5 diskriminasi yang hanya dirasai orang bujang

0
26

LUPAKAN sebentar soalan berulang ‘bila nak kahwin?’ kepada orang bujang. Hakikatnya menjadi bujang pun banyak dugaan. Siapa #teambujang di sini, anda mungkin pernah atau sentiasa berdepan situasi berikut. Semoga kita semua diberi kesabaran.

1) Kau tak kahwin lagi kan? Kau baliklah kampung awal

Menjelang hari raya, maka sibuklah adik-beradik merancang tarikh untuk pulang berhari raya di kampung. Anda pula sebagai satu-satunya bujang dalam adik-beradik perlu mengangguk sahaja. Logiklah sebab anda tidak perlu pulang ke kampung mertua. Balik kampung awal, bantu ibu bapa membuat persiapan semuanya diserahkan kepada anda. Tidak mengapa. Apa salahnya berbakti kepada ibu bapa bukan?

Tapi kadang-kadang anda pun pernah terfikir untuk merancang berhari raya bersama rakan-rakan pada hari raya kedua atau ketiga. Mungkin juga anda berhasrat untuk bercuti pada musim perayaan untuk berehat. Apakan daya semua rancangan terbengkalai.

2) Kau bujang kan? Kau cuti kejap jelah

Ketika hendak memohon cuti di pejabat, anda sebagai orang bujang terpaksa mengalah dengan rakan sekerja yang telah berkahwin dan mempunyai anak. Alasan mereka mudah: “Berilah kami yang berkeluarga ini masa panjang sedikit untuk bercuti. Kau tu bujang buat apa cuti lama-lama?”

Demikianlah kenyataan selamba yang sering dilontarkan kepada orang bujang di tempat kerja. Sedangkan orang bujang juga mempunyai perancangan tersendiri. Kebiasaannya cuti orang bujang yang terkumpul lebur begitu sahaja. Memang orang bujang ni hidup kena bekerja sahaja ya?

3) Kau tak kahwin, takde anak lagi, banyaklah duit

Mentaliti masyarakat yang menganggap semua orang bujang bekerja itu duitnya berkepuk. Hanya kerana status bujang dan tidak mempunyai tanggungan isteri dan anak-anak, senang sahaja dikatakan si bujang hidup senang-lenang. Lupakah bahawa mereka juga pernah hidup bujang?

Individu bujang juga mempunyai tanggungan dan tanggungjawab. Memberi duit belanja kepada ibu bapa, membayar pinjaman kenderaan dan rumah, keperluan harian, barang dapur, bil telefon dan internet, insurans termasuklah menjadi ‘bank segera’ kepada rakan-rakan. Majoriti kawan yang meminjam itu pula telah berkahwin dan mempunyai anak.

4) Kau bujang, bolehlah lepak sampai tengah malam

Ketika kita berusia awal 20-an, mungkin kehidupan sosial lebih diutamakan. Namun semakin dewasa, kita mula selesa duduk rumah, menonton wayang dan bersantai. Kebiasaan melepak tengah malam juga bukan lagi kemestian. Orang bujang pun merentasi fasa ini. Tidak bermakna tiada orang yang menunggu di rumah, si bujang masih menghabiskan masa melepak di kedai mamak sehingga larut malam.

Lucunya yang sering mengajak kawan bujang melepak lewat malam ialah kawan yang sudah berkahwin. Pada waktu itulah mereka akan berkongsi masalah tentang kerja dan keluarga. Kebiasaannya kawan yang bujang menjadi pendengar dan pemberi nasihat. Bersyukurlah anda masih ada kawan bujang yang sudi meminjamkan telinga dan masa.

5) Tolong tangkap gambar

Ramai yang tidak sensitif terhadap situasi ini. Mungkin bagi mereka yang telah berkeluarga ia hanyalah permintaan kecil. Namun bayangkan perasaan orang bujang apabila sering dipinggirkan apabila sesi bergambar beramai-ramai. Ia kerap terjadi ketika hari raya atau waktu berkumpul bersama saudara-mara.

Si bujang akan dipilih sebagai ‘jurugambar rasmi’ melayan permintaan semua untuk bergambar. Akhirnya, tiada sekeping pun gambar mereka. Terpaksalah selfie ya.

TINGGALKAN RESPONS

Sila masukkan komen!
Masukkan nama anda di sini