duga. Ada juga yang membatalkan temu duga dan memohon untuk hadir pada hari lain.

Peluang hanya datang sekali seumur hidup. Dengan sikap begini, tiada majikan yang sanggup menggaji calon pekerja yang awal-awal sudah menunjukkan ciri tidak menepati waktu dengan alasan-alasan tidak munasabah.

Segelintir mereka juga berani meminta bakal majikan untuk berkongsi lokasi sesi temu duga menerusi aplikasi WhatsApp semata-mata untuk kemudahan mereka.

Di manakah adab dan daya usaha untuk bekerja? Nilai-nilai ini semakin meluntur dalam generasi hari ini.

TINGGALKAN RESPONS

Sila masukkan komen!
Masukkan nama anda di sini