Boikot lelaki lembut kaedah ‘menjantankan’ pelajar di sekolah? Ini pengalaman lelaki lembut yang mengikuti PLKN

0
35

LELAKI lembut atau sering diejek dengan gelaran pondan, sotong, maknyah dan sebagainya bagaikan sudah menjadi kebiasaan dalam masyarakat.

FOTO/PREVNET

Baru-baru ini, heboh isu tentang bagaimana seorang guru (ustazah) berkongsi cara-cara menangani pelajar lelaki lembut.

Berdasarkan pengalamannya, melentur golongan lelaki lembut perlu dimulakan di bangku sekolah lagi agar mereka dapat kembali menjadi ‘jantan sejati’.

Mungkin ada cadangan tersebut yang boleh diguna pakai, tetapi tidak lagi relevan untuk diaplikasikan pada zaman ini.

Bahkan perkara ini pernah diingatkan oleh Saidina Ali: “Didiklah anak-anak kamu mengikut zaman mereka dan bukan zaman kamu.”

Menerusi artikel yang disiarkan sebuah majalah tempatan itu, guru tersebut menyarankan supaya lelaki lembut mesti diberi kerja-kerja lelaki sejati.

Cadangan tersebut sungguh tidak masuk akal. Sedangkan junjungan Nabi Muhammad s.a.w juga melaksanakan tugasan yang dikatakan khusus untuk wanita.

Misalnya, baginda sendiri menjahit pakaiannya yang terkoyak dan menolong membuat kerja-kerja hal ehwal rumah tangga demi untuk meringakan beban isteri.

Naluri dan sifat adalah dua perkara yang berbeza. Naluri mungkin boleh diubah jika kena dengan caranyaSifat pula merupakan lumrah diri sendiri. Misalnya, jika seseorang itu dilahirkan dengan karakter yang kasar, mungkin selamanya dia akan bersifat sedemikian.

Begitu juga jika mereka yang dilahirkan sebagai lelaki lembut,” ujar Aiman, 26, yang tidak tertekan dengan sifat lembutnya dan kini bertugas sebagai jururawat di salah sebuah hospital swasta.

Adakah dengan cadangan untuk memboikot golongan lelaki lembut akan membuatkan mereka datang berjumpa kaunselor? Berapa peratus pelajar yang mempunyai masalah berani untuk bertemu guru kaunseling?

Persoalan ini harus dijawab terlebih dahulu. Jika langkah memboikot atau menyisihkan lelaki lembut dipraktikkan, ia hanya mendorong sifat memberontak sekali gus menyumbang terhadap tekanan emosi.

FOTO / ID VICE

Rata-rata lelaki lembut yang cuba untuk bergaul dengan pelajar lelaki ‘tulen’ sering dicemuh dan dibuli. Seorang lelaki lembut yang mahu dikenali sebagai Ariff menceritakan pengalaman silamnya ketika tinggal di sebuah asrama universiti tempatan.

Saya pernah dibaling dengan botol berisi air kencing ketika sedang nyenyak tidur. Selalu juga saya dicemuh dan dibuli sepanjang tinggal di asrama.

“Rakan sebilik yang dikategorikan sebagai lelaki tulen itulah yang memaksa saya membersihkan bilik,” imbas Ariff yang kini merupakan seorang pengurus jualan di ibu kota.

Seorang lagi lelaki lembut yang mesra dengan nama timangan Gentle Giant pula memberitahu, sikap lembutnya terserlah sejak di tadika. Ketika itu, guru-guru sangat terbuka dan menggalakkannya menyertai pertunjukan fesyen, nyanyian dan sebagainya.

Emosinya mula diuji apabila memasuki darjah 1 di sebuah sekolah yang terdiri daripada semua pelajar lelaki. Ditambah pula dengan tubuh badannya yang besar, ejekan pelajar lain membuatkan dia tertekan.

Selama setahun dia memaksa diri untuk ke sekolah walaupun menjadi bahan jenaka setiap hari. Begitupun, memasuki tahun kedua alam persekolahan, dia mula belajar untuk mengadaptasi dengan persekitaran dan mengabaikan ejekan budak-budak nakal.

“Sehinggalah saya tamat sekolah menengah, tiada gangguan serius yang saya alami. Ejekan itu tetap ada, cuma saya tidak melayan dan akhirnya mereka berhenti sendiri.

“Guru-guru juga sangat membantu dan sering memberi sokongan moral. Malah, pelajar-pelajar lembut di sekolah amat diperlukan dalam menjayakan program-program berbentuk kesenian dan kebudayaan,” kongsi Gentle Giant, 31, yang kini sedang membina nama dalam industri seni tanah air.

Kemuncak dugaan Gentle Giant sebagai lelaki lembut dialami apabila terpilih ke Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) yang pertama iaitu pada 2004.

Cabaran tersebut disahut tetapi saat menjejakkan kaki di kem tersebut, mimpi ngerinya bermula. Ketika pembahagian kumpulan, tiada seorang pun yang mempelawa atau sudi menerimanya dalam pasukan masing-masing.

“Saya masih ingat seorang lelaki Cina yang mengajak saya untuk menyertai kem mereka. Kem kami terdiri daripada 10 pelatih. Kami merupakan individu terpinggir yang tidak diterima pelatih lelaki ‘tulen’.

“Minggu pertama memang mencabar. Saya bersendirian tanpa rakan-rakan. Mujur fasilitator memahami dan membantu saya melalui tempoh yang sukar tersebut.

“Disebabkan tempat duduk lelaki dan perempuan dipisahkan ketika waktu makan, saya membuat keputusan untuk tidak makan tengah hari bagi mengelakkan untuk duduk dengan pelatih lelaki lain.

“Sehinggalah saya mula berkawan dengan beberapa pelatih perempuan. Saya duduk dengan mereka pada waktu makan. Fasilitator menegur tetapi akhirnya mereka membenarkan memandangkan saya disisihkan oleh pelatih lelaki yang kononnya tulen dan ‘keras’,” Gentle Giant menceritakan pengalamannya kepada Pepatung.

Namun, lama-kelamaan keberadaan Gentle Giant di kem PLKN itu mula diterima. Majoriti pelatih lelaki yang sebelum ini meminggirkannya bertukar menjadi rakan-rakan baiknya.

Barangkali impresi pertama dan stigma sosial dalam masyarakat yang memomokkan tentang kekurangan lelaki lembut mendorong golongan lelaki tulen untuk menyisihkan mereka.

Sebagai lelaki lembut yang berpengalaman menyertai kem sedemikian, Gentle Giant tidak merasakan ia berjaya untuk ‘menjantankan’ dirinya. Jauh sekali untuk mengikis sikap lembutnya.

“PLKN berjaya membina jati diri dan mempersiapkan saya untuk berkhidmat kepada negara sekiranya berlaku kejadian tidak diingini.

“Bagaimanapun, ia tidak mengubah diri saya. Ia mengajar saya untuk bersosial dengan lebih baik, dan dalam masa yang sama mengajar orang lain untuk menerima individu yang berbeza karakter serta personaliti.

“Hantarlah lelaki lembut ini ke kem apapun, kelembutan itu tidak akan hilang. Bagi saya, lelaki lembut ini bukan dipupuk untuk menjadi lembut. Mereka dilahirkan sedemikian.

“Ibu bapa, guru dan masyarakat sepatutnya mendidik mereka tentang perkara yang betul dan salah, sama seperti didikan kepada pelajar lain.

“Memboikot bukanlah idea yang bagus, malah akan menyumbang terhadap depresi dan cubaan untuk mencederakan diri sendiri. Kalau anda disisihkan orang sekeliling, apa perasaan anda?” tambah Gentle Giant yang berasal dari Kuala Lumpur.

FOTO/SAYS

Begitu juga saranan untuk menidakkan lelaki lembut daripada membuat kerja-kerja rumah yang sinonim untuk golongan wanita. Kerja-kerja di rumah seperti memasak dan mengemas merupakan kemahiran sosial yang perlu dipelajari semua lelaki. Ia tidak terhad kepada lelaki lembut sahaja.

“Seorang lelaki juga dituntut agama untuk membantu kerja-kerja rumah bagi meringankan beban isteri. Begitu juga kemahiran menukar mentol, bertukang dan kerja-kerja kasar yang signifikan kepada lelaki.

“Semuanya telah dipelajari di sekolah dalam subjek Kemahiran Hidup. Pelajar lelaki lembut pun belajar pendawaian elektrik, memotong kayu dan segala kemahiran asas. Mereka mampu melakukannya tetapi ia tidak mengubah mereka menjadi kasar dan ‘keras’,” sambung Gentle Giant.

Perlu ditekankan bahawa perwatakan lembut tidak semestinya menjadikan mereka homoseksual. Kebanyakan mereka tidak tertarik kepada jantina sejenis.

Masih ramai lelaki lembut hidup seperti lelaki lain dengan mendirikan rumah tangga, mempunyai zuriat dan berjaya dalam bidang masing-masing.

Pendekatan yang lebih kondusif perlu diambil. Misalnya, baru-baru ini, aktivis sosial, Syed Azmi telah membawa Mufti Wilayah Persekutan Kuala Lumpur untuk mendekati golongan lembut dan bermasalah.

Meskipun mereka lembut, tidak bermakna mereka bukan lelaki tulen. Adakah kejantanan seseorang perlu diukur dengan daya fizikal melibatkan kehebatan bergaduh dan membuli sehingga membawa maut?

Mereka perlu diberi peluang dalam komuniti masyarakat. Antara pendekatan yang boleh diambil misalnya, membuat kelas-kelas agam agar naluri dalaman mereka tidak terpesong.

Mohd. Norafiq Mohd Datin, seorang lelaki biasa (tidak lembut) yang menjadikan bidang kulinari sebagai profesion berpendapat, tugas di dapur tidak terletak di bahu perempuan semata-mata. Sejak kecil, dia meringankan tangan membantu ibunya di dapur.

Semua ini bergantung kepada individu. Kita sebagai sebuah masyarakat harus sentiasa memberi sokongan moral kepada mereka selagi mereka melakukan kerja halal dan tidak perlu untuk menyisihkan mereka.

FOTO/FACEBOOK MOHD NORAFIQ MOHD DATIN

Tidak dinafikan dalam industri kulinari, ramai lelaki berperwatakan lembut. Namun bila di dapur, mereka akan menjadi lincah dan lasak kerana persekitaran dapur yang panas serta tuntutan untuk memasak dalam tempoh yang singkat,” ujar Mohd. Norafiq yang kini berkhidmat di sebuah hotel lima bintang di Kuala Lumpur.

Dalam Hadis sahih, sesungguhnya Abu Hurairah berkata, Rasulullah s.a.w bersabda:

“Amal seseorang tidak akan memasukkan seseorang ke dalam syurga.” “Engkau juga tidak wahai Rasulullah?”, tanya beberapa sahabat. Beliau menjawab, “Aku pun tidak. Itu semua hanyalah kerana kurnia dan rahmat Allah.” (HR. Bukhari no. 5673 dan Muslim no. 2816)

Jika dinilai daripada hadis tersebut, jelas mengatakan bahawa kita tidak boleh bersangka dengan mengerjakan ibadat sahaja, kita akan dijamin syurga dan mengenepikan amalan baik sesama manusia.

Sesungguhnya hanya Allah yang berhak menghakimi seseorang. Sedangkan pelacur yang memberi air kepada anjing yang kehausan juga diampunkan dosa-dosanya. Maka siapalah kita yang serba kekurangan ini untuk menyemai api kebencian?

TINGGALKAN RESPONS

Sila masukkan komen!
Masukkan nama anda di sini