72% rakyat Malaysia jengkel dengan penumpang becok dalam pesawat

0
11

KEPUTUSAN Kajian Etika Penerbangan Expedia 2017 oleh Expedia.com.my telah dikongsi kepada umum pada 28 Februari lalu. Kajian peringkat global itu mengambil kira sikap penumpang ketika berada di dalam pesawat.

Dalam kelompok rakyat Malaysia, kajian tersebut mendapati majoriti penumpang negara ini lebih berasa sukar apabila tidak dapat menggunakan telefon bimbit berbanding menahan diri untuk merokok.

“Keperluan untuk menggunakan telefon bimbit adalah lebih diutamakan penumpang Malaysia. Sebanyak 54 peratus mendedahkan, kekangan komunikasi menerusi telefon bimbit dalam penerbangan jarak jauh merupakan perkara yang paling tidak digemari.

“Bagaimanapun, hanya 7 peratus rakyat Malaysia memilih untuk ‘memalukan’ individu yang mencetuskan gangguan dalam penerbangan di media sosial. Ia membuktikan ketinggian budi bahasa dan tingkah laku warganegara Malaysia,” ujar Ketua Serantau Perhubungan Awam Pengguna, Expedia Asia, Lavinia Rajaram.

Turut berkongsi catatan 54 peratus adalah rasa tidak senang dalam kalangan pasangan yang terpaksa ‘berpisah’ sementara dalam penerbangan jarak jauh.

Kesukaran menahan diri untuk merokok dalam penerbangan jarak jauh pula mencatatkan 44 peratus, keputusan yang subjektif dan eksklusif untuk golongan perokok.

Meskipun sukar dipisahkan dengan telefon pintar, penumpang Malaysia tetap dikategorikan sebagai penumpang yang prihatin dan bertimbang rasa.

PENUMPANG MABUK DI DALAM PESAWAT AKAN MEMBUAT BISING SESUKA HATI/NEWS.COM.AU

Berdasarkan kajian itu juga, 78 peratus memilih untuk tidak menurunkan sandaran tempat duduk sekiranya penumpang di belakang mereka merupakan wanita hamil, warga emas atau dalam keadaan tidak berupaya / tidak sihat.

Sebanyak 54 peratus juga bertindak menawarkan tempat duduk kepada penumpang yang memerlukan (contoh: ahli keluarga yang terpisah daripada kumpulan, warga emas, pasangan suami isteri yang terpisah). Hanya 3 peratus yang berpura-pura sakit bagi mendapatkan tempat duduk yang lebih baik (bersebelahan laluan, tepi tingkap, kelas bisnes).

Penumpang Malaysia juga didapati amat tidak menyenangi suasana bising sepanjang penerbangan. Walaupun terkenal dengan sikap ramah dan suka berbual, penumpang negara ini lebih menghargai suasana penerbangan yang aman dan tenteram.

KANAK-KANAK AKTIF SERING MENGGANGGU KETENTERAMAN PENUMPANG LAIN/TIME

Kajian tersebut mendapati 76 peratus responden tidak tahan dengan penumpang mabuk yang membuat bising kerana mengambil minuman beralkohol berlebihan. Sebanyak 72 peratus pula berasa jengkel apabila duduk bersebelahan penumpang becok.

Ibu bapa dengan anak yang gemar membuat bising juga tidak digemari 68 peratus penumpang. Namun, gangguan bunyi seperti tangisan bayi hanya mencatatkan 46 peratus sebagai perkara yang tidak menyenangkan di dalam pesawat, sekali gus menunjukkan masih wujud sifat toleransi dalam diri penumpang Malaysia.

TINGGALKAN RESPONS

Sila masukkan komen!
Masukkan nama anda di sini