PASTI ramai yang pernah menonton filem Bollywood, Kabhi Khushi Kabhie Gham. Karakter Yash Raichand yang dimainkan Amitabh Bachchan begitu dibenci penonton. Wataknya bukan antagonis, tetapi sikap ego yang dipertontonkan menggugat emosi.

Tergamak seorang bapa membuang anak (anak angkat) yang dibesarkan sejak kecil daripada keluarga, atas sebab tidak merestui hajat perkahwinan Rahul Raichand (lakonan Shah Rukh Khan) dengan Anjali Sharma (Kajol). Puncanya kerana kedua-duanya tidak setaraf.

Kuasa ego Yash mengatasi rasa sayang dan kasihnya kepada Rahul. Bertahun lamanya mereka hidup membohongi diri. Hidup menatang sarat kerinduan. Walaupun selepas kembali bersua muka, ego tetap teguh tidak runtuh.

Bagaimanapun setelah Yash memilih untuk memecahkan ego, segalanya kembali bahagia. Senyum di bibir isteri Yash, Nandini (lakonan Jaya Bachchan) kembali berseri. Gembira seorang ibu dalam diri Nandini menyala semula.

Begitu besar kesan ego dalam perhubungan manusia. Ia bukan sahaja dalam filem, tetapi dapat disaksikan dalam kehidupan realiti. Ego tidak hanya khusus kepada lelaki, bahkan wanita juga tidak kurang hebat sikap ego.

Terdapat perbezaan antara keyakinan dan ego. Yakin diri itu bersifat membina, manakala ego bersifat memusnahkan. ‘Ego yang tinggi akan membunuh bakat anda.’ Namun ia bukan sahaja akan mengaburi bakat seseorang, malah berpotensi besar menghancurkan karier, merosakkan perhubungan dan merentap kebahagiaan.

Berikut merupakan 10 sebab mengapa sikap ego yang melampau mampu memusnahkan hidup anda:

1) Ia membuatkan anda kurang rasa belas kasihan. Anda hanya nampak keburukan dalam diri orang lain dan berasa anda sahaja betul. Ia membutakan anda daripada menilai sesuatu daripada perspektif berbeza. Bagi anda, orang lain bertujuan menyerang anda secara peribadi tanpa mahu memahami punca sebenar.

2) Orang menjauhi anda. Sikap anda akan menarik beberapa individu yang cuba mengambil kesempatan. Sedangkan mereka yang cuba membantu perlahan-lahan menjauhkan diri. Setiap orang mahu dikelilingi individu yang saling menyokong satu sama lain dan terbuka menerima teguran. Tiada siapa selesa bersama individu yang menganggap diri mereka sahaja yang terbaik.

3) Menyekat kejayaan anda. Manusia ego juga degil. Orang degil tidak suka mendengar nasihat orang lain, terutama daripada individu yang mungkin lebih berpengetahuan dan berpengalaman. Ego anda akan mengekang kejayaan anda. Tidak mustahil anda akan terkandas banyak kali jika sering menolak bimbingan orang lain.

4) Kurang kasih sayang. Apabila anda enggan membenarkan diri berdepan situasi yang menguji kesabaran diri atau menutup pintu kemaafan, orang sekeliling akan berputus asa dengan anda. Sikap anda yang ingin menyendiri membuatkan anda berasa kehilangan kasih sayang yang selama ini mewarnai hari anda.

5) Menjadikan anda tidak rasional. Apabila anda sahaja mahu menang dan bertegas bahawa orang lain salah, anda akan bertindak di luar rasional. Anda sering mengeluarkan kata-kata yang kemungkinan akan disesali di kemudian hari.

6) Bersaing dalam suasana tidak sihat. Ego yang ekstrem dapat dilihat menerusi tekad seseorang yang sanggup memusnahkan hidup orang lain demi menegakkan ideologi dan prinsipnya.

7) Kerap mengkritik. Ego membuatkan anda gemar mengkritik orang lain dalam banyak hal kerana mereka tidak menepati standard anda.

8) Anda menjadi tamak. Anda dahagakan perhatian dan sesuatu yang lebih baik berbanding orang lain. Tidak salah untuk bercita-cita besar, tetapi sikap tamak yang berpunca daripada ego akan membuatkan anda tidak menghargai orang sekeliling dan kelebihan yang anda miliki.

9) Hidup dalam tekanan. Apabila anda mahu membuktikan anda sahaja betul, anda tidak akan tidur lena. Jauh sekali merasai ketenangan dalam rasa kecewa dan resah.

10) Membunuh kebahagiaan. Ego anda tidak akan memberi sebarang keindahan dalam hidup. Anda murung dalam kekecewaan dan kekesalan. Bahagia yang anda harapkan juga tidak berpanjangan.

TINGGALKAN RESPONS

Sila masukkan komen!
Masukkan nama anda di sini