Instagram, platform jual beli perhatian

0
9

I LOOK SO COMOT AND SELEKEH – begitu kapsyen yang selalu saya perhatikan ditulis oleh kebanyakan orang, terutama pengguna Instagram yang berwajah molek dan punya followers yang ramai. Dari segi fizikal tidaklah secomot mana, jauh sekali hodoh rupanya. Tetapi, apakah yang menyebabkan pengguna Instagram tersebut menulis kapsyen sedemikian rupa?

Sejak menjadi kegilaan pengguna media sosial, saya perhatikan, Instagram merupakan platform terbaik untuk ‘menjual dan membeli perhatian’.

Wujudnya hashtag #FollowersPerluTahu, setiap perkara yang dilakukan wajib dijual kepada khalayak dan in return, pengguna Instagram mendapat perhatian dalam bentuk like, comments dan follow.

Sesetengah pengguna Instagram mungkin selesa begitu, lebih-lebih lagi jika ada trend terkini yang tercetus dan menarik untuk dicuba (mannequin challenge, Sam Yang challenge). Namun, adakah fungsi utama Instagram telah disalah ertikan sehingga berlakunya kecelaruan fokus pada platform media sosial paling berpengaruh itu?

Pada pendapat saya, setiap orang mempunyai hak tersendiri dalam berkongsi mengenai kisah hidup mereka. Dan setiap orang juga mempunyai pilihan untuk mengikut sesiapa sahaja yang mereka suka dan rasakan menarik untuk dilihat.

Mungkin gaya persembahan (penyampaian menerusi gambar dan kapsyen) berbeza mengikut individu. Si kaki gym sudah pasti menjual bentuk tubuh mereka yang berketul-ketul lagi memberahikan untuk mendapat followers yang kemungkinan besar sedang berusaha untuk mendapatkan tubuh seperti itu.

Dalam masa yang sama, si pengusaha kosmetik pula sentiasa menayang kemewahan yang diperolehi kepada pengikut agar mereka sedar jenama yang dipasarkan laku bak goreng pisang panas.

Dalam fasa ini, penggunaan Instagram secara digital telah mempengaruhi sebahagian besar daripada hidup kita. Nak bertunang, umum di Instagram. Selamat melahirkan anak, umum di Instagram. Kematian dan malapetaka juga diumum menerusi Instagram.

Suka atau tidak, perhatian yang dijual menerusi Instagram membawa pulangan yang setimpal berbanding informasi biasa. Hal ini membuatkan, informasi secara verbal semakin dilupakan kerana khalayak lebih terpegun dengan kehadiran visual berbanding keberadaan.

NOTA: Selain fakta dan data yang diselitkan, artikel ini adalah berdasarkan pemerhatian dan pandangan peribadi penulis. Ia tidak mewakili pendapat sebenar masyarakat dan berkemungkinan tidak dipersetujui orang ramai.

TINGGALKAN RESPONS

Sila masukkan komen!
Masukkan nama anda di sini